Monday, August 10, 2009

BALA KG. BUAH PALA

Kelmarin, Ahad 9 Ogos 2009, Tokai singgah sebentar di Kg. Buah Pala sebelum meneruskan perjalanan ke Air Itam untuk bertemu sanak saudara. Semasa singgah di Lorong Buah Pala, keadaannya tidaklah sepanas sewaktu pihak berkuasa disambut dengan pahlawan lembu untuk menyampaikan bailif bulan lepas, tetapi beberapa orang penduduk mula menjengok kereta yang masuk.

Mereka mungkin curiga bahawa kereta-kereta yang masuk boleh membawa seribu kesan. Mungkin membawa khabar gembira bahawa "pemaju akan membatalkan hasrat memajukan tanah tersebut" atau mungkin "membawa kuasa terbaru, penduduk mesti pindah dalam masa beberapa jam kerana pemaju akan membangunkan tanah tersebut."



Sebelumnya, Ketua Menteri Pulau Pinang merayu kepada penduduk agar memberikan kebenaran kepada pemaju kerana telah bersetuju menyediakan sebuah rumah teres bagi setiap keluarga. Rumah teres dua tingkat seluas 1,400 kaki persegi dianggarkan bernilai antara RM 400,000 hingga RM 600,000 setiap sebuah dan sebanyak 24 buah ditawarkan.

Penduduk tetap menolak tawaran tersebut dan mahukan rumah yang lebih besar. Bukan sekadar sebuah rumah setiap penduduk asal, tetapi jumlahnya berlipat ganda kerana mengambil kira anak-anak mereka yang sudah berkeluarga, yang hanya pulang ke Kg. Buah Pala sesekali atau pun hujung minggu. Lantaran itu, Ketua Menteri menyifatkan tuntutan tersebut adalah "melampau" dan keterlaluan.

Tokai tetap menjengok Kg. Buah Pala kerana mempunyai banyak kenangan sejak sekian lama. Sewaktu masih menjadi pelajar, Tokai pernah bermalam di Kg. Kastam yang bersebelahan dengannya, dan apabila pulang ke Pulau Pinang sesekali, turut ke sana kerana mempunyai hubungan kekeluargaan di sebelah isteri dengan salah seorang penduduk Melayu di situ.

Apabila Tokai keluar daripada kereta, nampaknya ramai yang tidak curiga dengan kehadiran Tokai kerana sebahagian yang menjengok itu mengenali walaupun tidak pernah bercakap. Mereka masih ingat, Tokai sering keluar masuk ke kampong tersebut tanpa dihadkan waktu, sama ada siang atau pun tengah malam.

Dari perseptif penduduk, Tokai sokong tuntutan mereka kerana mereka menuntut janji yang pernah dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang untuk "mengembalikan tanah tersebut kepada penduduk." Tokai sebenarnya tidak faham mengenai status tanah tersebut, kerana setakat bercerita tanah tersebut "tetap merupakan aset kerajaan negeri" sebelum dipindahkan kepada pemilik baru, iaitu Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Berdasarkan fakta penduduk, pemilik estet dan pemegang amanah Brown telah menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan negeri apabila berangkat pulang ke England selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Pemegang amanah kemudiannya meminta supaya dikhaskan sebahagian kecil estet tersebut untuk kediamanan pekerja-pekerja mereka yang dibawa masuk oleh Kompeni Hindia Timur bagi membangunkan ladang kelapa dan koko.

Dari sudut undang-undang, kerana tanah tersebut telah diserahkan kepada kerajaan negeri adalah menjadi hak kerajaan negeri untuk membangunkannya. Kerana kerajaan negeri telah mengambil sebidang tanah kepunyaaan Kooperasi, maka digantikan tanah Kg. Buah Pala dengan tambahan bayaran premium berdasarkan diskaun 50 peratus. Ia dibuat keputusan oleh kerajaan tedahulu pada tahun 2007, tetapi disempurnakan oleh kerajaan sekarang pada bulan Mac 2008, sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran.

