Wednesday, October 14, 2009

TIGA HALATUJU PERJUANGAN WANITA, PUTERI DAN PEMUDA UMNO

Perhimpunan tiga sayap UMNO semalam (14 Oktober 2009) telah mengarahkan hala tuju perjuangan mereka dalam tiga perspektif, iaitu menghapuskan fenomena siling kaca bagi wanita, membina rumah kediaman yang menarik perhatian orang bagi puteri dan menjadikan semangat Bukit Janda Baik sebagai motivasi perjuangan pemuda. Kesemuanya adalah harapan dan impuls motivasi dalam usaha mempastikan UMNO terus relevan dan kembali mendapat sokongan rakyat Malaysia.

Hari ini, 15 Oktober 2009, ucapan Presiden bergema kemas dan lantang memperkatakan nilai-nilai yang harus ada dalam kalangan ahli UMNO dan masyarakat Malaysia bagi membolehkan kedudukan orang Melayu tetap dihormati dan tidak ditenggelami oleh kekaburan perjuangan mementingkan diri.

Mengakhiri ucapan dasar selaku ucapan sulong sebagai Presiden UMNO sejak enam bulan mengambil alih tampuk kepimpinan, Dato' Seri Najib Tun Razak amat mengharapkan pengorbanan setiap ahli UMNO dan kembali belajar dari sejarah silam bagaimana kepimpinan UMNO berjaya bingkas bertindak menyelesaikan sebarang masalah sehingga berjaya menghalang negara dari terus terjerumus ke dalam cerun kemusnahan.

Bagi perjuangan Pergerakan Wanita, menghapuskan fenomena "siling kaca" merupakan suatu perjuangan yang bukan sahaja memerlukan pengorbanan ahli-ahlinya, tetapi turut mendesak supaya perspektif memandang wanita hanyalah sebagai pemimpin dalam kalangan wanita dilenyapkan sama sekali.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat fenomena "siling kaca" itu turut berlaku dalam UMNO. Wanita merupakan bilangan keanggotan yang besar, iaitu 48.3 peratus, hampir menyamai lelaki. Yang dianggap sebagai sesuatu penting ialah dengan memberikan ruang yang lebih besar kepada wanita dalam kepimpinan politik, pembuatan keputusan dan pengupayaan ekonomi.

Dalam perspektif politik, wanita hanya diwakili oleh 6 orang anggota Majlis Tertinggi. Keadaan ini sebenarnya jauh lebih rendah berbanding matlamat untuk menempatkan sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai pembuat keputusan selaras dengan Deklarasi Beijing 2005.

Kesukaran yang mungkin sengaja dilihat ke atas wanita ialah keupayaan menyeimbangkan kerjaya dan tuntutan keluarga kerana wanita masih dianggap sebagai penjaga keluarga yang utama. Inilah antara penghalang yang telah menyebabkan wujudnya fenomena "siling kaca", kerana wanita yang berpotensi kurang diberikan perhatian dan sikap lelaki memandang wanita sebagai objek dalam bayangan cermin kaca.

Wajah dalam cermin kaca, hanya untuk dilihat dan dianggap sebagai pelangkap semata-mata. Dan, kerana itu wanita selalu berhadapan dengan ketidakseimbangan gender kerana kurang berkeyakinan untuk memegang jawatan penting walaupun berkelayakan.

Menurut Dato' Sharizat lagi, wanita juga berhadapan dengan kes yang paling banyak tertunggak di Mahkamah Syariah. Antara tahun 2005 hingga 2008, 41 peratus (5,350 dari 12,839 kes ) tuntutan fasakh, 41.3 peratus (16,308 daripada 39,474 kes) tuntutan penceraian dan 54.1 peratus (7,734 daripada 13,557kes)yang melibatkan wanita masih tertangguh.

Ini menggambarkan tekanan psikologi yang perlu dihadapi oleh wanita, dan Pergerakan Wanita perlu memperjuangkan penghapusan fenomena "siling kaca" yang melingkari masyarakat. Ketua Pergerakan Wanita terus mengesyorkan supaya mahkamah hendaklah lebih seriu dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan wanita dengan mempercepatkan proses undang-undang dan menyeragamkan undang-undang Keluarga Islam yang terdapat di negeri-negeri.

Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh juga bergerak dalam jajaran 44 hingga 47 peratus antara tahun 1990 hingga 2008. Kadar penyertaan yang rendah ini disebabkan oleh peluang pekerjaan yang terbatas, fenomena "siling kaca" yang membataskan potensi peningkatan kerjaya dan masalah wanita selepas berkahwin. Menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 55 peratus wanita berhenti kerja adalah disebabkan oleh tuntutan rumah tangga (mengurus rumah tangga, menjaga anak dan menjaga anggota keluarga).

Keadaan ini akan menjadi lebih serius apabila wanita dibelenggu oleh suasana kerja yang rigid, persepsi anggota keluarga dan minda masyarakat secara tradisinya menganggap wanita sebagai "orang rumah" dan bertanggungjawab terhadap keluarga, manakala suami hanyalah sebagai ketua keluarga yang perlu menyediakan dana.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengibaratkan perjuangan puteri seperti keinginan untuk menyediakan sebuah rumah yang sejuk untuk didiami agar orang ramai yang melintasi tertarik untuk masuk ke dalam. Dalam meyediakan sebuah rumah yang sejuk untuk didiami, puteri mestilah memperbetulkan tanggapan masyarakat, terutamanya golongan muda terhadap UMNO. Puteri sebagai "gadis gedik" perlu dihapuskan sama sekali, kerana sehingga kini imej tersebut masih menjadi persepsi umum.

