Tuesday, October 13, 2009

PAS REBAH DALAM KEKALUTAN ARAH

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober 2009 jelas membuktikan kematangan pengundi apabila tidak terpengaruh dengan provokasi keterlaluan PAS, dakyah yang dikembangkan oleh rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang dan menolak sikap agresif menyerang peribadi calon dan pemimpin BN, melaga-lagakan calon dengan kepimpinan UMNO negeri .

Seramai 8,013 pengundi telah memberikan mandat kepada BN menyebabkan calon PAS tewas buat kali keempat mendaki tangga untuk bergelar yang berhormati. Cuma berbeza kali ini beliau tewas di gelanggang luar manakala sebelumnya, tiga kali gagal menjadi jaguh kampiongnya sendiri sejak tahun 1999. Zulkefly Mohamad Omar, 45 seorang peniaga yang dilaporkan mempunyai sarjana pentadbiran perniagaan tidaklah mempunyai apa-apa jawatan dalam cawangan PAS di Lenggeng tetapi dilantik sebagai Persuruhjaya PAS Negeri Sembilan.


Dari segi popularitinya beliau bukanlah mempunyai sumbangan besar kepada rakan-rakan sekampungnya dan kerana itulah tidak boleh dianggap jaguh atau pemimpin kampungnya sendiri. Pengundi DUN Lenggeng (1999, 2004 dan 2008) tidak dapat menerimanya sebagai wakils rakyat kerana maksud perjuangannya tidak jelas.Sejak diumumkan sebagai calon PAS pada 2 Oktober lalu, beliau seakan-akan tidak yakin untuk menewaskan Tan Sri Isa yang jauh lebih berpengalaman dan diterima oleh kebanyakan pengundi Bagan Pinang.

Legasi dan jasa Tan Sri Isa sangat besar kepada penduduk Negeri Sembilan kerana pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar selama 22 tahun memberikannya banyak kelebihan. Oleh kerana kedudukan pembangkang di Negeri Sembilan semakin besar berbanding dengan pilihan raya sebelumnya, iaitu 15 kerusi menyebabkan PAS merasakan kedudukannya amat kerdil sekali berbanding DAP dan PKR.

Dengan hanya menang 1 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12, PAS amat berkeinginan sekali untuk menambahkan pengaruhnya bagi mengimbangi kekuatan suara DAP dan PKR dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan. Hasratnya yang besar itulah menyebabkan sejak awal-awal lagi PAS melancarkan kempen secara agresif bagi memesongkan keyakinan pengundi terhadap BN. Pada hari penamaan calon, penyokong PAS dilaporkan melakukan provokasi dan melakukan kekasaran terhadap seorang pemimpin pemuda UMNO sehingga menyebabkan Datuk Abdul Azeez menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Beberapa laman blog bukan sahaja menafikan insiden yang menimpa Datuk Abdul Azeez malah turut menuduh bahawa sengaja diada-adakan bagi mengalihkan sokongan pengundi yang mula berpihak kepada PAS. Beberapa hari selepas insiden tersebut, akhbar online PAS menyiarkan pendedahan seorang penyokongnya telah dibelasah oleh penyokong UMNO sehingga berdarah. Gambar-gambar mengenai kecederaan penyokong PAS tersebut disebarkan secara meluas, tetapi sehingga selesai proses pengundian, tidak ada laporan rasmi telah dibuat.

Provokasi yang cuba menimbulkan kemarahan itu akhirnya menjerat PAS sendiri kerana pengundi mula mempertikaikan kesahihannya. Provokasi yang keterlaluan dan kasar yang turut mecemari pusat-pusat pengundian telah memberikan kemenangan moral kepada BN apabila sehari sebelum pengundian, pemandu Ketua Polis Negeri Sembilan turut dibelasah hingga berdarah ketika cuba menyuraikan dua pihak yang bergaduh atas perebutan penampalan poster parti masing-masing.

Insiden serangan terhadap pemandu tersebut telah melengkapkan gambaran kasar dan sikap sebenar PAS kerana terlalu terdesak untuk mendapat kemenangan. Beberapa hari sebelum tarikh pengundian, PAS mendedahkan mengenai lebih 200 pengundi telah mendaftar secara bertindih dan memohon injuksi mahkamah. Sebelum penamaan calon berlangsung, PAS turut mempertikaikan mengenai undi pos sebanyak 4,609 pengundi.

Jumlah pengundi pos yang besar itu dilihat sebagai strategi BN untuk mengekalkan legasi kuasa, namun dakwaan tersebut berjaya dipatahkan oleh pemimpin BN dengan membuktikan mereka berhak memilih, dan bukannya disalahgunakan untuk kepentingan BN. Kehadiran bekas anggota tentera bersama-sama pemimpin PAS mendedahkan penyelewengan undi pos bagi kepentingan BN juga tidak mempengaruhi keyakinan pengundi.

Berdasarkan keputusan tersebut, BN memenangi kesemua lapan peti undi termasuk tiga peti undi yang pernah tewas dalam pilihanraya umum ke-12. BN Berjaya menguasai kesemua 18 saluran mengundi termasuk saluran pengundi muda. Kemenangan ini telah menolak beberapa andaian sebelum ini bahawa pengundi muda tidak lagi menyokong BN, sebaliknya cenderung kepada pembangkang.

