Apabila kerajaan mengumumkan tarikh 16 September sebagai cuti umum dan sebagai hari perayaaan penubuhan Malaysia, Angkatan Muda PKR (AMK) mendakwa bahawa BN telah merampas perjuangan yang mereka tuntut sejak lebih setahun lalu.
Dakwaan sebagai “perampas perjuangan PKR” itu sebenarnya merupakan dakwaan daripada seorang yang dilanda kekecewaan yang besar. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas, Shamsul Iskandar tentunya perlu menyelak kalendar sejarah, desakan untuk mempertimbangkan pengisytiharan tarikh pembentukan Malaysia itu bukanlah dimulakan oleh PKR.
Perjuangannya telah dimulakan sejak sekian lama, termasuk sejak hari pertama pengisytiharannya lagi. Rakyat Sabah dan Sarawak merasakan ia adalah lebih penting dari tarikh kemerdekaan yang dirayakan oleh Malaysia, iaitu 31 Ogos. Semasa menjadikan tarikh 31 Ogos sebagai tarikh merayakan kemerdekaan, penduduk Sabah dan Sarawak tidak merasakan adanya hubungan kuat dalam sanubari mereka, kerana ketika itu kedua negeri tersebut masih dalam pentadbiran British.
Semasa kerajaan giat melaksanakan program integrasi Wilayah sekitar tahun 1970-an, cadangan untuk menjadikan tarikh 16 September sebagai cuti umum turut dicadangkan. Tetapi, kerana memikirakan bahawa jumlah cuti umum yang terdapat di Malaysia adalah banyak, maka cadangan tersebut telah ditangguhkan sehinggalah minggu lepas, kerajaan mengumumkan bagi terus menyemarakkan semangat 1Malaysia.
Perjuangan mengenai kesamarataan didakwa juga sebagai rintisan PKR, nampaknya fahaman sosialis yang cua dibawa itu masih tidak cuba meneliti calendar sejarah. PKR bukanlah merupakan parti yang pertama memulakan perjuangan kesamarataan, malah parti=-parti gabungan dalam Perikatan dan Barisan Nasional sudah lama merintisnya. Inilah kekeliruan terbesar mengenai sejarah yang cuba diputarbelitkan oleh PKR.
Sebagai sebuah gabungan parti yang dinamik, BN sentiasa mencari peluang dan memperbaharui tekadnya. Oleh itu persoalan “mengambil idea Pakatan Rakyat” sebenarnya tidak timbul kerana PKR sendirilah sebenarnya telah “mencuri legasi dan perjuangan BN, khususnya UMNO.” Paling jelas ialah budaya UMNO masih lagi meresap masuk ke dalam perjuangan PKR, kerana sebahagian besar ahlinya merupakan bekas ahli UMNO.
Jika melihat kepada proses peniruan dan pengambilan idea, sebenarnya PKR banyak meminjam daripada UMNO termasuk kaedah dan hirarki politik. Struktur organisasinya hampir menyamai apa yang dilakukan oleh UMNO, manakala pemilihan warna bendera masih menggunakan asas biru yang telah lama dipakai oleh Perikatan dan Barisan Nasional. Cuma yang berbeza ialah tonanya sahaja, tapi asasnya masih sama.
Masih terlalu jauh untuk rakyat mempercayai bahawa “Pakatan kini telah sudah berupaya menjadi kerajaan," kerana kekuatannya masih belum cukup. Dengan hanya menguasai 83 kerusi Dewan Rakyat (turut diambil kira mengenai 2 kerusi parti pimpinan Yong Teck Lee yang mengisytiharkan diri keluar BN), kekuatannya masih jauh. Sebenarnya, PKR masih berada dalam bayangan mimpi ngeri tragedi 16 September 2008. Masih beranggapan bahawa telah berjaya sepenuhnya mengambilalih pentadbiran negara sedangkan, rakyat mengetahui ialah adalah sandiwara terbesar dalam politik moden Malaysia. PKR sebenarnya sedang menutup lubang pembohongannya sejak gagal menjadi Perdana Menteri, dan mengalihkan persepsi orang ramai mengenai krisis keyakinan politik antara Azmin Ali, Zaid Ibrahim dan tuduhan Naib Presiden PKR, Dr. Jeffery Kitingan yang didakwa oleh Anwar Ibrahim sendiri telah gagal menarik wakil rakyat BN “menyeberang ‘.
Misi memburu wakil rakyat BN melawat Taiwan tahun lalu masih terbingit di telinga penyokong-penyokongnya sendiri. Mereka semakin kurang yakin bahawa PKR mampu meraih “ruang awam” kerana semakin banyak kecelaruan perjuangan terjelma antara pemegang kuasa dalam Pakatan Rakyat. Semakin banyak konflik kuasa dan perbezaan tindakan berlaku antara PAS-PKR dan DAP. Orang Melayu sudah mula kembali memberikan perhatian kepada UMNO, kerana UMNO telah menyatukan hasrat untuk kembali cemerlang.
