Showing posts with label ulasan buku. Show all posts
Showing posts with label ulasan buku. Show all posts

Friday, February 12, 2010

MENJADIKAN NABI MUHAMAD SAW IDOLA SETIAP MUSLIM



Setiap kali tiba tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, setiap kali itulah kita diseru, dipapar, diminta, dianjurkan supaya meneladani peribadi mulia yang telah meninggalkan pengaruh yang besar dalam peradaban manusia, melangkaui semua sejarah manusia teragung baik dalam sumbangan pemikiran, tingkahlaku, kehidupan peribadi, kepimpinan, kemasyarakat mahupun kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan.

Mungkin kita pernah mendengar pujian apabila Michael H.Hart meletakkan Nabi Muhamad SAW adalah manusia yang berada dalam urutan pertama sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah. Mungkin juga kita pernah mendengr kata-kata Mahatma Gandhi yang melihat Nabi Muhamad SAW sebagai manusia yang paling agung dan berkeperibadian paling mulia, sehingga turut menjadi faktor motivasi segala tindakan dan keputusan bijaksana dalam memimpin rakyat India menuntut kemerdekaan.

Di celah-celah kekalutan kehidupan moden, yang diterjah dengan ganasnya oleh pelbagai aliran pemikiran dan sikap sinis (sama ada dalam kalangan kumpulan-kumpulan Islam sendiri ataupun bukan Islam), terasa kita sebenarnya masih mencari-cari sosok peribadi yang boleh dijadikan idola. Sosok peribadi yang saban hari muncul dalam zaman ini ternyata kurang menyenangkan, kerana adakalanya seseorang yang kita harapkan menjadi peneraju, akhirnya tidak pernah konsisten dalam setiap kali mengambil keputusan.

Lantas, saya mencari dari sudut sejarah. Mencari dari pelbagai sumber yang pernah dituliskan (terutamanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu – termasuk terjemahan dari pelbagai bahasa asal— serta Indonesia), saya menemukan banyak sekali penulisan mengenai Nabi Muhamad SAW. Untuk membaca kesemua bahan-bahan tersebut, saya terasa amatlah sukar dan meletihkan, namun dari hampir tiga puluh buku kesemuanya, sesekali saya merasakan tidak banyak yang menyentuh emosi.

Saya mungkin tidak tersentuh dengan tulisan Nik Aziz mengenai Nabi Muhamad SAW, tetapi saya lebih memahami dengan baik dua buku karangan Karen Armstrong (keduanya telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia), yang banyak meminjam sumber-sumber klasik yang dikumpul dan dianalisis oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajudin). Terjemahan ke bahasa Melayu karya Martin Lings sudah pun diterbitkan dua tahun lalu sedangkan dalam bahasa Indonesia telah lama menjadi bahan bacaan, beberapa kali diulang cetak dan semakan.

Begitu juga dengan hasil tulisan Muhamad Hussain Heykal, Hayat Muhamad (pertama kali diterbitkan pada tahun 1933 dan dianggap sebagai sebuah penulisan biografi terbaik), yang berasal dari bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ali Audah dalam bahasa Indonesia turut menjadi sumber rujukan penting, walaupun adakalanya terasa berat dan memenatkan. Setelah lama saya terhenti membaca dan mendapatkan buku mengenai Nabi Muhamad SAW, awal tahun ini saya membeli sebuah buku karangan Tariq Ramadhan, yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia pada tahun 2007 oleh R.Cecep Lukman Yasin.

Pada mulanya saya tidak begitu tertarik, sama ada hiasan kulit dan saiznya, tetapi yang mendorongkan saya membelinya ialah kerana pengarangnya merupakan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna. Saya ingin meninjau apakah tulisannya kali ini mampu menggugat atau meruntum emosi pembacaan saya setelah dikecewakan dengan bukunya terdahulu, Teologi Dailog Islam-Barat:Pergumulan Islam Eropa (terjemahan Indonesia diterbitkan pada tahun 2002).

Setelah berjaya menghabiskan bab pertama buku Muhamad: Rasul Zaman Kita, perasaan saya menjadi begitu tersentuh. Tariq berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penulis yang baik melalui sentuhan emosi yang kuat. Sebagai Presiden Jaringan Muslim Eropah, Tariq pernah mempelajari khazanah Islam klasik di Universiti Azhar di peringkat sarjana muda, falsafah dan sastera Perancis di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Geneva. Beliau dilahirkan pada tahun 1962, dalam satu keluarga yang kuat berpegang kepada idealism perjuangan dan gerakan menentang sekularisme pemikiran.

Setelah membaca bahagian pengantarnya, semasa dalam tren komuter untuk pulang rumah pada petang Jumaat, sempena cuti tahun baru 2010, melantun rasa mengingatkan kenangan semasa kecil menyambut Maulidir-Rasul di sebuah surau. Setiap kali tiba hari itu, selain mengiringi mempelai dalam perjalanan ke rumah pengantin dalam istiadat perkahwinan Melayu, orang ramai berselawat memuji kemuliaan sifat dan peribadi Nabi Muhamad SAW.

Tujuan utama Tariq mengolah kehidupan Nabi Muhamad dalam konteks masa sekarang ialah “menjadikan kehidupan Rasul sebagai cermin bagi kita yang mampu menyelami hati dan fikiran mereka sendiri dan memahami berbagai persoalan hidup dan masalah social dan moral yang lebih luas.”(hal.16). Inilah kekuatan yang menarik minat saya membaca ke halaman-halaman berikut sehingga saya menemukan beberapa ramuan menarik, cukup memberansangkan pemikiran, memetakan langkah pencerahan dan cukup autentik.

Ketika Tariq menceritakan zaman kanak-kanak Rasullullah, saya cukup terkesan dengan penjelasannya yang berbeza dengan lain-lain tulisan yang pernah saya baca. Kehidupan Nabi ketika menerima asuhan Halimah di sebuah desa pedalaman Arab, terasa begitu eratnya hubungan baginda dengan persekitaran itu.

Hubungan yang akrab dengan alam menyebabkan tumbuhnya rasa keimanan Nabi yang mendalam, hasil renungannya menjadikan pola hubungan dengan Tuhan semakin terkait sehingga boleh memberikan makna bentuk dan ritual keagamaan. Alam yang penuh dengan tanda-tanda kebesaran Allah itu menandakan kebesaran-Nya, telah berjaya menanamkan rasa kepedulian spiritual dan alam sekitar yang tinggi.(hal 34-41, 258-259, dan 385-387).

Dengan mengutip peristiwa turunnya ayat 190, surah Ali-Imran, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” Ayat ini kemudiannya dihubungkan dengan runtuman emosi Nabi Muhamad SAW menangis sepanjang malam sebaik sahaja ianya diwahyukan. Kemudiannya, si Bilal bertanyakan Nabi mengenai sebab baginda menangis. Nabi menjelaskan kesedihan itu dengan bersabda: “Sungguh celaka orang yang mendengar ayat ini tapi tidak mahu merenungkannya!.”

Hubungan masakini dapat kita bayangkan betapa ganasnya manusia memusnahkan alam sekitar sehingga turut menjejaskan perjalanan semula jadi makhluk. Bukan sahaja secara tragisnya manusia mengalami banjir lumpur, banjir kilat, kegelonsoran tanah, rebut taufan malah berbangga dengan kemusnahan tersebut atas pelbagai alasan. Penerokaan hutan, atas nama pembangunan. Penebangan pokok atas alasan hasil bumi dan sumber ekonomi. Meratakan bukit tanpa memikirkan kelestarian, memusnahkan kehidupan dan meruntuhkan peradaban.

Dari emosi sedih itu, saya terbayangkan bagaimana runtuhnya Higlands Tower suatu ketika dahulu. Saya juga turut merasa sedih dengan tragedi yang pernah menganyutkan rumah orang Asli di Simpang Pulai akibat rakusnya pembalakan di hulu sungai. Saya menjadi sedikit skeptik apabila terbayangkan tragedi runtuhan rumah di Bukit Antarabangsa, atau banjir lumpur yang menenggelamkan lebih 16 buah kampong di Sodiarjo, Surabaya pada tahun 2004 lalu.

Tariq juga mengupas mengenai suasana kehidupan Nabi seharian. Tariq menggambarkan akhlak Nabi dengan penuh hikmah apabila bergaul dengan bukan Islam, cara Nabi bertutur dan menyelesaikan konflik kelompok. Itulah yang membangkitkan rasa kagum saya apabila membandingkan sisi pemimpin sekarang yang lebih banyak mencari helah, menuding jari dan melemparkan tuduhan. Jauh dari sifat kebijaksanaan dan penuh berhikmah.

Usaha Nabi meredakan konflik, Tariq melakarkan kaedah perundingan yang berkesan telah dilaksanakan dengan jayanya. Bagi Tariq, “ia merupakan sanggahan gambling terhadap kecenderungan pemikiran yang muncul secara sporadik di sepanjang sejarah pemikiran Islam – dan hingga saat ini – bahawa sebuah kesepakatan bisa dipandang sah secara moral oleh orang Islam sepanjang ia memiliki karakteristik keislaman dan/atau jika ia dilakukan sendiri oleh orang-orang Islam.”

Kesepakatan Nabi dalam sesuatu perkara sebelum menerima sesuatu wahyu, menurut Tariq, ialah untuk membela keadilan dan menentang penindasan, “pesan Islam sama sekali bukanlah sistem nilai tertutup berlawanan dan berseberangan dengan sistem nilai lainnya. Sejak awal, Nabi tidak memandang kandungan pesan yang dibawanya sebagai ungkapan murni keberbedaan yang bertolak belakang dengan nilai-nilai yang berasal dari masyarakat Arab atau masyarakat lainnya.” (hal.54).

