Apabila ramai penyokong dan simpati kepada parti PAS mempersoalkan kewajaran Tok Guru menulis melalui blognya agar diadakan mukatamar khas bagi membersihkan gejala "ghok ghak", Ketua Penerangan PAS Pusat dengan cepat membuat tuduhan bahawa cyber trooper UMNOlah puncanya.
Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kebenaran yang cuba ditonjolkan Tok Guru bahawa "dua tiga kerat pemimpin PAS perlu dibersihkan" sebagai satu tindakan pelik. Seorang penyokong kuat PAS, Azizi Abdullah yang terkenal dalam bidang sastera turut terpukul dengan tulisan Tok Guru.
Maka Azizi menulis dalam blognya, "Tapi saya benar-benar pening dengan Tuan Guru Nik Aziz. Saya sampai sekarang tak mampu membaca apakah Tuan Guru seorang politikus atau agawan yang zuhud atau seorang pentadbir yang cekap."
Sayuti Omar yang juga merupakan penyokong kuat PAS menjadi resah dengan apa yang ditulis oleh Tok Guru itu. Menurut Sayuti,"..ekoran cadangan itu menyebabkan PAS jadi kelam kabut dan ada ahli yang tidak tidur dan resah memikirkannya. Cadangan Nik Aziz itu memberi gambaran PAS kini sedang dalam gelora, dilanda krisis yang bakal membawa PAS terbelah dua. Pergaduhan antara Nik Aziz dengan Abdul Hadi seolah mereka berdua membelah dua kitab al-Qur'an"
Faisal Tehrani, sasterawan muda yang sedang meningkat naik dan penyokong kuat PAS turut menulis dengan nada kesal terhadap Nik Aziz. Kata Faisal "Sudah tiba masanya (Majlis Syura) PAS secara serius menggantikan Mursyidul Am PASnya yang kian hari kian nanar dan semakin tua. Kewibawaan beliau juga semakin pudar. Kebijaksanaan mencerna masalah sudah semakin terhakis. Beliau hanya mendengar hasutan satu pihak seakan-akan PAS hanya ada satu jalur. Beliau gagal menjadi bapa yang adil untuk semua anak-anaknya."
Tambah Faisal lagi, "Orang yang tidak patut dibela contohnya)beriya-iya dipertahankan . Sebagai "orang PAS" apabila Presiden yang dipilih secara demokratik mahu disingkirkan semata-mata kerana ingin mempertahankan parasit dari luar, maka saya itu sudah melampau."
Yusri Yusuf, Ketua Editor mingguan Wasilah mengulas, "dari pengamatan terhadap gaya bahasa dan teknik penghujahan" tulisan tersebut bukanlah merupakan tulisan Tok Guru sendiri. Ia mungkin ditulis oleh orang lain dan mencadangkan "Mungkin sudah sampai masanya untuk PAS mengadakan sedikit penambahbaikan dalam memastikan lantikan-lantikan strategik yang berkisar di sekitar watak-watak penting parti (baca harakah Islamiah) dibuat secara efisien dan bertanggungjawab."
Berdasarkan telahan tersebut, Yusri percaya bahawa ia dilakukan oleh orang lain dan kerana itu menasihatkan jurutulisnya supaya "Jadilah juru tulis atau penasihat yang menukilkan tulisan atau memberi nasihat berserta dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah: tanpa dilatari sebarang matlamat kepentingan atau keuntungan politik peribadi."
Mungkin kesemua mereka yang terbabit dalam membenci Tok Guru malah Ketua Penerangan PAS Pusat akan pucat lesi dan menyesal jika membaca wawancara antagonis itu dalam wawancaranya dengan Lanjusoh. Wawancara yang tersiar melalui akhbar Harakah edisi terbaru (30 Oktober hingga 1 November) jelas mengungkapkan keadaan sebenar isi hati yang mencetuskan polemik itu.
Tok Guru mengakui bahawa belia menulis melalui blognya atas kesedaran kebimbangan bersebabnya. Untuk tujuan tersebut, saya sengaja mengambil penuh jawapan Tok Guru:
"Pertamanya apabila saya merujuk kepada kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre, mereka menggambarkan hanya 32 peratus pengundi yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat. Ini persoalannya. Dan keduanya disebut sekiranya PAS kekal dengan kapten yang ada sekarang mungkin peratusan itu akan berkurangan. Ini sesuatu perkara yang cukup membimbangkan saya. Ketiganya, ada rombongan daripada Sabah dan Sarawak datang ke rumah saya menanyakan kepada saya bagaimana rakyat hendak bersama dengan Pakatan Rakyat sedangkan dalam PAS ada pemimpin yang hendak bersama UMNO"
Dengan kata lain, Tok Guru apa yang ditulisnya. Tok Guru bukanlah menulis sembarangan atau hanya berdasarkan jurutulisnya. Kalau mungkin pun Tok Guru meminta orang terdekatnya menulis, tetapi tentunya melalui penyuntingan dan kelulusan Tok Guru sendiri sebelum disiarkan. Dan kerana itulah Tok Guru sanggup bertanggungjawab sepenuhnya mengenai tulisan tersebut.
