Thursday, October 29, 2009

ANAK LUAR NIKAH DAN JANGKITAN HIV GERUTUKAN PAS KELANTAN

Seorang rakan karib banyak menyampaikan khabar mengenai negeri kelahiran saya sendiri. Beliau menjadi seorang pengagum kepada personaliti Tok Guru dan nilai-nilai yang ada dalam masyarakat Kelantan. Saya kadangkala bertanya sendirian, apakah pujian dan pengkisahan itu merupakan sesuatu yang jujur?

Setahu saya, ketika bersama bersekolah dahulu beliau tidak begitu berminat dengan politik. Tetapi kahwin dengan wanita dari Kelantan, setelah sekian lama jatuh cinta menjadi seorang pengagum tegar perjuangan PAS. Beliau kalau boleh tidak mahu keluar dari Kelantan dan berazam akan terus menetap di Kelantan apabila pencen nanti.

Menurut cerita terbarunya, pertemuan terakhir antara kami ialah seminggu sebelum hari raya aidilfitri lalu. Dalam pertemuan itu beliau seolah-olah menyalahkan saya kerana sudah sekian lama saya tidak pulang kampung berhari raya. Dia pun tahu bahawa saya akan pulang ke Kelantan sama ada selepas atau sebelum hari raya. Apabila kampong menjadi sesak setelah perantau kembali, saya berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Saya bukan tidak sudi berhari raya di kampung halaman. Tetapi pengalaman sebelum saya memutuskan untuk pulang berhari raya amatlah menakutkan. Saya bukan takut kehabisan wang kerana memberikan duit raya kepada anak saudara dan cucu-cucu saudara yang jumlahnya hampir 40 orang.

Saya menjadi lemas apabila memikirkan kesesakan lalu-lintas, lalu dia memarahi saya kerana "itulah keseronokannya. Itulah sebahagian daripada ciri-ciri hari raya. Hari raya bukan sahaja bersalam-salaman. Kesesakan jalanraya salah satu. Kalau tidak ada kesesakan, hari raya tidaklah meriah namanya."

Mungkin ada benar juga kata-katanya itu. Tetapi, di wajahnya sendiri tergambar rasa kecewa kerana pada musim itu juga bukan sahaja kesesakan lalulintas, telefon bimbit pun boleh sesak.

Lupakan kisah itu.

Antara kami memang mempunyai pendapat yang berbeza. Ini kerana antara kami mempunyai perspektif pemikiran yang berlainan. Beliau setelah "masuk Kelantan" berjinak-jinak dengan pemimpin PAS dan sanggup berhujan panas mendengar ceramah-ceramah politik. Itu berlainan dengan saya, kerana saya telah lama membesar dalam persekitaran tersebut. Sejak usia beberapa tahun sehinggalah saya meninggalkan kampung halaman pada tahun 1978, saya sudah menjauhkan diri daripada persekitaran tersebut. Sesekali ada juga mengikuti ceramah politik, itupun secara kebetulan atau kerana menemani kawan-kawan.

Menurut ceritanya, Kelantan begitu pesat membangun. Dasar dan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan PAS sejak tahun 1990 memberikan rahmat kepada rakyat Kelantan. Walaupun tidak banyak pembangunan fizikal, tetapi anak gadis Kelantan memakai tudung; apabila masuk waktu maghrib, perniagaan pasar malam dihentikan seketika; surau dan masjid sentiasa diadakan kuliah agama; dan sebagainya. Pendeknya, berdasarkan moto Membangun Bersama Islam, Kelantan telah berjaya menjadikan rakyatnya lebih alim.

Saya yang mendengarnya menjadi serba salah. Saya tidak nafikan, sejak sekian lama Kelantan terkenal sebagai pusat pengajian Islam yang tersohor melalui sistem pondoknya. Saya pernah juga menumpang belajar di pondok walaupun tidaklah begitu lama, hanya sekadar mengisi masa yang terluang.

Saya mula mengatur hujah. Bukan kerana inginkan kemenangan, tetapi sekadar mencelah: kalau begitu, kenapa dalam kejayaan melahirkan ramai yang alim, masih tinggi masalah sosial berlaku? Berapa ramai anak muda Kelantan telah mati kerana HIV/AIDS? Berapa ramai anak muda Kelantan menjadi penagih dadah? Apakah itu tidak menggambarkan kegagalan Kelantan melalui dasar Membangun Bersama Islam?

Mengapa kadar penceraian begitu tinggi di Kelantan, sedangkan lebih ramai rakyatnya telah menjadi alim? Kenapa sekarang rumah-rumah semakin tidak selamat untuk didiami berbanding sewaktu saya masih kecil dahulu? Kalau dahulu, emak saya tidak pernah kunci pintu kalau ingin ke surau ataupun ke kedai runcit membeli gula ataupn sesuatu.

Tapi kini, untuk turun ke belakang rumah pun pintu depan dan tingkap mesti ditutup. Saya mempunyai pengalaman pedih mengenai kejadian sedemikian. Ianya berlaku sekitar empat tahun lalu. Selepas waktu maghrib, kami sedang sibuk untuk mengadakan majlis kenduri arwah di sebuah rumah yang lain. Kedudukan dua buah rumah amat dekat sekali, iaitu tidak lebih dari lima depa.

