Monday, October 19, 2009

SERUAN PERUBAHAN PERLUKAN TINDAKAN AHLI UMNO



Perhimpunan Agong UMNO telah pun selesai dan nampaknya satu semangat baru telah terpancar melalui perwakilan sama ada yang diberikan peluang berbahas ataupun tidak, UMNO perlu melakukan perubahan. Seruan terakhir Dato' Seri Najib mengajak setiap ahli UMNO bangkit bersama bagi memertabatkan kembali UMNO diterima sebagai wadah perjuangan untuk bingkas dari terus tersungkur ke cerun penolakan rakyat.

Seruan perubahan yang dilontarkan dengan penuh semangat dan rasa rendah diri itu dijangka berupaya membangkitkan perubahan dari pemikiran menuju tindakan, sekurang-kurangnya turut dibincangkan beberapa cadangan selain pindaan perlembagaan. Wanita meminta dihapuskan fenomena "siling kaca", pergerakan puteri berhasrat membina sebuah rumah yang sejuk didiami manakala pemuda akan terus merapatkan saf di kalangan mereka.

Turut juga dicadangkan ialah menghidupkan kembali semangat berkhidmat dan kesukarelaan, menubuhkan Bank Belia, mencapai KPI (Indek Prestasi Utama), meruntuh tembok perkauman dengan semangat 1 Malaysia, menyuntik semangat kerjasama dan daya juang Janda Baik, melayan kehendak akar umbi, mendekati golongan muda dan membersihkan keahlian parti.

Usaha membersihkan keahlian parti menjadi lebih penting kerana jumlah keahlian yang ramai tidak menggambarkan kualiti sebenar yang diperlukan. Ini menjadi lebih penting apabila ada ahli yang tidak setia kepada parti, seperti yang ditunjulkkan sepanjang pilihan raya umum 2008 dan beberapa pilihan raya kecil selepasnya di mana ada ahli UMNO tidak mengundi calon Barisan Nasional. Pilihan raya kecil Kuala Terengganu misalnya, dianggarkan lebih 4,000 ahli UMNO tidak menyokong sama ada tidak keluar mengundi sebagai protes dan mengundi calon pembangkang.

Keadaan yang sama juga berlaku dalam pilihan raya Permatang Pauh, Permatang Pasir, Bukit Selambau, dan Bukit Gantang . Pilihan raya kecil Penanti boleh dikecualikan kerana BN tidak meletakkan calon. Pilihan raya kecil Manik Urai dan Bagan Pinang, tidak timbul penolakan dari ahli UMNO secara meluas, walaupun ada cakap-cakap mengatakan tidak setuju dengan calon yang dipilih. Semangat penyatuan amat kuat di Bagan Pinang dan Manik Urai sehingga menang besar dan hampir menumbangkan penguasaan PAS.

Bagan Pinang menjadi petanda baru kepada UMNO khususnya dan BN secara amnya. Dalam membuat penilaian pemilihan calon, BN perlu memahami kehendak akar umbi dan menghormatinya. BN tidak seharusnya mengamalkan budaya hanya untuk memenuhi selera pemimpin, tetapi akar umbi tidak berbelah bahagi mengenainya. Hal ini bukan sahaja merugikan BN, malah penyokong akar umbi akan terus menjauhkan diri kerana tidak berpuas hati dan melihat semangat penyertaan mereka dalam parti UMNO sebagai sia-sia. UMNO tetap dengan semangat elitisnya yang tersendiri, manakala rakyat atau akar umbi hanyalah batu loncatan sahaja.

Wakil-wakil rakyat perlu juga mengubah etos budaya kerja mereka. Dengan berstatuskan Yang Berhormat, mereka sudah melupakan tanggungjawabnya kepada pengundi. Pengundi menjadi semakin sukar untuk menemui Yang Berhormat, kerana status itu telah menjarakkan mereka. Status Yang Berhormat telah menyebabkan pengundi perlu menghormati wakil rakyat pilihan mereka, tetapi tidak di sebaliknya. Dan, kerana etos itulah wakil rakyat hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja turun padang, bersama rakyat dan mendengar rintihan rakyat.

Wakil Rakyat menjadi terlalu memperjuangkan usaha membina kekayaan dan mencari projek. Keanggotaan dalam politiknya menjadi kurang semangat berkhidmat dan kesukarelaan. Ini diakui sendiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda apabila menggulong ucapannya pada hari 14 Oktober lalu mengatakan, exco pemudanya "masih belum recorver semasa bertanding merebut jawatan" dan baru enam bulan berada dalam barisan kepimpinan.

Ucapan penggulong Khairy Jamaludin itu memberikan tamparan hebat kepada UMNO yang sedang berusaha menghapuskan politik wang. Ucapan itu jelas sebagai pengakuan terbuka dan berani, bahawa politik wang telah digunakan untuk mendapat jawatan dalam kepimpinan pemuda. Ia membuka pekong dan mengesahkan bahawa penglibatan dalam politik adalah untuk mendapat ganjaran yang besar, jika tidak, tidak ada yang sanggup "melabur".

