Monday, September 28, 2009

MEMOIR IMPIAN SEORANG PENJAWAT AWAM YANG TERKANDAS



Membina dan Meruntuh Malaysia (3M) merupakan sebuah memoir seorang penjawat awam yang kecewa. Kecewa kerana melihat perspektif kepimpinan yang silih berganti dalam ruang lingkup pemikiran dan tindakan yang sama. Kecewa kerana kurang memberikan perhatian terhadap kedinamikan politik semasa yang melatari sesuatu bentuk tindakan dan perubahan yang perlu dilakukan oleh seseorang pemimpin bagi terus menjadikannya bukan sahaja relevan malah tangkas bertindak mengatasi cabaran.

Ahmad Mustapha Hassan, seorang pesara penjawat awam dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tun Dr. Mahathir memulakan penulisan dengan keinginan untuk memaparkan “beberapa peristiwa yang mencetuskan rasa terkilan… secara terbuka dan terus terang,” akhirnya terjerat dengan luapan perasaan itu sendiri.

Memoir yang ditulis berlatar belakangkan pengalaman, pengetahuan dan luahan rasa terhapap gaya kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan seterusnya Tun Dr. Mahathir sedikit sebanyak menggambarkan kegelisahan, subjektiviti dan penilaian peribadi yang tidak banyak mengajak pembaca mencabar minda untuk meneroka lebih jauh tentang sesuatu kewajaran yang diambil oleh setiap pemimpin dalam menentukan sesuatu tindakan politik.

Kerana mungkin pengalaman bersama dengan Tun Razak, terlibat secara langsunga dalam beberapa peristiwa dan selari dengan tugas sebagai penjawat awam pada peringkat awal, menjadikan keakraban tersebut sebagai satu catatan yang menarik. Menarik untuk direnung ialah pengarang menjelaskan bahawa “sebagai pegawai awam yang dipandu oleh pelbagai peraturan serta dilatih oleh pegawai-pegawai kanan dalam ilmu dan cara untuk menjadi pentadbir awam yang cekap dan baik,” telah membantu beliau “memberi fokus kepada hala tuju yang betul untuk negara ini maju ke depan.”

Saya tetap tidak menemui apakah sebenarnya beliaulah yang menentukan hala tuju yang betul atau sekadar menyumbang kepada keputusan tersebut. Jika hanya sebagai penyumbang atau membantu kepimpinan melengkapkan rasional sebelum sesuatu keputusan, kita tidak dapat mendabik dada atau menjual harapan telah berupaya melakukan tindakan “hala tuju yang betul.” Hala tuju yang betul itu adalah sesuatu yang subjektif, ia mungkin menjadi betul pada masa keputusan itu dibuat, tetapi tidak betul dalam tempoh waktu yang berbeza.

Itulah tanggapan awal saya setelah selesai membaca buku ini untuk kali kedua. Kali pertama, saya membacanya dalam edisi bahasa Inggeris pada tahun 2007, The Unmaking of Malaysia, manakala kali kedua ialah beberapa hari lalu, iaitu ketika tidak ke mana-mana sepanjang cuti Aidilfitri. Saya membaca kali kedua ini kerana saya tertarik dengan tajuknya, apabila diterjemahkan oleh Abdul Rahman Saadon telah dijodolkan sebagai Membina dan Meruntuh Malaysia: Sebuah Imbasan Orang Dalam Tentang UMNO, Razak dan Mahathir, dan diterbitkan tahun lalu oleh sebuah penerbit yang banyak menerbitkan buku-buku berasaskan pemikiran politik kiri termasuk tulisan bekas anggota Parti Komunis Malaya.

Buku ini mengandungi 15 bab dan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu keistimewaan untuk berkhidmat (5 bab), bagaimana segalanya bermula (4 bab) dan membina dan meruntuh Malaysia (6 bab).

Dalam bahagian pertama pengarang memulakan sebuah elegi yang turut diratapi oleh rakyat Malaysia dengan berita kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976. Pengalaman sebagai setiausaha akhbar selama setahun lebih, walaupun sudah mengenali Tun Razak sejak tahun 1965 sewaktu mula berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman.

Pada bahagian kedua, bermula dari bab 6 pengarang membongkarkan kisah persekolahan, kehidupan desa di Kedah; peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysa dan mengikuti pengajian lepasan ijazah di The Hague (bab 7); mula berkhidmat sebagai penjawat awam di Kedah (bab 8); dan penglibatan dalam politik Umno (bab 9).

Dalam bahagian ketiga, pengarang banyak membuat penilaian mengenai tindakan politik dan dasar yang dilaksanakan oleh Tun Dr. Mahathir termasuk tidak banyak memberikan sokongan terhadap usaha Bernama untuk mengimbangi aliran berita antarabangsa yang berat sebelah.Dalam mengimbas kembali kenangannya bersama Bernama, pengarang menegaskan “politik telah mengancam banyak perkara termasuklah agensi berita nasional. Sudah tiba masanya untuk memikirkan semula. Tiada mogul media tempatan yang mahu memikul tugas menggalakkan berita wilayah yang boleh menyaingi agensi antarabangsa. Motif mengejar keuntungan dan keinginan untuk mengembangkan hasrat itu hanya boleh menimbulkan pertentangan antara satu dengan lain.” (ms. 216).

