Thursday, October 22, 2009

PAS MASIH BELUM AKUI KALAH DI BAGAN PINANG

Tabiat haloba PAS semakin menjadi-jadi apabila mempersoalkan mengenai undi pos yang didakwanya tidak berpihak kepada calonnya dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu. Sepatutnya PAS mencontohi Barisan Nasional yang menerima sebarang kekalahan dengan tenang dan terus bermuhasabah walaupun adakalanya amat pahit untuk ditelan.

Disebabkan oleh sifat halobanya itulah PAS telah membuat aduan kepada Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar membuat ketetapan dan menyiasat mengenai 9 kesalahan yang berlaku dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia sewaktu mengendalikan proses pilihan raya tersebut.

Menurut dakwaan Ketua Pemuda PAS, Nasharudin Hassan jika aduannya kepada SUHAKAM tidak mendatangkan sebarang hasil akan dipanjangkan ke peringkat antarabangsa dengan mengambil semangat kejayaan lawan Hamid Karzai di Afghanistan yang memperoleh kejayaan membatalkan keputusan pilihan raya negara tersebut.

Pemimpin PAS nampaknya tidak mahu menerima malu kerana apabila Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan tewas dengan majoriti 5,345 undi kepada Tan Sri Isa Samad yang telah sebati dengan masyarakat dan pengundi DUN Bagan Pinang.

PAS tidak mahu menerima hakikat, jika tidak mengambilkira jumlah pengundi pos, keputusannya jelas menunjukkan parti tersebut tewas di semua 8 peti undi yang meliputi 18 saluran. Tanpa mengambil kira pengundi pos, BN telah menang dengan majoriti 2,515.

Keputusan mengenai undi pos, BN memperoleh 2,920 manakala PAS mendapat 601 undi. Ini telah menolak dakwaan sebelum berkempen bahawa pengundi pos boleh dipergunakan untuk menentukan kemenangan BN. Secara jelasnya, BN tidak mengawal undi pos. Jika BN mengawalnya, bererti PAS tidak akan memperolehnya, walaupun satu undi. Proses pengundian dan pemberian kertas undi turut disaksikan oleh wakil kedua-dua parti yang bertanding.

Daripada sejumlah 4,611 orang pengundi pos, 4,571 adalah anggota tentera dan 31 adalah anggota polis dan orang awam. Secara keseluruhannya, lebih 82 peratus dari keseluruhan pengundi seramai 13,664 keluar mengundi dengan mencatatkan bahawa BN mendapat 8,013 undi manakala PAS hanya mampu memperoleh 2,578 undi.

Berdasarkan rekod keputusan pilihan raya tersebut, BN telah pun mengatasi undi yang diperoleh oleh calon PAS , tetapi nampaknya akibat kekalahan dengan majoriti yang berganda berbanding keputusan pilihan raya umum 2008 menjadikan parti itu kebingungan memikirkan kelemahan sendiri.

Sebelum hari pengundian, PAS telah cuba menggunakan mahkamah bagi membatalkan ketetapan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia berhubung dengan jumlah pengundi pos yang ramai dengan mendakwa ada pertindihan kerana sebahagiannya telah pun bersara daripada tentera dan anggota polis. Mereka tidak lagi wajar dimasukkan dalam senarai pengundi pos.

Atas kegagalannya itu, PAS sekali lagi cuba “memahatkan bunyi setelah rumah baru seminggu siap” tetapi berdiam diri apabila menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir tanpa menghiraukan aduan UMNO supaya disemak semula daftar pemilih yang sengaja dilakukan oleh parti itu. PAS telah mendaftarkan pengundi yang bukan penghuni Permatang Pasir sehingga menyebabkan ada pengundi yang menggunakan alamat rumah orang lain.

Lebih malang lagi, ahli PAS menggunakan alamat rumah bukan Melayu dan alamat yang sama mempunyai pemilih bertindih dari kumpulan kaum yang berlainan. Apa yang dilakukan oleh PAS itu nampaknya telah diterima dengan jelas, tetapi kesahihan senarai pemilih di Bagan Pinang menjadi persoalan yang besar.

Sikap PAS yang takut untuk mengakui kekalahan dan kelemahan itulah akhirnya menjadi senjata tajam menghalalkan ketamakan kuasanya. Dalam pilihan raya Kuala Terengganu, PAS terang-terang membangkitkan mengenai wujudnya pengundi hantu dan marahkan Suruhanjaya Pilihanraya membuka pejabatnya sehingga lewat malam bagi membersihkan data pengundi dengan Jabatan Pedaftaran Negeri Terengganu.