Bagi mengelakkan UMNO terus dibelenggu oleh politik wang, perlu dilakukan juga pindaan perlembagaan mengenai dana kempen semasa merebut jawatan. Seseorang calon yang ingin bertanding bukan sahaja perlu mengisytiharkan jumlah perbelanjaan dan sumber kewangan yang diperolehnya. Ia harus menjadi sesuatu yang boleh diketahui umum dan dijadikan bahan rasmi sebagaimana diamalkan di Amerika Syarikat mengenai dana kempen Presiden.

Ini penting kerana setiap yang ingin bertanding memerlukan perbelanjaan besar, termasuk menemui setiap perwakilan yang diberikan tanggungjawab memilih. Jika kempen itu melibatkan majlis keramaian, ia perlu jelas sumber kewangan untuk membiayainya. Jika ini dapat dilakukan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang menarik minat ramai dan tidak mengamalkan budaya politik wang.

Memangnya wang itu penting, kerana tidak mempunyai wang akan menyebabkan seseorang melupakan hasratnya untuk merebut jawatan. Sekurang-kurangnya dengan cara ini rakyat akan melihat ada kejujuran dalam perjuangan berbanding dengan cara menyembunyikan kos pengendalian kempen, sebagaimana yang dilakukan oleh PAS. Dalam setiap ceramahnya memungut wang bagi mengisi tabung tertentu, tetapi tidak pernah diisytiharkan berapa jumlah yang berjaya dipungut dan ke mana duit itu dibelanjakan.

Kita tidak tahu berapa banyak wang yang dipungut untuk mengisi tabung pilihan raya dalam setiap kempen PAS di Permatang Pasir. PAS tidak pernah mengisytiharkan jumlah wang hasil pungutan semasa Tuan Guru Haji Hadi berceramah dalam usaha melancarkan jihad kepada orang UMNO, dan ke mana duit itu dibelanjakan. Jadi, UMNO tidak perlu takut dengan perubahan tersebut, kerana telah sanggup menyerahkan perisai kuasa yang ada kepada lebih 145,000 ahli yang bakal membuat keputusan nanti.

Jumlah ahli yang ramai, kini lebih 3.7 juta orang dan dijangka akan meningkat kepada 4 juta dalam tempoh terdekat, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang mengamalkan urus tadbir yang baik. Inilah yang perlu diperjuangkan oleh UMNO jika ia tidak mahu rebah dan seterusnya mengekalkan dominasi kuasa di Malaysia.

Usaha untuk menarik minat penyertaan golongan muda, yang dijangka akan mencapai jumlah 7 juta pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 akan menjadi lebih mudah. Mereka akan menilai UMNOlah parti yang benar-benar mendokong prinsip perjuangan dan berada di landasan yang betul, kerana mereka turut mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Pemilihan jawatan dalam UMNO tidak lagi dilabelkan sebagai "orang itu telah dibayar", "pemimpin itu menang kerana wang", "orang itu beli undi" dan sebagainya. Sehingga sekarang, fakta ini seolah-olah menunjukkan ada benarnya dan telah diakui oleh Ketua Pergerakan Pemuda semasa menggulong perbahasannya, didengar oleh setiap mereka yang mengukitinya.

Gelaran yang berhormat perlu juga mengalami transformasi. Seseorang wakil rakyat perlu merendahkan diri dengan setiap orang, dan bukannya bersifat mengarah. Kerjasama yang erat dengan semua orang amat perlu kerana imej wakil rakyat sekarang sudah dilihat telah banyak berubah daripada matlamat asal. Bukan sahaja sukar didekati, wakil rakyat turut menuding jari menyalahkan orang lain dalam sesuatu perkara.

Wakil rakyat perlu menghormati rakyat. Ini tidak bermakna kehormatan yang diberikan oleh rakyat akan tercalar, sebaliknya ia akan terus melonjakkan kredibilitnya di mata rakyat. Kita mungkin boleh belajar dari pengalaman Bagan Pinang. Walaupun Tan Sri Isa tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau terus berbakti kepada masyarakat kampongnya. Beliau tetap setia dengan parti, dan tidak merajuk apabila dikenakan tindakan disiplin kerana kesalahan "politik wang".

Turun dari jawatan sebagai Menteri dan tidak menjadi wakil rakyat, nila setitik yang tertumpah ke belanga masyarakat, tidak berupaya merosakkan susu sebelanga khidmat baktinya hampir 30 tahun di Telok Kemang. Beliau terus diterima kerana masyarakat sanggup memaafkan kesalahannya itu, dan tidak melihat setitik nila itu menjadi punca membirukan susu yang putih melepak.

Susu sebelanga masih boleh dimakan. Jika pun setitik nila itu mengandungi toksid atau seumpamanya, jumlahnya adalah terlalu kecil. Mungkin lebih kecil daripada tahap yang dibenarkan sesetengah bahan pengawet yang digunakan dalam memproses makanan. Pengundi Bagan Pinang masih sanggup meminum susu sebelanga itu, sehingga berupaya menyelamatkan maruah BN dari terus diperlekehkan oleh parti-parti pembangkang.

