Friday, August 14, 2009

LANGIT HIJAU PERMATANG PASIR SEMAKIN MENDUNG

BN dan PAS telah mengumumkan calon masing-masing bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos nanti. Nampaknya kemilau wajah calon BN lebih ceria dan energetik berbanding calon PAS berdasarkan riak wajah mereka berdua setelah diumumkan oleh pemimpin besar masing-masing.

Namun yang jelas ialah ketegaran penyokong PAS tidak akan berganjak menyokong calon parti itu walaupun tidak dapat menjamin benar-benar bekerja untuk rakyat. Tidak dipedulikan sama ada boleh memberikan khidmat terbaik atau tidak, kerana parti lebih penting dari apa pun. Atas dasar perjuangan itulah PAS sanggup meletakkan sesiapa saja, walaupun bukan anak tempatan. Ia dapat diterima oleh penyokong mereka berbanding UMNO, yang sentiasa menginginkan penduduk tempatan.

UMNO kalau ingin menang dalam pilihan raya ini perlu mengambil peluang dari kelemahan PAS sepanjang menjadi wakil rakyat sejak tahun 1999. Wakil rakyat PAS tidak melakukan apa-apa pembangunan bagi kesejahteraan penduduk tempatan. Kemenangannya adalah kerana sentimen, anak tempatan, mudah dihubungi dan membawa imej Islam. Persoalan kedudukan dalam struktur kuasa tidak penting, kerana itu tidak akan membawa ke syurga. Ia hanya akan menyebabkan ramai lupa diri, lupa kehidupan satu lagi, iaitu akhirat.

Dalam struktur kuasa di Pulau Pinang, PAS tetap dianggap berada dalam suasana melukut di tepi gantang. Kedudukan itu tidak membolehkan PAS berada dalam kedudukan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang didominasi oleh DAP. Kemenangannya pada tahun 2008, walaupun bersama pakatan pembangkang tidak pun diberikan apa-apa jawatan exco sedangkan orang Islam dan Melayu merupakan kumpulan penduduk kedua terbesar berbanding India.

Wakil rakyat berketurunan diberikan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri . Walaupuin satu lagi Timbalan Ketua Menteri duiperuntukkan kepada calon PKR (Ahmad Fairus dan kemudiannya Dr. Mansor Othman) , kedudukannya tidak memberikan apa-apa harapan. Sejak dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, sama ada Ahmad Fairus atau Dr. Mansor Othman tidak ada apa usaha untuk meningkatkan sosioekonomi orang Melayu dan pembangunan syiar Islam.

Terbaru apabila Jeff Ooi seakan-akan mengeluarkan fatwa terhadap Jemaah Islah Malaysia, Dr. Mansor tidak pun membuat apa-apa kenyataan sama ada membidas tanggapan buruk dan prejudis tersebut. Masih belum kedengaran perjuangannya untuk membantu membangunkan masyarakat Melayu-Islam Pulau Pinang sebagaimana dijanjikan dalam kempen pilihan raya kecil Penanti.

Itu sahaja kekuatan yang ada pada calon PAS yang sudah tiada, calon PAS yang baru belum kita tahu lagi kerana beliau hanyalah Pesuruhjaya PAS Negeri dan pernah tewas dengan Datuk Jasmin Mohamad bagi merebut kerusi Sungai Dua. UMNO perlu menunjukkan solidariti antara lama dan baru, tanpa menghiraukan perbezaan kem jika ingin menang. Walaupun mempunyai kelulusan dalam sarjana muda syariah, belum tentu menjamin kemenangannya nanti.

Oleh itu, sekiranya calon PAS menang lagi kali ini, ia tetap tidak akan mendapat apa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang, hatta kerusi exco janganlah nak bermimpi kerana DAP dan PKR tak akan memberikan laluan. Masih ramai lagi tokoh DAP yang sedang mengintai peluang manakala ADUN dari PKR juga mengidam jawatan yang sama.

