Showing posts with label belit poliitk PAS. Show all posts
Showing posts with label belit poliitk PAS. Show all posts

Friday, May 7, 2010

Keghairahan Zaid memerangkap diri

DATUK Zaid Ibrahim seharusnya tidak marah apabila beliau disifatkan biadab kerana dilihat menghina titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau.

Sememangnya atas alasan apa sekali pun, Zaid yang cuba menunjukkan kepakarannya dalam bidang undang-undang tidak berhak membuat ulasan mengenai titah Sultan Selangor. Baginda telah mengeluarkan titah, justeru semua pihak perlu mematuhinya termasuklah orang luar seperti Zaid yang cuba mencari rezeki politik di negeri baginda.

Zaid tidak perlu berhujah dari segi undang-undang kerana bagi orang Melayu, setiap titah raja-raja selagi ia tidak melanggar hukum-hakam agama dan dianggap nasihat yang baik-baik, maka mereka perlu mematuhinya.

Justeru, tidak perlu Zaid cuba mencetuskan polemik baru dalam arena politik negara dengan membangkitkan soal titah Sultan Selangor. Tambahan pula Zaid bukanlah anak Selangor tetapi anak Kelantan yang pada bulan lalu secara tiba-tiba ingin menabur bakti kepada rakyat di Hulu Selangor.

Kalau benar Zaid hendak mengabadikan diri dalam arena politik di Selangor kerana maklumlah beliau pun sudah menyatakan telah berpuluh tahun tinggal di negeri itu, maka belajarlah menghormati peraturan negeri itu.

Kita faham Zaid mungkin ingin membalas jasa baik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah membersihkan imej Zaid di kalangan ahli Pas apabila merestui pemilihan Zaid sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.

Penulis yang membuat liputan pilihan raya itu memahami bahawa 'restu' daripada Nik Abdul Aziz amat penting kerana kesalahan Zaid terhadap Pas bukanlah kecil. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menentang pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Kelantan. Walaupun kemudiannya perkara itu tidak dibawa ke mahkamah, namun ia sudah cukup melukakan hati penyokong Pas. Oleh itu, Zaid cuba membalas budi Nik Abdul Aziz dan dalam keghairahan itu, ia memerangkap diri sendiri.

Isu titah baginda mengenai larangan tersebut sebenarnya sudah reda, apabila Nik Abdul Aziz pun sudah menerangkan bahawa beliau tidak berhasrat mempertikaikan titah berkenaan. Tetapi secara tiba-tiba, Zaid muncul seolah-olah ingin menjadi 'peguam tidak dijemput' apabila mempertahankan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dengan menegaskan Nik Abdul Aziz tidak melanggar titah Sultan Selangor.

Walaupun dalam tulisannya, Zaid cuba berlapik dengan menulis, "Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur..." tetapi keseluruhan tulisan itu menunjukkan ada kecenderungan Zaid mempersoalkan adakah wajar titah baginda dipatuhi atau tidak.

Kalau Zaid tidak mempunyai niat sedemikian, kenapakah beliau menggunakan ayat berikut: "Titah itu, adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau 'decree.' Dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesyuarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan 'gazette' tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya, ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik - untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja."

Oleh itu, Zaid tidak boleh melenting kalau pelbagai pihak kini menghentam beliau habis-habisan kerana dianggap menghina titah sultan dan bersikap keterlaluan seolah-olah menggambarkan Sultan Selangor sebagai seorang sultan yang tidak berpelajaran.

Mungkin Zaid gembira kerana apa yang beliau bangkitkan sudah menjadi polemik dan ini sekali gus diharapkan akan meningkatkan imej beliau di kalangan ahli-ahli Pas. Namun ia bukanlah bermakna Zaid sudah diterima sepenuhnya oleh Pas.

Semua orang tahu perangai Pas yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi mencari kuasa politik, ia termasuklah 'memaafkan' orang seperti Zaid, yang suatu ketika dulu menyamakan sikap Pas dengan parti-parti bertopengkan agama yang lain seperti Parti Likud di Israel dan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang percaya mereka dipilih Tuhan untuk memerintah dunia.

Zaid juga pernah menuduh Pas tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan dan meminta kerajaan mengharamkan Pas.

Bagaimanapun Zaid perlu faham, tidak semua orang Melayu adalah ahli Pas dan tidak semua orang Melayu berpolitik seperti beliau apatah lagi berperangai seperti beliau. Oleh itu, kalau pun Zaid hendak menjadi 'jagoan baru' kepada PKR dan sekali gus menambah jumlah 'ayam sabung' bagi Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, janganlah sampai dilihat menghina institusi raja-raja.

Kalau Zaid berhasrat untuk terus bermastautin di Selangor dan bercita-cita mencari rezeki politik di negeri itu, maka hormatilah segala titah ucapan sultan serta patuhilah undang-undang negeri Selangor terutamanya apa yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam apa juga perkara dan tindakan yang hendak beliau lakukan.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Utusan Malaysia, 7 Mei 2010

MUSTAHIL HUSAM TAK TAHU!!!!!!

kontroversi sumbangan lebih RM 4 juta bagi menguruskan aktiviti gerak saraf memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi atas hasrat ingin mengekalkan kuasa politik Kelantan, nampaknya Husam sedang menyembunyikan tangan setelah bayangan melempar batu semakin jelas.

Husam yang merupakan orang yang membawa masuk Syed Azidi ke Pejabat Menteri Besar Kelantan dan mempengaruhi Tok Guru agar diberikan tanggungjawab mengurus media nampaknya cuba membina helah baru agar tidak kelihatan beliau terlibat dalam perancangan gerak saraf mempropagandakan PAS sebagai sebuah parti yang terbaik manakala BN mengamalkan dasar yang zalim dan tidak mesra.

Syed Azidi merupakan orang yang banyak membaca dan membuat kajian terhadap pelbagai sumber agar penemuan itu boleh digunakan untuk menghentam setiap dasar yang dilaksanakan oleh BN. Sebagai contoh, Husam dan Syed Azidi telah menulis sebuah buku kecil berjodol Minyak: Kemana Wang Dilarikan, diterbitkan oleh Global Media Channel (GMC), syarikat yang mengendalikan aktiviti komunikasi PAS yang menerima wang lebih RM 4 juta.

