Tuesday, September 29, 2009

DUNIA TANPA SEMPADAN, CALON PAS BAKAL KECUNDANG

Hari minggu lalu, Tokai secara bersendirian mengunjungi beberapa tempat dalam DUN Bagan Pinang sekadar ingin merasai emosi yang bakal bergegar di sana. Sekadar menemui kawan-kawan lama bagi mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, Tokai sempat bertanyakan khabar apakah Ketua Bahagian Telok Kemang masih lagi mempunyai ikatan kukuh dengan pengundi Bagan Pinang.

Ada teman memberi kenyataan balas, jika Tan Sri Isa dicalonkan semula beliau boleh menopang kembali bendera UMNO dan BN kerana keakrabannya dengan masyarakat setempat. Berbanding dengan potensi calon PAS, yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sendiri, iaitu Zulkefly Mohamad Omar, Tan Sri Isa akan berupaya memberikan kemenangan kerana inilah buat pertama kalinya sejak memasuki arena politik, beliau bertanding di kampong halamannya sendiri.

Tan Sri Isa, 60 tahun, pernah bersekolah di Sek. Keb. Bagan Pinang sebelum meneruskan persekolahannya di Sek Alam Shah dan Universiti Malaya, yang turut diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang. Hubungannya dengan penduduk tempatan adalah akrab kerana sepanjang khidmatnya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun (1982-2004) beliau telah berjaya membina legasinya dengan hampir semua penduduk negeri tanah beradat itu.

Bagi calon PAS, 45 tahun, riak wajahnya yang sukar senyum telah membayangkan bahwa peluang untuk menang adalah sukar. Pertama, sentimen anak tempatan akan turut mempengaruhi kepintarannya menolak hujah sama ada pengundi muda atau berkecuali termakan dengan bahan kempen parti itu. Kedua, hubungannya dengan pengundi tempatan tidaklah mesra kecualilah dengan mereka yang tidak begitu sukakan BN dan penyokong PAS tegar yang tetap tidak akan berubah walaupun diberitakan langit tidak akan runtuh dengan menyokong calon BN.

Semua orang faham dan boleh baca sikap penyokong tegar PAS, walaupun Tok Guru memberikan jaminan tidak akan menggunakan kempen menyerang peribadi, dalam keserakahan mencari kemenangan ia tetap akan digunakan. Inilah yang berlaku sepanjang kempen pilihan raya kecil yang melibatkan pertandingan antara BN dan PAS, termasuk yang terbaru di Permatang Pasir.

PAS tidak akan mengingati janji pemimpinnya, kerana pemimpin mereka seolah-olah lebih mulia daripada semua makhluk yang ada, kadangkala mengambil alih peranan malaikat apabila menentukan kriteria masuk syurga. Kita pernah dengar Tok Guru terkinja-kinja memberikan kenyataan bahawa "Islam PAS lah akan membawa ke syurga" walhal, darjah keimanan seseorang bukan hak mutlak Tok Guru. Hanya malaikat yang diberikan tanggungjawab oleh Allah swt untuk mencatatkannya, manakala seluruh anggota tubuh digerakkan sebagai saksi apabila dibuat perhitungan nanti.

Secara peribadinya saya tahu bahawa Tan Sri Isa ialah seorang mudah menghulurkan bantuan, dan dalam satu majlis yang pernah Tokai hadir, walaupun penduduk tempatan tidak meminta apa-apa pun kecuali kehadiran beliau, semasa berucap secara bergurau bertanya, "dah datang ni, tidak ada apa-apa ke nak minta?"

Khalayak terseyum sipu, tapi tidaklah seteruk senyum kambing Husam Musa yang beria-ia nak bukakan ladang ternakan kambing di Pasir Mas sebagai "jihad ekonomi" mengumumkan, "gantikanlah atap masjid. Dah lama, dah naik berkarat." Khalayak yang hadir puas hati dan sebelum pulang, bersalaman dengan Tan Sri Isa mengucapkan "terima kasih."

Pengalaman kedua ialah ketika rakan-rakan ingin mengadakan satu majlis makan malam dan setiap yang hadir dalam mesyuarat itu mengharapkan Menteri Besar akan hadir. Mereka sanggup menunda tarikh walaupun terpaksa mengambil masa yang lama, asalkan Menteri Besar memberikan jaminan akan hadir. Penduduk tidak mahu orang lain menjadi wakil Menteri Besar walaupun ada exco kanan yang boleh menggantikannya, kerana kehadiran orang lain tidak dianggap dapat memeriah majlis tersebut. Itulah aura dan pautan psikologi Tan Sri Isa dengan orang Negeri Sembilan.

