Sunday, August 16, 2009

SANDIWARA TOK GURU, BADI MAIN PUTERI

Tok Guru bengang apabila masyarakat Melayu mula mempersoalkan tingkah laku politik Anwar Ibrahim sehingga dianggap sebagai "pengkhianat terbesar Melayu" dan orang Islam menyerang pemimpin DAP kerana menghina Islam.
Mengikut Tok Guru, Nabi Muhamad saw juga menghina bangsanya sendiri apabila melawan bapak saudaranya tetapi tidak dianggap sebagai "pengkhianat bangsa."
Berdasarkan hujah itu Tok Guru lebih mementingkan usaha menaikkan pemikiran politik berbanding mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana bagi beliau itu tidak penting. Menghina Islam tidak menjadi kesalahan kerana ia dilakukan oleh orang bukan Islam yang tidak memahami Islam.
Bermakna Tok Guru sangat menyokong apa yang berlaku ke atas umat Islam yang dihina, dibunuh dan disiksa oleh bukan Islam seperti yang berlaku di Palestin. Sewaktu tahun 1980-an dahulu kumpulan fisabillah PAS berusaha untuk pergi ke Palestin membantu berperang dengan Israel. Begitu juga dengan serangan Amerika terhadap Iraq dalam perang teluk tahun 1991 dan tahun 1995. Tetapi, kini Tok Guru semakin kehilangan arah dan minat dalam perjuangan apabila hanya membiarkan bukan Islam menghina Islam.
Begitu juga apabila Tok Guru marah apabila peribadi Anwar Ibrahim diserang hebat kerana menentang program kerajaan mengenai kedudukan Melayu dan bumiputera. Tok Guru menyelar pihak yang mengutuk tingkah laku Anwar Ibrahim kerana "peribadi itu tidak penting."
Nampaknya Tok Guru sekali lagi bermain puteri untuk mengubat kemarahan orang Melayu-Islam terhadap isu-isu tersebut. Dengan menggunakan mayang pinang, Tok Guru cuba menebarkan air jampi bahawa di padang Masyar nanti persoalan bangsa bukan lagi penting, kerana "ada apa dengan bangsa Melayu, tidak ada harga satu sen pun. Kalau bangsa itu penting, maka bangsa Arablah yang lebih berharga."
Tok Guru menganggap bahawa orang Melayu-Islam yang menolak Islam itulah yang "benar-benar menghina Islam." Persoalannya, siapakah yang sebenar-benarnya menolak Islam sehingga menyebabkan pemikiran masyarakat Malaysia "menjadi tunggang terbalik."
Yang menterbalikkan pemikiran masyarakat Malaysia mengenai Islam ialah pemimpin-pemimpin PAS sejak sekian lama apabila mendeskreditkan hubungan UMNO dengan bukan Melayu sebagai "perbuatan kafir", "taghut", dan mesti dilakukan jihad sebagaimana telah difatwakan oleh Haji Hadi. PAS telah menggunakan isu persahabatan UMNO dengan bukan Melayu-Islam sebagai perbuatan kafir pada tahun 1964 apabila menyedari tanpa menggunakan strategi tersebut ia tidak mungkin mendapat tempat dalam politik Kelantan.
Sejarah telah memberikan kita banyak kenyataan dan sikap PAS yang bercanggah dengan prinsip Islam termasuk "mengharamkan sembahyang berimankan orang UMNO", "memakan daging sembelihan orang UMNO", "memisahkan pasangan suami-isteri yang berlainan fahaman politik" walhal dari segi hukum Islam kesemua tindakan tersebut dihalalkan. Serangan menggunakan fahaman politik kepartian yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PASlah yang telah menyebabkan Islam semakin dihina sehingga melahirkan tindakan agresif dan menakutkan bukan Islam dan orang Islam sendiri.
Jika sikap ektremis PAS itu tidak ditakuti oleh bukan Melayu, tentunya pemimpin DAP tidak akan mengeluarkan amaran "langkah mayatnya terlebih dahulu sebelum menegakkan undang-undang Islam", atau Karpal Singh menyelar Anwar Ibrahim sebagai "memberikan masalah besar kepada Pakatan Rakyat" dan seterusnya menggesa supaya disingkirkan. Tidakkah ini menunjukkan bahawa perilaku pemimpin PAS juga dinilai dan dianggap penting oleh masyarakat bagi menentukan kejernihan pemikiran dan perjuangan politik. Kenapa apabila DAP dan PAS menyerang peribadi pemimpin BN, Tok Guru tidak menyatakan demikian.
Tok Guru mengamalkan triple standard. Kalau double standard, bererti hanya membenarkan apabila peribadi itu mempunyai kelebihan kepada PAS, dan keburukan kepada parti lawan. Tapi, kini perlu dilihat dalam konteks parti yang ketiga iaitu rakan karib dalam pakatan. Jika parti rakan karib mengeluarkan kenyataan menghina BN, Tok Guru diam dan menghina PAS pun Tok Guru tidak anggapnya tidak salah kerana "tidak memahami Islam." Sikap talam tiga dimensi menyebabkan Tok Guru perlu memakai kaca mata tiga dimensi untuk melihat dan menilai bagaimana manipulasi politik boleh menghancurkan Islam.
Jika membenarkan penghinaan ke atas Islam atas apa alasan sekalipun, sebenarnya Tok Gurulah orang yang paling banyak sekali dipersalahkan. Tok Guru bukan sahaja telah mengelirukan masyarakat Malaysia, malah orang Islam sendiri semakin keliru dengan sikap Islam yang hendak diketengahkan oleh PAS yang bernakhodakan Mursyidul Am Pas itu.
Ramai orang melihat apabila Tok Guru membenarkan orang Islam berkawan dengan syaitan, sedangkan prinsip Islam merayu setiap penganutnya supaya menjauhkan diri daripada syaitan kerana takut nanti terdorong dengan perbuatan-perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib diserang secara kuatnya bersenjatakan peribadi, Tok Guru tidak pula mengeluarkan amaran yang sama, tetapi apabila Anwar Ibrahim tersepit dengan kemelut dirinya dikeluarkan amaran keras, kerana Tok Guru takut sentimen kemarahan orang Melayu terhadap Anwar akan menyebabkan peluang kemenangan PAS semakin menipis.
Jika PAS kalah di Permatang Pasir, PAS akan dianggap semakin tidak relevan bagi pakatan rakyat di Pulau Pinang di mana kedudukannya sekarang bak melukut di tepi gantang. Hubungan dan kahadiran pemimpin utama pakatan rakyat memberikan sokongan moral hanyalah sandiwara politik, kerana takut Tok Guru akan mengibaskan mayang pinang dengan air jampi dan ditempelakkan sekali lagi sebagaimana keengganan Tok Guru menerima "kerajaan perpaduan"serta ketiadaan Nasharudin Mat Isa berkempen di Manek Urai.
Tok Guru mungkin tidak mahu mengulangi kesilapan seperti di Manek Urai, kerana Tok Guru faham kekalahan di Permatang Pasir akan menyebabkan PAS terus dianggap tidak relevan di persekitaran pengaruh Anwar Ibrahim di dalam parlimen Permatang Pauh ini. Tok Guru tentu ingin terus meyakinkan PKR, kerana PKR pernah mempertikaikan perletakan calon PAS dan DAP mempersendakan PAS supaya mencerminkan diri terlebih dahulu. Terpukulkah Tok Guru dengan jaki politik itu?

No comments:

Post a Comment