Buku tersebut mempersoalkan lebihan penghasilan minyak berbanding penggunaan dan ini tidak seharusnya boleh digunakan untuk tidak menaikkan harga minyak. Teori yang ditafsirkan oleh kedua penulis tersebut merupakan asas perkiraan yang tidak mengambil kira kos pengeluaran, kos penapisan dan kos pengangkutan lalu membuat kesimpulan bahawa "kita mempunyai minyak sendiri dan minyak yang kita keluarkan mencukupi untuk memenuhi keperluan kita sendiri, kita boleh memutuskan diri kita daru kenaikan harga minyak dunia."

Husam yang pernah mengikuti pengajian ekonomi dari UKM nampaknya cuba memutarbelitkan situasi bahawa dengan tidak menaikkan harga minyak dalam negeri, tentunya minyak juga akan menjadi semakin tidak cukup. Banyak penyeludupan, dan dengan menaikkan harga minyak pun masih banyak orang menggunakan sempadan untuk menyeludup minyak. Husam pun tidak pernah berusaha untuk mencegah penyeludupan, kerana mungkin beliau maklum itu adalah sumber pendapatan sebahagian masyarakat.

Semakin murah minyak dalam negara, semakin banyaklah penyeludupan termasuk ada kaedah menggunakan kereta lama dengan mengubahsuaikan tangki dan membina tangki tambahan sehingga boleh mengisi minyak melampaui keperluan sebenar. Itulah sikap PAS bukan berusaha mencegah penyeludupan, tapi teori yang dianjurkan menggalakkan lebih banyak penyeludupan.

Saya pun tidak faham kenapa Setiausaha Akhbar Menteri Besar sekarang mempersoalkan sumbangan Kickdefella. Beliau sebenarnya merupakan segelintir manusia yang tidak suka mengiktiraf sumbangan orang lain sebelumnya, sebaliknya cuba menggelapkan sumbangan orang, seolah-olah tidak pernah wujud. Kerana marahkan keceluparan dan cabaran itulah agaknya mungkin Syed Azidi sudah tidak mampu lagi membendung gelojak rasa dan sanggup memberikan isyarat, sebenarnya PAS dan konco-konconya melaksanakan perang gerak saraf dengan pelbagai cara termasuk berbobhong sebagaimana dirintis oleh Goebels, penasihat propaganda kepada Hitler.

Kalaupun Husam tidak mahu digelar sebagai GOEBELS bagi PAS, saya tetap beranggapan bahawa beliaulah merupakan perancang utamanya, manakala Syed Azidi merupakan orang yang menterjemahkan perancangan strategi itu kepada tindakan dan peperangan melalui media. Ini kerana Syed Azidi lebih mahir mengenainya walaupun Husam mempunyai kaitan dengan beberapa buah penerbitan akhbar propembangkang. Ramai orang tahu, Husam berada di belakang tabir bagi akhbar propembangkang antaranya, Siasah, Wasilah manakala seorang lagi rakan baiknya dalam ABIM dan kini menjadi wakil rakyat PAS menguasai Harakah.

Ramai orang tahu, tapi Husam sebenar tidak mahu mengakui penglibatannya kerana strategi yang dirancang terbongkar sudah sebagaimana tokoh utama PKR yang sudah jelas melakukan peperangan propaganda kerana ingin membalas dendam dan inginkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Pendedahan itu datangnya dari dalam parti itu sendiri, kerana Mat Sabu pernah mengatakan, untuk mendapatkan rahsia kita perlu mencari seseorang yang pernah menjadi kawan rapat, tetapi kini berubah menjadi musuh.

Syed Azidi sudah menjadi musuh PAS dan Husam sendiri kerana EXCO kanan itu semakin kehilangan kepercayaan ahli PAS. Husam tidak popular dan sudah kehilangan taring dalam kepimpinan PAS pusat, kalah dan dimalukan sebagai tokoh yang tidak menyengat dan amat bergantung kuat atas sokongan Tok Guru. Tok Guru menghentam "kerajaan perpaduan" kerana Husam merasakan jika cadangan itu terus diperkatakan, hasrat untuk Anwar jadi Perdana Menteri selepas pilihan raya ke-13 nanti semakin gelap. Anwar menang antikan "kerajaan perpaduan" dan Husam bijak membuat percaturan sehingga membuatkan Tok Guru melenting. Persoalannya, mungkinkah Syed Azidi yang menulis kemarahan Tok Guru dalam blog MUrsyidul Am PAS.

Saya yakin Tok Guru tidak menulis sendiri, tapi memberikan restu dan meluluskan tulisan tersebut. Bahasanya tidaklah sama dengan bahasa Tok Guru, kerana saya pernah membaca sebuah buku yang pernah ditulis oleh Tok Guru semasa PAS berada dalam BN. Buku tersebut diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan diberikan jodol Kenapa Saya Tidak Beragama Kristian?. Saya mencari kembali buku tersebut, tapi belum menemuinya kecualilah fotokopinya sahaja, kerana suatu waktu YADIM meminta saya untuk melihat kembali kesesuaian untuk diterbitkan semula. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Sunday, December 27, 2009

2009 tahun bala buat PAS

Banyak yang terjadi pada tahun 2009, namun yang lebih menyesakkan pemikiran kita ialah tingkah politik yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Pembangkang walaupun sudah menerajui negeri-negeri tertentu, masih belum terlepas dari badi diri sebagai pembangkang. Semasa menjadi petntadbir dia lupa membezakan tanggungjawab memerintah dan membangkang.

Kerana jiwanya membangkang, dia lupa bahawa seharusnya kena sokong apa yang diputuskan oleh pemimpin mereka. Kerana lupa dirinya sebagai pemerintah, antara PAS-DAP dan PKR tidak tahu menilai, mana dasar parti dan mana dasar kerajaan. Prinsip keputusan bersama menjadi keputusan rasis dan tidak mempedulikan ahli kumpulan yang lain, kerana yang lebih penting menonjolkan diri sebagai pejuang kaum.