Setlah berhijrah ke Madinah, Nabi diceritakan pernah berdiri menghormati pengkebumian jenazah seorang Yahudi. Para sahabat tergamam dan bertanya. Nabi dengan tegas menjawab:”Bukankah ia juga manusia?”(hal.179). Semasa dalam perjalanan hijrah, Nabi turut menggunakan jasa seorang Badwi bukan Islam sebagai petunjuk arah ke Madinah. Penunjuk arah itu bernama Abdullah ibn Urayqat, begitu juga dalam Perang Uhud, Nabi dibantu oleh seorang bukan Islam (hal. 239).

Ketika baginda dan Abu Bakar menghadapi saat genting, Nabi turut menggantungkan harapan dan kepercayaannya kepada seorang bukan Islam atas kepakarannya di padang pasir. Menurut Tariq:”semua laki-laki dan perempuan yang bergaul dengannya mungkin tidak memiliki keyakinan yang sama dengannya, tetapi mereka memiliki kualiti moral dan/atau kualiti kemanusiaan yang mulia.”(hal.164)

Nabi pernah bertindak tegas dengan kaum Yahudi ketika bermukim di Madinah. Nabi pernah menghalau keluar warga perkampungan Yahudi Bani Nadir (hal.249-255). Ketika Nabi sedang berusaha dan mencari jalan untuk menyelesaikan tuntutan tebusan atas pembunuhan dua orang Yahudi dari Bani Amir (sekutu Bani Nadir), yang dilakukan oleh Amr ibn Umayyah, baginda menerima tentangan dari Bani Nadir, termasuk ancaman bunuh. Baginda terus berunding dengan memberikan masa selama sepuluh hari untuk keluar dari kota Madinah, jika tidak, akan dikenakan hokum bunuh kerana tidak mematuhi kesepakatan yang telah dipersetujui sebelumnya.

Abbullah ibn Ubayy melancarakan provokasi dan akhirnya Nabi mengepung Bani Nadir. Kelompok Yahudi itu terpaksa menyerah diri, tetapi Nabi menarik balik ancaman terdahulu. Baginda tidak membunuh mereka, tetapi membenarkan mereka keluar dari kota Madinah bersama-sama harta kepunyaan mereka.

Begitu juga dengan pengusiran Bani Qaynuqa (hal.210-214). Antara ketegasan dan kelembutan cara penyelesaian Nabi mempunyai sentuhan kemanusiaan yang dalam. Lain-lain peristiwa yang menyentuh emosi ialah saat Nabi mengalami kekalahan dalam Perang Uhud dan melihat jasad tentera Islam yang disiat-siat oleh musuh, termasuk jasa Saidina Hamzah, bapa saudara baginda.

Baginda seakan berdendam dan sebagai manusia, akan merosakkan tiga puluh jasad tentera musuh. Ketika itu turunlah wahyu (ayat 126, surah al-Nahl). Ayat tersebut mengingtkan Nabi bahawa penghormatan terhadap jasad manusia adalah sesuatu yang wajib. Ini mengingatkan Nabi tentang etika perang, urutan keutamaan, menghormati setiap ciptaan Tuhan, maruah manusia, kebijaksanaan dan kesabaran, (hal.243-244).

Rendah diri, bukanlah unsure negative dalam perjalanan peribadi Nabi Muhamad. Tariq mengangkat peristiwa Hijrah berasaskan rasa rendah diri Nabi yang dipersoalkan oleh kaum kafir Mekah. Tiga cabaran tersebut hanya mampu diberikan jawapan keesokannya. Tetapi, dalam tempoh tersebut, tidak ada wahyu telah diturunkan (hal.116-120).

Dua bulan kemudian, Allah menurunkan wahyu (surah al-Kahf, ayat 23-24). Allah memberikan ingatan kepada Nabi bahawa status, pengetahuan dan nasibnya bergantung pada Rabb-nya, Pendidiknya, Yang Maha Esa dan Mahakuasa. Secara jelasnya, ayat-ayat yang terhimpun dalam surah tersebut mengandung tema kerendahan hati dan ketergantungan pada Tuhan. Mengapa kita sentiasa disunatkan agar membacakan surah ini pada hari Jumaat? Di sinilah saya menemukan jawapannya, bersama daya tarikah emosi yang disajikan melalui rentetan peristiwa oleh penulis.

Mengenai hijrah, Tariq mengangkatnya menjadi lebih luas, iaitu mencakupi ujian keimanan. Tulis beliau, “menuntut kaum muslim awal agar selalu belajar untuk tetap setia terhadap makna ajaran Islam di tengah perubahan tempat, budaya, dan memori…Masyarakat Islam awal harus membedakan antara hal-hal yang berasal dari prinsip-prinsip Islam dan hal-hal yang secara khusu terkait dengan budaya Mekah…Pengasingan merupakan sebuah pengalaman yang paling jelas dan mendalam tentang semua itu, kerana ia menyiratkan ketercabutan diri dengan tetap beriman kepada Tuhan yang sama, kepada makna yang sama, dalam lingkungan yang berbeda.”(hal.168-170).

Juga menarik ialah bagaimana Nabi berusaha mengubah kebiasaan dan amalan dalam masyarakat Arab yang tidak sesuai dengan Islam. Ketika di Madinah, seorang jiran berbangsa Parsi menjemput Nabi untuk makan bersama, pada suatu hari. Nabi tidak dibenarkan membawa isteri, maka Nabi menolaknya. Dalam tradisi masyarakat Arab, isteri tidak layak menghadiri majlis bersama suami. Setelah dua kali ditolak, undangan yang ketiga Nabi dibenarkan membawa Aisyah. Kahdiran Aisyah di ruang awam ini mencerminkan sikap Islam sebenar, tidak mendiskriminasikan wanita sebagaimana berlaku dalam dalam tradisi masyarakat Mekah (hal.233-234).

Dari sini kita dapat mempelajari sikap sesetengah pemimpin politik yang berjuang atas nama Islam, tidak mengikuti apa yang telah diteladani oleh Nabi Muhamad SAW apabila mengadakan sesuatu majlis sosial. Isteri boleh menjadi penentang kepada kemungkinan negative sepanjang majlis itu berlangsung, isteri turut menjadi pengawal dan pengimbang dalam setiap gerak geri ketika keseronokan mula mengambil alih. Dari situ juga kita memahami, kenapa Aisyah sering memuji perilaku Nabi malah menyifatkannya sebagai “akhlak al-Qur’an.” (surah al-Ahzab, ayat 21).

Walaupun buku ini tidaklah sedalam dan selengkap lain-lain biografi Nabi Muhamad SAW, penulis sebenarnya telah berjaya menggugat emosi saya untuk terus membuat pembacaan ke perkataan akhir. Pengarang pernah dinobatkan sebagai “pembaharuan dalam bidang kerohanian” oleh majalah Times, sebenarnya berupaya mengungkapkan makna yang segar tentang keteladanan yang boleh kita pungut dari Nabi Muhamad SAW.

Saya menjadi lebih mendekati peribadi Nabi Muhamad SAW lewat buku ini, tetapi, sayangnya tidak banyak daripada kita yang sanggup membaca buku-buku sedemikian. Ketebalan sejumlah 422 halaman, saya terasa amat terhad untuk kita mengetahui lebih banyak lagi telaga teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhamad SAW, tetapi itu mungkin dapat kita temukakan dalam beberapa buku yang lain, kerana menurut carian geogles, berdasarkan entri Nabi Muhamad SAW terdapat 1.57 juta bahan dan buku mengenai Nabi Muhamad SAW sebanyak 883,000 dalam bahasa Melayu dan lebih 2 juta dalam bahasa Inggeris. Bilakah kita mampu membaca semuanya?

Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, walaupun perarakannya telah menimbulkan pelbagi kontroversi poliitk, tidak bermakna kesyahduan kita kepada baginda luput. Biarkan kumpulan yang tidak ingin meraikan hari ulangtahun kelahiran itu, kerana mereka sebenarnya sudah terlampau mementingkan politik, dan inilah dilihat oleh Khalid Abou el Fadhl sebagai muslim puritan yang menghancurkan Islam sendiri. Dengan meneroka kembali keteladanan Nabi Muhamad SAW, marilah kita mulakan langkah memperbetulkan sikap kita dari dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jadi kepada orang lain. BAnyak sekiali yang kita boleh pelajari dari buku ini.

Judul Buku : Muhamad : Rasul Zaman Kita
Judul Asal : In the Footsteps of the Prophet: Lessson from the life of Muhammad.
Penulis : Tariq Ramadan
Penterjemah : R. Cecep Lukman Yasin
Penerbit : PT Serambi, Jakarta
Tebal : 422 halaman.

Monday, December 14, 2009

Krisis keteladanan dalam pengurusan moden


Teori pengurusan barat yang bertunjangkan falsafah materialisme, dari dedaktik kapitalisme, sosialisme mahupun komunisme dilihat semakin gagal untuk menguruskan sumber manusia. Prinsip pengurusan sumber manusia sama ada yang bermula dengan ledakan pemikiran Herbert Simon (organisasi dinamik), McGregor (teori x dan y), Blake dan Mouton (pengurusan grid), Frederick Taylor (ganjaran upah), Peter Drucker (pengurusan moden dan keupayaan ilmu), Peter Senge (organisasi pembelajaran), James C.Maxwell (teori kepimpinan 360 darjah), dan terbaru ialah kecerdasan emosi oleh Daniel Goleman masih belum mampu menjadikan pengurusan sumber manusia tenteram dan harmoni.

Pengurusan sumber manusia semakin sehari semakin bergeser dengan pelbagai tuntutan sehingga membentuk semacam drama dan politik pejabat yang memakan semakin banyak korban. Faham kebendaan yang berakar umbi, seperti peningkatan upah walaupun pada peringkat awalnya menjadi daya tarikan, tetapi sampai satu peringkat akan menghadapi krisis emosi yang parah.

Ini dapat diperhatikan apabila Lee Iacoca, bekas pengurus Perbadanan Chryssler mempersoalkan di manakah perginya pemimpin-pemimpin hebat sesebuah organisasi apabila tidak mampu mempertahankan kelangsungan dan kesinambungan industri. Bukunya mengenai perkara tersebut, Where are Leader Have Gone?. Persoalan lain yang turut menjadi bahan kajian ialah apaah pengharapan seseorang pekerja kepada pemimpin yang menerajui sesebuah organisasi.

