Tuesday, August 25, 2009

PAS KEKAL DENGAN KEMPEN SERANGAN PERIBADI DI PERMATANG PASIR

PAS berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 dan kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama Salleh Man setelah gagal enam kali untuk menjadi seorang wakil rakyat. Percubaan kali ketujuh Salleh Man telah memberikan kelebihan moral yang kuat kerana pemimpin-pemimpin besar pakatan rakyat banyak membantu walaupun terpaksa berhempas pulas selama 10 hari, iaitu sejak diumumkan sebagai calon PAS oleh Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pada petang Jumaat 14 Ogos 2009.
Pada hari penamaan calon, berlaku kekecohan apabila ahli parlimen Bagan Serai, Gobalakrishnan melakukan tindakan provokasi dan menampar polis yang cuba menghalang beliau dari terus mengeluarkan kata-kata kesan menggunakan loud heller. Apabila mendapat arahan daripada Anwar Ibrahim, beliau terus melancarkan serangan bagi memindahkan strategi dan tumpuan orang awam mengenai suasana hari penamaan calon melalui kekecohan yang sengaja dibuat bagi memburukkan imej kerajaan.
Beliau yang cuba ingin menggambarkan bahawa jentera kerajaan digunakan sepenuhnya bagi kepentingan Barisan Nasional. Usaha memburuk-burukkan kerajaan terus dilakukan sepanjang kempen termasuk menuduh kehadiran pasukan polis simpanan (FRU) dan anggota polis membuat pemantauan, keselamatan dan pergerakan lalu lintas dianggap sebagai menyusahkan penduduk atau rakyat.
Tuduhan juga dikatakan oleh PAS bahawa kehadiran polis dan FRU adalah sebagai langkah untuk mempastikan Barisan Nasional berjaya memenangi DUN Permatang Pasir, termasuk menuduh bahawa Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Zahid Hamidi menggunakan tentera untuk berkawal di sepanjang kempen. Walau apa pun tuduhan yang dilakukan terhadap polis, ternyata jika ketiadaan kawalan yang ketat, tentunya lebih banyak pergaduhan akan berlaku disebabkan cara berkempen PAS lebih bersifat menyerang peribadi pemimpin.
Orang pertama yang diserang oleh parti-parti dalam pakatan pembangkang ialah calon Barisan Nasional dengan mengaitkannya lesen guaman yang digantung oleh Majlis Peguam Malaysia. Calon BN kemudiannya didedahkan mempunyai "isteri kedua dan mengabaikannya" setelah berkahwin pada tahun 2005. Rakan kongsi firma guaman calon BN telah digunakan habis-habisan bagi menambahkan lagi imej buruk dan Yusri Isahak berusaha membersihkan namanya yang telah dikambinghitamkan. Manakala Mohamad Ali, iaitu orang yang dikatakan dan mengakui mewalikan pernikahan anaknya Rafizah dengan Rohaizat menuntut penjelasan dan pengakuan daripada menantunya.
Kedua-dua tokoh tersebut telah menggunakan platform PAS untuk menghentam calon BN. Hasil dari penggunaan keduanya, PAS telah berjaya menimbulkan pseudo-image terhadap calon BN sehingga pengundi mempercayainya sebagai satu kebenaran. Keadaan ini ditambahkan lagi dengan ulasan daripada pemimpin UMNO sendiri apabila menyifatkan "ketandusan calon dengan memilih calon yang bermasalah itu" melalui blog Tengku Razaleigh dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Walaupun ada pihak yang cuba menggunakan serangan peribadi terhadap calon PAS apabila mengaitkan beliau dengan pecah amanah wang parti semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh pada tahun 2008, salahguna dana projek sekolah agama pintar PAS dan tindakan undang-undang kerana gagal menjelaskan pinjaman Standard Chartered Bank, tetapi sebagaimana biasa pemimpin-pemimpin besar akan terus menyembunyikanya. Mereka bukan sahaja tidak menjawab, malah menafikan penglibatan calon PAS dengan pelbagai masalah tersebut dengan mengatakan bahawa ia adalah rekaan BN.
Yang lebih menyedihkan ialah apabila malam terakhir kempen, terdapat percubaan oleh pihak-pihak tertentu mengecat sebelah mata pemimpin BN dan calon BN dengan warna hitam. Ia bertujuan untuk menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin BN sentiasa mengamalkan pendekatan "menutup sebelah mata terhadap segala keburukan" dan dikaitkan pula dengan imej zalim. Tindakan tersebut menggambarkan cara berkempen yang tidak beretika telah dilakukan termasuk mendirikan papan tanda menghasut pengundi-pengundi Cina di daerah mengundi Cross Street, satu-satunya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Kelemahan jentera kempen UMNO juga tidak boleh diperkecilkan walaupun sentiasa mengamalkan sikap terbuka, mesra dan mendekati pengundi secara peribadi, personal touch, masalah dalaman UMNO Permatang Pauh masih menyumbangkan faktor kedua terpenting kekalahan BN. Calon pilihan parti Rohaizat menghadapi saingan dengan beberapa nama lagi calon yang disenarai pendek dan mereka tidak dilihat menunjukkan iltizam untuk memenangi calon pilihan parti.
Faktor ketiga kekalahan BN ialah apabila beberapa percanggahan pendapat mengenai keahlian syurga antara pemimpin PAS tidak dieksploitasikan sepenuhnya oleh jentera kempen. Apa yang dilakukan ialah hanya sekadar mengutuk kenyataan Mursyidul Am Pas mengenai "calon ahli syurga", yang tidak banyak menjejaskan kepercayaan pengundi tegar Pas. Ia juga dapat dipatahkan dengan baik apabila Tok Guru Nik Aziz berjaya membuktikan bahawa petikan kata-katanya telah disalah tafsir oleh media berhubung dengan sebutan perkataan "pelastik" dan bukannya "Islam Palestin."
Ekploitasi isu kekecohan Gobalakrishnan, kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP, krisis dalaman PKR tidak dijadikan bahan kempen secara berterusan meskipun PAS menggunakan setiap inci kelemahan BN dalam setiap kempen mereka, termasuk ulasan-ulasan dalam akhbar mini.UMNO yang turut menggunakan akhbar mini bukan sahaja gagal mengekspolitasi kelemahan PAS tetapi gambaran dan ulasan yang dilakukan tidak begitu jelas.

No comments:

Post a Comment