Sunday, August 2, 2009

ANWAR PENGKHIANAT TERBESAR PERJUANGAN MELAYU

Oleh Magendran Rajagopal dan Mohd Roji Abdullah
bhnews@bharian.com.my

BATU PAHAT: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat terbesar perjuangan orang Melayu’.

Beliau turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin ‘lidah bercabang’ yang tidak ragu-ragu untuk menukarkan dasarnya semata-mata untuk manfaat dan cita-cita politik peribadi.

“Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, sama seperti saya sekarang, namun beliau kini menggunakan pendekatan penuh penipuan bagi memusnahkan perjuangan kita.

“Beliau sekarang memberitahu semua orang bahawa kita (Umno) berkelakuan kejam. Tolong katakan kepada saya, dalam apa cara kita bertindak kejam?

“Mengapa dia tidak lemparkan tuduhan seumpama ini apabila menjadi salah seorang pemimpin kita?” katanya pada ucapan perasmian mesyuarat Umno bahagian Seri Gading, di Parit Raya, di sini, kelmarin.

Muhyiddin berkata, pembangkang menerusi kepemimpinan Anwar sedang ‘memutarbelitkan’ fakta untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap usaha Umno mempertahankan hak dan institusi Melayu. “Taktik mereka ialah mengulangi satu pembohongan berkali-kali sehingga orang ramai percaya dengan pembohongan itu.

“Kini sudah sampai satu tahap yang mana orang ramai mempunyai persepsi bahawa segala dilakukan Umno adalah salah dan tiada sekelumit pun kebaikan di kalangan kita.

“Semua perbuatan baik kita untuk memperbaiki kedudukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk manfaat setiap rakyat Malaysia sejak 50 tahun lalu tidak lagi diiktiraf,” katanya.

Namun, Muhyiddin mengakui bahawa Umno bukannya parti yang ‘tiada dosa’ tetapi dalam pada itu, sedang melakukan yang terbaik untuk menghapuskan elemen seperti rasuah, kesombongan dan tiada kecekapan.

Tiada masalah jika orang ramai menegur kita memandangkan kita tidak sempurna tetapi saya tidak akan berdiam diri membiarkan mereka (pembangkang) menghina orang Melayu dan tidak menghormati mereka,” katanya.

Muhyiddin menggesa anggota Umno bangun menyahut cabaran menyegarkan semula parti dan mengubah persepsi negatif terhadapnya.

“Kita perlu bekerja keras kerana tidak ada banyak masa. Tempoh dua atau tiga tahun selepas ini menjadi titik tolak utama kerana ia adalah jangka masa penting yang bakal menentukan sama ada Umno mampu mengharungi pilihan raya umum akan datang.

Kepada rakan bukan Melayu kita, ia bukan sama sekali satu kenyataan berbaur perkauman kerana pada hakikatnya, orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini dan sekiranya berlaku sesuatu kepada mereka, pasti tempiasnya dirasai seluruh negara,” katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan anggota Umno supaya jangan memandang remeh cakap besar pembangkang bahawa mereka kini di ambang mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Malah, sekarang, mereka amat teruja mengenai pilihan raya umum akan datang yang mereka anggap sebagai masa menyingkirkan kita bagi menerajui negara,” katanya.

Ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Kulai di Layang-layang, berhampiran Simpang Renggam pula, Muhyiddin berkata, orang Melayu tidak patut bimbang mengenai dasar kerajaan berhubung konsep 1Malaysia yang menggalakkan layanan saksama kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya, hak orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Umno akan memastikannya kekal sebegitu.

No comments:

Post a Comment