Suruhanjaya Piilihanraya Terengganu berbuat demikian bagi memudahkan pengundi membuat semakan langsung, dan bukannya bersengkongkol untuk memanipulasikan pengundi. Tetapi, apabila keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu berpihak kepada PAS, suara-suara sumbang untuk “memahatkan” keputusan tersebut tidak kedengaran langsung, malah berbangga besar di atas pencapaian tersebut.

Pada malam kemenangan diisytiharkan, seluruh Bandar Kuala Terengganu menjadi pesta perarakan motosikal semacam berlakunya perarakan mat rempit mengibarkan bendera PAS. Bergegar dengan deruman enjin motosikal, tanpa rasa bersalah mereka berteriak bahawa parti itu mampu menopang cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan seterusnya menawan Putrajaya. Semangat itu terus berkumandang dengan kesombongan kata-kata sehinggalah tewas dalam pergelutan memburu “peserta lawatan sambil belajar” ke Taiwan dan melupakan hasrat apabila Dato’ Sri Najib dengan rasminya menangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009.

Menurut kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizat Kaiat adalah tidak munasabah parti itu gagal mendapat sebarang undi di saluran 14, 15 dan 16 yang hampir melibatkan 900 pengundi. BN mendapat 881 dan ini tentunya boleh dijawab dengan mudah menggunakan lojik yang rendah, calon PAS memang tidak diterima oleh pengundi, walaupun mereka adalah bakal pesara.

Bakal pesara yang dikenalpasti itu lebih mengenali perjuangan UMNO daripada PAS yang terlalu banyak mempersoalkan akidah tetapi sebenarnya mencelarukan penyokong dan orang Islam sendiri. Mereka sedar bahawa tema kempen PAS tidak boleh membawa mereka ke syurga, kerana syurga dikhaskan untuk orang-orang yang bertakwa dan beriman, bukannya khusus milik penyokong parti tersebut.

Bakal pesara juga sedar bahawa mengundi calon PAS akan membawa mereka ke mana sebaliknya menjadikan seluruh budaya hidup penuh dengan pembohongan dan penafian kebaikan orang lain. Sikap PAS yang tidak pernah menghormati dan menghargai kebaikan orang lain, tetapi amat fanatik dengan kemaksuman pemimpinnya sendiri walaupun diketahui salah dan terkeluar dari perjuangan asal.

Apakah benar terdapat bukti ada sepasang suami isteri (pengundi pos) telah diberikan kertas undi pada jam 7.30 malam berdekatan dengan sebuah pasar mini di Telok Kemang? Jika benar, buktikanlah ia kertas undi sebenar bukannya kertas undi palsu sebagaimana dilakukan oleh kumpulan penyokong parti itu yang menggunakan wang palsu atas nama sumbangan BN bagi menggambarkan parti lawan tidak jujur?

Kalau benar boleh buktikan “kertas undi sebenar”, apa yang terjadi dengan kertas undi pos tersebut? Adakah “kertas undi” itu dipulangkan? Sila buktikan dengan jelas, bukan hanya sekadar membuat tuduhan sebagaimana pernah dilakukan oleh Sallehudin Ayub terhadap pertindihan senarai pemilih.
Pun begitu, PAS haruslah bertanggungjawab bahawa setiap dakwaannya sebagai benar-benar berlaku bukan seperti sebaran menerusi online terhadap seseorang yang ditetak dengan parang, tapi bajunya sahaja yang terkoyak. Apabila pihak polis meminta bukti dan orang yang kena tetak itu membuat laporan, hingga kini masih membisu? Kenapa? Adakah kerana sedar itu hanyalah satu bentuk propaganda atau churnalism yang menjadi mauduk laporan akhbar Harakah?

PAS akan mempunyai sifat yang mulia dan dihormati sekiranya berani menyatakan kebenaran, termasuk mengakui kelemahan parti itu sendiri menyebabkan tewas di Bagan Pinang. PAS mesti sedar kekuatan sebenar yang menentukan kemenangan BN di Bagan Pinang ialah personaliti calon menjadi faktor dominan.

Pengundi Bagan Pinang tahu bahawa calon PAS adalah bukan berasal dari kawasan tersebut, malah sudah tiga kali ditolak oleh pengundi di kampong asalnya. Dia juga tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam pertubuhan itu di peringkat cawangan, hanya dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS, dia bukanlah pemimpin akar umbi.

Maka PAS tidaklah perlu menyalak, kerana bukit tidak akan runtuh. PAS bermuhasabah diri, bahawa pengaruhnya tidaklah seberapa di Negeri Sembilan, dan semua orang tahu terlalu banyak bermain syllogism dan retorik agama untuk kepentingan diri.

No comments:

Post a Comment