HAri ini ramai ahli PAS memberontak supaya Dr. Hasan Ali dan Khalid Samad keluar menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka melihat PAS semakin tertindas dan terhimpit oleh bayangan rasisme DAP, walaupun Menteri Besar ialah orang Melayu dan beragama Islam.

Menteri Besar juga takutkan dengan nilai dirinya kerana terlalu bergantung kepada telunjuk de facto PKR yang mabukkan kuasa nak jadi Perdana Menteri. Kerana terlalu inginkan jawatan tersebut, dia sanggup melancarkan pelbagai strategi gerak saraf sehigga beberapa hari lalu mengeluarkan resolusi Pakatan Rakyat yang sebenarnya adalah pakatan puak-puak pembangkang yang tiada kreativiti.

Melihatkan kepada dasar perjuangannya, PKR masih tetap menjadikan UMNO sebagai acuan politik, dan kerana itulah apa sahaja yang dibuat oleh UMNO menjadi bahan rujukan. Kalau tidak sebagai pelana bangkangan, sekurang-kurangnya banyak juga percubaan untuk meniru.

Bila Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet 2010, maka Anwar ikut tersintak memangkas bajetnya sendiri. Ramai yang terasa agak pelik dengan sikap kononnya "menteri kewangan terbaik" melakarkan rencana, memulihkan ekonomi dengan falsafah neo marxisme dan anwarismenya.

Apa tidaknya, kononnya perjuangan untuk kepentingan rakyat, tetapi secara terperinci tidak menjejaki hasrat rakyat. Beliau hanya cuba beretorik, kerana itulah bidang kemahirannya sejak sekian lama, sejak memimpin pelajar berdemontrasi di Baling.Demonstaris Baling dia telah menipu ramai orang, kononnya ada yang mati kerana kebuluran. Ada pihak cuba menyiasat dan memeriksa data di Jabatan Pendaftaran, tidak ada kematian dilaporka kerana lapar.

Bila berkata mengenai perjuangan untuk rakyat, dia mendabik dada. Dialah pejuang sebenar, tetapi ramai yang tahu siapa dia pak syeikh yang bijak membaca khutbah dan memetik kata-kata penulis besar itu. RAmai juga yang tahu, dia pernah merencana sesuatu untuk mengkhianati UMNO semasa berada dalam kuasa, kerana dia pernah menodai kepercayaan UMNO terhadapnya.

Dia turut memberikan ruang yang bebas dan luas kepada kroninya setelah membangunkan Abrar Corporation (kini terkubur setelah Anwar disingkirkan) dan salah seorang pemimpinnya tidak ketahuan ke mana menghilang. Tiada berita, sama ada masih berada di Indonesia ataupun sudah pulang ke Malaysia. Nasib sebahagian pengurus utama syarikat tersebut tidak juga diketahui umum.

Semasa mendaki puncak kuasa, beliau banyak meletakkan empayar orang kuat ABIMnya dalam UMNO. Hampir semua kementerian dan jawatan dalam kerajaan dikuasai oleh suku-sakatnya, sehingga orang tahu siapa orang Anwar dan siapa pula bukan orang Anwar. Itulah yang dia lakukan, termasuk membangunkan Seberang Perai sehingga tuan punya sawa sekangkang kera marah.

Pengambilan tanah dibuat secara undang-undang dan dibayar dengan beberapa ringgit sekaki persegi. Bila tanah tersebut ditukar status, maka dijuallah kepada pihak tenrtentu dengan harga yang jauh lebih tinggi. Tuan tanah dapatlah tulang, yang hanya mampu dibuat sup tulang. Konco Anwar dapat daging yang baik, termasuk batang pinang dan daging steak.

Lihatlah apa yang berlaku di bandar Perda. Tanah sawah telah bertukar menjadi kedai dan nampaknya tidaklah membanggakan orang Melayu. Banyak kedai ditutup kerna kekurangan pelanggan, nasib baik ada pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, jika tidak tinggallah kedai tersebut sunyi sesunyinya, seperti berlaku di Bukit Minyak. Bangunan sahaja yang gah, kedai tutup, supermarket sudah tiada. Jadi sarang mat gian.

Kelantan semakin banyak menerima bala akibat sikap sombong dan angkuh Mursyidul Am PAS untuk mengakui kesilapan mentadbir negeri. Setelah mengambilalih kuasa selepas perpecahan UMNO, bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, PAS dan pemimpin yang dilihat sederhana sudah hilang kesederhanaannya.

Dia menghaapkan ada yang akan menaja pemergiannya ke Mekah. Mujurlah tak jadi, kerana ribut telah melanda, dan taufan membawa khabar, perlantikan menantunya banyak mewarnakan onar. Bila ada yang membeikan ulasan, silap mendapat nasihat, beliau terus memusingkan semutar bahawa bukan nasihat yang menjadi faktor pemilihan, tetapi kebolehannya. Dia memilih menantunya kerana ada kebolehan, tetapi, penyata kewangan anak syarikat itu tidak pernah dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri kerana akan pecah tembelangnya.

Lebih malang lagi apabila memberhentikan seorang yang banyak mempertahankan langkah PAS melalui tulisannya, termasuk menulis buku mengenai usaha menurunkan harga minyak bersama taukenya, Husam Musa. Penamatan kontrak kickdelfella rupa-rupaynya menjadi semakin kusut apabila Nik Aziz semakin bercelaru.

Pejabat PMBK sedang diteliti oleh SPRM, Nik Aziz memberikan restu kepada menantunya untuk melepaskan jawatan pada bulan Mac 2010, dua anaknya terus mempertahankan langkah ayahandanya. Nik Abduh menulis mengenai orang yang memainkan peranan melakukan rundingan kerajaan perpadun sehingga melentingkan sikap Tok Guru. Akhirnya, orang-orang Tok Guru yang menentang kerajaan perpaduan tewas dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.