Hari ini falsafah materialism telah menyebabkan dunia terjerumus dalam kemelut ekonomi yang berpunca daripada krisis subprima, di mana unsur spekulasi harga hartanah menjadi kayu pengukur memperoleh keuntungan. Kerana itulah mereka yang dilihat pakar dalam pengurusan dan pemasaran hartanah mempunyai pendapatan yang besar dan lumayan. Pengurus yang mahir dengan spekulasi dan perniagaan berdasarkan skrip (idea di atas kertas dan bukanya barangan fizikal) dibayar gaji yang paling lumayan. Akhirnya, banyak pengurus-pengurus tersebut terperangkap dan menyebabkan organisasi mengalami krisis kewangan dan kecairan tunai.

Ada yang terpaksa dijual dan diselamatkan. Tidak kurang pula yang terpaksa ditutup dan diisytiharkan muflis. Dalam pencarian itu timbullah beberapa pendapat mengenai keperluan pengurusan spiritual (spiritual management), pengurusan sufi korporat (corporate mystic management), kecerdasan emosi dan sosial (social and emotional intelligence), dan yang paling terbaru ialah kaedah ESQ 165 yang ditemui oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian. Modiul latihan berasaskan gabungan tiga , iaitu prinsip spiritual (SQ) dibentuk oleh Ihsan, dimensi mental (EQ) dibangunkan oleh 6 prinsip Rukun Iman dan prinsip tindakan berteraskan 5 Rukun Islam.

Secara lebih umum, Haryanto seorang lulusan Fakulti Undang-undang Universiti Indonesia pada tahun 2004 telah menulis sebuah buku mengenai pengurusan sumber manusia berdasarkan teladan Rasullullah s.a.w. Buku tersebut diberikan judul Rasullullah Way of Managing People: Seni Mengelola Sumber Daya Manusia, dan diterbitkan pada bulan Ogos 2008 oleh Khalifa (Pustaka Al-Kautsar Group), Jakarta.

Buku setebal 292 halaman itu cuba mengkaji sifat-sifat kepimpinan Rasullulah s.a.w dalam membangunkan sumber manusia sehingga Islam bukan sahaja berkembang dengan pesat, malah berupaya mengukuhkan hubungan setiap manusia yang bernaung di bawah prinsip Islam. Sebagai pemimpin ulong sepanjang sejarah peradaban manusia, Rasullullah telah menunjukan teladan terbaik dalam pengurusan sehingga diletakkan sebagai manusia yang paling berpengaruh dan menduduki tangga teratas dalam pengurusan.

Dengan menggali pelbagai dimensi kehidupan, baginda bukan sahaja dilihat sebagai seorang rasul, juga seorang pemimpin, pengurus yang paling berkesan dalam sejarah manusia hingga kini. Dalam pengurusan sumber manusia, baginda berjaya membangunkan kumpulan yang sanggup melakukan apa sahaja demi memperkembangkan dakwah Islam, melalui kekuatan visi dan kejelasan misi.

Prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w banyak berasaskan prinsip ketuhanan, kesejagatan, kemanusiaan, kebenaran, keharmonian, adil, mudah, dan dinamik. Prinsip ketuhanan diterapkan dalam setiap ketika, masa dan tindakan sehingga setiap orang merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu ibadah. Prinsip inilah yang cuba diterapkan secara mendalam dalam pengurusan Islam, tetapi sayangnya sebahagian besar pemimpin yang mengetuai organisasi moden Malaysia melupakan hakikat tersebut, malah terlalu mudah melafazkan fahaman pengurusan barat melalui petikan kata-kata pelopor utama dan pendiri falsafah pengurusan sama ada berasaskan behaviorisme ataupun transaksional.

Kekuatan prinsip ini tidak dijelmakan dalam semua bentuk tindakan kecuailah pada permulaannya sahaja, iaitu sekadar berdoa dan memberikan salam. Dalam setiap perncangan lebih mendefinisikan pengurusan dalam bentuk kesan yang boleh diukur, misalnya pulangan pelaburan, hasil yang dikeluarkan dan sebagainya. Hasilnya menyebabkan pekerja hanya dianggap sebagai alat pengeluaran melalui prinsip hubungan manusia-mesin-modal-kaedah-output. Islam menetapkan prinsip pengurusan berdasarkan keyakinan terhadap keredaaan Allah s.w.t, dan dengan itu setiap pekerja menghayati secara mendalam prinsip ketakwaan, kalimat tauhid, pemurnian akidah, penyerahan dan penyempurnaan amanah.

Prinsip pengurusan universal (nilai-nilai kesejagatan) boleh diterapkan pada bila-bila masa, tanpa mengehadkan orang-orang tertentu. Prinsip ini amat berbeza dengan nilai pengurusan barat yang lebih memilih dan mengehadkan tanggungjawab seseorang. Seorang pekerja bawahan tidak digalakkan bergaul pihak atasan, mereka dipisahkan oleh kuasa membuat keputusan. Sumbangan pekerja bawahan ialah mengeluarkan hasil, manakala pekerja atasan menguruskan hasil seperti pemasaran, penentuan harga dan sebagainya. Dalam hal ini, ada kecenderungan pekerja tidak boleh memiliki barangan yang mereka keluarkan, sama ada sebagai pengguna dan pembeli. Ini disebabkan harga yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar walaupun dengan mengumpul semua jumlah upah tahunan.

Prinsip kemanusiaan yang diterapkan dalam pengurusan Rasulullah s.a.w kerana baginda memahami bahawa semua sikap, perilaku prestasinya menjadi teladan setiap orang. Ini amat berbeza dengan prinsip pengurusan barat yang meletakkan kedudukan pemimpin atasan sebagai elit kuasa yang tidak boleh disentuh oleh pekerja bawahan. Prinsip “the boss always right” menjadi amalan sehingga menjadikan pekerja bawahan tidak ubah seperti alat-alat yang lain, boleh dibuang atau disingkirkan tanpa pertimbangan kemanusiaan. Takut menerima ugutan dipecat, pekerja terpaksa akur walaupun arahan yang diberikan ternyata salah dan terkeluar daripada prinsip dan norma kemanusiaan.

Dengan mengetepikan kebenaran, prinsip pengurusan Barat sanggup meletakkan tipu daya sebagai strategi pengurusan sumber manusia. Di sinilah lahirnya pelobi, pembodek yang membelenggu organisasi sehingga menyebabkan mereka yang kurang sifat-sifat itu tidak mendapat tempat yang baik. Mereka yang pandai bercakap, petah menyusun kata-kata dinilai sebagai kekuatan manakala yang mahir dan berketampilan hanyalah sebagai batu loncatan. Prinsip keadilan berdasarkan ruang tugas, hak, kewajiban, kompetensi dan integrity hanyalah menjadi mainan kata-kata, tindakan pemimpin atasan tidak mencerminkan arah tersebut. Maka dengan itulah lahirnya pemimpin yang korup, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme dalam organisasi.

Prinsip pengurusan Rasulullah s.a.w mengaplikasikan prinsip mudah, iaitu sederhana. Prinsip ini akhir-akhir ini cuba dikembangkan oleh Edward de Bono melalui konsep simpilicity, agar setiap orang dalam organisasi memahami tanggungjawabnya. Rasullullah s.a.w tidak memperkenalkan jargon pengurusan yang berbelit-belit sepertimana prinsip pengurusan moden yang diperkenalkan melalui pelbagai teori hasil penyelidikan psikologi terhad. Kaedah penarafan tertentu juga menyebabkan pekrja lebih banyak menghabiskan masa untuk memahami perkara-perkara teknikal berbanding dengan hakikat organisasi itu sendiri.

Kerana terlalu banyak perkara teknikal, kadangkala menyebabkan pengurusan menjadi terlalu sesak dan penuh kepalsuan etika. Setiap hari ada perubahan nilai, yang mana nilai-nilai tersebut semakin melebarkan jarak antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain. Jajaran pekerjaan menjadi terlalu khusus dan antaranya tidak mempunyai interaksi emosi secara dinamik.

Keunggulan pengurusan Rasullullah s.a.w dapat dilihat melalui peribadi yang komunikatif (tabligh) melalui amalan qaulan ma’rufan (perkataan yang baik dan istilah yang lemah lembut), qaulan sadiidin (perkataan yang benar, tidak berbohong dan berbelit-belit), qaulan balighan (fasih, jelas maknanya, terang dan tepat pengungkapannya), qaulan maisuran (tidak melecehkan), qaulan layyinan (perkataan yang lemah lembut)dan qaulan tsaqilan (perkataan yang tepat dan berkesan, boleh menjernihkan perasaan pendengar).

Berbanding dengan pengurusan barat, seorang ketua adakalanya menggunakan kata-kata kesat kepada pekerja bawahan. Apabila pemikiran pekerja bawahan tidak selaras dengan pemikiran atau aspirasinya, maka pekerja tersebut dianggap sebagai bermasalah. Sikap mendidik dan memberikan contoh teladan yang baik tidak pernah ditunjukkan, dan kerana itulah pekerja dilanyak tanpa memikirkan perasaan dan nilai-nilai kemanusiaan. Hakikat kepimpinan seperti inilah yang banyak dilahirkan melalui prinsisp pengurusan barat sehingga menimbulkan pertembungan dan permusuhan.

Pekerja bawahan menjadi terlalu takut untuk menemui pemimpin atasan kerana setiap kali interaksi berlaku, berada dalam suasana memendam rasa, takut, gelisah dan tidak harmoni. Pemimpin atasan bersifat mengarah dan melecehkan setiap pendapat yang berbeza, walhal pekerja bawahanlah sebenarnya banyak menyumbang kepada kelangsungan organisasi. Apabila organisasi menghadapi masalah, pemimpin atasab seringkali menganjurkan perubahan. Keperluan kepada perubahan sikap dan tindakan hanya terhad kepada pekerja bawahan, manakala pekerja atasan masih mengamalkan tabiat lama, menyalahkan orang lain di atas kegagalan organisasi yang dipimpinnya.

