Wednesday, September 30, 2009

DIALOG ANTARA AGAMA : MENGAPA PERLU?

Kunjungan James B. Steinberg, Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat menemui Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak beberapa hari lalu memberikan gambaran bahawa kepimpinan Barrack Obama begitu mengharapkan sokongan Malaysia bagi membuka rundingan baru dengan negara-negara Islam.

Harapan yang begitu tinggi itu bukan sahaja merupakan penghormatan, malah membuktikan bahawa kesungguhan sebuah negara kuasa besar untuk menerima asas-asas Islam yang diamalkan oleh Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan progresif. Malaysia turut dilihat sebagai sebuah negara yang mampu mengekalkan diri-ciri kesederhanaan dan ini dapat apabila wakil negara kuasa besar itu mahu menjadikan negara ini sebagai contoh sebuah negara Islam yang berjaya.

Semasa menyatakan hasrat tersebut, Steinberg turut mengharapkan Malaysia dapat membantu menganjurkan dialog antara agama yang melibatkan pelbagai negara bagi membolehkan terbentuknya persefahaman masyarakat berbilang bangsa. Ini dimungkinkan oleh sikap pelbagai pihak yang berprasangka dan melihat perbezaan antara agama sebagai faktor yang menyebabkan persengketaan. Pelbagai pendapat dan teori mengenai ketidaktentuan pandangan telah menyebabkan agama dilihat sebagai impuls yang menjerumuskan konflik, perbalahan dan perseteruan yang berpanjangan, khususnya antara Islam dan Kristian.

Berdasarkan perubahan paradigma politik antarabangsa semasa, faktor perbezaan agama dikatakan berjaya membangkitkan kekacauan dan pengingkaran terhadap martabat kemanusiaan. Ia dicuba dijawab oleh pelbagai penganut agama dengan cara yang berbeza-beza. Justeru sesuai dengan “Kebangkitan Kembali Agama-Agama” pada Milenium Ke 3, ekoran kemerosotan moral yang berlaku dalam faham kapitalis, sistem pengurusan dan perniagaan , banyak pihak mencari-cari bentuk penyelesaian melalui kaedah kekuatan spiritual, emosi dan mistik korporat.

Agama sebagai sumber utama membangkitkan kekuatan moral, kembali ditonjolkan sebagai sumber motivasi dan agen perubahan yang semakin memberikan kesan. Dan, kerana itulah kekuatan nilai-nilai Islam telah dipandang serong oleh segelintir penganut agama Islam sehingga dianggap sebagai cabaran dan musuh terbesar.

Kesan dari perubahan tanggapan inilah banyak pihak mula memberikan perhatian kepada Islam, termasuk pilihan bagi menyelesaikan kemerosotan sistem kewangan kapitalis. Islam semakin meluas dikaji dan diteliti walaupun semakin banyak dicemoh, bilangan penganutnya semakin bertambah berbanding dengan agama-gama lain.

Bagi beberapa pengkaji hubungan antara Islam dan Kristian sama ada dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara timur telah melihat Islam mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menarik transformasi pemikiran dan peradaban. John Louis Esposito misalnya, amat tertarik dengan hasil tinjauan yang dilaksanakan oleh Gallup”s World Poll sepanjang tahun 2001 hingga 2007 ke atas 35 buah negara mojoriti penduduknya beragama Islam.

Melalui tinjauan tersebut, beliau merumuskan dapatan bahawa ahli-ahli yang mengkaji mengenai terosisme selama ini sebenarnya tidak mempunyai data lengkap untuk menjelaskan sikap Islam. Tinjaun tersebut memberikan gambaran bahawa 93 peratus responden muslim tidak pernah membenci Barat walaupun sebahagian besarnya bersikap kritis terhadap Barat.

Menurutnya lagi, walaupun muslim kritis terhadap Barat “mereka tetap mengagumi banyak hal yang dilakukan Barat, seperti bidang teknologi dan kebebasan.” Dan, kerana itulah beliau terus menggesa masyarakat antarabangsa supaya melihat kepada keputusan tinjauan tersebut dan “biarkanlah data yang memimpin percakapan atau pembahasan mengenai Islam. Jangan lagi biarkan para ahli mengatakan hal-hal yang mereka fikirkan.” Rumusan ini dapat dikaji melalui buku yang ditulis bersama Dalia Mogahed, Who Speaks For Islam: What A Billion Muslims Really Think, N.York: Gallup Press, 2008.

