Wednesday, September 23, 2009

NASIHAT DAN PANDANGAN TUN DR. MAHATHIR BUAT BN

Awal Syawal, ketika kemeriahan Aidilfitri masih terasa, atau pada bila-bila masa pun adalah tidak menjai kesalahan apabila bekas Perdana Menteri memberikan pandangan bahawa Barisan Nasional khususnya UMNO tidak akan memilih calon yang mempunyai masalah untuk dinobatkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Negeri Sembilan.
Pada awalnya, UMNO Bahagian Telok Kemang memberikan senarai calon tunggal, iaitu Ketua Bahagian Telok Kemang untuk dipilih bagi mewakili BN mengisi kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang berikut kematian penyandangnya dua minggu lalu.
UMNO Bahagian Teok Kemang tentunya tidak mahu ketua bahagian mereka yang telahpun tamat tindakan disiplin setelah didapati terlibat dengan "politik wang" dalam pemilihan jawatan Naib Presiden pada penggal lalu, turut memberikan komen kenapa masyarakat perlu mempertikaikannya jika ia dipilih nanti.
Tan Sri Mohd Isa Samad mengatakan tidak ada sebab kenapa beliau tidak boleh dicalonkan dan bertanding kerana terdapat calon parti pembangkang yang dipenjarakan menjadi calon dan diterima oleh pengundi. Antara contoh yang diberikan ialah Lim Guan Eng yang pernah ditahan di Kemunting, Taiping di bawah ISA dan begitu juga dengan Manoharan, yang bertanding atas pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
Walau apa pun alasan dan rasional yang dibuat, kita tidak boleh mengambil mudah sikap pengundi muda sekarang. Jiwa dan sikap mereka sudah jauh berbeza dengan apa yang berlaku semasa Tan Sri Isa mula menerajui UMNO Telok Kemang dan menjadi Menteri Besar lebih 20 tahun.
Pengundi muda sekarang lebih cenderung kepada perubahan walaupun sebenarnya perubahan yang diperjuangkan belum tentu menjamin kesenangan dan kemakmuran. Pengundi muda amat memerlukan calon yang dapat dilihat boleh bersama mereka dan berfikir sealiran dengan hakikat bahawa generasi muda tidak mempunyai apa-apa lagi yang perlu dianggap hutang budi dengan pemimpin terdahulu.
Bagi generasi muda, apa yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu ialah tanggunjawab mereka setelah diamanahkan manakala masa depan mereka harus ditentukan oleh mereka sendiri. Mereka memerlukan kebebasan untuk bertindak dan melakukan apa yang dianggap penting tanpa terlalu banyak disodorkan dengan idealisme lama yang sudah lagi tidak relevan dengan kehendak sekarang dan akan datang.
Berdasarkan sikap sedemikian, maka adalah wajar bekas Perdana Menteri memberikan nasihat bahawa UMNO tidak memilih calon yang mempunyai masalah walaupun dianggap telah selesai kerana semakin ramai pengundi muda menganggap calon pilihan UMNO Bahagian Telok Kemang itu sebagai tidak sesuai walaupun masih belum diletakkan sebagai liabiliti.
Sumbangan besar Tan Sri Isa terhadap masyarakat Telok Kemang memang besar sehingga menjadikannya sebagai destinasi pelancongan yang terkenal. Tetapi sumbangan tersebut hanyalah dianggap sejarah dan memberikan faedah langsung kepada beberapa pihak seangkatan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Begitu juga dengan teguran Tun Dr. Mahathir terhadap Datuk Seri Samy Vellu. Niat baik Tun Dr. Mahathir ialah untuk melihat bahawa MIC kembali mempunyai pengaruh kerana semakin lama beliau berkuasa, kaum India semakin berpecah oleh sebab kepimpinannya yang tidak sanggup menerima teguran dan dilihat diktator. Ada pihak melihat Datuk Seri Samy Vellu sebagai liabiliti kepada masyarakat India walaupun pernah suatu ketika dahulu dianggap wira.