Menang dengan majoriti besar, iaitu 5,435 undi menyebabkan calon PAS semakin tidak bermaya kerana undi yang diperolehnya 2,578. Ini membuktikan peningkatan besar jumlah undi majoriti BN dalam pilihan raya umum ke-12, iaitu hampir sekali ganda dari 2,333. Hasrat untuk mengurangkan majoriti BN oleh pembangkang juga kecundang, walaupun ia dijadikan sebagai matlamat kedua PAS bertanding dalam DUN Bagan Pinang. Beberapa hari sebelum pengundian, PAS menggambarkan kedudukan UMNO kian terdesak apabila menjadikan komen Perdana Menteri bahawa “kemenangan adalah lebih penting daripada bilangan majoriti.”

Eksploitasi ini menyebabkan PAS menerima padah dan terpaksa menelan kepedihan kerana sepanjang kempen mereka sambutan masyarakat setempat begitu hambar. Kehadiran Presiden PAS hanyalah mampu meraih khalayak kurang 20 orang manakala ceramah Penasihat Parti Keadilan turut dibatalkan pada malam 9 Oktober, 2009. Kehadiran Anwar Ibrahim tidak lagi memukau pengundi Bagan Pinang, kerana Anwar Ibrahim dilihat semakin kehilangan aura apabila terlalu banyak berdolak-dalik dan semakin kehilangan sokongan moral masyarakat antarabangsa.

Kehadiran orang kuat Anwar, Dr. Badrul Amin juga menyebabkan ramai pengundi mula curiga apabila menyarankan supaya memutuskan hubungan persaudaraan dengan orang UMNO. Beliau turut memberikan cadangan jika bersuamikan orang UMNO atau penyokong UMNO dan anggota polis, siisteri perlu memutuskan silaturrahim. Inilah provokasi melampau telah dilakukan, oleh kerana inginkan kemenangan, pembangkang sanggup menghalalkan perbuatan terkutuk itu. Islam menggalakkan hubungan saliturrahim, malah meletakkan sesama Islam itu sebagai saudara, tetapi pembangkang menganjurkan budaya pecah belah.

Satu lagi provokasi pembangkang ialah menggunakan wang palsu sebagai cara untuk menaikkan kemarahan pengundi kepada calon BN. Di beberapa tempat, wang palsu itu dimasukkan ke dalam sampul surat dan diedarkan kepada pengundi dengan sekeping nota supaya mengundi BN. Kaedah penipauan itu turut dikesan berlaku dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bulan Ogos lalu, tetapi tidaklah sehebat di Bagan Pinang. Turut dilaporkan mereka yang mengedar wang palsu itu sengaja melakukannya dengan harapan para pengundi akan mendapat gambaran bahawa BN tidak ikhlas dan berbohong. Dengan itu, pengundi akan beralih sokongan kepada PAS.

Apa yang jelas ialah selayaknya Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menguatkuasakan tempoh bertenang selama dua hari atau sehari sebelum hari pengundian. Walaupun pondok-pondok panas sudah tidak dibenarkan didirikan di kawasan mengundi, dengan memberikan tempoh bertenang boleh memberikan sedikit ketenangan kepada pengundi. Jentera kempen tidak dibenarkan melaksanakan kempen merayu undi, kerana pada ketika inilah paling banyak provokasi dan rasa tertekan berlaku. Para pengundi bukan sahaja sentiasa diganggu sepanjang perjalanan menuju ke dewan mengundi, malah kebisingan perayu undi kadangkala mengundang pergaduhan.

Ini dapat diperhatikan bahawa pada hari pengundian terdapat 13 laporan telah dibuat dan 7 telah dibuka kertas siasatan. Tapi, sehingga setakat ini, proses pengundian masih dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak polis dan belum lagi berlaku pergaduhan serius sehingga menyebaban kematian sebagaimana berlaku di beberapa Negara, termasuk Negara Islam sendiri.Walau bagaimanapun,tindakan tegas untuk membendung kejadian seperti itu perlu dilakukan, kerana dijangka masih banyak lagi pilihan raya kecil akan berlangsung sebelum tibanya pilihan raya umum ke-13.

Kalau sebelumnya pembangkang mendabik dada mendakwa BN semakin tidak diterima oleh rakyat, maka kali ini bolehlah pembangkang mencongakkan kembali “gelombang pilihan raya” sepanjang masa. JIka terlalu ghairah mengadakan pilihan raya kecil, walaupun dengan hanya alasan kecil, rakyat akan menilainya sebagai satu keadaan yang membosankan. Rasa bosan ini telah menjadi bahan perbincangan pengundi Permatang Pauh, kerana dalam tempoh setahun (Ogos 2008 hingga Ogos 2009) mereka terpaksa menghadapi tiga pilihan raya kecil. Pembangkang perlu juga mengkaji semula strategi kempen agresifnya, kerana provokasi melulu dan menyerang peribadi sudah tidak lagi dapat diterima oleh pengundi. Pengundi lebih mengutamakan calon yang mesra,merendah diri dan dapat berbakti sepanjang masa kepada mereka sebaga pilihan utama berbanding memburuk-burukkan seseorang.

Pengundi Bagan Pinang rasional membuat pilihan dan tidak terbuai-buai dengan hayunan retorik pembangkang, yang mula dilihat semakin bergolak dan berkonflik sesama sendiri, akhirnya pecah berderai walaupun cuba disembunyikan melalui keputusan semangat muafakat dan semangat pemerintahan Khalifaz Umar Abdul Aziz. Dalam tempoh 19 bulan, sudah banyak kekecohan berlaku dan semakin lama akan menyebabkan semakin banyak tembelang terbuka luas dalam pakatan pembangkang.

No comments:

Post a Comment