Sumber daya pengurusan manusia Rasulullah s.a.w berupaya meletakkan Islam sebagai perimbangan hakikat diri manusia sebagai hamba Allah s.w.t dan ahli kumpulan masyarakat (umat) yang besar. Inilah sumber daya pengurusan yang seharusnya diaplikasikan dalam pengurusan manusia, jika inginkan organisasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan meminggirkan prinsip keteladanan, pengurusan organinasi bukan sahaja bermasalah, tetapi lenyap akhirnya.

Buku ini memberikan pengetahuan asas mengenai prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w dan perlu dipraktikan oleh setiap orang, kerana kita memimpin. Kita perlu mempunyai kekuatan bagi dicontohi oleh orang yang kita pimpin. Kekuatan kepimpinan kita bukan terletak kepada kebolehan kita melecehkan orang lain, ia bergantung kepada kekuatan interaksi dengan orang lain, termasuk menghargai mereka dan meletakkan prinsip tauhid dalam setiap bentuk tindakan dan keputusan.

Thursday, October 22, 2009

KERANA AIR MANUSIA SANGGUP BERPERANG



Malaysia, khususnya Johor merupakan pembekal utama air mentah ke Singapura sejak tahun 1824 lagi. Apabila keperluan air bertambah, Singapura telah melakukan perjanjian peruntukan bekalan air beberapa kali termasuk pada tahun 1927, 1955 dan seterusnya perjanjian-perjanjian selepas merdeka, iaitu pada tahun 1961 dan 1962. Dua perjanjian selepas merdeka inilah yang dilihat lebih menguntungkan Singapura berbanding Malaysia dalam menentukan harga, kawalan keselamatan, pengekalan aset, dan penjualan balik air bersih ke Johor.

Perjanjian pada tahun 1961, yang ditandatangani pada 1 September 1961, kedua negara bersetuju membekalkan air sejumlah 8.6 juta gelen air sehari dengan harga 3 sen bagi setiap 4,500 liter (1,000 gelen)--membeli air bersih dari Singapura dengan harga 25 sen setiap 1000 gelen. Perjanjian ini akan berakhir pada tahun 2011. Kerana takungan air Gunung Pulai, Sg Skudai dan Sg. Tebrau tidak mampu menampung keperluan yang semakin meningkat, perjanjian kedua telah ditandatangani pada tahun 1962, iaitu untuk membekalkan air sebanyak 250 juta gelen (1.1 bilion liter) sehari melibatkan takungan air Linggiu dan Sungai Johor.

Perjanjian kedua ini melibatkan kawasan seluas 20% daripada keluasan Singapura dengan tempoh pajakan selama 99 tahun (tamat pada tahun 2061),dan dalam keadaan apa pun, air tetap dibekalkan walaupun paras takungan air berada di tahap kritikal. Singapura dikhendaki membayar RM 320 juta sebagai gantai rugi ke atas keluasan tanah yang diperlukan untuk membina lebih banyak tangki air yang baru.

Apa yang menjadi persoalan ialah kedua-dua perjanjian tersebut seolah-olah menekan Malaysia apabila diperlukan tanah yang lebih luas, selepas tamat tempoh (2061)dan jika berhasrat tidak menyambung lagi perjanjian bekalan air, Malaysia dikehendaki membayar pampasan berdasarkan nilai struktur bangunan dan kemudahan yang terdapat mengikut nilai semasa, dan harga air mentah ialah 10 sen bagi setiap 1000 gelen, iaitu lebih murah berbanding perjanjian 1961.

Kedua-dua perjanjian itu turut memberikan peluang kepada Singapura untuk melakukan pemecahan batu-batu bukit dan ini membolehkan negara tersebut menjadikan kawasan tersebut sebagai strategic depth, seperti penyediaan kemudahan Forward Operational Base, Droping Zone, Landing Zone, Air Head, Bridge Head Line Objectives, High Value Target, High Pay Of Target, Target Location dan Deception Operation. Ini telah terbukti dengan beberapa kali penangkapan warga Singapura dalam usaha pengintipan pada tahun 1974 (oleh Lt. Syed & Fan Shen Fay), akhir tahun 1980-an (oleh Kumpulan 9) dan awal tahun 1990-an (oleh Kolonel Abas). Mungkin kerana mempunyai jaminan berdasarkan terma perjanjian, melaksanakan kerja air secara bebas memberikan kesempatan untuk melakukan kerja-kerja pengintipan.

Setelah berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965, Singapura mula membina kekuatan pertahanan dengan mengambil penasihat dari Israel, Chaim Herzog. Perlantikan tersebut walaupun menerima bantahan daripada Malaysia, Singapura tetap berdegil kerana menyedari bahawa Israel merupakan contoh terbaik untuk berdepan dengan kepungan Melayu nusantara. Singapura merasakan negaranya tersepit dalam kepungan tersebut berdasarkan kedudukannya antara Malaysia dan Indonesia. Lantaran itu mula menjaidikan Israel sebagai contoh setelah melihat kejayaan negara tersebut berdepan dengan kepungan negara-negara Arab.

Dari pengalaman pahit itulah Singapura membina kekuatan, dari hanya mememiliki dua buah Rejimen, dua buah kapal laut usang dan beberapa buah pesawat udara yang tidak boleh lagi terbang, dan dianggap sebagai "a non-defended independent nation state." Pembesaran ketumbukan ketenteraan bermula pada tahun 1972 apabila Lee Kuan Yew berupaya menukarnya menjadi sebuah negara yang telah sedia berperang dan mempertahankan negaranya. Singapura menggerakkan kekuatan 275,000 orang perkhidmatan nasional (national servicemen), bersama anggota tetap seramai 57,000 orang. Singapura hanya memerlukan masa selama enam jam secara senyap dan terbuka untuk menyelamatkan kawasan takungan air mereka.

Singapura kini mempunyai kekuatan tentera jauh lebih besar daripada Malaysia, malah telah muncul sebagai kekuatan terpenting bagi rantau Asia selepas Taiwan. Menurut Tim Huxley (Defending the Lion City: The Armed Forces of Singapore, 2000), Singapura mempunyai keupayaan untuk menawan sehingga garisan Mersing (Muar-Segamat-Mersing. Keupayaan ini dapat dikaitkan dengan usaha pengintipan warganegara dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi memasuki kawasan-kawasan tertentu mengumpul maklumat termasuk takat air pasang, paras air surut dan bentuk tanah yang terdapat di kawasan pantai sepanjang Tanjong Pengelih di Johor hingga ke sempadan Thailand. Mulai tahun 1967, Singapura telah meningkatkan perbelanjaan tahunannya bagi menyiapkan kelengkapan ketenteraan dan mewajibkan perkhidmatan national service ke atas rakyatnya, terutama yang berketurunan Cina.


Singapura memang telah dan sangat bersedia untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Malaysia apabila isu bekalan air ini terus dijadikan bahan konflik hubungan. Ini dapat dilihat apabila pada tahun 2002 dan 2003 timbul ketegangan. Menteri Besar Johor ketika itu, Muhyidin Yassin pernah mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menegaskan negara Singapura bersedia berperang dengan Malaysia jika bekalan air dari Johor dihentikan. Walaupun beliau tidak pasti sama ada Lee Kuan Yew serius atau sekadar bergurau, tetapi yang jelasnya beliau merupakan orang yang berperwatakan serius dan amat jarang bergurau.

Sejarah peperangan antara negara melibatkan konflik bekalan air telah banyak kali terjadi. India dan Pakistan berperang kerana bekalan air dari Sungai Indus, manakala dengan Bangladesh mengenai Sungai Padma, iaitu sungai yang memisahkan Sungai Gangga di Bhagirathi. Israel berbalah dengan Jordan, Syria dan Pelstin kerana berebut kawasan tadahan air di Litani Basin. Mesir, Sudan, Ethiopia,Uganda, Zaire,Uganda, Kenya,Tanzania,Rwanda, Burundi dan Zaire berbalah kerana berlakunya konflik air di Lembah Sg. Nil.

Maka tidaklah hairan apabila Singapura terus memberikan respons yang keras dan tegas, we will shed blood to defend our country's honour, seperti yang tersiar dalam Economist, 26 September 1998. Pun begitu, lebih menarik lagi apabila Singapura pernah mendakwa bahawa dengan membekalkan air bersih kepada Johor, negara tersebut sebenarnya menanggung subsidi yang besar, iaitu antara RM 21.1 juta (2000), RM 23.9 juta (2001) dan RM 26.5 juta (2002). Ini dijadikan bahan perbincangan untuk memaksa Malaysia tidak memutuskan perjanjian bekalan air, terutamanya perjanjian kedua (1962). Jika perjanjian pertama (1961) ditamatkan pada tahun 2011, Singapura tidak mempunyai banyak masalah kerana mampu ditampung oleh bekalan berjumlah 250 juta gelen sehari dari takungan air yang seluas 20 peratus pulau Singapura di Sungai Johor.

Kerana ingin membebaskan Singapura dari kepungan Melayu nusantara, negara tersebut terus membina rantaian chinese belt, dengan mewujudkan jaringan China Seberang Laut dalam konteks bamboo networks. Kini Singapura mempunyai kekuatan tentera melebihi apa yang ada pada Malaysia, dan ia dikatakan mampu menyerang Malaysia dalam jangkamasa yang singkat bagi menjaga kepentingannya, terutamanya berhubung dengan bekalan air.

Analisis yang dibuat oleh penulis buku ini, Lt. Kolonel Haji Mohd Sani Haji Royan dan Hairil Anuar Husin banyak membantu kita memahami persoalan pokok mengenai konflik bekalan air Malaysia-Singapura. Walau apa pun, kedua pengarang buku yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara ini mengakui bahawa isu air ini akan menjurus kepada pergeseran antara Malaysia-Singapura dan ia memerlukan dasar kepimpinan, kesungguhan dan keikhlasan, memahami serta menjaga sensitiviti antara kaum amatlah diperlukan kerana bakal menjamin keharmonian hubungan kedua negara.