Jika PKR tidak mengidam tentunya Penasihat PKR tidak akan membuat kenyataan secara sinis bahawa kemenangan PAS di Permatang Pasir kerana mendapat sokongan ahli PKR. DAP juga nampak ada minat untuk mengekang kedudukan PAS apabila Lim Guan Eng pernah menasihatkan PAS agar mencerminkan dirinya terlebih dahulu.

Kedua-dua parti tersebut melihat kemenangan PAS boleh menjadi halangan untuk mengikis persoalan Islam dan orang Melayu kerana orientasi perjuangan PKR telah dilihat banyak mengancam kedudukan masa depan Melayu Pulau Pinang yang telah sekian lama dihakis oleh kuasa politik bukan Melayu. Orang Melayu Pulau Pinang semakin berkurangan berbanding dengan bukan Melayu kerana telah ramai berhijrah ke negeri-negeri berhampiran kerana berlakunya pemindahan kilang ke Kulim Hightech, harga rumah yang terlalu mahal dan pengambilan tanah atas nama pembangunan.

Walaupun kedua pendapat tersebut merupakan pendapat peribadi, ia turut menggambarkan bahawa itulah wajah sebenar dua parti yang sedang berusaha menonjolkan kekuatan masing-masing . Walaupun kedua-dua parti tersebut masih dalam pakatan yang sama, tetapi bentuk pakatan tersebut ternyata amat longgar dan boleh pecah bila-bila masa. PKR lebih memerlukan sokongan bukan Melayu manakala DAP boleh berdiri sendiri dengan sokongan pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang.

Sayangnya jika UMNO tidak dapat mengeksploitasi isu krisis dalaman PAS dan pakatan pembangkang, hakisan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar yang dilihat semakin membelakangkan ketuanan Melayu, sikap ego pemimpin DAP, krisis tanah di Kg. Buah Pala dan kegagalan pakatan rakyat memperkasakan penduduk Melayu Pulau Pinang dan kegagalan menunaikan menifesto negara berkebajikan, akan menyebabkan UMNO akan terus dilanda trauma.

Trauma kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu masih lagi kekal dalam ingatan sebahagian mereka yang menjadikan politik sebagai santapan minda. Ada veteran UMNO mengeluarkan pendapat bahawa kekalahan di Permatang Pasir bakal menjadikan UMNO Permatang Pauh sukar untuk bangkit buat beberapa ketika. Namun, kali ini ramai yakin calon yang dipilih mewakili BN mampu memberikan saingan sengit.

Pengundi muda merupakan hampir 42 peratus keseluruhan pengundi dalam DUN Permatang Pasir. Usaha mendekatkan jarak yang semakini terpisah dan membenci perlu dilakukan secara berterusan. Saya juga menjangkakan bahawa dalam pilihan raya kecil kali ini, BN tetap mempunyai peluang sekiranya usaha meyakinkan pengundi Melayu dilakukan secara bersungguh-sungguh agar tidak mengharapkan janji-janji PKR, sikap DAP yang telah memberikan penukaran status tanah daripada pajakan kepada hak milik kekal kepada penduduk bukan Melayu sebagai mengancam kedudukan orang Melayu Pulau Pinang.

Setakat ini kerajaan pembangkang DAP-PKR-PAS belum mempunyai rangka khusus bagi menjamin kedudukan Bumiputera kerana konsep tersebut pernah dianggap sebagai satu bentuk apartheid. Menyandarkan harapan kepada PKR, orang Melayu Islam mungkin akan mengeluh kerana pagar telah makan padi dan sokong membawa rebah. Kerana itulah, saya yakin kalau langit hijau Permatang Pasir tidak bertukar menjadi biru, tetapi sekurang-kurangnya kemilaunya berubah menjadi mendung yang tidak akan bererti akan berlakunya hujan rahmat.

No comments:

Post a Comment