Mengenai kekecewaan pengarang terhadap politik, kerana sekian lama berbakti kepada UMNO, beliau menggambarkan sebagai “umpama menanam pokok buah-buahan. Bertahun-tahun kita jaga pokok itu dengan baik namun apabila tiba masanya untuk berbuah, orang lain pula yang diberikan peluang untuk memetik buahnya.” (ms. 224). Di sinilah ternyata sekali pengarang amat kecewa dengan keputusan Tun Dr. Mahathir kerana tidak memberikan peluang untuk bertanding walaupun sekian lama bergelumang dengan politik akar umbi. Ini tentunya bercanggah dengan apa yang ditulis oleh pengarang sendiri, iaitu ketika zaman Tun Razak, aktivis politik tidak sangat mengharapkan jawatan, malah untuk mendapatkan calon bagi mewakili Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) adalah sukar kerana penjawat awam takut hilang punca pendapatan dan kedudukannya.

Penglibatan dalam politik adalah untuk menguatkan kedudukan orang Melayu, dan kerana itulah saya melihat pengarang telah cuba mengungkit-ungkitkan nada sesalnya terhadap Tun Dr. Mahathir.Sebagai oarng yang berpengalaman, tentunya beliau sedar bahawa pemilihan dan keputusan memilih seseorang sama ada untuk dicalonkan oleh kepimpinan banyak bergantung kepada keupayaan, hubungan dengan masyarakat terutama dengan pengundi, manakala hubungan persaudaraan hanyalah secara kebetulan. Saya fikir Tun Dr. Mahathir mempunyai sebab tertentu kenapa tidak memilih Ahmad Mustapha Hassan, anak saudaranya untuk bertanding mewakili UMNO, sebaliknya memberikan laluan kepada orang tokoh lain dalam pilihan raya umum 1986 itu.

Mengimbas kembali sebagai setiausaha akhbar, pengarang menjelaskan bahawa sebagai seorang pemimpin yang paling kuat bekerja dan “tidak ada orang opada zamannya, malah sekarang juga yang dapat menandingi dedikasinya terhadap kerja untuk mewujudkan kesaksamaan ekonomi di kalangan rakyat. Tidak ada orang yang begitu mengenali pelbagai kawasan luar Bandar di Malaysia seperti beliau. Tidak ada orang yang telah meluangkan masa meliputi jarak 60,000 batu setahun melawat projek luar Bandar dan menemui penduduk desa seperti beliau, atau bekerja lebih 12 jam sehari demi hendak menghapuskan kemiskinan dalan negara ini.” (ms. 6)

Kerana fokus pembangunan yang dilakukan oleh Tun Razak ialah untuk mengimbangi kedudukan orang Melayu, bagi mengatasi ketidakseimbangkan sosial dan ekonomi yang ditinggalkan oleh penjajah sehingga mengakibatkan rusuhan 13 Mei 1969, menjadikan ianya berbeza dengan apa yang cuba dilaksanakan oleh Tun Mahathir sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun. Namun demikian, kerana pengarang kurang menekankan asas dan rasional kenapa dasar yang diambil oleh Tun Mahathir adalah berbeza, kurang menekankan tumpuan pembangunan luar Bandar ianya telah dianggap sebagai satu daripada beberapa tindakan untuk meruntuh Malaysia.

Kegagalan pengarang memahami perubahan persektiran dan keperluan semasa menjadikan banyak penilaian mengenai apa yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran Tun Dr. Mahathir sebagai langkah atau tindakan yang menyimpang dari “hala tuju negara” dan bertentangan dengan asas yang cuba dilaksanakan oleh Tun Razak. Dalam membuat perbandingan itu, pengarang cuba mempertikaikan setiap tindakan Tun Dr. Mahathir termasuk kurang memberikan penekanan kepada pembangunan luar bandar yang didiami oleh kebanyakan orang Melayu; tidak bersungguh-sungguh menghapuskan kemiskinan kerana lebih menekankan kepada projek tertentu secara penginstitusian; mengubah haluan pembangunan pertanian kepada perindustrian berat dan pembangunan teknologi tinggi (komunikasi dan maklumat); memperbanyakkan projek mega (kurang membina pasarana desa dan kemudahan awam); mengadakan lebih banyak lawatan luar negara berbanding mendekati masyarakat dalam negeri; membina imej dan prestij di peringkat antarabangsa; mengamalkan kempimpinan mengarah (sehingga menimbulkan budaya yes-man, silent critics dan dalam sesetengah keadaan bersifat autokratik); memperkenalkan konsep pemberian tender secara perundingan; dan mencaci dan mencerca orang Melayu secara terbuka.