Kegagalan untuk menyekat peralihan pucuk pimpinan, antara Tun Abdullah dengan Datuk Sri Najib juga menjadi kemuncak kekecewaan sehingga tiada lagi kedengaran, projek ambil alih kerajaan. Hanya sekadar mensasarkan pilihan raya umum ke-13 nanti, dan ini tentunya menyebabkan semakin banyak pekong hubungan dalam Pakatan Rakyat akan terbongkar. Masih banyak janji-janji yang dibuat, termasuk melaksanakan negara berkebajikan, “hari ini memerintah, esok turunkan harga minyak”, pendidikan tinggi percuma belum dilaksanakan.
Di Pulau Pinang, pakatan rakyat semakin tertekan kerana janjinya untuk menyelamatkan Kg. Buah Pala semakin berbelit-belit sehingga penduduk meminta Ketua Menteri meletakkan jawatan dan pulang ke Melaka. Kg. Buah Pala sudahpun menamatkan sejarah high chapparal, kini bakal muncul sebagai satu lagi kawasan penempatan mewah di Pulau Pinang.
Pakatan Rakyat Pulau Pinang turut berjanji sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir untuk melantik jagoan mereka yang menang, Salleh Man sebagai Yang di Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Nampaknya masih belum kedengaran, kerana itu hanyalah janji kosong untuk memancing sokongan pengundi sedangkan pada masa tersebut sudah ada perkenan Yang Di Pertuan Agong, selaku ketua agama Islam Pulau Pinang untuk melantik seorang pensyarah daripada USM bagi menggantikan penyandang sekarang yang akan habis temph akhir tahun ini.
Kecetekan sejarah turut terpancar apabila Shamsul mengatakan , pengumuman cuti umum itu juga tidak memberi gambaran sebenar berhubung sambutan Hari Malaysia, sedangkan dua negeri tersebut masih terpinggir dalam bidang ekonomi. Beliau cuba memindahkan persoalan memberikan cuti umum dan mengiktiraf tarikh tersebut dengan kedudukan sosio-ekonomi penduduk Sabah dan Sarawak. Ia merupakan dua perkara yang berlainan.
Kedudukan sosio-ekonomi penduduk juga cuba diputarbelitkan sejarahnya. Beliau tidak menggunakan data lengkap, dan kerana itulah bercakap dalam emosi yang celaru serta bercampur aduk. Sepatutnya pemimpin yang dianggap bakal memberikan harapan kepada orang muda mempercayainya mengemukakan bukti mengenai peningkatan sosioekonomi penduduk. Apakah sepanjang sejarah, sejak bersama dalam gagasan Malaysia tidak ada peningkatan? Jika ada peningkatan, bukankah itu bermakna terdapat kejayaan yang dicapai, dan bukannya kemunduran. Memangnya, tidak ada yang mampu mencapai peningkatan secara meroket, kecualilah mereka yang mempunyai kuasa sakti seperti Lampu Ajaib dalam Hikayat Aladin.
Aladin itu tidak ubah seperti Anwar Ibrahim, yang akan membawa lampu ajaibnya ke mana-mana bagi menyakinkan orang ramai bahawa dia seorang sahajalah yang mampu “menyelesaikan masalah rakyat”, “mencergaskan pertumbuhan ekonomi negara”, “meningkatkan hasil ekonomi”, dan seterusnya “memadanikan masyarakat.” Cuba teliti setiap ucapan dan ungkapannya, walaupun terlalu retorik dan bombastik, janggal dan mual, masih tidak mahu mengakui “kelemahannya.” Masih menjaja penangan lampu ajaibnya, walhal tidak sedikitpun mempunyai rangka pelaksanaan yang jelas dan nyata.
Anwar banyak bercakap untuk “memartabatkan kedudukan bahasa Melayu”, tetapi dalam permohonan saman berjumlah RM 100 juta terhadap Tun Dr. Mahathir, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri untuk mengetepikan saman tersebut. Peguam yang mewakili Tun Dr. Mahathir berhujah, Anwar memfailkan rayuan dalam bahasa Inggeris dan bukan dalam bahasa kebangsaan dan ia jelas mengingkari peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Tidakkah ini membuktikan bahawa Anwar hanya bercakap “untuk memertabatkan bahasa Melayu” tetapi sebenarnya tidak melakukan dalam kebanyakan tindakannya. Kita juga tahu, selepas menyambut Aidilfitri, Anwar berada di Amerika Syarikat bagi menemui rakan baiknya sebagai langkah “memperbaharui sokongan”. Untuk apa beliau mencari sokongan luar negara, kalaulah benar PKR mendapat sokongan rakyat dalam setiap tindakannya? Bukankah itu merupakan siri sandiwara politik Anwar yang semakin tergugat apabila kerajaan melantik Dr. Jamaludin Jarjis sebagai Duta ke Amerika Syarikat. Anwar takut dengan hubungan baik itu akan terjejas dan masyarakat Malaysia lebih mempercayai sumber rasmi yang akan dirintis oleh Dr. Jamaludin itu.
Sandiwara politik Anwar bersama lampu aladinnya akan terus berjalan. Sejalan dengan itu, mereka bukan sahaja akan mengukir sejarah bersama plot skrip lawak bodohnya, malah akan terus menenggelamkan fakta sejarah, termasuk sejarah kegagalannya sendiri. Itulah semangat dan motivasi baru yang kita dapat belajar daripada perjuangan pakatan rakyat, khususnya tingkah laku pemimpin PKR.
No comments:
Post a Comment