Wednesday, September 23, 2009

BUDAYA SONGSANG KETIKA MENYAMBUT SYAWAL

Sekurang-kurangnya ada empat tingkahlaku umat Islam ketika menyambut Syawal yang menyebabkan kita bertanya dan termenung bersendirian. Dalam empat pertanyaan itu, saya menjadi amat marah terhadap ksemua perilaku yang tidak sepatutnya menunjukkan kegilaan kita sendiri.


Kegilaan pertama ialah saban tahun berlakunya tragedi yang membabitkan kehilangan nyawa kerana terlalu teruja untuk menyambut Syawal. Anggaran purata setiap hari sebanyak 15 kematian berlaku di jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini. Walaupun angkanya turun berbanding tahun sebelumnya iaitu 18 kematian kemalangan jalanraya sehari, ia jelas menimbulkan keresahan banyak pihak.


Setiap tahun pihak penguatkuasaan sering mempertingkatkan pemantauan kesalahan lalu-lintas, nampaknya masih jauh mencapai sasaran. Sepanjang sepuluh hari digerakkan seluruh tenaga, kemalangan terus naik mendadak kerana keselamatan hanyalah sekadar ucapan dibibir. Masih menggila pemandu sepanjang berada di jalan raya termasuk berlumba-lumba bagi mempamerkan jaguhan jentera kendaliannya.


Ada juga pemandu yang menggunakan kenderaan yang lebih kecil dilihat turut menjadi pengacau di lebuh raya apabila memotong di laluan sebelah kiri atau lorong kecemasan, manakala pemandu di lorong kanan tidak mahu berganjak walaupun tidak memotong. Menjelang larut malam atau awal pagi, kerana ada diskaun kadar tol, kenderaan juga semakin banyak, hakikatnya kenderaan berat masih terus berada di jalan raya kerana tidak banyak pihak penguatkuasa menjalankan rondaan atau sekatan.


Kegilaan kedua yang menyebabkan kita rasa marah ialah apabila sebahagian daripada kita tidak sungguh-sungguh menghalang penjual mercun dan bunga api. Semakin hampir dengan hari raya, semakin banyak bunga api dan mercun dijual secara terbuka melalui gerai-gerai di pasar Ramadhan. Yang tertera di kaca tv hanyalah tangkapan terhadap penyeludup, tetapi tidak banyak gerakan membenteras penjualannya di pasar malam atau pasar Ramahan.


Nampaknya usaha menghalang penjualan bunga api dan mercun hanyalah sekadar menguar-uarkan peraturan larangan dan pengharamannya. Dari sekecil-kecil bunga api sehinggalah sebesar-besar bentuk menyerupai bungai api artileri dijual secara meluas. Apa yang mendukacitakan kita ialah apabila program-program hari raya turu diselitkan dengan permainan bunga api oleh kanak-kanak.


Ini memberikan gambaran bahawa adilfitri tidak akan meriah jika kanak-kanak tidak bermain bunga api. Itulah antara budaya songsang yang sedang berkembang dan semakin membesar ketika kita menyambut kemenangan sebulan menunaikan salah satu rukun agama, iaitu berpuasa. Ibu bapa turut menggalakkan anak-anak bermain bunga api malah turut menghabiskan sebahagian wang bagi memeriahkannya dengan dentuman yang kadangkala turut menyebabkan kecederaan.


Kegilaan ketiga ialah apabila segelintir remaja belasan tahun sanggup menyambut Aidlifitri dengan membiarkan pemuda Bangladesh "meratahnya". Kita pun tidak tahu apa akan jadi dengan remaja sekarang, bukan merayakan Aidilfitri dengan penuh kesopanan, keimanan dan ketakwaan, sebalik menodai kesuciannya.

Kegilaan keempat ialah apabila mengunjungi sesebuah rumah, sama ada rumah rakan atau saudara, tidak terlepas dari tabiat memuji dan mengeji. Bila tuan rumah memberikan layanan yang baik dan susun atur perabut kemas, sedap mata memandang kita turut memuji. Tetapi, apabila disebaliknya, kita akan membuat perbandingan berdasarkan kayu ukur kita sendiri. Dalam perbandingan tersebut, adalah sedikit kekurangan atau kecacatan, maka itulah yang dicaci dan diperli.

Daripada hasrat untuk menyambung silaturrahim, maka berlakulah keji mengeji sehingga niat baik berunsurkan menjadi semakin negatif. Budaya ini semakin berkembang kerana naluri kita tidak pernah menghargai orang lain dan tidak cuba memahami secara jelas mengenai kekurangan. Kekurangan tidak perlyu diperbesar-besarkan kerana memangnya Allah SWT menjadikan kita saling berbeza, fikiran, kemampuan bahkan warna kulit, rupa paras, cita rasa dan sebagainya. Bersyukurlah dengan apa yang ada pada kita dan jangan pula melihat kekurangan orang lain sebagai sesuatu perlu dikutuk, dicaci dan dijadikan bahan umpatan. Sesungguhnya, inilah budaya songsang yang sedang berkembang dalam masyarakat.


No comments:

Post a Comment