Wednesday, September 30, 2009

AIR DAN ANGIN BERSATU, MENJADIKAN KITA TIDAK MENENTU

Beradasarkan pemerhatian, kajian dan pendapat saintifik, bila angin dan air bersatu akan menerjahkan kegawatan kepada alam. Semalam telah membuktikan bagaimana bila angin dan air besatu, telah berlakunya tsunami sehingga menyebabkan lebih 100 orang mati di kepulauan Samoa.

Bila tanah merajuk dan menunjukkan kemarahannya, maka terjadilah letupan sehingga menyebabkan lebih 100 orang terkorban di Sumatera, khususnya Padang. Pun, kita kat Malaysia turut terasa gegarannya kira-kira jam 6.30 petang semalam, apabila banyak bangunan tinggi di beberapa tempat di Lembah Klang semacam menggeletar. Pagi tadi, kira-kira jam 10.20 Menara PKNS dikhabarkan menerima gegaran kecil.

Pengumunan dibuat supaya semua petugas yang berada di dalam bangunan meninggalkan tempat masing-masing. Mereka diarahkan turun kerana pihak Bomba akan mengadakan pemantauan dan memeriksa jika berlaku retakan Menara PKNS. Maka ramailah yang bergegas turun, tetapi tiada pun kelihatan wajah cemas dan panik.

Masing-masing turun tangga dengan tersenyum dan berseloroh antara yang dikenali. Tetapi, yang menjadi sedikit kekesalan ialah tidak ada pun pelan tindakan yang dilakukan oleh pengurusan bangunan bagaimana nak menguruskan para pekerja yang diarahkan turun itu. Mereka seolah-olah tidak mengambil sikap serius, hanya diarahkan turun tetapi tidak tahu nak ke mana?

Maka berkeliaranlah di lobi dan kakilima bangunan. Tidak ada tempat yang boleh menjadikan setiap orang yang diarahkan turun itu merasakan berbaloi dan wajar menukik anak tangga dari tingkat yang paling atas. Bagi mereka yang berada di lantai paling bawah, tidak terasa mengahnya.

Namun yang jelas ialah kakitangan Celcom berkumpul sesama mereka tanpa memperhiitungkan apakah yang akan berlaku jika benar-benar gegaran itu berlaku. Begitu juga dengan kakitangan lain, tidak ada seorang pun pihak pengurusan bangunan memberikan harapan atau mengumumkan sesuatu yang boleh menjadikan setiap yang termengah-mengah tidak menyumpah atau mengomel.

Nampaknya, pengurusan krisis yang sepatutnya dilaksanakan oleh pengurusan bangunan tidak berjalan. Bagi pengurusan bangunan hanyalah cukup sekadar memberitahu supaya orang turun, tapi ke mana? Manakala pihak yang menjaga keselamatan bangunan hanya menarik tali bagi menyekat orang masuk ke bangunan, manakala yang diminta keluar tidak tahu ke mana.

Berdirilah sebahagian mereka yang terlibat di pinggir jalan utama. Berfikirlah dalam hati masing-masing, jika kecemasan berlaku, tentunya cara ini akan menyebabkan lebih ramai akan menerima akibatnya. Lebih ramai yang akan menyumpah, apakah pihak pengurusan bangunan sudah bersiap sedia menguruskan krisis?

No comments:

Post a Comment