Tok Guru kata dialah nakhodanya, maka PAS mesti ikut apa yang diputuskan. Ini berbeza dengan prinsip demokrasi atau musyawara, kerana Tok Guru tidak membawa berbincang dalam pucuk pemimpin parti, lantas membuat keputusan sendiri.
HAji Hadi tak mahu gaduh-gaduh kerana dia sedar, kedudukannya hanyalah besar pada namanya, tetapi kuasa memerintah tidak ada. Dia perlulan sumber untk bergerak dan membina sokongan, tentunya hanya bergantung kepada Marang dan DUN Ru Rindang sahaja. Itu tidaklah memadai. Sekadar kata-kata bukanlah ukuran yang berkesan, kerana telah gagal mempertahankan kemenangan pada tahun 2000. Menteri Besar hanya sepenggal, tapi legasinya yang paling besar ialah "menemui banyak duit pada hari pertama menjadi Menjadi Menteri. Kini beliau dikenali sebagai Mat Lebong, kerana selepasnya tidak pernah serius mendedahkan penemuan jutaan ringgit itu.

Haji Hadi terus tunduk dan mengeluarkan kenyataan "tertutup sudah kerajaan perpaduan" kerana takutkan PKR dan tidak sanggup bedepan dengan DAP yang tidak mahukan negara Islam. KArpal Singh marah "langkah mayat saya dulu" kalau PAS tegakkan negara Islam, maka hudud pun menjadilah sebuah catatan duka tanpa ada rasa sesal dalam kalangan pemimpin PAS.

Nik Aziz masih mahu berkuasa kerana dia sedar, selepas menjadi Menteri Besar akan banyaklah terbongkat sikapnya yag tidak cakna dengan kemudahan rakyat. Patutnya pada tahun banjir tiga kali melanda Kelantan, kerana Tok Guru banyak sangat celupar. Mungkin Tuhan sengaja menurunkan denda bagi mengingatkan Tok Guru bahawa sikap sombong, takbur dan tamakkan kuasa memangnya merbahaya dan memalukan.

Jangan minta orang lain meletakkan jawatan kalau diri sendiri takut dicabar. Tok Guru nampaknya semakin tidak menerima bila Dr. Mahathir mendesak Tok Guru letak jawatan. Dulu Tok Guru cadangkan Dr. MAhathir meletakkan jawatan, tapi kini marah bila Dr. Mahathir memulangkan kata-kata itu.

Maka, taun 2010 nanti bakal meletup banyak lagi bala PAS di Kelantan kerana semakin mendekati konsep asabiah yang pernah dipadankan dengan UMNO. Apakah Tok Guru sudah lupa, PAS tidak mengamalkan asabiyah apabila bercadang untuk mengehadkan anak tempatan menjadi calon wakil rakyat PAS di Kelantan. Maka PAS juga adalah asabiyah, dan banyak sangat sifat-sifat primodialnya.

Awat dua beradik anak Tok Guru melanting dan mempertahankan ayahanda yang semakin celaru dan keliru? Sekurang-kurangnya kedua anakanda tersebut perlu menasihatkan ayahanda supaya berehat sahaja, serahkan politik kepada mereka yang lebih bertenaga. Ayahanda semakin tua, kadangkala ingatan pun semakin hilang. Pujuklah ayahanda, jangan nak terus menjadi ketua.

Pusingan, perlu dilaksanakan agar PAS lebih dinamik dan kreatif. Rakyat Kelantan dah lali dengan Tok Guru kerana banyak sangat tak tahu, kerana itulah helah yang paling berbisa, paling baik menonjolkan kebodohan sendiri termasuk mengatakan bahawa "tidak diberitahu timbalan presiden dirawat di Hospital Serdang" kerana tersintak dengan amaran keras meletakkan jawatan wakil rakyat dan pemimpin parti.

Sebelum membersihkan dua tiga kerat pemimpin, bersihkanlah kedudukan Tok Guru. Jika berundur sekarang, Tok Guru akan dikenang sebagai tokoh, tapi jika jatuh dalam perjuangan penuh kehampaan, ia akan dianggap tidak lagi bernilai. Maka, di manakah kehebatan Tok Guru lagi setelah sekian lama bergelumang dengan PAS sebaik sahaja pulang dari Universiti Al-Azhar awal tahun 1970-an.

Semasa balik dulu pun Tok Guru penuh kontroversi, kerana banyak terpengaruh dengan fahaman wahabi setelah menuntut lebih lapan tahun di Universiti Deobandi, India.Ye le, ramai yang tahu, apa yang Tok Guru tulis dalam buku kecil Kenapa Saya Tidak Kristian, Tok Guru tetap mengutuk penganut kristian. Hari ini, Tok Guru kata lain, kerana memang sudah lupa sebenarnya.

Monday, December 21, 2009

TOK GURU DAN TOK AWANG MERDEKA

Mendengar kata-kata Tok Guru Nik Aziz sejak akhir-akhir ini mengingatkan saya kembali kepada satu situasi lama yang berlaku setiap hari di stesen bas Kota Bahru. Peristiwa lebih tiga dekad lalu, antara tahun 1975 dan 1976 menyebabkan saya tidak boleh lupa bagaimana Awang Merdeka setiap hari melaungkan kata-kata “Merdeka!Merdeka!Merdeka Kepala Bapak, Nak Makan Nasi Belauk pun kena bayar.”

Kata-kata Awang Merdeka (nama sebenarnya saya tidak tahu) berkumandang setiap kali ia melintasi celahan orang ramai. Bila terlihat ada kerusi menunggu kosong dan anak gadis duduk, Awang Merdeka akan melabuhkan punggungnya di kerusi kayu itu. Mulutnya terkumat-kamit mendefinisikan sesuatu, termasuk erti kemerdekaan menurut pandangannya.

Umur Awang Merdeka ketika itu, menurut tafsiran saya ialah sekitar 50-an. Tarikh sebenar beliau meninggal dan latar belakangnya saya tidak ketahui dengan jelas. Waktu itu saya amat terhibur dengan telatahnya, sekurang-kurangnya dapatlah meriuhkan suasana menunggu bas selain deruan enjin bas dan pekikan kecil pemandu teksi menanyakan orang yang lalu-lalang kalau-kalau ingin menggunakan perkhidmatan kereta sewa (teksi).