Meskipun setiap langkah yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir itu dianggap sisi negatif dalam politik Malaysia oleh pengarang, tidak pula membawa Malaysia runtuh sebagai sebuah negara bangsa. Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara bangsa yang paling tidak sekalipun semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Mungkin pengarang lupa, usaha yang cuba dirintis oleh Tun Dr. Mahathir dalam meletakkan imej negara di peringkat antrabangsa kerana dalam hati kecil beliau tersemat sebuah keinginan “tidak mahu orang Melayu dan Islam” terus dikecamukkan oleh rasa rendah diri dan kurang berdaya saing.

Malaysia yang ketika itu turut dijadikan sasaran oleh sesetengah pihak yang melihat bahawa orang Melayu dan Islam begitu kerdil. Revolusi Iran pada tahun 1979 menyebabkan memuncaknya ketakutan terhadap Islam sehingga dianggap sebagai hantu hijau, pergantungan negara terhadap eksport bahan mentah menjadikan situasi ekonomi tidak menentu dan sering terumbang-ambing oleh permainan perdagangan antarabangsa, hubungan serantau yang banyak memberikan kelebihan bersaing kepada Singapura, herdikan pemimpin-pemimpin negara maju terhadap negara-negara membangun, penguasaan teknologi dan bentuk penjajahan baru oleh negara maju, runtuhnya tirai besi yang menyebabkan berakhirnya Perang Dingin, pengaruh dan saling ketergantungan ekonomi global tidak dilihat sebagai faktor-faktor yang perlu disorot oleh pengarang secara ilmiah bagi membantunya menilai rasional tindakan yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir.

Saya mengambil ketetapan tersebut kerana saya yakin sepanjang berkhidmat sebagai Pengurus Besar Bernama, sebuah agensi berita negara, pengarang tentunya mempunyai kelebihan untuk melihat perspektif yang lebih luas. Pengarang hanya cuba menyempitkan kerangka pemikirannya dengan berfikir dalam kepompong yang tidak berubah, walaupun persekitaran dan perkembangan antarabangsa telah berubah dengan begitu pantas. Selama 8 tahun, iaitu dari tahun 1980 hingga 1987 tentunya pengarang mempunyai banyak pengalaman, pengetahuan dan boleh membuat penilaian menarik mengenai perubahan senario politik, budaya dan daya saing global, kerana tempoh tersebut merupakan saat yang agak sukar bagi Malaysia.

Penghujung tahun 1986, hampir semua komoditi Malaysia mengalami kejatuhan harga sehingga menyebabkan petani merintih, menangis tidak dapat menampung kos sara hidup seharian dan dalam suasana tersebutlah negara dilanda krisis politik pada tahun 1987. Tun Dr. Mahathir perlu bertindak dengan tepat dan bijak bagi menyelamatkan keadaan dengan memperkenalkan pelbagai dasar baru termasuk menggerakkan industri berat yang memberikan harapan baru kepada negara. Melalui pembentukan Pelan Induk Perindustrian pada tahun 1986, beberapa bidang keutamaan baru dikenalpasti bagi membolehkan sebahagian komoditi yang dihasilkan dalam negara dijadikan barangan separa siap ataupun siap sepenuhnya.

Pengarang begitu sinis apabila melihat cara Tun Dr. Mahathir menyindir orang Melayu bagi membentuk jatidiri baru selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa, kerana masih berpegang kepada beberapa peraturan tradisi yang bukan sahaja memburukkan lagi kedudukan, malah adakalanya bercanggah dengan prinsip Islam. Tun Dr. Mahathir banyak mengkritik tentang sikap sesetengah orang Melayu yang terlalu taksub dengan pendapat sesetengah tokoh agama, sehingga tokoh agama itu berjaya menakut-nakutkan orang Melayu sendiri dan terus bernaung dalam “kepompong politik jumud itu.” Ini tidak disorot dengan berkesan oleh pengarang bagi menggambarkan semangat baru yang ingin ditanamkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam pemikiran dan budaya orang Melayu, kerana Tun Dr. Mahathir tidak lagi mahu melihat orang Melayu terus mengemis di tanah air sendiri.

Mungkin ada sesuatu yang tidak baik dalam hubungan kekeluargaan antara pengarang dengan Tun Dr. Mahathir telah menyebabkan secara keseluruhan buku ini tidak boleh kita jadikan sebagai pencetus minda positif dalam memperkayakan pengetahuan. Saya hanya mengkategorikan kebanyakan penilaian pegarang kepada langkah dan tindakan sepanjang petadbiran Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun itu cuba dilihat dalam perspektif seorang keponakan yang kecewa. Dia kecewa kerana tidak mendapat banyak faedah daripada bapa saudaranya sendiri, kerana kemungkinan telah dicabar oleh rakan-rakannya sendiri, tidak bijak menggunakan kesempatan dan tidak betah mengeksploitasi keadaan serta terlalu berprinsipkan fahaman sosialis yang sering dijadikan rujukan.

No comments:

Post a Comment