Tuesday, October 27, 2009

CYBER TROOPER ATAU PAS SEMAKIN KALUT

Apabila ada pihak melontarkan pandangan mengenai cadangan kontroversi Tok Guru untuk mengadakan Muktamar Khas bagi membendung sikap pemimpin tertinggi dalam kontroversi kerajaan perpaduan, terus dikambinghitamkan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad sebagai hasil kerja gerombolan penulis upahan UMNO atau cyber trooper.

Tetapi semasa menghujam kelemahan UMNO kerana gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu, Idris Ahmad tidak pun membuat komen seumpamanya terhadap penulis upahan PAS atau cyber trooper yang lebih teruk dan menjijikkan penulisannya saban hari hasil kesungguhannya menerapkan prinsip churnalism sama ada melalui internet ataupun lidah rasmi parti itu.

Itulah prinsip perjuangan kebebasan bersuara yang diamalkan oleh PAS. Apabila ada pihak menulis dengan menghitamkan UMNO walaupun faktanya tidak betul, akan terus dianggap seperti sahih dan benar-benar berlaku kerana ianya memberikan impak yang kuat kepada PAS.

Bila berlaku di sebaliknya, menyalahkan pelaporan media yang berat sebelah sehingga menghitamkan seluruh imej pari lawan walhal, pejuang parti itu sudah lama menutup pintu mindanya dengan perkara-perkara yang negatif terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Kerajaan seolah-olah dilihat “tidak prihatin” dan “berhati perut” apabila menggunakan pasukan keselamatan bagi menyuraikan perusuh pada 1 Ogos lalu, walhal yang harus dikutuk oleh seluruh masyarakat ialah sikap tidak matang penyokong pembangkang mengadakan rusuhan atas alasan yang remeh, iaitu menyampaikan bantahan agar memansuhkan ISA.

Dengan menghasut rakyat keluar merusuh di ibu kota, melaungkan perjuangan yang terlalu memikirkan kepentingan diri dan menidakkan kuasa yang diberikan oleh pengundi, PAS turut bersengkongkol dengan PKR dan DAP. Tetapi, yang jelasnya tidak ramai penyokong DAP yang ikut serta, maka jadilah orang Melayu sebagai “pak turut” yang sudah diperbodohkan secara sengaja.

Cuba bayangkan, apakah dengan menggunakan semangat merusuh seperti berlaku di Thailand mampu menyelesaikan perjuagan memansuhkan ISA. ISA tidak boleh dimansuhkan di atas jalan kerana akta tersebut diluluskan oleh parlimen. Maka untuk memansuhkannya, ia perlu dibawa ke parlimen melalui usul khas. Setelah diluluskan barulah ia boleh dimansuhkan. Buat apa pengundi memilih wakil rakyat dari pakatan rakyat jika tidak mampu menggunakan parlimen untuk memperjuangan kehendak itu, iaitu memansuhkan ISA yang diperjuangkan.

Mungkin akan ada yang menjawab, tidak mungkin kerana tidak cukup keupayaan untuk menentang kekuatan parti pemerintah. PR hanya mempunyai 81 kerusi sedangkan selebihnya ialah milik BN. Untuk membuat keputusan perlukan sokongan majoriti dua pertiga keanggotaan Dewan Rakyat. Kerana menyedari keadaan itulah, maka menggunakan platform kononnya rakyat marahkan ISA.

Kenapa rakyat marahkan ISA, Idris Ahmad perlu mencari jawapannya secara jelas. Tidak payah Idris tanya orang lain, tanyalah diri sendiri apakah sanggup membiarkan diri sendiri ditelanjang habis dan dilondeh semua rahsia kehidupan? Jika jawabnya tidak mahu, ia mungkin memerlukan Idris sendiri memikirkan kembali kenyataannya apabila menyalahkan cyber trooper mengutarakan kontroversi cadangan Tok Guru.

Idris tentu lebih maklum dan faham, tidak semua rahsia perlu didedahkan kepada orang awam demi melangsungkan keselamatan parti. Kalaulah begitu, kenapa Idris perlu menggesa supaya dikenakan tindakan terhadap mereka yang menjadi ahli PAS tetapi menyebarkan pandangan berbeza dan menyebelahi UMNO.Tidakkah ini merupakan prinsip asas dalam berorganisasi yang mempunyai norma dan nilai tersendiri?

Dalam berorganisasi mungkin Idris lupa ada perkara strategik dan ada perkara tidak perlu diketahui oleh semua orang. Idris juga tahu jika ada ahli yang cuba menggugat imej parti perlu diambil tindakan. Begitu jugalah bila kita menerima hak kita sebagai warganegara, kita perlu menjaga dan menentukan peraturan yang dipersetujui dipatuhi. ISA adalah salah satu daripada peraturan yang berhasrat untuk membendung gejala negatif yang sengaja ditimbulkan oleh orang perseorangan atau kumpulan tertentu bagi menjejaskan ketenteraman awam.

