Thursday, October 22, 2009

KEHEBATAN PEMIKIRAN MALEK BENNABI


Malik Bennabi (1906-1973) seorang tokoh ilmuwan Islam yang terkenal, dilahirkan di Konstantin, sebuah kota di Algeria Timur. Mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Quran dan pada tahun 1930, melanjutkan pelajaran di Kolej Kejuruteraan di Perancis. Pada tahun 1931, berkahwin dengan wanita Perancis (memeluk Islam). Hasil pergaulan dan pendidikannya, bukan sahaja telah menambahkan nuansa pengetahuan tetapi turut menjadikan beliau seorang yang tajam analisis ilmiah terhadap permasalah sosial.

Sebagai seorang pemikir pembaharuan Islam dan penggerak falsafah kemodenan Algeria, Malik banyak membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam terkenal, antaranya Syeikh al-Maulud bin al-Mauhub, Ibn Hasib dari Algeria, dan Muhammad Abduh.

Antara buku karya Malik Bennabi yang terkenal ialah The Qur’anic Phenomenon: An Essay of a Theory on the Qur’an yang ditulis dalam bahasa Perancis dan diterbitkan pada tahun 1947. Buku ini kemudiannya disunting dan diberikan ulasan terbaru oleh Mohamad El-Tahir El-Mesawi, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diterbitkan pada tahun 2001. Edisi terjemahan ke dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada tahun 2008.

Buku Fenomena al-Quran ini dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian Pertama mengandungi dua bab (Bab 2 dan Bab 3) melandaskan perbincangan berdasarkan beberapa pertimbangan falsafah dan metodologi agama. Bahagian 2 (mengandungi 7 Bab, iaitu dari Bab 4 hingga Bab 10) membahaskan mengenai cirri-ciri kerasulan Muhamad s.a.w yang menjadi penerima wahyu, iaitu al-Quran. Bahagian 3 mengandungi 5 bab (dari Bab 11 hingga 15) membincangkan mengenai ciri-ciri risalah, iaitu kandungan wahyu.

Percubaan mengkaji Fenomena al-Quran oleh Malik Bennabi ini adalah percubaan yang sangat menarik dan telah mendapat perhatian meluas pengkaji Barat atau Arab dan tokoh-tokoh pemikiran tamadun seluruh dunia. Melalui kajian tersebut, Malik cuba menghapuskan sikap imperialistik dalam kalangan umat Islam berhubung dengan falsafah kemodenan. Kemodenan telah dilihat amat berkait rapat dengan falsafah keilmuan barat dan teknologi rentas budaya. Atas platform inilah menyebabkan tamadun yang lahir selepas seolah-olah n kehilangan roh dan semangatnya yang sebenar. Manusia yang mendokongnya terlalu fanatik kepada persoalan fizikal, dan kehidupannya walaupun dilihat selesa secara mekanismenya, tetapi nilai kemanusiaannya.

Tamadun yang berkembang berdasarkan nilai imperialistik menjadikan kehidupan bermasyarakat semakin merosot dan kemanusiaan bangkit semula dalam zaman pasca moden apabila tamadun yang bersifat mekanistik itu gagal mengatasi permasalahan manusia. Manusia semakin dibelenggu masalah sehingga nilai-nilai kehidupan menjadi terlalu bergantung kepada perhitungan statistic dan mekanistik. Kebangkitan dan kelahiran semula sikap kemanusiaan inilah cuba dikaji secara mendalam oleh Malik Bennabi, sikap sufistik yang dipanggil sebagai fenomena al-Quran.

Fenomena Kebangkitan Islam yang semakin rancak telah diremehkan apabila ada tindakan penilaian berdasarkan kayu ukur dan kerangka pemikiran ilmiah Barat. Ketimpangan itu menyebabkan Malik Bennabi melihat sebagai “pemikiran ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan bersifat material yang baru dan semakin diamalkan oleh pemuda Islam” malah menyebabkan pendukung budaya Arab “mendokong pandangan yang diasaskan oleh profesor Barat mereka.”

Orientalisme turut menyusup masuk ke dalam kehidupan intelektual di Negara Islam dan berjaya mengubah orientasi sejarah ke satu tahap yang penting, sehingga menimbulkan pelbagai polemik dan krisis. Bagi membetulkan sikap budaya dan nafas keintelektualan baru yang lebih dinamik, Malik Bennabi berjaya membuktikan bahawa wahyu Allah yang disampaikan melalui perantaraan Nabi Muhamad s.a.w, ”selama lebih 13 abad, al-Quran dianggap sebagai model penulisan paling sempurna dan tidak dapat dihasilkan dengan bahasa Arab oleh sesiapa pun” (hal. 276).