KEHEBATAN PEMIKIRAN MALEK BENNABI


Malik Bennabi (1906-1973) seorang tokoh ilmuwan Islam yang terkenal, dilahirkan di Konstantin, sebuah kota di Algeria Timur. Mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Quran dan pada tahun 1930, melanjutkan pelajaran di Kolej Kejuruteraan di Perancis. Pada tahun 1931, berkahwin dengan wanita Perancis (memeluk Islam). Hasil pergaulan dan pendidikannya, bukan sahaja telah menambahkan nuansa pengetahuan tetapi turut menjadikan beliau seorang yang tajam analisis ilmiah terhadap permasalah sosial.

Sebagai seorang pemikir pembaharuan Islam dan penggerak falsafah kemodenan Algeria, Malik banyak membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam terkenal, antaranya Syeikh al-Maulud bin al-Mauhub, Ibn Hasib dari Algeria, dan Muhammad Abduh.

Antara buku karya Malik Bennabi yang terkenal ialah The Qur’anic Phenomenon: An Essay of a Theory on the Qur’an yang ditulis dalam bahasa Perancis dan diterbitkan pada tahun 1947. Buku ini kemudiannya disunting dan diberikan ulasan terbaru oleh Mohamad El-Tahir El-Mesawi, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diterbitkan pada tahun 2001. Edisi terjemahan ke dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada tahun 2008.

Buku Fenomena al-Quran ini dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian Pertama mengandungi dua bab (Bab 2 dan Bab 3) melandaskan perbincangan berdasarkan beberapa pertimbangan falsafah dan metodologi agama. Bahagian 2 (mengandungi 7 Bab, iaitu dari Bab 4 hingga Bab 10) membahaskan mengenai cirri-ciri kerasulan Muhamad s.a.w yang menjadi penerima wahyu, iaitu al-Quran. Bahagian 3 mengandungi 5 bab (dari Bab 11 hingga 15) membincangkan mengenai ciri-ciri risalah, iaitu kandungan wahyu.

Percubaan mengkaji Fenomena al-Quran oleh Malik Bennabi ini adalah percubaan yang sangat menarik dan telah mendapat perhatian meluas pengkaji Barat atau Arab dan tokoh-tokoh pemikiran tamadun seluruh dunia. Melalui kajian tersebut, Malik cuba menghapuskan sikap imperialistik dalam kalangan umat Islam berhubung dengan falsafah kemodenan. Kemodenan telah dilihat amat berkait rapat dengan falsafah keilmuan barat dan teknologi rentas budaya. Atas platform inilah menyebabkan tamadun yang lahir selepas seolah-olah n kehilangan roh dan semangatnya yang sebenar. Manusia yang mendokongnya terlalu fanatik kepada persoalan fizikal, dan kehidupannya walaupun dilihat selesa secara mekanismenya, tetapi nilai kemanusiaannya.

Tamadun yang berkembang berdasarkan nilai imperialistik menjadikan kehidupan bermasyarakat semakin merosot dan kemanusiaan bangkit semula dalam zaman pasca moden apabila tamadun yang bersifat mekanistik itu gagal mengatasi permasalahan manusia. Manusia semakin dibelenggu masalah sehingga nilai-nilai kehidupan menjadi terlalu bergantung kepada perhitungan statistic dan mekanistik. Kebangkitan dan kelahiran semula sikap kemanusiaan inilah cuba dikaji secara mendalam oleh Malik Bennabi, sikap sufistik yang dipanggil sebagai fenomena al-Quran.

Fenomena Kebangkitan Islam yang semakin rancak telah diremehkan apabila ada tindakan penilaian berdasarkan kayu ukur dan kerangka pemikiran ilmiah Barat. Ketimpangan itu menyebabkan Malik Bennabi melihat sebagai “pemikiran ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan bersifat material yang baru dan semakin diamalkan oleh pemuda Islam” malah menyebabkan pendukung budaya Arab “mendokong pandangan yang diasaskan oleh profesor Barat mereka.”

Orientalisme turut menyusup masuk ke dalam kehidupan intelektual di Negara Islam dan berjaya mengubah orientasi sejarah ke satu tahap yang penting, sehingga menimbulkan pelbagai polemik dan krisis. Bagi membetulkan sikap budaya dan nafas keintelektualan baru yang lebih dinamik, Malik Bennabi berjaya membuktikan bahawa wahyu Allah yang disampaikan melalui perantaraan Nabi Muhamad s.a.w, ”selama lebih 13 abad, al-Quran dianggap sebagai model penulisan paling sempurna dan tidak dapat dihasilkan dengan bahasa Arab oleh sesiapa pun” (hal. 276).

Dengan menggunakan pendekatan psikoanalitik, dan membandingkan pemikiran falsafah Rene Descartes, ahli falsafah Perancis yang bermazhabkan aliran pemikiran berdasarkan keraguan, Malik Bennabi berjaya melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w, walaupun pada asalnya baginda ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai ilmu sebelum menerima wahyu pertama.

Pengikut aliran Descartes mengalami kerumitan dalam memahami fenomena agama dan kerana itu, Malik Bennabi berpendapat kebimbangan itu “kerana kita sentiasa berada dalam situasi tidak menentu apabila berhadapan dengan masalah berhubung dengan kenyataan yang berbeza dalam rangka kerja yang sama seperti panteisme, politeisme dan monteisme.” (hal. 45)

Berdasarkan falsafah fenomenologi yang dipelopori oleh Frederick Hegel, Malik Bennabi berpendapat bahawa “jika suatu kenabian tidak boleh menyediakan ataupun menjelaskan apa-apa bukti, pengulangannya dalam keadaan tertentu membuktikan kewujudan fenomena tersebut secara umum. Justeru itu, perlulah diteliti secara serius keadaan berulang tersebut supaya boleh diletakkan sifat khusus bagi mewujudkan peraturan umum yang boleh digunapakai kepada keseluruhan fenomena itu.” (hal. 47)

Bagi mengembalikan semangat akidah Islam, pengarang mendesak agar al-Quran dikaji secara serius dalam kerangka kajian yang mantap berdasarkan falsafah keimanan. Menurut Malik Bennabi “untuk membawa data yang tepat seperti tepatnya maklumat tentang diri Nabi Muhamad s.a.w dalam mengkaji fenomena al-Quran. Namun kajian ini penting sebagai satu sistem rujukan dalam kajian bersifat analisis ke atas sesuatu fungsi yang berbentuk geometri. Hakikatnya, fenomena yang sedang diteliti ini adalah berkaitan diri Muhamad. Untuk memutuskan bentuk perhubungan ini, langkah yang pertama adalah dengan mewujudkan suatu ciri awal merangkumi semua elemen yang diperlukan untuk memberi maklumat tentang diri tersebut. Pada masa yang sama bertindak sebagai objek, saksi dan hakim dalam hal yang dibincangkan.” (hal. 71)

Ini penting kerana “kita mempunyai alasan yang kukuh, kerana saksi dan hakim ini, memberi jaminan ke atas keterangan dan penghakimannya. Namun, ini tidak akan menghalang kita daripada mengambil langkah kedua serta mewujudkan ciri kedua yang membolehkan kita menilai fenomena ini secara langsung..Tidak ada keraguan yang patut timbul dalam menilai fakta sejarah yang sangat penting kepada persoalan ini khususnya tentang ketepatan pemikirannya serta kejujurannya.” (hal. 71)

Bagi mereka yang berfikiran kritis, kajian yang dipelopori oleh Malik Bennabi menngenai fenomena al-Quran ini tidak akan menghampakan. Sebagai sebuah analisis ilmiah yang menarik, buku ini memangnya merupakan bahan bacaan wajib malah lebih bernuansa berbanding kajian semantik al-Quran yang dibuat oleh seorang professor dari Jepun, atau kajian Fazlur Rahman, Pesan-pesan Terbesar al-Quran.
Dalam meletakkan kesedaran beragama, pengarang melakukan perbandingan dengan dua sistem aliran falsafah, iaitu falsafah yang menekankan bahawa agama sebagai suatu sifat dan naluri semulajadi manusia, dan sebagai sebahagian kecil daripada kejadian sejarah kebudayaan manusia. Falsafah pertama mengutamakan fizikal kerana semuanya dianggap ditentukan berdasarkan jirim, manakala bentuk yang kedua ialah sistem berbentuk metafizik yang memandang jirim itu ditentukan oleh suatu kuasa lain.

Falsafah berasaskan fizikal tidak boleh diterima oleh pengarang untuk melihat fenomena keagamaan kerana “ia adalah satu fenomena semula jadi”,”suatu yang dijadikan”, “ia bertukar dari suatu yang lain dan suatu sebab yang kreatif mutlak”, “suatu kuantiti tertentu yang tersusun tetaoi tidak mampu bergerak, jirim akan menjadi suatu bahan yang hidup, iaitu protoplasma’, “dikawal oleh asas yang tidak bergerak” telah menyebabkan “jirim menempuh dua transformasi yang berlawanan.”

Berdasarkan falsafah metafizik, ia akan “membantu menjelaskan apabila peraturan fizikal tidak mampu memberikan penjelasan berkenaan sesuatu fenomena. Dari sini muncul suatu sistem yang berintegrasi dan harmoni, bebas daripada kelemahan dan percanggahan sistem terdahulu.” (hal. 40) Ini penting difahami kerana perbandingan dua sistem itu bukanlah perbandingan dua bentuk sains, tetapi ia adalah perbandingan dua kepercayaan, iaitu yang mempertuhankan jirim dan membuatkan Tuhan masuk campur.

