Sunday, September 20, 2009

SYAWAL:ANTARA RINDU DAN SYAHDU

Syawal telah tiba. Hati dan perasaan terasa amat payah untuk meninggalkan Ramadhan, kerana ianya adalah bulan yang dikatakan penuh berkat. Segala bentuk ancaman dan gangguan digantung sementara kerana Allah SWT mendambakan setiap umat Islam agar dapat melaksanakan puasa dengan selamat dan sejahtera.
Namun, Syawal aalah natijah dari kemenangan sebuah perjuangan. Setiap yang merayakannya merasakan penuh kebanggaan kerana segala cabaran sepanjang Ramadhan dapat di atasi. Menambahkan saham untuk menuju negeri yang abadi, bekalan yang akan dinilai sebagai timbangan amal yang dalam memenuhi tuntutan sebagai manusia yang beragama.
Hati kecil turut terasa, selain kebanggaan atas kejayaan mengatasi cabaran nafsu, Syawal turut menghimpit pilu. Hati dan perasaan seakan tertekan apabila mengingatkan sejarah silam, bahawa adakalanya kita terselebung dengan peristiwa duka.
Peristiwa duka mungkin bagi mereka yang kehilangan yang tersayang atas pelbagai alasan dan kendala. Biarpun begitu, kehidupan tetap diteruskan juga kerana yang tiada tetap tidak akan kembali lagi kecuali kenangan bersamanya. Kita yang masih meneruskan kehidupan akan tetap terkenang, hingga hati dihimpit rasa ngilu apabila sepanjang Syawal ada yang tak kena. Bila setiap harapan terkehel oleh kerana sikap kita sendiri atau ada yang menghalang.
Sepanjang perjalanan merebut peluang meraikan kemenangan, banyak juga yang lupa bahawa malang itu tidak berbau. Korban jalanraya sentiasa menggerunkan kita kerana ada yang lupa bahawa kecuaian boleh membunuh, kelajuan menjadikan nyawa terkorban. Setelah berhari raya, masa pulang turut mencemaskan diri kerana masing-masing terkejar kerana memburu tugas yang bakal menanti.
Namun di keresahan antara rindu dan syahdu, kita sama-samalah saling mengingatkan. Maaf memaafi menjadikan kita tidak lupa bahawa membetulkan kesilapan dan mengakuinya adalah satu sikap yang terbaik. Selamat Hari Raya.

No comments:

Post a Comment