Dengan menggunakan pendekatan psikoanalitik, dan membandingkan pemikiran falsafah Rene Descartes, ahli falsafah Perancis yang bermazhabkan aliran pemikiran berdasarkan keraguan, Malik Bennabi berjaya melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w, walaupun pada asalnya baginda ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai ilmu sebelum menerima wahyu pertama.

Pengikut aliran Descartes mengalami kerumitan dalam memahami fenomena agama dan kerana itu, Malik Bennabi berpendapat kebimbangan itu “kerana kita sentiasa berada dalam situasi tidak menentu apabila berhadapan dengan masalah berhubung dengan kenyataan yang berbeza dalam rangka kerja yang sama seperti panteisme, politeisme dan monteisme.” (hal. 45)

Berdasarkan falsafah fenomenologi yang dipelopori oleh Frederick Hegel, Malik Bennabi berpendapat bahawa “jika suatu kenabian tidak boleh menyediakan ataupun menjelaskan apa-apa bukti, pengulangannya dalam keadaan tertentu membuktikan kewujudan fenomena tersebut secara umum. Justeru itu, perlulah diteliti secara serius keadaan berulang tersebut supaya boleh diletakkan sifat khusus bagi mewujudkan peraturan umum yang boleh digunapakai kepada keseluruhan fenomena itu.” (hal. 47)

Bagi mengembalikan semangat akidah Islam, pengarang mendesak agar al-Quran dikaji secara serius dalam kerangka kajian yang mantap berdasarkan falsafah keimanan. Menurut Malik Bennabi “untuk membawa data yang tepat seperti tepatnya maklumat tentang diri Nabi Muhamad s.a.w dalam mengkaji fenomena al-Quran. Namun kajian ini penting sebagai satu sistem rujukan dalam kajian bersifat analisis ke atas sesuatu fungsi yang berbentuk geometri. Hakikatnya, fenomena yang sedang diteliti ini adalah berkaitan diri Muhamad. Untuk memutuskan bentuk perhubungan ini, langkah yang pertama adalah dengan mewujudkan suatu ciri awal merangkumi semua elemen yang diperlukan untuk memberi maklumat tentang diri tersebut. Pada masa yang sama bertindak sebagai objek, saksi dan hakim dalam hal yang dibincangkan.” (hal. 71)

Ini penting kerana “kita mempunyai alasan yang kukuh, kerana saksi dan hakim ini, memberi jaminan ke atas keterangan dan penghakimannya. Namun, ini tidak akan menghalang kita daripada mengambil langkah kedua serta mewujudkan ciri kedua yang membolehkan kita menilai fenomena ini secara langsung..Tidak ada keraguan yang patut timbul dalam menilai fakta sejarah yang sangat penting kepada persoalan ini khususnya tentang ketepatan pemikirannya serta kejujurannya.” (hal. 71)

Bagi mereka yang berfikiran kritis, kajian yang dipelopori oleh Malik Bennabi menngenai fenomena al-Quran ini tidak akan menghampakan. Sebagai sebuah analisis ilmiah yang menarik, buku ini memangnya merupakan bahan bacaan wajib malah lebih bernuansa berbanding kajian semantik al-Quran yang dibuat oleh seorang professor dari Jepun, atau kajian Fazlur Rahman, Pesan-pesan Terbesar al-Quran.
Dalam meletakkan kesedaran beragama, pengarang melakukan perbandingan dengan dua sistem aliran falsafah, iaitu falsafah yang menekankan bahawa agama sebagai suatu sifat dan naluri semulajadi manusia, dan sebagai sebahagian kecil daripada kejadian sejarah kebudayaan manusia. Falsafah pertama mengutamakan fizikal kerana semuanya dianggap ditentukan berdasarkan jirim, manakala bentuk yang kedua ialah sistem berbentuk metafizik yang memandang jirim itu ditentukan oleh suatu kuasa lain.

Falsafah berasaskan fizikal tidak boleh diterima oleh pengarang untuk melihat fenomena keagamaan kerana “ia adalah satu fenomena semula jadi”,”suatu yang dijadikan”, “ia bertukar dari suatu yang lain dan suatu sebab yang kreatif mutlak”, “suatu kuantiti tertentu yang tersusun tetaoi tidak mampu bergerak, jirim akan menjadi suatu bahan yang hidup, iaitu protoplasma’, “dikawal oleh asas yang tidak bergerak” telah menyebabkan “jirim menempuh dua transformasi yang berlawanan.”

Berdasarkan falsafah metafizik, ia akan “membantu menjelaskan apabila peraturan fizikal tidak mampu memberikan penjelasan berkenaan sesuatu fenomena. Dari sini muncul suatu sistem yang berintegrasi dan harmoni, bebas daripada kelemahan dan percanggahan sistem terdahulu.” (hal. 40) Ini penting difahami kerana perbandingan dua sistem itu bukanlah perbandingan dua bentuk sains, tetapi ia adalah perbandingan dua kepercayaan, iaitu yang mempertuhankan jirim dan membuatkan Tuhan masuk campur.