Akibat terlalu lama berada dipuncak kuasa, Samy Vellu lupa bahawa sudah banyak petanda yang perlu difikirkan untuk mengambil keputusan berhenti. Jika beliau meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada pemimpin pelapis, kedudukannya akan tetap disanjung. Tetapi, jika beliau terpaksa diturunkan, sumbangannya yang dikatakan banyak membela masyarakat India akan tenggelam oleh penyudah yang kurang baik.
Keputusan pemilihan jawatan penting dalam MIC pada 12 September lalu jelas membuktikan bahawa walaupun pemimpin tajaannya menang besar, tidak bermakna tidak ada perpecahan dalam MIC. Jika dianalisis jumlah undi yang diperoleh oleh ketiga calon Timbalan Presiden, jelas membuktikan kekuatan penentangan terhadap Samy Vellu adalah lebih besar apabila undi Sothinathan dan Subramaniam disatukan berbanding yang diterima oleh G. Palanivel.
Jika BN masih mengekalkan Tan Sri Isa sebagai calon atas popularitinya di kalangan pengundi berumur lebih 50 tahun, sumbangan dan hubungan baik dengan penduduk tempatan kerana mudah menawarkan peruntukan semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, pengundi muda yang membentuk lebih 40 peratus akan membuat kejutan. Itupun terpulang kepada calon pembangkang untuk menentukan calon mereka, kerana ia belum lagi pernah dinilai sumbangannya, orang baru biasanya dianggap lebih baik secara luarannya, seperti mana sesetengah daripada kalangan ahli politik mengidamkan isteri baru walaupun isteri tua telah banyak berjasa.
Kali ini BN jangan lagi membuat kesilapan dalam memilih calon kerana sepanjang 6 pilihan raya kecil yang disertai faktor tersebut menjadi sasaran kempen parti pembangkang. Bermula dengan Kuala Terengganu, calon pilihan BN tidak mendapat restu sebahagian ahli parti dan calon itu sendiri bermasalah "menghormati pengundi."
Calon BN Bukit Selambau juga mempunyai kelemahan apabila terperangkap dengan dakwaan mengambil wang pembeli rumah di Langkawi, yang dijadikan senjata serangan ampuh pihak pembangkang. Begitu juga dengan calon BN Permatang Pasir, walaupun dianggap sebagai proksi Ketua Bahagian, ia terus diserang dengan masalah peribadi dan pergantungan lesen amalan guaman oleh Majlis Peguam Malaysia.
Hanya calon BN bagi Manek Urai mempunyai sedikit kekuatan sehingga PAS tidak dapat menjadikan peribadinya sebagai bahan kempen. PAS sebaliknya menggunakan serangan psikologi dengan menuduh BN menghina "mereka yang tidak mempunyai kelulusan tinggi" yang mampu mengekalkan kemenangan walaupun dengan majoriti 65 undi.
Sentimen menyerang peribadi calon BN merupakan senjata kuat parti pembangkang termasuk sikap penyokong UMNO sendiri yang sukar untuk menerima calon tempatan. Bagi parti pembangkang, sama ada calon tersebut adalah anak tempatan atau dari luar kurang menjadi masalah, yang penting bagi mereka ialah bertanding atas tiket pembangkang dan membawa imej pakatan pembangkang.
Bagi BN walaupun ada parti komponen membantu, sepanjang pilihan raya kecil tidak banyak memperlihatkan kesunguhan parti-parti lain membawa obor yang sama, banyak dilakukan oleh parti yang diwakili oleh calon itu sendiri. Kalau ada pun sokongan hanyalah sebagai ingin memperlihatkan mengambil bahagian dan bukannya dalam satu solidariti yang kuat, kukuh dan bersatu.
BN Negeri Sembilan perlu memikirkan secara mendalam untuk memilih calon pada 29 September nanti kerana kesilapan akan mengakibatkan kehilangan kerusi Bagan Pinang yang dianggap kubu UMNO. Kekalahan juga akan menjadikan kedudukan BN di Negeri Sembilan sedikit tergugat kerana tidak mempunyai perbezaan kerusi yang besar dan akan menjadikan suara pembangkang semakin nyaring .

No comments:

Post a Comment