Tan Sri Isa juga merupakan seorang pemimpin yang dapat mengingati nama seseorang dengan baik. Menurut cerita seorang rakan, dia pernah membuat kunjungan hormat di pejabat beliau di Wisma Negeri ketika beberapa hari melaporkan diri sebagai ketua jabatan di Negeri Sembilan. Itu adalah pengalaman rakan saya pada tahun 2000 lalu. Sepanjang bertugas di Negeri Sembilan selama lebih setahun, hanya beberapa kali sahaja dia sempat menghadiri majlis yang dianjurkan oleh beberapa pihak dan dihadiri oleh Tan Sri Isa sebagai VVIP.

Selepas itu rakan saya itu terputus hubungan , tetapi semasa Tan Sri Isa mengiringi anaknya melangsungkan perkahwinan di Bandar Manjalara dua tahun lalu, beliau masih kenal dan ingat nama rakan saya itu. Belum pun sempat rakan saya itu menegur, Tan Sri Isa terus bertanyakan khabar dan mereka berbual buat beberapa ketika.

Sikap rendah diri, mesra dan boleh mengingati orang yang pernah bertemu dengannya merupakan sesuatu yang amat diperlukan dalam kehidupan bersosial dan berorganisasi. Amat sukar untuk kita temui seseorang yang boleh mengingati nama orang yang jarang ditemuinya, bukan sahaja dalam tempoh yang mengambil masa lebih setahun terputus, kalau setelah lima minggu selepas pertemuan pertama itu pun banyak orang telah lupa, kecualilah pertemuan itu merupakan sesuatu yang banyak membingkas atau membingkai memori yang mendalam.

Nampaknya calon PAS sudah lupa dengan ingatan lama bahawa tempat memainkan peranan penting dalam menentukan pengaruh seseorang walaupun teknologi berjaya menceroboh psikologi pemikiran kita. Secara realitinya, orang masih tetap bertanya di manakah tempat asal-usul seseorang itu, kerana dengan mengenali asal-usul itulah menyebabkan orang mempunyai gambaran imej tertentu terhadap seseorang.

Orang Port Dickson dalam sesetengah hal adalah berlainan dengan orang Lenggeng, walaupun dalam Negeri Sembilan. Cara pergaulan dan percakapan orang Port Dickson berlainan dengan orang Lenggeng, termasuk dari segi semantik bahasanya. Tokai tidak berminat untuk membuat ulasan perbezaan ketara antara gaya kebahasaan dan latar semantik antara dua daerah tersebut, walaupun sedikit sebanyak mempunyai pengalaman.

Kalau sempadan tidak penting, jawabnya tidaklah perlu lagi pihak-pihak tertentu melakukan kerja-kerja menyukat tanah, dan meletakkan batu sempadan. Jika sempadan kawasan tidak penting, maka tidaklah banyak kita menghadapi masalah "mencerobohi perairan negara" dan "memasuki kawasan orang lain." Inilah kucar-kacir politik yang cuba dibudayakan oleh sesetengah pihak bagi mewajarkan tindakannya mencari pengaruh dalam kandang yang lain. Kerbau tentunya tidak selesa dan merasakan bahagia bila berada dalam kandang kambing.Begitulah kambing, tidak akan merasa tenang bila dimasukkan dalam reban ayam.

Calon mungkin berkata demikian kerana ingin menghapuskan sekatan psikologi berdasarkan primordial politik, dan menghilangkan rasa takut berdepan dengan pengundi tempatan yang amat menghargai sumbangan silam dan hubungan akrab dengan Tan Sri Isa. Namun demikian, mungkin kita perlu berhati-hati kerana PAS akan tetap menggunakan hubungan dan keterkaitan dengan orang tempatan sebagai sesuatu yang lebih berbentuk assabiyah. Inilah yang menjadi jalan perhitungan PAS selama ini sehinggakan rakyat Kelantan boleh menolak orang Kelantan sendiri dan lebih mempercayai tukang badut dari Sungai Dua, Pulau Pinang walhal orang kampongnya sendiri tidak mahu memilihnya.

Kita mungkin tidak lupa bagaimana Mat Sabu boleh menang di Kelantan. Kita mungkin boleh menerima Nasharudin Mat Isa menang di Bacok, tetapi pengundi Port Dickson akan menyesal sepanjang edah jika memilih PAS dalam PRK Bagan Pinang kali ini, walaupun peniaga telefon ini menawarkan janji-janji yang tidak pasti akan ditunaikan nanti.

Tokai hanya menunggu sama ada calon dari PKR yang akan bertanding, kerana sebelum ini telah memukul canang, walau apa pun tindakan yang akan dikenakan, beliau akan mengambil bahagian. Jika parti PKR tidak memberikan laluan, sanggup bertanding atas tiket Bebas, hanya 3 Oktober nanti akan menentukan benar-benar kokokan ayam jantan ini terus bergema di Bagan Pinang.

No comments:

Post a Comment