Namun keperluan mengenai dialog antara agama bukanlah merupakan desakan baru, ia telah begitu lama bertunjang dalam pemikiran masyarakat antarabangsa, cuma yang berbeza ialah apa tujuan dialog itu diadakan. Menurut Hans Kung, seorang pakar teologi Kristian menggambarkan bahawa adakalanya dialog antara agama terlalu berlebihan apabila cuba menggunakan aspek kemanusiaan sebagai kebenaran sesuatu agama. Setiap agama mempunyai dogmanya yang tersendiri, walau bagaimanapun etika dan pola perilaku agama-agama mempunyai banyak persamaan. Melalui pandangan itulah beliau sering mengharapkan akan munculnya dialog antara agama bagi mengurangkan konflik dan persengketaan yang berpanjangan atas masalah agama.

Kepelbagaian agama merupakan sifat semula jadi manusia, kerana itulah Karen Armstrong turut menjadi tokoh akademik yang banyak berusaha meluruskan pandangan negatif terhadap Islam. Berdasarkan pengalaman awalnya sebagai seorang rahib Katholik beberapa tahun, beliau kecewa mengenai Krsitian yang melihat agama-agama lain sebagai musuhnya. Setelah keluar dari lingkungan gereja, Karen Armstrong menjadi pengkaji tegar mengenai hubungan antara agama dengan mempelajari Islam secara menyeluruh dan mendalam termasuk bahasa Arab klasik.

Pengkajiannya telah memperluaskan pandangan Barat terhadap Islam sehingga turut dianggap sebagai “dua besar Islam di dunia Barat” bersama-sama John L. Esposito, walaupun kedua mereka tetap berpegang kepada fahaman akademik, tidak memilih Islam sebagai “pegangan agama.”

Berdasarkan kajiannya mengenai sejarah awal manusia mencari Tuhan dan memperkatakan sikap beragama, dalam The Great Transformation (Jakarta: Mizan Pustaka 2007), menjelaskan “ zaman Aksial (zaman sebelum kewujudan Nabi Ibrahim a.s. sekitar tahun sebelum 1600 hingga 900 SM), Zoroaster, Konfusius, Buddha, Amos dan Socrates hidup dalam masa penuh kekerasan. Kekerasan, pergolakan politik, ketegangan agama mendominasi masyarakat zaman itu, dan agama-agama Aksial bertindak dengan cara mengembangkan sikap berbela rasa, cinta dan keadilan, melampaui ego dan kebencian.”

Jika zaman sebelum kelahiran nabi Ibrahim a.s agama-agama terawal sudah menunjukkan kerjasama masyarakat, saling bekerjasama maka tidak ada masalah untuk meluruskan hubungan antara Islam dan Kristian. Berdasarkan sikap dan keyakinan itulah Karen Armstrong menjadi terkenal dan dianggap tokoh penting dalam dialog antara agama selepas peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001.

Bagi umat Islam, dialog antara agama akan memberikan peluang untuk menjernihkan salah faham terhadap Islam terutamanya mengenai pandangan terhadap pengertian Jihad. Jihad yang dianggap sebagai punca terrosisme global berpunca daripada tingkahlaku ektrim penganut Islam apabila memperkatakan mengenai fundamentalisme.

Tariq Ali menulis sebuah buku yang menarik mengenai pertembungan fundamentalisme, The Clash of Fundamentalism (London: Verso Press, 2002) dan menyifatkan "imperalisme Amerika Syarikat" sebagai "ibu kepada fundamentalisme." Kesan dari keadaan itulah menyebabkan kegelisahan politik berlaku di serata dunia sehingga mencetuskan keganasan. Beliau turut menyanggah kebencian agama (khususnya orang Islam terhadap Kristian) sebagai motif serangan 11 September 2001.


Sebagai seorang penggiat filem dan penulis novel, walaupun lahir di Palestin tidak pula beragama Islam, lebih melihat mengenai kebenaran sejarah. Begitu juga dengan apa yang pernah dirungkaikan oleh Edward W. Said (mendiang) sebelum ini bahawa dunia Barat sengaja melihat Islam sebagai musuh Kristian terbesar bagi membolehkan hagemoni kuasa dikuasai oleh mereka, termasuk melakukan propaganda dan pemesongan fakta pelaporan berita oleh agensi dan media milik mereka.

Fundamentalisme Islam dilihat bangkit setelah berlakunya Revolusi Iran pada tahun 1979 yang berjaya menumbangkan penguasaan Barat melalui pentadbiran Regim Shah Pahlavi. Kegoncangan faham materialism dan kapitalisme penghujung abad ke-20 menjadikan Islam semakin dibenci dan telah menarik minat Pope John Paul II (1920-2005) untuk menganjurkan dialog dengan umat Islam.