Pengalaman BN diperlekehkan setelah kalah di Permatang Pauh menyemarakkan pelan peralihan kuasa, kalah di Kuala Terengganu memperluaskan lonjakan ketuanan rakyat, tewas di Bukit Gantang melebarkan impian besar kembalikan kuasa rakyat dengan mendesak Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, kecundang di Bukit Selambau menambahkan lagi perpecahan dan UMNO negeri, tewas di Permatang Pasir dikaitkan dengan imej calon yang tidak bersih dan bermasalah.

Walaupun UMNO turut diperlekehkan di Manik Urai, PAS dilihat semakin kehilangan kekuatan dan politik "jamin masuk syurga" bukan lagi tema berkesan, memberikan banyak pengajaran kepada UMNO. UMNO dilihat semakin mantap dan jentera kempennya mempunyai semangat yang tinggi. Semangat dan kekuatan itu terus diterjemahkan secara mantap di Bagan Pinang sehingga Anwar sendiri kecewa kerana Bilik Gerakan PKR tidak bermaya dan Haji Hadi kebingungan ceramahnya tiada sambutan.

Haji Haji Hadi yang panas baran akhirnya membuat pengakuan bahawa Pakatan Rakyat belum bersedia untuk mendaftarkannya sebagai sebuah parti sebagaimana Barisan Nasional. Ini sudah jelas secara langsung bahawa parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat amat sukar untuk bersatu dalam semangat sebenar, baik secara spiritualnya ataupun watak perjuangannya, mereka hanya boleh bersatu untuk berhadapan dengan BN dalam tempoh pilihan raya sahaja.

Setiap hari berlaku percakaran dari mula lagi. Sejak menang di Perak, perlantikan Menteri Besar berlaku kekecohan sehingga Paduka Sultan Perak berkenan memilih Datuk Seri Jamaludin; di Selangor pemimpin besar PKR tunduk dengan desakan DAP untuk meneruskan projek ternakan babi moden, mengetepikan MBSA dan hasrat Hassan Ali supaya menyekat penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu , cuba menutup mulut Hassan Ali atas langkat menyiasat penjawat awam secara terbuka oleh SELCAT, kepala lembu dan penternakan lembu dilanda banjir dan sampah; di Pulau Pinang ada masalah Kg. Buah Pala, menghormati perkenaan Yang DiPertuan Agong mengenai perlantikan Yang DiPertua Majlis Agama Islam, jolokan agar jawatan Ketua Menteri dilaksanakan secara bergilir-gilir seperti pernah dilakukan oleh BN di Sabah dan tuduhan pelampau Islam terhadap perjuangan untuk menegakkan syariat Islam; dan kini menuduh media atas isu Zaid Ibrahim yang tidak sebulu dengan Azmin Ali, dan Anwar kurang puas hati dengan Naib Pengerusi PKR Sabah, Jeffery Kitingan kerana tidak mampu memujuk wakil rakyat BN menyeberang bagi menjayakan program peralihan kuasa pada 16 September 2008, dan terpukul pula dengan keinginan UMNO untuk berubah, tarikh 16 September telah diisytiharkan sebagai tarikh perayaan 1Malaysia dan cuti umum.

Yang mungkin menanti untuk dijukirbalikkan oleh pakatan pembangkang ialah kes liwat yang sedang menarah tangga Mahkamah dan menakar imej kepimpinan Anwar sendiri. Dolak-daliknya telah menyebabkan beberapa kali tertangguh, kini terpaksa dihadapinya dengan pelbagai helah yang kurang lagi diyakini oleh kebanyakan orang awam. Walau apa pun, keputusan Mahkamah akan menentukan benar atau tidak ianya berlaku, bukan lagi masalah teknikal yang memenangkan "konspirasi terdahulu". Mangsa telah membuat aduan, kalau dulu, ianya berdasarkan laporan siasatan manakala mangsa tidak membuat aduan. Kini, Anwar terpaksa berhadapan dengan seorang anak muda yang berani dan ingin mencari kebenaran walaupun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan tekanan. Biasanya, Tuhan akan bersama dengan orang-orang yang teraniaya dan kebenaran akan terjelma juga walaupun jalannya penuh berliku.

Perubahan dalaman UMNO akan menjadi lebih cepat dan berkesan kerana pakatan pembangkang semakin lemah. Namun UMNO perlulah membina kekuatan dalaman yang tegar dan mantap, kerana banyak lagi yang terpaksa ditepis sepanjang jalan menuju ke PRU ke-13, walaupun masanya semakin singkat. Lakukanlah secara bersemangat dan berhemah, walaupun ada setengah ahli sudah dilanda sindrom "kasut baru" kepanasan, yang penting ialah kuantiti ahli yang ramai menunjukkan kekuatan manakala kualiti ahli memberikan ketahanan dan kecekalan menghadapi masa depan agama, bangsa dan negara. Jangan jadikan ianya retorik dan akhirnya menyesal kerana tidak mampu melakukan perubahan sebagaimana dilafazkan.

No comments:

Post a Comment