Tuesday, August 11, 2009

CERMIN PAS, BAYANG PKR DAN WAJAH DAP

LIM GUAN ENG sudah membuat kenyataan bahawa PAS perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu jika ingin meletakkan calon dalam PRK Permatang Pasir pada hari penamaan calon nanti. Nampaknya, Lim Guan Eng semakin besar kepala setelah jadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan mendapat sokongan kuat penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

Anwar yang menang besar dalam PRK Permatang Pauh hampir setahun lalu masih ghairah untuk kembali berkuasa juga turut menyuarakan keinginan parti pimpinannya bertanding di DUN Permatang Pasir itu. Jika PKR meletakkan calonnya, bererti ia cuba untuk menguasai dua daripada tiga DUN yang terdapat dalam parlimen Permatang Pauh.

Parlimen Permatang Pauh dikuasai oleh PKR manakala DUN Penanti, telah dimenangi oleh PKR dalam PRK yang penuh kontroversi sejak perletakan jawatan bekas penyandangnya, Ahmad Fairus dan DUN Seberang Jaya dikuasai oleh Barisan Nasional dalam PRU ke 12. Cuma yang baru sahaja mengalami kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai 2009 lalu menjadi rebutan antara PKR dan PAS.

PAS yang menang sejak tiga penggal di Permatang Pasir disifatkan oleh Anwar bukanlah merupakan kemenangan mutlaknya, ia disokong oleh penyokong-penyokong PKR. Dan, kerana mendapat petanda yang pengaruh PKR lebih kuat berbanding PAS, Anwar telah mengeluarkan harapan agar kerusi tersebut diberikan parti pimpinannya walaupun belum disahkan oleh mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang.

Berdasarkan takwilan Lim Guan Eng, kekuatan PAS untuk menghadapi calon BN di Permatang Pasir adalah sekitar 50-50. Ini mengikut dugaan DAP, PAS mungkin akan tewas menghadapi calon BN kerana kemelut dalaman parti yang berteraskan Islam itu masih jauh jalan penyelesaiannya. Jika calon PAS ditetapkan bertanding, parti-parti pembangkang yang bersekutu dengannya perlu bekerja keras untuk menepis setiap isu yang akan digunakan oleh BN.

Mungkin kerana Lim Guan Eng agak sukar untuk membantu kerana tidak mahu menyentuh sensitivi masyarakat Islam, maka beliau tidak yakin PAS mampu bertahan di Permatang Pasir. Mungkin juga Lim Guan Eng ingin supaya PKR diberikan tempat kerana beliau lebih yakin dengan kepimpinan Anwar. Beliau lebih menyukai Anwar kerana parti itu boleh memberikan sumbangan yang besar kepada kemenangan dan Anwar begitu dekat dengan hasrat politik DAP.

Jika dengan PAS, DAP terpaksa menghadapi banyak masalah kerana secara langsungnya orang Melayu-Islam, manakala dengan PKR ia lebih berbentuk pelbagai kaum. Lim Guan Eng boleh terus bertenggek di atas pengaruh Anwar dalam parlimen yang secara tradisinya mempunyai kaitan kuat dengan peribadi penasihat PKR itu.

DAP menjadi lebih takut dengan PAS kerana kecenderungan pemimpim-pemimpin parti Islam itu yang boleh berubah dengan cepat. Pemimpin PAS boleh menukar haluan perjuangan, yang lebih bersifat liberal kepada Islam sepenuhnya bila berhadapan dengan ramai pengundi Melayu. Ini memberikan kesan negatif kepada DAP yang cuba memperkasakan kepimpinan bukan Melayu dan sering mengeluarkan kenyataan yang menoreh perasaan umat Islam dan orang Melayu.

DAP menjadi lebih takut jika pengundi Melayu Permatang Pasir mempersoalkan kenyataan Jeff Ooi yang membengkakkan emosi sehingga 27 badan-badan bukan kerajaan mendesak wakil rakyat Jelutong itu memohon maaf dan meletakkan jawatan. Lim Guan Eng juga mungkin takut bila ada pihak akan membangkitkan bala yang sedang menimpa kerajaan negeri, iaitu tuntutan penduduk Kg. Buah Pala dan perpindahan beliau ke rumah banglo sewaan atas alasan anai-anai dan musang.

Dengan kesukaran itu nampaknya Lim Guan Eng bimbang bahawa PAS akan membuat pelbagai tuntutan jika berjaya mengekalkan kekuatannya di Permatang Pasir. Kalau sebelumnya PAS tidak diberikan sebarang kedudukan dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri, kemenangan kali ini akan menyebabkan penyokong-penyokong parti itu mungkin mendesak Lim Guan Eng memperuntukan jawatan.

Kegagalan memberikan sebarang jawatan kepada PAS selepas menguasai negeri Pulau Pinang turut memberikan tamparan hebat kepada kepimpinan kerajaan campuran, dan ini akan memberikan peluru hidup kepada BN untuk mempersoalkan konsep perkongsian kuasa antara DAP-PKR dan PAS. Di sinilah mungkin Lim Guan Eng cuba menyembunyikan ketakutannya dan membuat helah untuk memperkecilkan pengaruh PAS.

Lim Guan Eng mungkin akan menghadapi soalan bila PAS bertanding berbanding calon PKR. Jika calon PKR, Lim Guan Eng boleh tidur lena kerana penguasaan dua parti itulah sebenarnya berlaku dalam perkongsian kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang. Tetapi, yang lebih dominan dan menjadi tuannya ialah DAP. PKR seolah-olah tidak bermaya dan kerana itu Lim Guan Eng lebih bersetuju untuk memberikan peluang dan menyokong hasrat peribadi Anwar.

Lim Guan Eng tidak perlu meminta supaya PAS mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum mengemukakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Permatang Pasir. PAS tidak pernah menggunakan cermin untuk menilik wajahnya kerana PAS terlalu yakin kekuatannya setelah tiga penggal menang dan tetap menang walaupun lain-lain parti pembangkang seakan menghadapi wajah politik yang suram pada tahun 2004 apabila BN menang besar. PAS tetap menang dengan majoriti 679 undi dan ketika itu DAP hampir menggelupur di Pulau Pinang.

Memangnya wajah politik Pulau Pinang tetap berimejkan DAP manakala bayangan dalam cerminnya ialah PKR. PAS masih jauh dan tidak layak untuk menjadi bingkai kepada cermin politik Pulau Pinang, kerana dianggap oleh Lim Guan Eng sebagai melekut di tepi gantang.

No comments:

Post a Comment