Ahli puteri mestilah mempamerkan sikap dan nilai yang berkesan dalam setiap tindak-tanduk. Jauhkan imej gedik, walaupun telah ditolak secara besarnya oleh ahli puteri. Imej itu akan tetap berlegar dalam persepsi masyarakat kalau tidak disusuli dengan budaya yang betul, termasuk kaedah berkomunikasi, cara penampilan dan berpakaian, bersiasah dan membina jaringan persahabatan dengan bukan ahli .

Bagi menarik sebanyak mungkin penyertaan golongan muda, Ketua Pergerakan Puteri UMNO perlu menukar gerak kerja jentera parti selaras dengan pindaan perlembagaan bagi melaksanakan transformasi bagi meneruskan kesinambungan UMNO.

Terdapat sejumlah 320,000 ahli puteri seluruh negara, maka mereka perlulah bangkit mengubah minda dan membetulkan landasan perjuangan bagi menyelamatkan parti. Transformasi tidak seharusnya dilihat sebagai kad "touch and Go" yang semangatnya hanya berkobar-kobar ketika mendengar ucapan pemimpin, selepas kembali ke cawangan atau bahagian masing-masing hilang kesungguhan.

Ketua Pergerakan Puteri itu menggunakan analogi sebagai sebuah rumah yang sejuk itu mungkin kerana ramai di antara ahli puteri sangat tertarik untuk menyusunatur kehidupan yang baik dan bahagia, apabila mendapat khabar, pengetahuan atau nasihat daripada mereka yang dianggap pakar atau pameran hiasan dalaman. Tetapi, apabila pulang ke rumah, hasrat untuk menyusunatur dan mengemaskinikan rumah berdasarkan idea itu, terasa berat dan menyusahkan. Akhirnya tertangguh, dan seterusnya melupakan hasrat tersebut, sehinggalah menjelma kembali apabila mengunjungi pameran yang sama (perhimpunan tahunan sekali lagi, tahun berikutnya).

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaludin amat mengharapkan ahli pemuda perlu menjadikan semangat yang diilhamkan dari sebuah bukit di Janda Baik sebagai landasan perjuangan baru bagi merapatkan saf. Hubungan ini penting kerana, akibat perebutan jawatan dalam kepimpinan pusat Pemuda UMNO, menyebabkan mereka yang tidak terpilih terasa tersisih, manakala yang terpilih tidak seharusnya menyingkirkan mereka yang kalah.

Kalah atau menang, perlu ditautkan kembali semangat perjuangan Pemuda. Semangat yang dijelmakan di Janda Baik itulah menjadikan corak perjuangan Pemuda bagi menghadapi pilihan raya kecil Bagan Pinang telah berjaya digerakkan secara bersepadu dan begitu kuat sekali sehingga berjaya menarik pengundi muda menyokong calon BN.

Dengan momentum itu, Khairy Jamaludin mengharapkan kedudukan pemuda yang berada di persimpangan jalan akan dilakukan perubahan atau transformasi dengan memperkenalkan Rukun Pemuda. Rukun Pemuda ialah bersatu, berprinsip, insklusif, relevan dan proaktif.

Perubahan tersebut adalah penting kerana menurut Ketua Pergerakan Pemuda itu lagi "kira-kira 7 juta daripada jumlah pengundi pada PRU ke-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa menyokong kita dengan (hanya)hujah mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Dulu, pendekatan itu mungkin boleh diguna pakai, tetapi bagi generasi muda sekarang, mereka mahu tahu apa yang sudah serta pernah dilaksanakan."

Lanskap politik sudah lama berubah dan kerana itulah Pemuda perlu melakukan transformasi, kesan daripada aliran maklumat bebas melalui media, khususnya media baru yang berupaya memberikan kesedaran dan kematangan politik baru kepada rakyat.

Menurut Khairy lagi, "persekitaran terkini--lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik abad ke-21 ini menuntut perubahan. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita bergerak sepanjang waktu, tanpa nokhtah dan tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU ke-13 nanti."

Bagi Dato' Seri Najib Tun Razak, UMNO perlu mengambil iktibar daripada sejarah kerana keengganan mempelajarinya akan menyebabkan sesebuah organisasi akan terus mengulangi kesilapan yang sama. Dengan mengambilkira sejarah, UMNO telah mampu mengatasi pelbagai rintangan dan tidak lemas berfikir sebagaimana yang dihadapi oleh sebahagian daripada ahli UMNO apabila gagal dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Kelemahan tersebut perlu dijadikan teladan, kerana itulah Presiden UMNO terus menekankan semangat kesukarelaan untuk berkhidmat perlu ditingkatkan kembali sebagaimana pejuang-pejuang terlebih dahulu. Mereka berjuang dan sanggup berkorban bagi menegakkan UMNO dan kedudukan orang Melayu. Mereka menjauhkan sikap mementingkan diri termasuk meminta "hotel lima bintang" untuk menghadiri perhimpunan, mendesak untuk mendapatkan jawatan, hilang budaya budi bahasa, mengisytiharkan keluar parti jika tidak terpilih menjadi calon dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment