Showing posts with label calon bagan pinang.. Show all posts
Showing posts with label calon bagan pinang.. Show all posts

Sunday, October 4, 2009

CERITA-CERITA KECIL DARI BAGAN PINANG

1. AYAM JANTAN JADI AYAM BERAK KAPOR

Sebelum tiba masa masuk gelanggang, ayam jantan itu kuat sekali berkokok. Kokoknya seolah-olah bukan sahaja ingin memberitahu bahawa waktu siang hampir tiba, tapi terus ingin meruntuhkan hagemoni pengaruh dan legasi Tan Isa. Shaharudin, suatu ketika dahulu merupakan ahli UMNO dan memang kenal dengan Ketua Bahagian UMNO Telok Kemang itu. Mungkin Shahrudin turut merupakan salah seorang yang pernah mendapat bantuan dan sokongan Tan Sri Isa.

Kokoknya bunyi nyaring. Ada 30 peratus penyokong kerana beliau adalah anak tempatan. 30 peratus pengundi tersebut merupakan mereka yang tidak sukakan Tan Sri Isa dan yang tidak menyokong calon PAS. Tapi, belum pun sampai ke gelanggang, taji dan paruh nya patah apabila gagal mendapatkan pencadang dan penyokong pengundi tempatan bagi membantunya diterima menjadi calon. Maka, jadilah Shahrudin bagaikan ayam togel yang diserang berak kapur.

Nak campak muka kat mana. Tentunya, kenalannya akan terus membuat andaian bahawa cakapnya sahaja besar, tetapi ...............

2. Surat Khabar Lama, Gas Habis tapi tidak seteruk "kucing kurap."

Peribahasa mengenai kucing kurap memberikan pengertian bahawa, ia tidak lagi boleh menyumbangkan apa-apa atau tidak diterima oleh masyarakat. Dan, kerana itu calon PAS yang sudah tiga kali kalah di kampong halamannya sendiri, maka tidak ada sebab ia boleh diterima oleh orang Bagan Pinang. Lenggeng dan Bagan Pinang sudah kawasan berlainan walaupun, Zulkefley mengatakan bahawa "dunia tanpa sempadan, bukan anak tempatan tidan lagi penting."

Benar, itu hanya dalam dunia siber dan bukan dunia realiti sebenar. Kita tidak boleh langgar sempadan tanah kita, pakai hentam keromo kerana sempadan itulah yang akan menentukan hak dan milik seseorang, atau komuniti. Bukan main serang, ikut kata hati dan pakai rasional yang tidak rasional yang diperjuangkan oleh PAS. PAS tidak pernah rasional dalam tindakannya, dan apabila terdesak mula menggunakan ayat-ayat Qur'an bagi mewajarkan sikapnya sendiri. Banya sangat bermain dengan kata-kata dan terlalu bersifat retorik sehingga menjadikan pengikut tegarnya selalu bermimpikan mati masuk syurga, sedangkan semasa hidup memaki hamun orang lain.

3. SIAPA BERGADUH?

Tersebar berita kononnya apabila Tan Sri Isa dipilih mnenjadi calon BN bagi PRK Bagan Pinang, Menteri Besarnya resah gelisah kerana tidak sehaluan dalam kepimpinan UMNO negeri. Ada teori mengatakan, jika Tan Sri Isa menang, maka kedudukan Mohd Hassan sedikit bermasalah. Maka dicanangkanlah pertautan dengan teori itu, Tan Sri Isa bakal mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar kerana sepanjang kepimpinnya UMNO menang besar sedangkan Mohd Hassan tidak mampu memimpin Negeri Sembilan.

Mohd Hasan turut kalah bagi peti undinya sendiri, walaupun peringkat DUN menang. Bagi menjaga kedudukan Mohd Hassan, beliau khabarnya akan di bawa ke peringkat pusat untuk mengisis jawatan tertentu. Itu teori yang sedang rancak diperkatakan bagi menggambarkan antara kedua tokoh tersebut tidak boleh bekerjasama.

Teori itu sengaja diciptakan bagi memeccahkan solidirati UMNO Telok Kemang, Negeri Sembilan bagi memindahkan sokongan sebahagian besar pengundi Bagan Pinang. Teori itu sengaja dicipta apabila PAS turut terperangkap dengan kedudukannya yang semakin terhimpit dalam Pakatan Pembangkang. PAS di Selangor sedang mengalami gangguan cirit birit yang kronik apabila tidak mendesak rakannya menarik balik desakan supaya Dr. Hassan Ali bertaubat. Speker yang bergerak atas sifat politik kiasu marahkan Dr. Hassan Ali sehingga menuduh pemimpin PAS ITU BERBOHONG.

Malam tadi, Hassan Ali menjawab bahawa yang sebenarnya berbohong ialah Teng Cheng Khim. Hassan terus mencabar supaya Teng bertaubat kerana menurut beliau, sebagai orang Islam taubat selalu dilakukan setiap kali selepas sembahyang. Untuk melengkapkan butirannya, Hassan mengatakan Rasullullah SAW telah melakukan taubat sebanyak 70 kali sehati semalam.

Manakala PAS juga terasa malu kerana kedudukan ADUN Permatang Pasirnya belum lagi disahkan akan dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Hingga kini kedudukan Pesuruhjaya PAS itu masih samar-samar kerana menurut Ustaz Shahabudin, pewartaan tokoh akademik dari USM telahpun diberikan lampu hijau oleh Yang Di Pertuan Agong.

Jika Pulau Pinang tidak mewartakan perkenaan Yang Di Pertuan Agong dan kekal untuk melantik Salleh, bererti berlaku penerhakaan besar kepimpinan negeri. Pada pertengahan Ogos lalu, telah diperkenankan perlantikan Ellias Zakaria bagi menggantikan Ustaz Shahabudin yang dijangka akan tamat pada akhir tahun ini. Tapi, kerana berjanji dalam kempen Permatang Pasir bulan Ogos lalu, Salleh akan dilantik, maka Salleh seakan-akan sedang menunggu buah yang tidak bakal gugur. Kalau Kerajaan Negeri engkar perkenan yang telah dilakukan, bererti sengaja menempah maut. Maka Ketua Menteri sekali lagi diserang, atau mungkin orang Melayu mendesak beliau meletakkan jawatan atau kembali ke Melaka sebagaimana penduduk Kg. Buah Pala pernah lakukan.

UMNO tidak boleh diam dengan perkara ini kerana ia merupakan pelanggaran prinsip dan mencabar kedaulatan undang-undang. Perlantikan tersebut sebenarnya telah dipersetujui oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1, tapi Timbalan Ketua Menteri 1 sekarang masih belum mengeluarkan apa-apa komen kerana sedang asyik mengira apakah kemudahan yang dia dapat.

Maklumlah, sekarang sudah ada kereta mercedes SL350, yang dipandu oleh anak bekas wakil rakyat UMNO. Bila orang tuanya meninggal, keluarga tersebut mula menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim walhal sebelum itu tidak pun mahu mendengar nama tersebut. Ini turut mempengaruhi pengundi Bagan Pinang, kerana PAS sebenarnya kena tenggek kepada DAP di Pulau Pinang. Di Selangor pun demikian, bukan sahaja kena tenggek, kalau boleh akan diterajang sekuat-kuatnya. Tapi, PKR tidak cukup kuasa untuk melontarkan PAS, daya tarik lastik Hassan Ali masih kuat.

Kalau teori retak dalam pemimpin UMNO Negeri Sembilan berlaku, maka tidaklah Menteri Besar boleh berkempen sebumbung dengan Tan Sri Isa. Jawabnya mungkin PAS mahu menutup krisis kepimpinan Nik Aziz dengan Nasharudin Mat Isa sewaktu PRK Manek Urai. Bagi memberikan gambaran bahawa Nasharudin tidak disekat, Nik Aziz cuba mengelak bahawa "tidak tahu Timbalan Presiden PAS itu sakit." Budak kecil yang belum akhil balik pun boleh memberika jawapan bodoh itu. Masakan seorang pemimpin besar tidak tahu keadaan kesihatan atau perkembangan barisan kepimpinan mereka.

4. PENYOKONG PAS BARBARIAN

Dalam zaman moden ini masih berlaku politik barbarian. Ia seolah-olah mengembalikan kita ke zaman batu apabila berjumpa dengan lawan, kita akan melakukan kekasaran sehingga menjadikannya sebagai objek kemarahan, cacian dan sebagainya. Inilah watak barbarian yang banyak kita dengar dan saksikan melalui filem. Pantang jumpa, akan dibelasah sesuka hati tanpa mempedulikan nilai-nilai kemanusiaan dan etika kehidupan.

Syukurlah UMNO tidak melakukan perbuatan terkutuk itu. Penyokong UMNO kalau nak marahkan provokasi PAS, marahlah tapi jangan mengambil sikap barbaric seperti mereka. Kalau ada orang UMNO buat, maka akan dijajalah serata pelosok bahawa UMNO ganas, sedangkan keganasan itu dilakukan oleh penyokong PAS. Kita mungkin sudah masak dengan gelagat mereka kerana di Manek Urai pernah pemimpin UMNO dimaki, di Permatang Pasir wakil rakyat PKR membelasah polis dan di Permatang Pauh, bukan sahaja jurukamera dibelasah dan dirampas kameranya, puteri UMNO pun kena koyak baju.

Jadi, dalam soal ini kita sudah tahu siapakah yang mengamalkan politik ganas. Walaupun UMNo pernah dituduh zalim, UMNO setakat ini tidak tunjuk lagak macam samseng dan tidak mempertahankan orang yang bersalah, walaupun ahlinya sendiri. Tidak seperti pemimpin pembangkang, Salahudin Ayb menafikan kejadian yang menimpa Datuk Azeez, malah menyifatkannya sebagai "sengaja diada-adakan."

Begitu juga pernah pemimpin PKR menafikan penyokongnya terbabit dalam insiden merampas kamera dan mengoyak baju puteri UMNO di Permatang Pauh. Tapi, tidak boleh manfikan apa yang dilakukan oleh Gobalakrishnan di Permatang Pasir, malah menghebohkan cerita di sebaliknya, kononnya polis sengaja mengkhianati wakil rakyat PKR itu. Pembangkang terlalu banyak dolak-daliknya, kerana mahu melindungkan perlakuan ganas dan barbarik itu.

Kita lihat sikap PAS sebenar. Apabila mengecat mata Perdana Menteri dan wajah calon BN ketika kempen Permatang Pasir. Ibrahim Ali pun kena apabila penyokong PAS hilang pertimbanan marahkan beliau yang mencabar Nik Aziz supaya meletakkan jawatan. Pemimpin UMNO tidk pernah melakukan perkara sedemikian walaupun suatu ketika dahulu, Dr.Mahathir pernah dikatakan "mahazalim","mahafiraun","diktator" oleh pemimpin pembangkang, termasuk PAS ketika era reformasi.

Tapi itu tidak bermakna pemimpin UMNO atau penyokongnya akan berdiam diri. Tidak pula membawa maksud UMNO kecut perut, kerana UMNO tidak pernah buta perut dengan sikap PAS. UMNO lebih memilih kaedah politik sederhana, bukan menggunakan gaya samseng untuk memperoleh kuasa. UMNO akan terus kekal di hati orang Melayu walaupun sebahagiannya tidak mahu menerima kenyataan dan mabuk air tembakau Anwar Ibrahim.

Datuk Aziz berada di Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami kesakitan setelah dibelasah oleh penyokong PAS. Khabarnya, beliau termuntah-muntah selepas pulang ke Kuala Lumpur kerana kesan tumbukan tersebut. Tak apalah datuk, biarkanlah pihak polis membuat siasatan...jika mendapat petunjuk, mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan ditangkap.

Tuesday, September 29, 2009

DUNIA TANPA SEMPADAN, CALON PAS BAKAL KECUNDANG

Hari minggu lalu, Tokai secara bersendirian mengunjungi beberapa tempat dalam DUN Bagan Pinang sekadar ingin merasai emosi yang bakal bergegar di sana. Sekadar menemui kawan-kawan lama bagi mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, Tokai sempat bertanyakan khabar apakah Ketua Bahagian Telok Kemang masih lagi mempunyai ikatan kukuh dengan pengundi Bagan Pinang.

Ada teman memberi kenyataan balas, jika Tan Sri Isa dicalonkan semula beliau boleh menopang kembali bendera UMNO dan BN kerana keakrabannya dengan masyarakat setempat. Berbanding dengan potensi calon PAS, yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sendiri, iaitu Zulkefly Mohamad Omar, Tan Sri Isa akan berupaya memberikan kemenangan kerana inilah buat pertama kalinya sejak memasuki arena politik, beliau bertanding di kampong halamannya sendiri.

Tan Sri Isa, 60 tahun, pernah bersekolah di Sek. Keb. Bagan Pinang sebelum meneruskan persekolahannya di Sek Alam Shah dan Universiti Malaya, yang turut diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang. Hubungannya dengan penduduk tempatan adalah akrab kerana sepanjang khidmatnya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun (1982-2004) beliau telah berjaya membina legasinya dengan hampir semua penduduk negeri tanah beradat itu.

Bagi calon PAS, 45 tahun, riak wajahnya yang sukar senyum telah membayangkan bahwa peluang untuk menang adalah sukar. Pertama, sentimen anak tempatan akan turut mempengaruhi kepintarannya menolak hujah sama ada pengundi muda atau berkecuali termakan dengan bahan kempen parti itu. Kedua, hubungannya dengan pengundi tempatan tidaklah mesra kecualilah dengan mereka yang tidak begitu sukakan BN dan penyokong PAS tegar yang tetap tidak akan berubah walaupun diberitakan langit tidak akan runtuh dengan menyokong calon BN.

Semua orang faham dan boleh baca sikap penyokong tegar PAS, walaupun Tok Guru memberikan jaminan tidak akan menggunakan kempen menyerang peribadi, dalam keserakahan mencari kemenangan ia tetap akan digunakan. Inilah yang berlaku sepanjang kempen pilihan raya kecil yang melibatkan pertandingan antara BN dan PAS, termasuk yang terbaru di Permatang Pasir.

PAS tidak akan mengingati janji pemimpinnya, kerana pemimpin mereka seolah-olah lebih mulia daripada semua makhluk yang ada, kadangkala mengambil alih peranan malaikat apabila menentukan kriteria masuk syurga. Kita pernah dengar Tok Guru terkinja-kinja memberikan kenyataan bahawa "Islam PAS lah akan membawa ke syurga" walhal, darjah keimanan seseorang bukan hak mutlak Tok Guru. Hanya malaikat yang diberikan tanggungjawab oleh Allah swt untuk mencatatkannya, manakala seluruh anggota tubuh digerakkan sebagai saksi apabila dibuat perhitungan nanti.

Secara peribadinya saya tahu bahawa Tan Sri Isa ialah seorang mudah menghulurkan bantuan, dan dalam satu majlis yang pernah Tokai hadir, walaupun penduduk tempatan tidak meminta apa-apa pun kecuali kehadiran beliau, semasa berucap secara bergurau bertanya, "dah datang ni, tidak ada apa-apa ke nak minta?"

Khalayak terseyum sipu, tapi tidaklah seteruk senyum kambing Husam Musa yang beria-ia nak bukakan ladang ternakan kambing di Pasir Mas sebagai "jihad ekonomi" mengumumkan, "gantikanlah atap masjid. Dah lama, dah naik berkarat." Khalayak yang hadir puas hati dan sebelum pulang, bersalaman dengan Tan Sri Isa mengucapkan "terima kasih."

Pengalaman kedua ialah ketika rakan-rakan ingin mengadakan satu majlis makan malam dan setiap yang hadir dalam mesyuarat itu mengharapkan Menteri Besar akan hadir. Mereka sanggup menunda tarikh walaupun terpaksa mengambil masa yang lama, asalkan Menteri Besar memberikan jaminan akan hadir. Penduduk tidak mahu orang lain menjadi wakil Menteri Besar walaupun ada exco kanan yang boleh menggantikannya, kerana kehadiran orang lain tidak dianggap dapat memeriah majlis tersebut. Itulah aura dan pautan psikologi Tan Sri Isa dengan orang Negeri Sembilan.

Tan Sri Isa juga merupakan seorang pemimpin yang dapat mengingati nama seseorang dengan baik. Menurut cerita seorang rakan, dia pernah membuat kunjungan hormat di pejabat beliau di Wisma Negeri ketika beberapa hari melaporkan diri sebagai ketua jabatan di Negeri Sembilan. Itu adalah pengalaman rakan saya pada tahun 2000 lalu. Sepanjang bertugas di Negeri Sembilan selama lebih setahun, hanya beberapa kali sahaja dia sempat menghadiri majlis yang dianjurkan oleh beberapa pihak dan dihadiri oleh Tan Sri Isa sebagai VVIP.

Selepas itu rakan saya itu terputus hubungan , tetapi semasa Tan Sri Isa mengiringi anaknya melangsungkan perkahwinan di Bandar Manjalara dua tahun lalu, beliau masih kenal dan ingat nama rakan saya itu. Belum pun sempat rakan saya itu menegur, Tan Sri Isa terus bertanyakan khabar dan mereka berbual buat beberapa ketika.

Sikap rendah diri, mesra dan boleh mengingati orang yang pernah bertemu dengannya merupakan sesuatu yang amat diperlukan dalam kehidupan bersosial dan berorganisasi. Amat sukar untuk kita temui seseorang yang boleh mengingati nama orang yang jarang ditemuinya, bukan sahaja dalam tempoh yang mengambil masa lebih setahun terputus, kalau setelah lima minggu selepas pertemuan pertama itu pun banyak orang telah lupa, kecualilah pertemuan itu merupakan sesuatu yang banyak membingkas atau membingkai memori yang mendalam.

Nampaknya calon PAS sudah lupa dengan ingatan lama bahawa tempat memainkan peranan penting dalam menentukan pengaruh seseorang walaupun teknologi berjaya menceroboh psikologi pemikiran kita. Secara realitinya, orang masih tetap bertanya di manakah tempat asal-usul seseorang itu, kerana dengan mengenali asal-usul itulah menyebabkan orang mempunyai gambaran imej tertentu terhadap seseorang.

Orang Port Dickson dalam sesetengah hal adalah berlainan dengan orang Lenggeng, walaupun dalam Negeri Sembilan. Cara pergaulan dan percakapan orang Port Dickson berlainan dengan orang Lenggeng, termasuk dari segi semantik bahasanya. Tokai tidak berminat untuk membuat ulasan perbezaan ketara antara gaya kebahasaan dan latar semantik antara dua daerah tersebut, walaupun sedikit sebanyak mempunyai pengalaman.

Kalau sempadan tidak penting, jawabnya tidaklah perlu lagi pihak-pihak tertentu melakukan kerja-kerja menyukat tanah, dan meletakkan batu sempadan. Jika sempadan kawasan tidak penting, maka tidaklah banyak kita menghadapi masalah "mencerobohi perairan negara" dan "memasuki kawasan orang lain." Inilah kucar-kacir politik yang cuba dibudayakan oleh sesetengah pihak bagi mewajarkan tindakannya mencari pengaruh dalam kandang yang lain. Kerbau tentunya tidak selesa dan merasakan bahagia bila berada dalam kandang kambing.Begitulah kambing, tidak akan merasa tenang bila dimasukkan dalam reban ayam.

Calon mungkin berkata demikian kerana ingin menghapuskan sekatan psikologi berdasarkan primordial politik, dan menghilangkan rasa takut berdepan dengan pengundi tempatan yang amat menghargai sumbangan silam dan hubungan akrab dengan Tan Sri Isa. Namun demikian, mungkin kita perlu berhati-hati kerana PAS akan tetap menggunakan hubungan dan keterkaitan dengan orang tempatan sebagai sesuatu yang lebih berbentuk assabiyah. Inilah yang menjadi jalan perhitungan PAS selama ini sehinggakan rakyat Kelantan boleh menolak orang Kelantan sendiri dan lebih mempercayai tukang badut dari Sungai Dua, Pulau Pinang walhal orang kampongnya sendiri tidak mahu memilihnya.

Kita mungkin tidak lupa bagaimana Mat Sabu boleh menang di Kelantan. Kita mungkin boleh menerima Nasharudin Mat Isa menang di Bacok, tetapi pengundi Port Dickson akan menyesal sepanjang edah jika memilih PAS dalam PRK Bagan Pinang kali ini, walaupun peniaga telefon ini menawarkan janji-janji yang tidak pasti akan ditunaikan nanti.