Sedang kami sibuk menguruskannya, rumah yang satu lagi tempat kami tidur dan meletakkan pakaian telah diceroboh masuk. Setelah mendengar bunyi hentakan kaki, saya meluru ke rumah itu. Terlihat tingkap yang mengarahkan ke sungai terbuka. Saya segera masuk ke dalam bilik dan mendapati beberapa barangan berharga telah hilang. Isteri kehilangan barang kemas hampir RM 10,000.00 manakala dompet yang tersimpan mykad, lesen memandu dan beberapa ringgit wang tunai telah hilang.

Setelah selesai kenduri arwah dan majlis doa selamat, saya ke balai polis membuat laporan. Ketika majlis itu berlangsung, kami tidak memberitahu ramai orang kerana tidak ingin menjejaskan tetamu yang datang.

Pengalaman kedua ialah selepas tiga bulan kemudian saya pulang lagi ke Kelantan. Kali ini hanyalah untuk menghabiskan cuti tahunan kebetulan anak saya juga cuti sekolah panjang akhir tahun. Kami sekeluarga ke tebingan Tok Bali kerana tempat itu adalah kenangan terindah saya ketika masih remaja. Tebingan Tok Bali dahulunya tempat kami mencari buah kemunting dan di pesisir pantainya mencari remis.

Kerana anak saya gemar makan sata, saya cuba ke gerai menjualnya. Kami akhirnya membeli sebanyak RM 10 dan terus ke sebuah restoran. kira-kia 45 minit kemudian, kami membuat keputusan untuk pulang ke rumah kerana sudah pun pukul 10 malam. Apabila sampai di tempat kami memarkir kereta, saya menjadi semakin kecewa. Pintu kereta sebelah kiri di bahagian terkopak, telah dicungkil dengan benda tajam dan keras.

Setelah memeriksanya, didapati pemain VCD kereta dan skrinnya telah hilang. Kabel yang menyambungkannya dengan bateri kereta telah dipotong. Sistem penggera tidak boleh dipakai lagi. Pintu kereta perlu diganti. Walaupun ketika mengopaknya saya jangka alat penggera berbunyi, tetapi kerana jaraknya agak jauh, ia tidak mampu menggerakkan kami untuk meluru ke sana.

Dua pengalaman itu menjadikan saya semakin hilang semangat untuk kembali ke Kelantan apabila tiba masanya saya bersara. Walau pun ada sebab-sebab yang lain, tetapi pengalaman itu banyak menjadikan saya kecewa. WAlaupun emak saya menawarkan dua tiga pilihan tanah, untuk dijadikan tapak rumah, hati saya masih berat untuk membuat keputusan.

Suatu hari, ketika hari senja, emak saya bertanyakan saya mengenai pilihan tapak rumah. Saya tidak menjawabnya, sebaliknya saya menceritakan apa yang saya pernah alami. Emak juga banyak kecewa dengan apa yang pernah berlaku terhadap saya, dan dia turut menceritakan sudah lebih lima rumah kami diceroboh masuk. Ada ketikanya sewaktu hampir subuh. Adakalanya ketika siang hari. Pendeknya tanpa mengira waktu, banyak yang cuba mencuri. Ayam pun turut hilang. Apa saja yang boleh ditukarkan dengan wang, sentiasa menjadi kebimbangan. Kata emak saya, sekarang hidup di kampong bukan lagi tenang, penuh dengan kebimbangan termasuk ancaman terhadap diri sendiri.

Beberapa hari lalu saya terbaca laporan akhbar, sepanjang 9 bulan tahun ini terdapat 700 orang anak luar nikah di Kelantan. Saya menjadi kelu, kerana ia merupakan angka yang besar, iaitu puratanya dalam tempoh sepanjang 273 sudah terlahir 700 bayi tanpa bapa. Ini bererti setiap dua hari ada 5 orang bayi tanpa bapa lahir. Apakah ini merupakan kejayaan dasar Membangun Bersama Islam? Itu hanyalah angka rasmi dan diucapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar, salah seorang pengagum slogan tersebut di dalam Dewan Undangan Negeri.

Turut didedahkan beliau ialah mengenai peningkatan kadar jangkitan HIV. Kelantan merupakan yang tertinggi, iaitu 749 kes baru sepanjang 9 bulan tahun ini. 27 peratus darinya adalah disebabkan oleh seks rambang berbanding pada tahun 2003 melalui suntikan (70 peratus). Wanita banyak menanggung beban ialah wanita. Mereka yang dijangkiti ialah 25 peratus dalam kumpulan umur 20 hingga 29 tahun manakala 42 peratus lagi ialah dalam kumpulan umur 30 hingga 39 tahun. Bayangkan betapa hebatnya kesan pembangunan rohani yang ditekankan bersama dasar tersebut dan selalu disebut-sebut oleh Tok Guru.

Saya pun menjadi semakin keliru. Sepatutnya semakin kental rohani rakyat Kelantan, maka semakin menurunlah perkara-perkara tersebut kerana ia adalah dalam senarai larangan terbesar Islam. Mencuri (pecah rumah, pecah kenderaan), melakukan zina (seks rambang), menagih dadah (apa pun jenisnya) dan berbohong (menipu, tidak kotakan janji, fitnah, bercakap kasar, dan sombong)adalah perbuatan yang amat dilarang dalam Islam. Apakah ini hasilnya setelah Kelantan berupaya membangun bersama Islam?

No comments:

Post a Comment