Oleh itu, menurut Malik Bennabi hanya zaman masalah sosial dan gangguan moral yang “akan memperlagakan sains dan agama. Tetapi apabila ia berlaku disebabkan oleh perjalanan sejarah yang tidak dijangka, seperti Rusia pada akhir peperangan, dan di Perancis selepas Revolusi 1789, malangnya sains yang dipuja berpecah untuk memberi ruang kepada sains yang ringkas dan tulen: iaitu hamba yang merendah diri kepada pembangunan manusia.” (hal. 41)

Malik Bennabi turut membuat perbandingan mengenai kisah Nabi Yusuf a.s berdasarkan versi al-Quran dan kitab Injil (Bible). Perbandingan secara berurutan ayat telah menjadikannya satu perbandingan yang menarik untuk melihat perbezaaan dan ketepatan al-Quran. Ketepatan gambaran mengenai kisah Nabi Yusuf a.s, menurut pengarang “plot kisah ini adalah sama, malah tidak ada perbezaan sama sekali” tetapi antara versi al-Quran dan Bible tetap ada perbezaan yang jelas.”

Versi al-Quran mendedahkan sifat kerohanian yang dapat dilihat dalam kata-kata dan perbuatan manakala versi Bible lebih menekankan sifat orang Mesir, iaitu penyembah berhala yang menonjolkan budaya Yahudi. Misalnya mengenai ayat yang mentafsirkan mimpi raja, “alegori kemarau yang diberikan adalah kurang menyerlah: “Tujuh jagung yang kering memakan tujuh jagung hijau. Sebaliknya, dalam versi al-Quran raja hanya melihat tujuh tangkai yang kering menggantikak tujuh tangkai hijau.

“Oleh itu, versi Bible mempunyai ciri janggal, yang mengesahkan ciri-ciri meragukan dalam ayat berkenaan. Umpamanya, perkara ini dapat dapat dilihat dalam ayat berikut:”Orang Mesir dilarang makan bersama orang Yahudi: kerana ia adalah sesuatu yang keji bagi orang Mesir,” jelas pengarang.

Dua kisah yang digambarkan pengarang mengenai kesan mukjizat al-Quran ke atas Umar al-Khattab yang mendorongnya memeluk Islam dan al-Walid bin al-Mugirah, pemimpin Quraisy yang mengagumi al-Quran, tetapi tetap menyatakan, “Dia (Muhamad) ialah seorang tukang sihir yang menanam bibit kebencian antara seorang anak dengan bapanya.”

Turut mendapat perhatian Malik Bennabi dalam kajian ini ialah mengenai beberapa perkara yang tidak dapat diduga, iaitu beberapa perkataan yeng diturunkan Allah s.w.t tanpa difahami oleh manusia, yang terdapat pada permulaan ayat di dua puluh sembilan surah. Ia dimulakan dengan simbol abjad ringkas, al-muqatta’at, seperti Alif, Lam, Mim, Ra, Kaf, Ta, Ha, Sin, Ya, Sad dan gabungan abjad, yang turut tidak difahami oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Dalam hal ini pengarang berpendapat bahawa “kita tidak boleh mengatakan fenomena ini adalah suatu kebetulan psikologi atau fisiologi yang berlaku pada diri Nabi Muhamad s.a.w. Ataupun menjelaskannya sebagai kekurangan dalam penulisan dalam teks yang dianggap sempurna.” (hal. 277)

Seperti kata penterjemah dan penyusun buku ini, Mohamed Tahir El-Mesawi, “buku yang tidak ternilai harganya ini menerima status kecendekiawan yang selayaknya,” perlu dibaca dan dianalisis secara mendalam oleh setiap orang Islam. Syukurlah, walaupun terlewat 61 tahun sejak mula diterbitkan pada tahun 1947, atau 35 tahun selepas kematian Malik Bennabi barulah umat Islam di Malaysia yang hanya mampu memahami bahasa Melayu boleh membaca analisis ilmiah mengenai fenomena al-Quran.

Meskipun sudah terlewat, intipati perbincangan dan perbahasannya masih lagi relevan, tidak ketinggalan zaman. Ia tetap segar dan mampu menambahkan nuansa pengetahuan ilmiah kita, dan membolehkan kita tetap berpegang teguh kepada keimanan al-Quran bukan berasaskan keautentikannya semata-mata, tetapi kerana keluasan makna dan kedalaman petunjuk yang terdapat di dalamnya.

Monday, September 28, 2009

MEMOIR IMPIAN SEORANG PENJAWAT AWAM YANG TERKANDAS



Membina dan Meruntuh Malaysia (3M) merupakan sebuah memoir seorang penjawat awam yang kecewa. Kecewa kerana melihat perspektif kepimpinan yang silih berganti dalam ruang lingkup pemikiran dan tindakan yang sama. Kecewa kerana kurang memberikan perhatian terhadap kedinamikan politik semasa yang melatari sesuatu bentuk tindakan dan perubahan yang perlu dilakukan oleh seseorang pemimpin bagi terus menjadikannya bukan sahaja relevan malah tangkas bertindak mengatasi cabaran.

Ahmad Mustapha Hassan, seorang pesara penjawat awam dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tun Dr. Mahathir memulakan penulisan dengan keinginan untuk memaparkan “beberapa peristiwa yang mencetuskan rasa terkilan… secara terbuka dan terus terang,” akhirnya terjerat dengan luapan perasaan itu sendiri.

Memoir yang ditulis berlatar belakangkan pengalaman, pengetahuan dan luahan rasa terhapap gaya kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan seterusnya Tun Dr. Mahathir sedikit sebanyak menggambarkan kegelisahan, subjektiviti dan penilaian peribadi yang tidak banyak mengajak pembaca mencabar minda untuk meneroka lebih jauh tentang sesuatu kewajaran yang diambil oleh setiap pemimpin dalam menentukan sesuatu tindakan politik.

Kerana mungkin pengalaman bersama dengan Tun Razak, terlibat secara langsunga dalam beberapa peristiwa dan selari dengan tugas sebagai penjawat awam pada peringkat awal, menjadikan keakraban tersebut sebagai satu catatan yang menarik. Menarik untuk direnung ialah pengarang menjelaskan bahawa “sebagai pegawai awam yang dipandu oleh pelbagai peraturan serta dilatih oleh pegawai-pegawai kanan dalam ilmu dan cara untuk menjadi pentadbir awam yang cekap dan baik,” telah membantu beliau “memberi fokus kepada hala tuju yang betul untuk negara ini maju ke depan.”

Saya tetap tidak menemui apakah sebenarnya beliaulah yang menentukan hala tuju yang betul atau sekadar menyumbang kepada keputusan tersebut. Jika hanya sebagai penyumbang atau membantu kepimpinan melengkapkan rasional sebelum sesuatu keputusan, kita tidak dapat mendabik dada atau menjual harapan telah berupaya melakukan tindakan “hala tuju yang betul.” Hala tuju yang betul itu adalah sesuatu yang subjektif, ia mungkin menjadi betul pada masa keputusan itu dibuat, tetapi tidak betul dalam tempoh waktu yang berbeza.

Itulah tanggapan awal saya setelah selesai membaca buku ini untuk kali kedua. Kali pertama, saya membacanya dalam edisi bahasa Inggeris pada tahun 2007, The Unmaking of Malaysia, manakala kali kedua ialah beberapa hari lalu, iaitu ketika tidak ke mana-mana sepanjang cuti Aidilfitri. Saya membaca kali kedua ini kerana saya tertarik dengan tajuknya, apabila diterjemahkan oleh Abdul Rahman Saadon telah dijodolkan sebagai Membina dan Meruntuh Malaysia: Sebuah Imbasan Orang Dalam Tentang UMNO, Razak dan Mahathir, dan diterbitkan tahun lalu oleh sebuah penerbit yang banyak menerbitkan buku-buku berasaskan pemikiran politik kiri termasuk tulisan bekas anggota Parti Komunis Malaya.

Buku ini mengandungi 15 bab dan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu keistimewaan untuk berkhidmat (5 bab), bagaimana segalanya bermula (4 bab) dan membina dan meruntuh Malaysia (6 bab).

Dalam bahagian pertama pengarang memulakan sebuah elegi yang turut diratapi oleh rakyat Malaysia dengan berita kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976. Pengalaman sebagai setiausaha akhbar selama setahun lebih, walaupun sudah mengenali Tun Razak sejak tahun 1965 sewaktu mula berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman.

Pada bahagian kedua, bermula dari bab 6 pengarang membongkarkan kisah persekolahan, kehidupan desa di Kedah; peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysa dan mengikuti pengajian lepasan ijazah di The Hague (bab 7); mula berkhidmat sebagai penjawat awam di Kedah (bab 8); dan penglibatan dalam politik Umno (bab 9).

Dalam bahagian ketiga, pengarang banyak membuat penilaian mengenai tindakan politik dan dasar yang dilaksanakan oleh Tun Dr. Mahathir termasuk tidak banyak memberikan sokongan terhadap usaha Bernama untuk mengimbangi aliran berita antarabangsa yang berat sebelah.Dalam mengimbas kembali kenangannya bersama Bernama, pengarang menegaskan “politik telah mengancam banyak perkara termasuklah agensi berita nasional. Sudah tiba masanya untuk memikirkan semula. Tiada mogul media tempatan yang mahu memikul tugas menggalakkan berita wilayah yang boleh menyaingi agensi antarabangsa. Motif mengejar keuntungan dan keinginan untuk mengembangkan hasrat itu hanya boleh menimbulkan pertentangan antara satu dengan lain.” (ms. 216).

Mengenai kekecewaan pengarang terhadap politik, kerana sekian lama berbakti kepada UMNO, beliau menggambarkan sebagai “umpama menanam pokok buah-buahan. Bertahun-tahun kita jaga pokok itu dengan baik namun apabila tiba masanya untuk berbuah, orang lain pula yang diberikan peluang untuk memetik buahnya.” (ms. 224). Di sinilah ternyata sekali pengarang amat kecewa dengan keputusan Tun Dr. Mahathir kerana tidak memberikan peluang untuk bertanding walaupun sekian lama bergelumang dengan politik akar umbi. Ini tentunya bercanggah dengan apa yang ditulis oleh pengarang sendiri, iaitu ketika zaman Tun Razak, aktivis politik tidak sangat mengharapkan jawatan, malah untuk mendapatkan calon bagi mewakili Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) adalah sukar kerana penjawat awam takut hilang punca pendapatan dan kedudukannya.