Tokai hanya menunggu sama ada calon dari PKR yang akan bertanding, kerana sebelum ini telah memukul canang, walau apa pun tindakan yang akan dikenakan, beliau akan mengambil bahagian. Jika parti PKR tidak memberikan laluan, sanggup bertanding atas tiket Bebas, hanya 3 Oktober nanti akan menentukan benar-benar kokokan ayam jantan ini terus bergema di Bagan Pinang.

Wednesday, September 23, 2009

NASIHAT DAN PANDANGAN TUN DR. MAHATHIR BUAT BN

Awal Syawal, ketika kemeriahan Aidilfitri masih terasa, atau pada bila-bila masa pun adalah tidak menjai kesalahan apabila bekas Perdana Menteri memberikan pandangan bahawa Barisan Nasional khususnya UMNO tidak akan memilih calon yang mempunyai masalah untuk dinobatkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Negeri Sembilan.
Pada awalnya, UMNO Bahagian Telok Kemang memberikan senarai calon tunggal, iaitu Ketua Bahagian Telok Kemang untuk dipilih bagi mewakili BN mengisi kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang berikut kematian penyandangnya dua minggu lalu.
UMNO Bahagian Teok Kemang tentunya tidak mahu ketua bahagian mereka yang telahpun tamat tindakan disiplin setelah didapati terlibat dengan "politik wang" dalam pemilihan jawatan Naib Presiden pada penggal lalu, turut memberikan komen kenapa masyarakat perlu mempertikaikannya jika ia dipilih nanti.
Tan Sri Mohd Isa Samad mengatakan tidak ada sebab kenapa beliau tidak boleh dicalonkan dan bertanding kerana terdapat calon parti pembangkang yang dipenjarakan menjadi calon dan diterima oleh pengundi. Antara contoh yang diberikan ialah Lim Guan Eng yang pernah ditahan di Kemunting, Taiping di bawah ISA dan begitu juga dengan Manoharan, yang bertanding atas pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
Walau apa pun alasan dan rasional yang dibuat, kita tidak boleh mengambil mudah sikap pengundi muda sekarang. Jiwa dan sikap mereka sudah jauh berbeza dengan apa yang berlaku semasa Tan Sri Isa mula menerajui UMNO Telok Kemang dan menjadi Menteri Besar lebih 20 tahun.
Pengundi muda sekarang lebih cenderung kepada perubahan walaupun sebenarnya perubahan yang diperjuangkan belum tentu menjamin kesenangan dan kemakmuran. Pengundi muda amat memerlukan calon yang dapat dilihat boleh bersama mereka dan berfikir sealiran dengan hakikat bahawa generasi muda tidak mempunyai apa-apa lagi yang perlu dianggap hutang budi dengan pemimpin terdahulu.
Bagi generasi muda, apa yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu ialah tanggunjawab mereka setelah diamanahkan manakala masa depan mereka harus ditentukan oleh mereka sendiri. Mereka memerlukan kebebasan untuk bertindak dan melakukan apa yang dianggap penting tanpa terlalu banyak disodorkan dengan idealisme lama yang sudah lagi tidak relevan dengan kehendak sekarang dan akan datang.
Berdasarkan sikap sedemikian, maka adalah wajar bekas Perdana Menteri memberikan nasihat bahawa UMNO tidak memilih calon yang mempunyai masalah walaupun dianggap telah selesai kerana semakin ramai pengundi muda menganggap calon pilihan UMNO Bahagian Telok Kemang itu sebagai tidak sesuai walaupun masih belum diletakkan sebagai liabiliti.
Sumbangan besar Tan Sri Isa terhadap masyarakat Telok Kemang memang besar sehingga menjadikannya sebagai destinasi pelancongan yang terkenal. Tetapi sumbangan tersebut hanyalah dianggap sejarah dan memberikan faedah langsung kepada beberapa pihak seangkatan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Begitu juga dengan teguran Tun Dr. Mahathir terhadap Datuk Seri Samy Vellu. Niat baik Tun Dr. Mahathir ialah untuk melihat bahawa MIC kembali mempunyai pengaruh kerana semakin lama beliau berkuasa, kaum India semakin berpecah oleh sebab kepimpinannya yang tidak sanggup menerima teguran dan dilihat diktator. Ada pihak melihat Datuk Seri Samy Vellu sebagai liabiliti kepada masyarakat India walaupun pernah suatu ketika dahulu dianggap wira.