Kalau dengan penulisan cyber trooper menjadikan PAS tidak tenteram dan dilihat sedang berpecah dalam kalangan pemimpin besarnya, maka ISA juga ingin membendung perbuatan seperti itu. ISA dikhaskan untuk tujuan menyekat penyebaran maklumat yang keterlaluan, mengundang permusuhan antara kaum, menggugat kestabilan politik dan mengeruhkan nilai-nilai positif. Itulah yang harus difahami oleh Idris sebelum membuat sesuatu tuduhan kerana itulah saya amat berbesar hati apabila Nik Abduh mengatakan “ada pembohongan dilakukan oleh orang PAS.”

"Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata-kata manusia dan peristiwanya, “ dan kerana itulah Nik Abduh terus mengeluh,
"lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakui pada yang benar .”


Sebenarnya sudah lama rakyat memahami gelagat pemimpin PAS yang memperjuangkan Islam tetapi sebenarnya menggunakan wajah Islamik itu untuk kepentingan politik. Ramai rakyat sudah faham politik PAS yang sering menyamakan perjuangan Islamnya adalah tulen dan kerana itulah boleh membawa ke syurga . Retorik itu sudah menjadi jenama kekal PAS hingga kini telah menyebabkan ramai rakyat menyedari, PAS telah melakukan pembohongan terbesar dalam sejarah negara.

PAS telah lama mengongkong pemikiran masyarakat desa dengan falsafah perjuangan salah kerana penentuan ke syurga adalah hak Allah SWT dan bukannya hak mutlak pemimpin PAS.Ukuran yang menjadi timbang tara utamanya ialah sejauhmanakah ketakwaan kita kepada Allah SWT dan bukannya mempercayai setiap patah perkataan Tok Guru yang mahu mengekalkan kuasa politik sehingga akhir hayat. Banyak orang mula mencadangkan agar Tok Guru berundur sebelum berlaku konflik yang serius kerana rakyat Kelantan semakin sedar mereka telah lama didodoikan dengan prinsip “membangun bersama Islam” tetapi makin meningkat gejala HIV , penagihan dadah, jenayah kecurian dan pecah masuk rumah.

PAS Kelantan sebenarnya telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dan kerana itulah Husam Musa lebih gemar mempelawa “orang-orang miskin tinggal dan beristirehat di Kelantan.” Husam amat takut untuk membuka pintu kemewahan di Kelantan kerana ia bakal menyebabkan PAS dilanda wabak cacing tanah yang kepanasan apabila terdedah kepada cahaya matahari.

PAS juga banyak melontarkan fitnah atau sekurang-kurangnya bersubahat dengan rakan-rakan pembangkang memfitnah kerana itu adalah budaya politik yang terlalu inginkan kuasa. Kita boleh dengar banyak ceramah politik yang dilakukan oleh pemimpin PAS melontarkan pandangan negatif terhadap seseorang sehingga boleh menimbulkan fitnah secara berpanjangan. Kita boleh dengar setiap kali Mat Sabu berceramah, ada sahaja tuduhan yang dibuat tanpa mengambil kira fakta sebenar, hanya dilakukan berdasarkan penilaian sepihak.

Kenapa PAS membisu apabila pihak polis dan ada golongan meminta supaya mangsa yang dikatakan dibelasah oleh penyokong UMNO dengan parang tampil membuat laporan agar siasatan dapat dilakukan? Adakah termasuk dalam akal sihat kita bahawa jika seseorang itu ditetak dengan parang, yang terlukanya ialah baju sedangkan tubuh badan tidak luka? Katakan wahai Idris perkara sebenarnya, apakah kejadian itu benar-benar berlaku atau hanya sekadar menipu pengundi?

Begitu juga dengan cadangan membentuk kerajaan perpaduan. Jika tidak benar ada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan, tentunya Tok Guru tidak mencipta masalah untuk menyingkirkan pendokong perjuangan tersebut. Walaupun ada pihak mendakwa mungkin Tok Guru tidak menulis sendiri blognya, apa yang jelas ialah Tok Guru terus mempertahankan apa yang tersiar di dalam tulisan tersebut. Dalam situasi ini apakah Idris sedar bahawa beliau sendirilah yang cuba mengalihkan perbincangan umum dengan kenyataan tertentu agar orang melupakan pertengkaran yang sedang melanda kepimpinan PAS. Selama ini PAS boleh menggunakan teknik disinformation sebagai strategi menyembunyikan keresahan, tetapi kemajuan teknologi menyukarkan usaha tersebut.

Orang boleh melakukan apa saja di mana-mana tanpa perlu melihat atau merujuk kepada pandangan Idris kerana niatnya lebih besar daripada segala-galanya. Itulah hakikat yang perlu ditelan oleh Idris jika mahu orang terus menghormati PAS sebagai pendokong perjuangan Islam, dan bukannya meliberalkan prinsip atas alasan ingin berkuasa sehingga “orang bukan Islam boleh mencerca Islam.” Apakah itu adalah hakikat sebenar perjuangan Islam PAS? Atau hanya sekadar melambangkan kekalutan idealisme dan kekaburan tindakan apabila diberikan sedikit kuasa untuk memerintah?

No comments:

Post a Comment