Kata Tok Guru, "Inilah perkara yang benar-benar (kajian oleh Merdeka Centre) mendebarkan hati saya. Biarpun begitu kalau pun saya cuba menafikan 100 peratus masalah yang berlaku, ia tidak bersudahan juga dengan sekadar menafikan begitu sahaja. Sedang UMNO telah menggunakan isu ini secara besar-besaran di Sabah dan Sarawak.Oleh itu untuk menjaga kehormatan PAS yang sekarang mendapat kepercayaan daripada non-muslim perlu saya cepat-cepat menulis artikel tersebut dan memasukkan ke dalam blog saya Jumaat lalu."
Jika itulah situasi sebenar, maka walaupun menurut Yusri ditulis oleh orang lain, ia adalah atas permintaan Tok Guru. Tok Guru mahukan tulisan itu begitu, kerana Tok Guru memangnya mempunyai sebab musabab terbesar yang ingin "menyedarkan pemimpin dan penyokong PAS sendiri."
Dan, kerana itu mungkin boleh kita mengutip derma sebagaimana sering dilakukan oleh PAS untuk mengumpul dana parti, untuk mengadakan satu piala pusingan siapakah juara berbohong tahunan. Jika dibuat pengundian secara SMS dan memasukkan semua tulisan, meneliti apa yang terdapat dalam blog (sama ada pro UMNO, pro PAS, professional UMNO, professional PAS, media arus perdana, media alternatif dan bahan berita) Idris Ahmad mungkin menjadi calon popular. Mungkin boleh dinobatkan sebagai pemenang pertama nanti.
Idris sering memutarbelitkan fakta yang melingkari setiap isu yang timbul. Sewaktu kempen di Bagan Pinang dahulu, Idris menempelak penyokong UMNO kerana membelasah penyokong PAS dengan parang. Hakikatnya, hingga sekrang mangsa tersebut tidak tampil membuat aduan rasmi, dan gambar yang disiar pun hanya menunjukkan bajunya sahaja terkoyak. Apakah bahagian parang tajam itu boleh tidak mengena mangsa? Atau mangsa memangnya mempunyai keramat dan kebal dari dilukai oleh besi atau parang?
Isu yang membingitkan telinga pemimpin PAS bukanlah mainan media atau cyber trooper UMNO. Isu tersebut menjadi nyaring apabila Tok Guru sendiri bimbang mengenai apa yang sedang berlaku dalam PAS kerana sebahagian ahlinya adalah bukannya benar-benar sehidup semati dengan PAS. Mereka tidak boleh tidur berbantal bendera PAS, kerana mereka tahu untuk masuk syurga mesti memenuhi syaratnya, bukan semata-mata dengan menyokong PAS.
Mereka ialah golongan yang bukan boleh ditarik seperti kerbau atau unta. Seekor unta yang ditugaskan membawa banyak kitab, tidak mampu menyelami apa yang terkandung di dalam kitab-kitab yang ditanggungnya. Golongan yang mempersoalkan kewajaran pemikiran dan kata-kata Tok Guru itu merupakan mereka yang memahami kesyumulan ajaran Islam. Mereka membaca kitab. Mereka juga golongan yang berfikir dan bertindak dalam suasana pragmatik, bukannya dalam keadaan ketidaksehaluan kognitif. Tidak mudah diputarbelitkan sebagaimana Ustaz Idris Ahmad uar-uarkan.
Maka, jawablah si Belalang terhadap pertanyaan Tok Nujum: satu, banyak-banyak; dua, sedikit-dikit; tiga, kadang-kadang; dan empat, jarang-jarang. Yang keempat inilah Idris Ahmad, kerana jarang-jarang orang boleh melakukan telahan melulu sebagaimana menuduh cyber trooper UMNO menggegarkan pentas politik PAS sehingga memaksa diadakan satu mesyuarat khas, dan seterusnya, membuat keputusan menggantikan Muktamar Khas dengan seminar pada 7 November nanti di Taman Melewar.
The King and U
1 day ago
No comments:
Post a Comment