Oleh itu, menurut Malik Bennabi hanya zaman masalah sosial dan gangguan moral yang “akan memperlagakan sains dan agama. Tetapi apabila ia berlaku disebabkan oleh perjalanan sejarah yang tidak dijangka, seperti Rusia pada akhir peperangan, dan di Perancis selepas Revolusi 1789, malangnya sains yang dipuja berpecah untuk memberi ruang kepada sains yang ringkas dan tulen: iaitu hamba yang merendah diri kepada pembangunan manusia.” (hal. 41)

Malik Bennabi turut membuat perbandingan mengenai kisah Nabi Yusuf a.s berdasarkan versi al-Quran dan kitab Injil (Bible). Perbandingan secara berurutan ayat telah menjadikannya satu perbandingan yang menarik untuk melihat perbezaaan dan ketepatan al-Quran. Ketepatan gambaran mengenai kisah Nabi Yusuf a.s, menurut pengarang “plot kisah ini adalah sama, malah tidak ada perbezaan sama sekali” tetapi antara versi al-Quran dan Bible tetap ada perbezaan yang jelas.”

Versi al-Quran mendedahkan sifat kerohanian yang dapat dilihat dalam kata-kata dan perbuatan manakala versi Bible lebih menekankan sifat orang Mesir, iaitu penyembah berhala yang menonjolkan budaya Yahudi. Misalnya mengenai ayat yang mentafsirkan mimpi raja, “alegori kemarau yang diberikan adalah kurang menyerlah: “Tujuh jagung yang kering memakan tujuh jagung hijau. Sebaliknya, dalam versi al-Quran raja hanya melihat tujuh tangkai yang kering menggantikak tujuh tangkai hijau.

“Oleh itu, versi Bible mempunyai ciri janggal, yang mengesahkan ciri-ciri meragukan dalam ayat berkenaan. Umpamanya, perkara ini dapat dapat dilihat dalam ayat berikut:”Orang Mesir dilarang makan bersama orang Yahudi: kerana ia adalah sesuatu yang keji bagi orang Mesir,” jelas pengarang.

Dua kisah yang digambarkan pengarang mengenai kesan mukjizat al-Quran ke atas Umar al-Khattab yang mendorongnya memeluk Islam dan al-Walid bin al-Mugirah, pemimpin Quraisy yang mengagumi al-Quran, tetapi tetap menyatakan, “Dia (Muhamad) ialah seorang tukang sihir yang menanam bibit kebencian antara seorang anak dengan bapanya.”

Turut mendapat perhatian Malik Bennabi dalam kajian ini ialah mengenai beberapa perkara yang tidak dapat diduga, iaitu beberapa perkataan yeng diturunkan Allah s.w.t tanpa difahami oleh manusia, yang terdapat pada permulaan ayat di dua puluh sembilan surah. Ia dimulakan dengan simbol abjad ringkas, al-muqatta’at, seperti Alif, Lam, Mim, Ra, Kaf, Ta, Ha, Sin, Ya, Sad dan gabungan abjad, yang turut tidak difahami oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Dalam hal ini pengarang berpendapat bahawa “kita tidak boleh mengatakan fenomena ini adalah suatu kebetulan psikologi atau fisiologi yang berlaku pada diri Nabi Muhamad s.a.w. Ataupun menjelaskannya sebagai kekurangan dalam penulisan dalam teks yang dianggap sempurna.” (hal. 277)

Seperti kata penterjemah dan penyusun buku ini, Mohamed Tahir El-Mesawi, “buku yang tidak ternilai harganya ini menerima status kecendekiawan yang selayaknya,” perlu dibaca dan dianalisis secara mendalam oleh setiap orang Islam. Syukurlah, walaupun terlewat 61 tahun sejak mula diterbitkan pada tahun 1947, atau 35 tahun selepas kematian Malik Bennabi barulah umat Islam di Malaysia yang hanya mampu memahami bahasa Melayu boleh membaca analisis ilmiah mengenai fenomena al-Quran.

Meskipun sudah terlewat, intipati perbincangan dan perbahasannya masih lagi relevan, tidak ketinggalan zaman. Ia tetap segar dan mampu menambahkan nuansa pengetahuan ilmiah kita, dan membolehkan kita tetap berpegang teguh kepada keimanan al-Quran bukan berasaskan keautentikannya semata-mata, tetapi kerana keluasan makna dan kedalaman petunjuk yang terdapat di dalamnya.

No comments:

Post a Comment