Wednesday, August 5, 2009

MERENUNG FIKIRAN SYED SHEIKH AL-HADI TENTANG NASIB ORANG MELAYU


http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/a/ae/Syedsheikhalhadi.jpg


SYED SHEIKH AL-HADI (1867 hingga 1934), seorang tokoh wartawan dan pemikir Islam, 83 tahun lalu pernah mengingatkan orang Melayu bahawa:

"Janganlah tertipu daya kamu dengan angkatan dan pangkat kebesaran gelaran pembesar-pembesar kamu kerana mereka itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas kamu itu dan mereka itulah sehingga masa ini sebesar-besar penolong segala bangsa-bangsa yang telah menindih dan hendak menindih akan kamu."

Tulisan itu tersiar di dalam majalah Al-Ikhwan, Oktober 1926, dengan tajuk "teriakan yang sebenar" kemudian Dr. Alijah Gordon mengumpulkan semua tulisan-tulisan kritis tokoh pejuang Melayu-Islam dan wartawan itu ke dalam buku The Real Cry of Syed Sheikh Al-Hadi, dan diterbitkan oleh Malaysian Sosiological Society, 2001.

Ingatan keras itu memberikan saya satu tafsiran baru apabila merenung pola politik baru Malaysia yang dianggap sedang berkembang di Malaysia. Saya amat bersetuju dengan Dr. Redhuan Tee Abdullah yang menulis mengenai sikap bukan Melayu yang terlalu mendesak supaya orang Melayu mengorbankan haknya. Saya juga menjadi amat marah apabila bukan Melayu menuduh orang Melayu yang memperjuangkan hak dan kedudukannya sebagai rasis, tetapi yang sebenarnya lebih rasis ialah mereka sendiri.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara apabila penduduk asal mengkisahkan kumpulan imigran yang telah diberikan kerakyatan diminta untuk menuntut maaf dan dikenakan tindakan. Ini berlaku kepada orang Melayu, tetapi bukan Melayu yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu tidak pula diberikan amaran dan diminta memohon maaf secara terbuka.

Kerana orang Melayu sanggup bertoleransi dan melupakan keceluparan bukan Melayulah maka mereka semakin lantang mempersoalkan apa sahaja yang hendak dilakukan demi survival penduduk asal. Yang semakin pelik ialah ada orang Melayu sendiri melupakan siapakah dirinya sebenar sehingga sanggup membiarkan bukan Melayu memperkudakannya.

1 Ogos 2009 lalu membuktikan telatah sebenar. Yang menuntuk supaya ISA dimansuhkan kebanyakannya bukan Melayu dengan sokongan sebahagian pemimpin Melayu yang lupa diri. Dia lupa diri kerana ingin melawan arus setelah diberikan peluang menyusur arus, dia tidak melakukan perubahan dan asyik membina keangkuhan peribadi dan beretorik. Yakin dengan sokongan retoriknya, ia sanggup menolak batu ke jalanan. Setelah berada di jalanan, ingin sekali lagi mendaki ke puncak, maka diciptalah gelombang kebangkitan anarkisme.

Mempersoalkan apa sahaja sehingga memuntahkan apa yang ada dalam perut orang lain. Belum pun orang lain melakukan sesuatu, andaian sudah dibuat kononnya orang itu tidak mampu. Yang lebih mampu ialah dirinya sendiri. Walhal, dirinya penuh dengan parut, kudis dan panau yang perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Kudis dan panau disumbatkan pelbagai ubat moden yang mampu memperlihatkan keanggunan wajah tempelan. Dicari pelbagai herba, kerana percaya dengan kekuatan herba itulah akan menaikkan momentum dirinya untuk menolak semula batu ke puncak kuasa. Barangkali, jika Syed Sheikh al-Hadi masih hidup, almarhum bukan sahaja akan menangis mengenangkan nasib orang Melayu yang cuba dihancurkan oleh orang Melayu sendiri. Kalaupun Hang Tuah masih ada, mungkin jiwa Hang Jebat akan meresap masuk menghunus Taming Sari kerana Tidak Mahu Melayu Hilang Di Dunia.

Kepada orang Melayu yang sudah lama diperkudakan, kembalilah ke pangkal jalan walaupun perahu sudah terlanjak. Jangan muda terpedaya dengan tipu daya sebilangan pemimpin yang hanya ingin sangat menongkah arus, tetapi kekuatannya hanyalah sekadar mampu meniupkan pergerakan perahu-perahu kertas, seperti pernah diungkapkan oleh Sapardi Djoko Damono

Tak payah bersengkang mata membicarakan ilusi yang boleh menyayatkan hati orang Melayu. Politik Melayu sedang berada di persimpangan jati diri, maka bersatulah demi pertiwi dan kedaulatan bangsa kita yang memangnya berasal dari sini. Orang Melayu tidak ada lagi negara lain, kerana kita bukanlah pendatang walaupun sebahagian kecil kita berasal dari Sumatera atau Sulawesi. Kita masih dalam lingkungan Kepulauan Melayu, dan jika kita tidak, mahu ke mana nanti apabila kita sudah tidak menjadi tuan lagi?

No comments:

Post a Comment