Penglibatan dalam politik adalah untuk menguatkan kedudukan orang Melayu, dan kerana itulah saya melihat pengarang telah cuba mengungkit-ungkitkan nada sesalnya terhadap Tun Dr. Mahathir.Sebagai oarng yang berpengalaman, tentunya beliau sedar bahawa pemilihan dan keputusan memilih seseorang sama ada untuk dicalonkan oleh kepimpinan banyak bergantung kepada keupayaan, hubungan dengan masyarakat terutama dengan pengundi, manakala hubungan persaudaraan hanyalah secara kebetulan. Saya fikir Tun Dr. Mahathir mempunyai sebab tertentu kenapa tidak memilih Ahmad Mustapha Hassan, anak saudaranya untuk bertanding mewakili UMNO, sebaliknya memberikan laluan kepada orang tokoh lain dalam pilihan raya umum 1986 itu.

Mengimbas kembali sebagai setiausaha akhbar, pengarang menjelaskan bahawa sebagai seorang pemimpin yang paling kuat bekerja dan “tidak ada orang opada zamannya, malah sekarang juga yang dapat menandingi dedikasinya terhadap kerja untuk mewujudkan kesaksamaan ekonomi di kalangan rakyat. Tidak ada orang yang begitu mengenali pelbagai kawasan luar Bandar di Malaysia seperti beliau. Tidak ada orang yang telah meluangkan masa meliputi jarak 60,000 batu setahun melawat projek luar Bandar dan menemui penduduk desa seperti beliau, atau bekerja lebih 12 jam sehari demi hendak menghapuskan kemiskinan dalan negara ini.” (ms. 6)

Kerana fokus pembangunan yang dilakukan oleh Tun Razak ialah untuk mengimbangi kedudukan orang Melayu, bagi mengatasi ketidakseimbangkan sosial dan ekonomi yang ditinggalkan oleh penjajah sehingga mengakibatkan rusuhan 13 Mei 1969, menjadikan ianya berbeza dengan apa yang cuba dilaksanakan oleh Tun Mahathir sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun. Namun demikian, kerana pengarang kurang menekankan asas dan rasional kenapa dasar yang diambil oleh Tun Mahathir adalah berbeza, kurang menekankan tumpuan pembangunan luar Bandar ianya telah dianggap sebagai satu daripada beberapa tindakan untuk meruntuh Malaysia.

Kegagalan pengarang memahami perubahan persektiran dan keperluan semasa menjadikan banyak penilaian mengenai apa yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran Tun Dr. Mahathir sebagai langkah atau tindakan yang menyimpang dari “hala tuju negara” dan bertentangan dengan asas yang cuba dilaksanakan oleh Tun Razak. Dalam membuat perbandingan itu, pengarang cuba mempertikaikan setiap tindakan Tun Dr. Mahathir termasuk kurang memberikan penekanan kepada pembangunan luar bandar yang didiami oleh kebanyakan orang Melayu; tidak bersungguh-sungguh menghapuskan kemiskinan kerana lebih menekankan kepada projek tertentu secara penginstitusian; mengubah haluan pembangunan pertanian kepada perindustrian berat dan pembangunan teknologi tinggi (komunikasi dan maklumat); memperbanyakkan projek mega (kurang membina pasarana desa dan kemudahan awam); mengadakan lebih banyak lawatan luar negara berbanding mendekati masyarakat dalam negeri; membina imej dan prestij di peringkat antarabangsa; mengamalkan kempimpinan mengarah (sehingga menimbulkan budaya yes-man, silent critics dan dalam sesetengah keadaan bersifat autokratik); memperkenalkan konsep pemberian tender secara perundingan; dan mencaci dan mencerca orang Melayu secara terbuka.

Meskipun setiap langkah yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir itu dianggap sisi negatif dalam politik Malaysia oleh pengarang, tidak pula membawa Malaysia runtuh sebagai sebuah negara bangsa. Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara bangsa yang paling tidak sekalipun semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Mungkin pengarang lupa, usaha yang cuba dirintis oleh Tun Dr. Mahathir dalam meletakkan imej negara di peringkat antrabangsa kerana dalam hati kecil beliau tersemat sebuah keinginan “tidak mahu orang Melayu dan Islam” terus dikecamukkan oleh rasa rendah diri dan kurang berdaya saing.

Malaysia yang ketika itu turut dijadikan sasaran oleh sesetengah pihak yang melihat bahawa orang Melayu dan Islam begitu kerdil. Revolusi Iran pada tahun 1979 menyebabkan memuncaknya ketakutan terhadap Islam sehingga dianggap sebagai hantu hijau, pergantungan negara terhadap eksport bahan mentah menjadikan situasi ekonomi tidak menentu dan sering terumbang-ambing oleh permainan perdagangan antarabangsa, hubungan serantau yang banyak memberikan kelebihan bersaing kepada Singapura, herdikan pemimpin-pemimpin negara maju terhadap negara-negara membangun, penguasaan teknologi dan bentuk penjajahan baru oleh negara maju, runtuhnya tirai besi yang menyebabkan berakhirnya Perang Dingin, pengaruh dan saling ketergantungan ekonomi global tidak dilihat sebagai faktor-faktor yang perlu disorot oleh pengarang secara ilmiah bagi membantunya menilai rasional tindakan yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir.

Saya mengambil ketetapan tersebut kerana saya yakin sepanjang berkhidmat sebagai Pengurus Besar Bernama, sebuah agensi berita negara, pengarang tentunya mempunyai kelebihan untuk melihat perspektif yang lebih luas. Pengarang hanya cuba menyempitkan kerangka pemikirannya dengan berfikir dalam kepompong yang tidak berubah, walaupun persekitaran dan perkembangan antarabangsa telah berubah dengan begitu pantas. Selama 8 tahun, iaitu dari tahun 1980 hingga 1987 tentunya pengarang mempunyai banyak pengalaman, pengetahuan dan boleh membuat penilaian menarik mengenai perubahan senario politik, budaya dan daya saing global, kerana tempoh tersebut merupakan saat yang agak sukar bagi Malaysia.

Penghujung tahun 1986, hampir semua komoditi Malaysia mengalami kejatuhan harga sehingga menyebabkan petani merintih, menangis tidak dapat menampung kos sara hidup seharian dan dalam suasana tersebutlah negara dilanda krisis politik pada tahun 1987. Tun Dr. Mahathir perlu bertindak dengan tepat dan bijak bagi menyelamatkan keadaan dengan memperkenalkan pelbagai dasar baru termasuk menggerakkan industri berat yang memberikan harapan baru kepada negara. Melalui pembentukan Pelan Induk Perindustrian pada tahun 1986, beberapa bidang keutamaan baru dikenalpasti bagi membolehkan sebahagian komoditi yang dihasilkan dalam negara dijadikan barangan separa siap ataupun siap sepenuhnya.

Pengarang begitu sinis apabila melihat cara Tun Dr. Mahathir menyindir orang Melayu bagi membentuk jatidiri baru selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa, kerana masih berpegang kepada beberapa peraturan tradisi yang bukan sahaja memburukkan lagi kedudukan, malah adakalanya bercanggah dengan prinsip Islam. Tun Dr. Mahathir banyak mengkritik tentang sikap sesetengah orang Melayu yang terlalu taksub dengan pendapat sesetengah tokoh agama, sehingga tokoh agama itu berjaya menakut-nakutkan orang Melayu sendiri dan terus bernaung dalam “kepompong politik jumud itu.” Ini tidak disorot dengan berkesan oleh pengarang bagi menggambarkan semangat baru yang ingin ditanamkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam pemikiran dan budaya orang Melayu, kerana Tun Dr. Mahathir tidak lagi mahu melihat orang Melayu terus mengemis di tanah air sendiri.

Mungkin ada sesuatu yang tidak baik dalam hubungan kekeluargaan antara pengarang dengan Tun Dr. Mahathir telah menyebabkan secara keseluruhan buku ini tidak boleh kita jadikan sebagai pencetus minda positif dalam memperkayakan pengetahuan. Saya hanya mengkategorikan kebanyakan penilaian pegarang kepada langkah dan tindakan sepanjang petadbiran Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun itu cuba dilihat dalam perspektif seorang keponakan yang kecewa. Dia kecewa kerana tidak mendapat banyak faedah daripada bapa saudaranya sendiri, kerana kemungkinan telah dicabar oleh rakan-rakannya sendiri, tidak bijak menggunakan kesempatan dan tidak betah mengeksploitasi keadaan serta terlalu berprinsipkan fahaman sosialis yang sering dijadikan rujukan.

Wednesday, July 29, 2009

MANIFESTASI POLITIK ISLAM DI ASIA TENGGARA



Konsep politik dalam Islam sering dimanifestasikan dengan sikap tertutup dan pandangan yang amat kasar sehingga menjerumuskan bahawa pelaku-pelaku politik dengan keganasan, ortodoks dan ektremis. Pola kelakuan itulah akhirnya menyebabkan wajah politik Islam diukur dengan bilangan keganasan, permusuhan dan perseteruan ideologi walaupun dalam kalangan penganut Islam sendiri, misalnya antara Sunni dan Syiah, konsep pemerintahan berasaskan khalifah dan penguasaan ulamak.

Di tengah-tengah kekalutan itu, Gordon P. Means seorang profesor emeritus sains politik Universiti MacMaster, Amerika Syarikat ingin membuktikan bahawa politik Islam tidak seharusnya dikaburi oleh pandangan-pandangan yang skeptik dan sengaja dilakukan seolah-olah menggambarkan bahawa Islam itu sebagai satu tatacara kehidupan yang menganjurkan perlakuan ganas.