Setelah lebih tiga dekad, hari ini kita semacam mendapat pengalaman yang sama melalui seorang pemimpin besar di Kelantan. Cuma yang berbeza ialah pemimpin besar itu tidak bercakap di stesen bas, tetapi dalam banyak majlis sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kadangkala selepas mengadakan kuliah pagi Jumaat, tokoh besar itu mengulas sesuatu perkara sama ada berkait dengan kepimpinannya dan keputusan politik yang dibuatnya.

Jawapan-jawapan yang diberikan itu kadangkala hampir menyamai kaedah lojik yang digunakan oleh Awang Merdeka bila ada pihak yang bertanyakan sesuatu kepadanya. Cuma yang berbeza jauh ialah tokoh besar itu bijak menggunakan pengetahuan agamanya berbanding Awang Merdeka, hanyalah berdasarkan apa yang difikirkan dan dirasainya sesuai.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin memberikan ulasan psikologi yang menarik mengenai Tok Guru Nik Aziz setelah banyak pihak mendesak beliau supaya memohon maaf, menarik balik kenyataan dan tidak kurang juga yang melontarkan deraan meletakkan jawatan kerana kepimpinannya sudah lagi berkesan.

Timbalan Perdana Menteri memberi kaedah penyelesaian terbaik bahawa Nik Aziz tidak perlu meletakkan jawatan dan kepimpinannya masih diperlukan oleh PAS. Ketika itu mungkin Timbalan Perdana Menteri sedar, jika Tok Guru Nik Aziz semakin didesak, maka akan memberikan kekuatan baru kepadanya, kerana beliau seolah-olah kebal dengan kesalahan.

Ketakjuban sebahagian penyokong dan pendokong tokoh politik veteran yang sudah mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1978 dan menjadi wakil rakyat sejak tahun 1960-an itu memanglah besar. Kalangan pengagumnya melihat diri Tok Guru penuh keberkatan, dan apa sahaja yang dikatakan oleh beliau merupakan sesuatu yang mesti dipatuhi atau sekurangnya diterima sebagai nasihat yang amat berguna.

Bila Tok Guru mengatakan hanyalah parti dokonganya boleh membawa ke syurga, maka ramailah percaya bahawa Allah SWT menciptakan tempat itu khusus untuk mereka. Lantaran itu banyaklah yang termakan nasihatnya menampalkan poster Tok Guru setiap halaman rumah, dan tidak kurang juga meletakkannya di bawah bantal. Jika mati semasa dalam tidur, maka mati itu dianggap sebagai jaminan akan masuk syurga.

Setiap apa yang Tok Guru lakukan, ia tidak menjadi kesalahan. Apabila Tok Guru menentang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu-Islam dalam satu landasan pemikiran politik, maka orang yang mengeluarkan idea itu ikut terpaksa melantun bisu. Kalau Tok Guru tidak setuju, kewajarannya sudah menjadi sesuatu yang amat salah dan berdosa sekali.

Bukan setakat menghalangnya, Tok Guru pula mengeluarkan amaran keras. Jika ingin meneruskan hasrat penyatuan politik bagi kekuatan Melayu-Islam, tokoh itu perlu meletakkan jawatan sama ada dalam parti atau sebagai wakil rakyat. Jangan berjuang dalam harakah yang sama, kerana kekuatan harakah yang selama ini telah dibaja, disemai dan dipupuk oleh Tok Guru seolah-olah menjadi miliknya yang abadi. Orang lain tidak boleh memberikan pendapat dan menentukan keputusannya, kerana kedudukannya adalah lebih tinggi (nakhoda) berbanding lain-lain pemimpin yang dipilih berdasarkan demokrasi.

Kekuatan dan kelantangan suara Tok Guru itulah menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi semacam dilanda resah, nak berlari takutkan tidak terdaya (kerana pernah menerima rawatan sakit jantung), nak melompat kaki sakit (kerana sudah diseliuhkan setelah diberi peluang memimpin Terengganu, hanya mampu bertahan sepenggal), nak mengeluarkan fatwa terbaru tidak cukup kemampuan (tiada kuasa memerintah dan menguasai kumpulan wakil rakyat), hanyalah terserah kepada bahtera itu ke mana nak di bawa.

Akhirnya cadangan baik, tawaran bernas yang pernah diutarakan itu ditarik balik. Bagi membuktikan kesepakatan antara sekutu dalam gabungan parti-parti berlainan perjuangan politik, maka diadakan satu pengisytiharan “terus mengukuhkan perpaduan di kalangan pakatan rakyat”, dan bukannya antara Melalyu-Islam. Terlompat-lompat sahabat mereka (pemimpin DAP dan PKR), kerana cadangan tersebut jika diteruskan akan menyebabkan gabungan itu tersungkur lebih awal, matlamat untuk memerintah tidak kesampaian.

Tok Guru menjadi pengagum kuat perjuangan seorang lagi tokoh politik yang bijak menggunakan kata-kata yang semakin galak mempromosikan diri sebagai bakal Perdana Menteri suatu hari nanti. Bila terdengar ada sindiran, bagaimana seorang penasihat boleh menjadi Perdana Menteri, sedangkan yang lebih berhak ialah presiden parti, maka Tok Guru pun membuat fatwa baru, melaungkan cadangan baru kerana parti itu tetap dengan keputusan asal yang dibuat bersama.

Setelah ada pihak menganalisis pencapaian, kerana hampir kantoi dalam pilihan raya kecil Manek Urai dan tertusuk taji ayam jantan di Bagan Pinang, pengaruh parti yang memperjuangkan Islam itu kian merosot, pakatan rakyat semakin kehilangan arah dan sokongan golongan muda, maka Tok Guru melenting lagi. Lagaknya sama dengan Awang Merdeka, bila ada pihak yang mengusiknya maka dikeraskan suara “Merdeka!Merdeka!” agar semua yang berada di stesen bas Kota Bahru dapat mendengarnya.