Akibat terlalu lama berada dipuncak kuasa, Samy Vellu lupa bahawa sudah banyak petanda yang perlu difikirkan untuk mengambil keputusan berhenti. Jika beliau meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada pemimpin pelapis, kedudukannya akan tetap disanjung. Tetapi, jika beliau terpaksa diturunkan, sumbangannya yang dikatakan banyak membela masyarakat India akan tenggelam oleh penyudah yang kurang baik.
Keputusan pemilihan jawatan penting dalam MIC pada 12 September lalu jelas membuktikan bahawa walaupun pemimpin tajaannya menang besar, tidak bermakna tidak ada perpecahan dalam MIC. Jika dianalisis jumlah undi yang diperoleh oleh ketiga calon Timbalan Presiden, jelas membuktikan kekuatan penentangan terhadap Samy Vellu adalah lebih besar apabila undi Sothinathan dan Subramaniam disatukan berbanding yang diterima oleh G. Palanivel.
Jika BN masih mengekalkan Tan Sri Isa sebagai calon atas popularitinya di kalangan pengundi berumur lebih 50 tahun, sumbangan dan hubungan baik dengan penduduk tempatan kerana mudah menawarkan peruntukan semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, pengundi muda yang membentuk lebih 40 peratus akan membuat kejutan. Itupun terpulang kepada calon pembangkang untuk menentukan calon mereka, kerana ia belum lagi pernah dinilai sumbangannya, orang baru biasanya dianggap lebih baik secara luarannya, seperti mana sesetengah daripada kalangan ahli politik mengidamkan isteri baru walaupun isteri tua telah banyak berjasa.
Kali ini BN jangan lagi membuat kesilapan dalam memilih calon kerana sepanjang 6 pilihan raya kecil yang disertai faktor tersebut menjadi sasaran kempen parti pembangkang. Bermula dengan Kuala Terengganu, calon pilihan BN tidak mendapat restu sebahagian ahli parti dan calon itu sendiri bermasalah "menghormati pengundi."
Calon BN Bukit Selambau juga mempunyai kelemahan apabila terperangkap dengan dakwaan mengambil wang pembeli rumah di Langkawi, yang dijadikan senjata serangan ampuh pihak pembangkang. Begitu juga dengan calon BN Permatang Pasir, walaupun dianggap sebagai proksi Ketua Bahagian, ia terus diserang dengan masalah peribadi dan pergantungan lesen amalan guaman oleh Majlis Peguam Malaysia.
Hanya calon BN bagi Manek Urai mempunyai sedikit kekuatan sehingga PAS tidak dapat menjadikan peribadinya sebagai bahan kempen. PAS sebaliknya menggunakan serangan psikologi dengan menuduh BN menghina "mereka yang tidak mempunyai kelulusan tinggi" yang mampu mengekalkan kemenangan walaupun dengan majoriti 65 undi.
Sentimen menyerang peribadi calon BN merupakan senjata kuat parti pembangkang termasuk sikap penyokong UMNO sendiri yang sukar untuk menerima calon tempatan. Bagi parti pembangkang, sama ada calon tersebut adalah anak tempatan atau dari luar kurang menjadi masalah, yang penting bagi mereka ialah bertanding atas tiket pembangkang dan membawa imej pakatan pembangkang.
Bagi BN walaupun ada parti komponen membantu, sepanjang pilihan raya kecil tidak banyak memperlihatkan kesunguhan parti-parti lain membawa obor yang sama, banyak dilakukan oleh parti yang diwakili oleh calon itu sendiri. Kalau ada pun sokongan hanyalah sebagai ingin memperlihatkan mengambil bahagian dan bukannya dalam satu solidariti yang kuat, kukuh dan bersatu.
BN Negeri Sembilan perlu memikirkan secara mendalam untuk memilih calon pada 29 September nanti kerana kesilapan akan mengakibatkan kehilangan kerusi Bagan Pinang yang dianggap kubu UMNO. Kekalahan juga akan menjadikan kedudukan BN di Negeri Sembilan sedikit tergugat kerana tidak mempunyai perbezaan kerusi yang besar dan akan menjadikan suara pembangkang semakin nyaring .