Beliau yang pernah berada di Malaya pada tahun 1954, menggambarkan bahawa “sebelum pilihan raya pertama, parti-parti politik diasaskan hanyalah sebagai tujuan memenuhi keperluan pemimpin-pemimpin bergiat dalam politik.” Namun setelah mengalami proses yang panjang, bergaul dan mengenali lebih dekat dengan penduduk setempat, akhirnya beliau menyedari bahawa pemimpin-pemimpin politik Melayu mampu berbincang dan menganalisis isu-isu politik dengan kaedah yang rasional, rational calculus.Beberapa lama dahulu beliau pernah menulis Malaysian Politics (1976), dan Malaysian Politics:The Second Generation (1991)

Pada tahun 1962 dihantar oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi menjawat jawatan sebagai profesor pelawat Smith –Mundt di Universiti Malaya. Pada mulanya dijangka untuk membantu membangunkan kurikulum pengajian dasar-dasar awam dan dilantik sebagai Senat Universiti. Ketika itu, Tanah Melayu sedang dalam proses menilai pilihan sistem politik di ambang pembentukan Persekutuan Malaysia dan pada tahun 1970-an, beliau mula menyedari dengan kemasukan lebih ramai para pelajar Melayu luar bandar ke pusat-pusat pengajian tinggi awam menjadikan minat penyertaan pelajar dalam politik, peningkatan penggunaan bahasa Melayu, amalan-amalan budaya dan latar belakang pendidikan asal telah menambahkan lagi rencah politik negara.Politik Malaysia di kampus lebih berbentuk keperluan primordial.

Perkembangan tersebut menyebabkan Gordon P. Means mula menyedari bahawa politik Islam akan terus mewarnai politik masa depan Asia Tenggara. Berdasarkan pengalaman berada di Malaysia dan mengadakan kajian-kajian berkaitan tingkahlaku politik di beberapa buah negara Asia Tenggara, beliau akhirnya berjaya menulis sebuah buku yang cuba meninjau kesan dan cabaran mengenai politik Islam dalam perpsektif yang lebih luas.

Buku setebal lebih 400 halaman ini, Political Islam in Southeast Asia, P.Jaya: Strategic Information and Research Develompmen Centre, 2009, membahagikan kepada 5 bahagian utama. Bahagian Pertama cuba melibatkan pemahaman asas mengenai Islam, undang-undang Islam, kedudukan Islam semasa penjajahan dan legasinya ke atas politik tempatan. Bahagian Kedua berhubung dengan cabaran-cabaran politik selepas kemerdekaan Indonesia dan Malaysia.

Bahagian Ketiga ialah mengenai kebangkitan Islam semasa Indonesia dipimpin oleh Suharto, Malaysia oleh Dr. Mahathir dan kebangkitan semangat Jihad di Asia Tenggara selepas revolusi Iran dan pengembangan ideologi poliitik yang dipelopori oleh Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan Maududi. Bahagian Empat membincangkan mengenai pemberontakan dan kumpulan-kumpulan pemisah Moro (Filipina), Aceh (Indonesia), dan Patani (Thailand). Bahagian Kelima merungkaikan mengenai demokrasi dan Islam di Indonesia, etnisiti dan Islam di Malaysia, dan Islam dalam peralihan kebangkitan baru di Asia Tenggara.

Menyoroti perkembangan politik ketika Dr. Mahathir berada ditampok kekuasaan, pengarang melihat bahawa pada tahun pertama banyak menekankan kepada dasar-dasar asas yang dirangka selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu meningkatkan kedudukan ekonomi dan memperbanyakkan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi moden, membentuk dasar-dasar baru yang lebih dinamik bagi mencabar kaedah berfikir kakitangan awam , memberikan jaminan bahawa tidak ada perubahan mengenai Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara.

Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara, Dr. Mahathir yang pernah disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai “ultra Malay” mengambil peluang membebaskan tahanan ISA, melepaskan pengharaman buku Malay Dilemma dan dalam masa yang sama membentangkan pindaan undang-undang Akta Pertubuhan bagi membolehkan kerajaan berkuasa mengawal dan membubarkan kumpulan-kumpulan berkepentingan, pertubuhan-pertubuhan professional dan bukan kerajaan (NGO). Di sebalik memberikan ruang untuk berbincang mengenai politik, Dr. Mahathir turut menggalakkan pertumbuhan kritikan diam, silent critics dan mengurangkan tuntutan mengenai hak-hak asasi manusia.

Bagi membendung ancaman politik dan tuntutan pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan atas platform Islam, Dr. Mahathir telah berjaya membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1981. Kesan kemasukan Anwar Ibrahim, pengikut-pengikut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah berpecah, di mana sebahagian pemimpinnya mengikuti jejak Anwar manakala sebahagian yang lain memasuki PAS dan terus berjuang dalam ABIM.

Pada tahun 1982, Dr. Mahathir menghadapi ujian pertama melalui pilihan raya umum dan berjaya dengan cemerlang menghadapi persaingan ideologi politik dengan PAS hasil kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Menurut pengarang, Anwar dibentuk sebagai “an image of a leader on the move, seeking to build a modern dynamic economy that would be increasingly based on industrialization and producing for world market.For Mahathir, the new emphasis on Islam was expected to generate social and political changes to enable Malays to adapt to demand of an industrialized, highly productive economy. He also viewed Islam as a means to create “Muslim/Malay unity” to ensure Malay support for UMNO and to retain Malay hegemony within the political systems.” (hal. 125).

Usaha juga turut dilakukan bagi mempiawaikan amalan dan doktrin masyarakat Islam termasuk kaedah pencerapan bagi menentukan tarikh permulaan puasa dan hari raya yang sering bercanggah antara satu negeri dengan negeri lain kesan pemakaian dua kaedah yang berlainan, iaitu berdasarkan rukyah dan melihat anak bulan. Dr. Mahathir melihat kaedah ini tidak sepatutnya dilaksanakan secara berbeza kerana ia boleh memberikan gambaran buruk mengenai Islam. Apabila mengumumkan cadangan menggunakan kaedah rukyah, Sultan Johor mencabar Dr. Mahathir kerana dianggap biadab dan tidak menghormati kuasa Raja-Raja Melayu berhubung dengan hal ehwal Islam.

Permulaan itu dianggap oleh pengarang sebagai usaha memberikan makna yang lain kepada percikan amalan Islam othordok yang telah sekian lama digunapakai di Malaysia.Beliau mula menyusun semula kedudukan agensi-agensi kerajaan berkaitan hal ehwal Islam termasuk Bahagian Hal Ehwal Islam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mahathir turut memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran yang menekankan nilai-nilai Islam dan ini telah memberikan tamparan hebat kepada PAS yang pernah menuduh dan mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam. Oleh kerana itu, UMNO dan penyokong-penyokongnya adalah kafir kerana tidak meletakkan gagasan “Islam sebenar” dan memperjuangkan pembentukan sebuah “negara Republik Islam”. Atas dakwaan tersebut, Haji Hadi Awang, Naib Presiden PAS ketika itu menganjurkan supaya rakyat tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan dan menyatakan seseorang yang menentang UMNO, jika dia mati, kematiannya adalah syahid.

Semasa pentadbiran Dr. Mahathir, kes-kes yang melibatkan penyelewengan agama semakin banyak dikesan, antaranya penerbitan buku-buku yang mempertikaikan kesahihan hadis, pergerakan Darul Arqam, konflik orientasi Islam dengan Anwar, satu kepimpinan dua visi (Mahathir dengan Wawasan 2020 dan Anwar dengan Kebangkitan Asia), reformasi kesan pemecatan Anwar dan kes semburit, pilihan raya umum 1999 (imej Dr. Mahathir sebagai diktator, zalim dan kejam), negara Islam dan kontroversi hukum hudud (BN dengan PAS, PAS dengan DAP dan sebagainya).

Mengenai reformasi dan kes semburit , pengarang menjelaskan “Anwar mounted a near-revolutionary rhetoric against “cronyism, corruption, and nepotism” to energize his supporters and encourage their continuing mass protests. ..he was a victim of a “conspricay at the highest levels,” and his lawyers followed this defense strategy. As a result, his defense did not effectively address issues of his illegal acts. As the trials proceeded, the presiding judge became ever more determined to limit Anwar’s political accusations against an unnamed Mahathir. As the trial dragged on, the public became more aware of the excesses of an authoritarian system, and most Malaysians were appelled at the lurid accounts of sexual encounters that became part of daily news report.” (hal.139)

Dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan mengenai tingkah laku politik gerakan Islam di Asia Tenggara, pengarang melihat bahawa politik Islam akan terus menjadi tunjang politik sekurang-kurangnya bagi Malaysia dan Indonesia. Beberapa isu yang dianggap sensitif sebelum ini, mula dibahaskan secara terbuka termasuk keperluan memperbaharui struktur politik dan jaringan pemikiran Islam liberal (termasuk tuntutan Sister in Islam). Perkembangan-perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa, termasuk dasar negara barat memerangi keganasan, ledakan 11 September 2001, masyarakat madani dan etos masyarakat akan membentuk national psyche baru dalam politik Islam.

Walau bagaimanapun, apa yang jelas menurut analisis pengarang, setelah Dr. Mahathir melepaskan baton kuasanya, Abdullah Ahmad Badawi juga gagal “to assure Malays supremacy and guarantee stable political support from Malaysia’s largest religio-ethnic community, neither these two leaders was prepared to propose significant reforms to that structure of authority, perhaps because they were products of that systems…By 2008, with the return of Anwar Ibrahim to the Malaysian political scene, a new configurations of politics was beginning to be formed.” (hal 369-370)

Secara keseluruhannya, buku ini memang menarik untuk dikupas dan dibaca bagi membolehkan kita memahami perubahan-perubahan politik masa depan yang mula ditandai oleh kebangkitan Islam. Dengan tidak menjeruk rasa sangsi terhadap pandangan penganalisis dalam kerangka pemikiran pertembungan antara agama, pengarang berupaya memberikan gambaran kebangkitan Islam berdasarkan perspektif bebas prejudis. Ini mungkin kerana kefahaman pengarang mengenai Islam dan pengaruhnya ke atas masyarakat Melayu (Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina) banyak membantu mencerakinkan manifestasi dan kemunculannya.