Penduduk ingin terus mempertahankan High Chapparal dari menerima The Oasis, sebuah projek kondominium mewah atas alasan warisan mereka. Sebenarnya, dari sudut undang-undang penduduk tidak berhak membuat apa-apa tuntutan, tetapi secara kemanusiaannya pemaju ingin melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menawarkan rumah gantian. Ini tidak diterima oleh penduduk.

Mungkin sebahagian daripada kita boleh bertanya, benarkah semua penduduk itu merupakan bekas buruh ladang Brown? Kalau bukan semuanya, berapa peratuskah di antara mereka itu benar-benar merupakan orang yang diamanahkan oleh Tuan Brown dan pemegang amanahnya untuk tinggal di situ?

Ada maklumat mengatakan bukan semua penduduk di situ (sebelum tanah tersebut dijual pada tahun 2007) merupakan bekas pekerja ladang Brown. Ada di antara mereka tinggal di situ merupaan generasi kedua, manakala sebahagiannya lagi adalah mereka yang "membeli tapak rumah" secara tidak sah dengan "tuanpunya sebelumnya." Kebanyakan yang "membeli tapak rumah" itu merupakan bukan bekas pekerja, dan ada yang berasal dari luar Pulau Pinang dan bekerja di pelabuhan.

Itu berlaku dalam tahun 1970-an ketika itu Kg. Buah Pala dilihat sebagai sebuah perkampungan terpencil. Yang ada projek perumahan ialah sekitar Greenlane, manakala kawasan Bukit Gambir hanya baru dibangunkan pada pertengahan tahun 1990-an oleh Boon Siew, pemilik tanah terluas di Pulau Pinang.

Sekitar Bukit Gambir, berhampiran kampus USM pernah dijadikan tempat merekrut oleh kumpulan gangster. Kawasan sekitar juga merupakan perkampongan bagi kakitanga kastam dan rumah kediamanan tersergam megah seolah-olah sedang memerhatikan gelagat penduduk Kg. Buah Pala yang semakin angkuh dan besar kepala, kata seorang penduduk Taman Sardon, yang jaraknya kira-kira 2 kilometer dari kampong yang penuh kontroversi itu.

Kerajaan negeri pernah menawarkan kawasan penempatan baru bagi membolehkan penduduk asal Kg. Buah Pala terus bertahan dengan tradisi membela lembu dan kambing. Penduduk tetap menolaknya kerana tetap berpegang kepada "amanah dan tradisi lebih 100 tahun itu."Tetapi, keluarga Melayu sudah lama meninggalkan kampong tersebut, dan akur dengan tawaran pemaju yang menjanjikan akan memberikan rumah gantian sebaik sahaja projek tersebut siap kelak.

Buat sementara mereka diberikan rumah sewa, dan sewaan bulanan ditanggung oleh pemaju untuk tempoh dua tahun. Kini timbul pula satu lagi dilema, mereka yang sudah berpindah terus menanti tetapi projek pembangunan Kg. Buah Pala masih belum bermula. Tempoh yang dijanjikan, sewaan bulanan akan dibayar oelh pemaju untuk tempoh 2 tahun, yang hanya tinggal beberapa bulan lagi.

Mungkinkah penduduk yang dijanjikan rumah gantian akan turut menuntut pemaju mana rumah ganti yang dijanjikan. Masa terus berjalan, realitinya masih jauh perlu dicari dan mungkin Kg. Buah Pala akan terus dilanda bala oleh gelombang kedua yang lebih ramai lagi apabila penduduk yang telah berpindah kembali bersatu menuntut janji-janji yang pernah diberikan itu?

Masa akan menentukan. Semakin lama Kg. Buah Pala bergolak, semakin banyaklah persoalan yang akan menjelma. Semakin nyatalah bahawa janji akan tetap ditagih, walaupun ada yang terpaksa menggunakan manusia sebagai bentengnya.

No comments:

Post a Comment