Sebelumnya telah terdapat beberapa dialog antara cendekiawan Islam dan Kristian, sebahagiannya telah dibukukan antaranya dialog antara M.H.Finlay dengan Sumali Alwi pada tahun 1979 (bukunya ialah A Christian-Muslim Dialogue, Singapore: Omar Brothers, 1979), dan Ahmad Deedat (The Choice, Batu Caves: Percetakan Zafar, 1986)dengan seorang paderi Kristian yang dibukukan pada tahun 1986.

Menurut Alwi Shihab, bekas Menteri Luar Indonesia di dalam bukunya Islam Inklusif, perkara yang penting dalam menganjurkan dialog antara agama ialah bukanya siapa yang paling benar atau salah, bukan tujuan dialog. Tujuan utama dialog ialah untuk mencari titik pertemuan atau garis persamaan antara agama, kerana bagi menentukan kebenaran dan kesalahan ia adalah urusan Allah SWT.

Hasrat mencari titik pertemuan atau persamaan antara agama ialah bagi mengelakkan sikap fanatik, ego terhadap kebenaran agama yang dianuti dan terlalu menekankan perbezaan, lalu menghukumkan sesuatu perkara berdasarkan prinsip yang saling bertentangan.

Kerukunan hidup dan bermasyarakat antara manusia adalah menjadi asas titik pertemuan dialog antara agama. Dan, kerana itulah menurut Leornard Swidler, penerbit Journal Ecumenical Studies, dan Profesor Pemikiran Katolik di Universiti Temple berhasrat dengan melakukan dialog akan dapat mepersiapkan penganut-penganut pelbagai agama meneruskan kehidupan secara aman dan harmoni.

Berdasarkan pengertian mengenai perkataan agama, Al-Asfahani (meninggal pada tahun 503H) menjelaskan ad-Din digunakan bagi hal-hal berkaitan ketaatan dan balasan. Perkataan tersebut turut dimaksudkan dengan syariah. Walaupun ada pandangan mengatakan mencari definisi agama secara tepat adalah “sia-sia dan tidak mungkin boleh dibuat,” kerana “sehingga kini belum ada definisi agama yang benar dan dapat diterima”, menyebabkan ramai sarjana lebih berminat melihat sikap Bergama itu sebagai “fenomena agama.”

Menurut Ramli Awang, Dialog Antara Agama dari Perspektif Al-Qur’an (Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, 2008), “nyatalah agama pada lazimnya bermakna kepercayaan kepada Tuhan, atau sesuatu kuasa yang ghaib dan sakti seperti dewa, selain ia juga melibatkan amalan dan tradisi yang berkait dengan kepercayaan tersebut. …Justeru kepercayaan yang hanya melibatkan seorang individu lazimnya tidak dianggap sebagai sebuah agama. Sebaliknya agama haruslah melibatkan sebuah komuniti manusia.

Atas dasar itulah, agama adalah fenomena masyarakat yang dapat dikesan melalui perlakuan (seperti sembahyang, membuat sajian, perayaan dan upacara), sikap (sikap hormat, kasih ataupun takut kepada kuasa luar biasa dan pada anggapannya suci dan bersih di sisi agama), pernyataan (seperti jampi, mentera dan kalimat suci), dan benda-benda material yang zahir (bangunan contohnya masjid, gereja, kuil, biara,azimat dan tangkal).

Dialog antara agama yang diasaskan untuk mencari nilai-nilai positif persamaan secara adil merupakan satu keperluan yang amat mendesak pada masa ini. Melalui aktiviti ini, setiap mereka yang mengambil bahagian akan dapat meluruskan salah faham di sampinng menghormati setiap perbezaan yang terdapat. Secara jelasnya, itulah yang diharapkan oleh Barrack Obama yang hendak disampaikan kepada Malaysia, agar Islam dan Barat akan tetap dilihat saling memerlukan.

Barat akan lebih menghormati sikap penganut Islam manakala percubaan menjadikan agama sebagai bentuk hagemoni baru dapat dikurangkan. Masing-masing individu menghormati kepelbagaian agama dan perbezaan asas, tidak lagi cuba mengungkit-ungkitkannya sebagai faktor utama membawa kepada persengketaan. Anatara Islam dan Kristian tetap ada harapan untuk bekerjasama, berhubung dan seterusnya menyumbang kepada keamanan sejagat.

No comments:

Post a Comment