Tok Guru (walaupun dikatakan tidak ditulis sendiri) membuat cadangan menggemparkan, parti itu perlu mengadakan muktamar khas kerana lain-lain parti dalam Barisan Nasional telah melakukan perkara yang sama bagi memantapkan kepimpinan dan menegaskan kembali azam, maka ia juga perlu bagi “membersihkan dua tiga kerat pemimpin.”

Hebohlah seantero Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak yang khabarnya sudah menunjukkan sokongan positif mengikut reaksi Tok Guru, sehingga beberapa pengagumnya mula tidak tidur malam kerana tidak faham dengan perangai Mursyidul Am PAS itu. Pening-pening lalat pada mula telah merebak hingga hampir ke tahap migrant. Jalan seterusnya dirintis dengan mengadakan Seminar Memperkasakan Politik, yang akhirnya menjadi pencetus resolusi yang tidak memberikan apa-apa erti kepada matlamat asal, sebaliknya mereka yang memberikan pandangan diterjah dengan kata-kata kesat dan tidak menampakkan ketajaman akal.

Beberapa hari lalu Tok Guru menjadi semakin melenting apabila hajatnya nak menunaikan haji sekeluarga atas tajaan seseorang terpaksa dibatalkan kerana dipersoalkan kewajarannya. Tok Guru dipersoalkan kewajarannya menerima tajaan hampir RM 65,000 oleh seorang kontraktor, dan ini sebenarnya memang salah dari segi peraturan. Oleh kerana berada di puncak kuasa dan mempunyai kuasa meluluskan sesuatu, maka banyaklah yang suka menaja kerana selepas itu boleh mendapat projek.

Dalam ulasan itu Tok Guru seolah-olah menyalahkan orang lain, kerana bagi beliau “tajaan sedemikian tidak salah. Orang nak bagi, kita terima. Selipar saya pun orang ambil kerana nakkan berkat.” Nampaknya Tok Guru begitu keramat sekali, malah dalam sesetengah keadaan melampaui cerita kehebatan walisongo yang terkenal di Indonesia.

Tapi, Tok Guru yang belajar agama sepatutnya lebih memikirkan kesejahteraan rakyat daripada menghabiskan wang sebanyak itu untuk menunaikan haji untuk kesekian kali. Tok Guru pun tahu, kewajipan menunaikan haji hanyalah sekali bagi setiap orang yang mampu, tapi kalau setiap tahun pergi, ramailah pula akan mensyakki sesuatu. Bukankah ia turut memberikan tafsiran kekerapannya mempunyai hubungan dengan kedudukan dan sifat-sifat sombong? Lebih baik perbelanjaan itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, tak payah le Tok Guru lakukan yang lebih-lebih.

Dalam keadaan seperti ini saya lebih menghormati Awang Merdeka. Saya pernah memberikan wang beberapa ringgit kepada beliau kerana saya khuatir dia tidak makan tengah hari pada hari itu. Awang Merdeka tidak menerima pemberian saya itu kerana sudah makan nasi, “Kenyang.” Maknanya, Awang Merdeka tahu mengamalkan sikap kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan, makan sekadar yang diperlukan. Tok Guru nak melebih-lebihkan, walhal yang terlebih itu hanyalah sebagai sunat, jika tidak dilaksanakan tidak dlihat berdosa.

Tok Guru juga marah apabila menantu disiasat setelah menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan, sejak ditubuhkan tidak pernah membentangkan penyata kewangan, dan menafikan perlantikan itu mempunyai unsur-unsur kronisme atau nepotisme. Sebelum isu meletup besar, selepas pemecatan Kickdelfella, Tok Guru pernah mewajarkan bahawa “dalam Islam tidak salah melantik saudara mara, kerana Nabi Muhamad SAW pun berbuat demikian.” Itulah kewajaran yang seringkali diperkatakan, sehingga ramai rakyat Kelantan memikirkan memangnya Arifahmi memang layak.

Setelah semakin hangat, Tok Guru semacam tidak lagi boleh sekat. Maka Tok Guru pun merestui perletakan jawatan menantu harapannya itu, tetapi kenapa bulan Mac 2010. Kenapa bukan sekarang? Mungkinkah tempoh yang panjang itu diberikan bagi menyelamatkan beberapa rahsia yang masih terbongkar termasuk pendedahan penulis blog terhadap sikap Tok Guru sendiri yang semakin menjauhi budaya kesederhanaan.

Memanglah pada awal kemunculan Tok Guru sebagai Menteri Besar ramai yang kagum kerana menyisihkan protokol, lemah lembut percakapan, tetapi setelah lama berada di puncak kuasa, semakin menghampiri realiti politik mementingkan diri dan ingin terus berkuasa.

Contoh terbaru ialah mengamalkan doa secara beramai-ramai untuk “melaknatkan Perdana Menteri” kerana tidak bersetuju dengan pembayaran royalty. Perdana Menteri berhasrat menyalurkan wang ehsan terus kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan kelolaan Kerajaan Pusat, maka angan-angan besar Tok Guru musnah lagi. Setelah membuat beberapa perkiraan bersama “orang kuat”, Tok Guru semacam tumpul akal, bermunajat laknat. Hal itu bukanlah perkara baru dalam politik pemimpin yang berhaluan Islam itu kerana doa laknat telah lama mereka praktikkan. Ketika heboh sembahyang dua imam, haram memakan sembelihan ternakan oleh orang UMNO, haram menziarahi jenazah kenalan yang tidak sealiran politik, perkara yang sama mereka lakukan.

Pemimpin mereka mendoakan agar mereka yang menentang apa yang mereka perjuangkan supaya dibalas dengan balasan yang dahsyat. Seharusnya, Tok Guru mengingatkan setiap orang Islam, kekuatan dan kejayaan dakwah Rasullullah SAW adalah kerana keramahan, lemah-lembut, bahasa yang berkesan dan memohon pertolongan Allah SWT supaya dilembutkan hati mereka itu.

Walau pun ada kisah dalam sejarah Islam mengenai doa Nabi Musa AS yang menghadapi ancaman fir’aun, memohon Allah SWT mengenakan malapetaka, tetapi doa tersebut masih bersifat umum. Doa itu tidak dikhususkan kepada fir’aun semata-mata, ia turut kepada pengikutnya. Yang jelas doa Tok Guru lebih khusus kepada Perdana Menteri kerana geram dan tumpulnya akal, atas keengganan memberikan wang royalti.

Kisah Awang Merdeka, walaupun sudah berlalu lebih tiga dekad lalu terus memberikan saya gambaran selintas pandangan, sekurang-kurangnya Awang Merdeka lebih ikhlas daripada Tok Guru. Walaupun Awang Merdeka bukanlah tokoh besar, mempunyai pengikut ramai, dikelilingi penasihat yang bijaksana dan terhandal, tokoh kecil itu tetap tahu malu dan martabat diri. Dia tidak akan meminta atau menerima pemberian orang kalaulah keadaannya tidak memerlukan, tapi antara keduanya masih ada persamaan, iaitu mudah melenting apabila tersinggung.

Peristiwa lebih tiga dekad lalu seakan-akan berulang kembali di Kelantan, tetapi konteks dan suasananya amatlah jauh berbeza. Maka, tidaklah perlu kita ramai-ramai berkumpuln mendesak Tok Guru supaya meletakkan jawatan, biarlah Tok Guru lakukan apa yang difikirkannya sendiri kerana sifatnya sudah melebihi sifat manusia biasa, keramat dan terlalu kultus sekali.

Awang Merdeka terus hidup dalam ingatan saya, pemangkinnya ialah Tok Guru, mengembalikan kenangan silam saya ketika setiap hari menunggu bas pergi dan balik ke sekolah, lebih tiga dekad lalu di Kota Bahru. Biarlah Tok Guru terus mengira biji-biji tasbihnya, kerana kadangkala apa yang diucapkannya menyimpang dari sifat keguruannya sendiri.

Tuesday, December 8, 2009

bo le, biar Tok Guru soghe main politik

Seruan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein agar rakyat Kelantan tidak “serabut otak” memikirkan mengenai politik. Ini kerana rakyat Kelantan memang terkenal dengan politik, dari mula terbit matahari hinggalah bulan pun tak sanggup lagi membantu, masih bercakap soal politik.

Ada banyak bentuk politik di Kelantan. Dari politik kedai kopi hinggalah politik laga ayam atau laga lembu. Selepas banjir ini ada pula politik “bantuan banjir” yang akan dijaja sekeliling kampong hingga yang tidak sepatutnya mendapatkan bantuan ikut serta, sekurang-kurangnya dapatlah sekampit beras cap Arnab Mas.

Hakikatnya bukan sahaja rakyat Kelanyan bijak bermain politik, pemimpinnya juga pintar memintas situasi agar kelihatan semua yang dilaksanakan mempunyai kepentingan rakyat.

Yang tidak puas hati dengan wang ehsan ialah Kerajaan Kelantan dan bukannya rakyat. Rakyat tetap setuju, kerana lebih penting bagi mereka ialah lebih banyak kemudahan dilaksanakan di kawasan mereka, termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang telah lama merindukan jambatan, jalan bertar, kemudahan air bersih, surau dan klinik desa.

Rakyat Manek Urai memang tidak perlukan bangunan seperti KB Mall kerana mereka bukanlah mampu untuk berbelanja cara itu. Mereka hanyalah memperoleh pendapatan dari beberapa ringgit hasil jualan getah, buah-buahan, dan sebagainya tentu kekok nak makan pizza ataupun Kentucky Fried Chicken.

Ayam kampong goreng garing dengan bawang merah dan lada kering tetap sedap berbanding KFC. Lempeng dari kelapa muda lebih enak berbanding pizza. Tapi mereka perlukan jambatan kerana mampu memudahkan hasil mahsul mereka dibawa keluar dan jika berlaku kecemasan, mereka senang mengambil tindakan susulan. Tidak lagi mengharapkan petunjuk paras air, jika air surut perjalanan mereka terhalang.

Rakyat Kelantan kebanyakan tidaklah hiraukan sangat seruan Tok Guru Nik Aziz agar ikut serta masing-masing berdoa agar “pemimpin pecah perut.” Mereka udah pun sedar, tak baik mendoakan laknat kepada orang lain, apatah lagi sesama Islam.

Tapi mereka tetap nak minta Tok Guru teruslah meneraju Kelantan. Mereka faham kalau nak suruh Tok Guru berhenti, Tok Guru akan komen “siapa budak-budak tu?”. Tak apa lah, kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan seumur hidup pun jadilah walaupun makin ramai rakyat Kelantan dah tak berkenan dengan Tok Guru.

Tok Guru boleh duduk diam dekat Pulau Melaka. Selepas selesai sembahyang subuh, Tok Guru jalanlah keliling kampong, lagi sihat. Tidaklah serabut sangat, kalau ada tak panggil Tok Guru sebagai “YAB Menteri Besar” pun taka pa, orang akan kenal Tok Guru adalah “bekas Menteri Besar Kelantan yang paling banyak melakukan kesilapan.”

Tok Guru kena ingat, walaupun masih terasa diri kuat, sebenarnya turut mencerminkan tenaga semakin lemah. Jika tetap memikirkan kecerdasan otak, sebenarnya minda sudah lama terkurung dengan “sangkar politik” yang telah lama dibaja dan disemai itu. Dah banyak tahun berbuah, kalau rambutan sekalipun dah sampai masa ditanam baru. Buahnya semakin kecil. Ibarat buah betik, semakin lama, buahnya tidaklah selazat buah pertama atau zaman mudanya.

Begitu juga dengan hakikat pengaruh. Semakin lama, semakin ramai orang mula membuat perbandingan. Apa yang Tok Guru lakukan pada awalan kemunculan, orang menganggapnya sebagai sesuatu yang baik, sederhana dan sebagainya. Lama kelamaan kesederhanaan itu dilihat jelek, tidak sewajarnya, Tok Guru perlu memperbaiki kedudukan dan mempamerkan imej baru.

Kalau hanya bertahan dengan gaya lama, termasuk retorik syurga, tentunya makin ramai orang tak percaya. Mereka sekarang, golongan muda sudah ramai tahu membaca dan boleh membaca pelbagai bahan bacaan, sama ada bahasa asal atau terjemahannya, akan mengetahui “syurga itu hak Tuhan dan bukan ditentukan oleh PAS.”

Tok Guru seharusnya dapat merenung dengan apa yang terjadi semalam di KB Mall. Bagaimana sebuah kereta boleh melompat seperti mengejar Jacky Chan dalam drama kejar-mengejar menghempap dua pelajar dan meninggal di tempat kejadian. Bagaimana pihak berkuasa tempatan, tentunya Majlis Bandaraya (Islam) Kota Bahru boleh memberikan sijil menduduki kepada KB Mall itu.

Bagaimana mungkin laluan kenderaan dan laluan orang awam boleh setentang. Bagaimana lorong escalator itu boleh ditimbusi oleh kereta setelah dinding terbongkah batu-batanya? Inilah yang sepatutnya Tok Guru fikirkan, dan mengkaji semula rekabentuk bangunan yang terdapat dalam MPKB.

Kita seringkali diingatkan apabila meminta bala menimpa orang lain, akhirnya bala tersebut akan turut menimpa kita. Apabila kita berdoa untuk kesejahteraan orang, kita juga akan mendapat pahala. Itu adalah hubungan interaktif kita dengan Allah SWT. Oleh itu, walaupun nak mengatakan dengan tepat kebenaran kejadian itu dengan apa yang Tok Guru doakan, adalah sesuatu yang agak keterlaluan.

Sekurang-kurangnya saya dapat sedikit renungan. Mungkin ada jawapannya. Tetapi biarlah saya menyimpannya buat sementara waktu kerana saya tidak mampu membenarkan pendapat saya berdasarkan firman dan hadis, saya tidak banyak mengetahui tafsirannya, hanya sekadar boleh membacanya, kerana itulah yang tok guru al-Qur’an ajar kepada saya suatu ketika dahulu.

Saya tertunggu-tunggu apa yang nak Tok Guru ulas mengenai kejadian itu. Apakah Tok Guru akan tetap menafikan ia adalah petunjuk dari Allah SWT memberikan amaran di atas kesombongan yang pernah kita lakukan?

Saya tetap tidak akan menghiraukan walaupun sepanjang jalan antara sempadan Gua Musang ke Kota Bahru akan penuh dengan sepanduk mengutuk pemberian wang ehsan, dari Teluk Budu ke Hutan Melintang atau dari Pengkalan Kubur ke Bukit Batu Hitam terpampang gambar Tok Guru berdoa, ia hanyalah lambang kesombongan manusia yang cuba mengusulkan perjuangan politik dan mengekalkan kuasa.

Kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan sampai bila-bila pun ambillah. Saya tidak peduli, kerana saya yakin, suatu hari nanti Tok Guru akan bercakap seorang diri. Pengampu Tok Guru semakin menghilang diri, kerana mereka juga kepingin nak duduk tempat Tok Guru, tapi Tok Guru tidak memberikan mereka laluan, mereka juga akan pergi meninggalkan Tok Guru nanti.

Sunday, October 4, 2009

CERITA-CERITA KECIL DARI BAGAN PINANG

1. AYAM JANTAN JADI AYAM BERAK KAPOR

Sebelum tiba masa masuk gelanggang, ayam jantan itu kuat sekali berkokok. Kokoknya seolah-olah bukan sahaja ingin memberitahu bahawa waktu siang hampir tiba, tapi terus ingin meruntuhkan hagemoni pengaruh dan legasi Tan Isa. Shaharudin, suatu ketika dahulu merupakan ahli UMNO dan memang kenal dengan Ketua Bahagian UMNO Telok Kemang itu. Mungkin Shahrudin turut merupakan salah seorang yang pernah mendapat bantuan dan sokongan Tan Sri Isa.

Kokoknya bunyi nyaring. Ada 30 peratus penyokong kerana beliau adalah anak tempatan. 30 peratus pengundi tersebut merupakan mereka yang tidak sukakan Tan Sri Isa dan yang tidak menyokong calon PAS. Tapi, belum pun sampai ke gelanggang, taji dan paruh nya patah apabila gagal mendapatkan pencadang dan penyokong pengundi tempatan bagi membantunya diterima menjadi calon. Maka, jadilah Shahrudin bagaikan ayam togel yang diserang berak kapur.

Nak campak muka kat mana. Tentunya, kenalannya akan terus membuat andaian bahawa cakapnya sahaja besar, tetapi ...............

2. Surat Khabar Lama, Gas Habis tapi tidak seteruk "kucing kurap."

Peribahasa mengenai kucing kurap memberikan pengertian bahawa, ia tidak lagi boleh menyumbangkan apa-apa atau tidak diterima oleh masyarakat. Dan, kerana itu calon PAS yang sudah tiga kali kalah di kampong halamannya sendiri, maka tidak ada sebab ia boleh diterima oleh orang Bagan Pinang. Lenggeng dan Bagan Pinang sudah kawasan berlainan walaupun, Zulkefley mengatakan bahawa "dunia tanpa sempadan, bukan anak tempatan tidan lagi penting."

Benar, itu hanya dalam dunia siber dan bukan dunia realiti sebenar. Kita tidak boleh langgar sempadan tanah kita, pakai hentam keromo kerana sempadan itulah yang akan menentukan hak dan milik seseorang, atau komuniti. Bukan main serang, ikut kata hati dan pakai rasional yang tidak rasional yang diperjuangkan oleh PAS. PAS tidak pernah rasional dalam tindakannya, dan apabila terdesak mula menggunakan ayat-ayat Qur'an bagi mewajarkan sikapnya sendiri. Banya sangat bermain dengan kata-kata dan terlalu bersifat retorik sehingga menjadikan pengikut tegarnya selalu bermimpikan mati masuk syurga, sedangkan semasa hidup memaki hamun orang lain.

3. SIAPA BERGADUH?

Tersebar berita kononnya apabila Tan Sri Isa dipilih mnenjadi calon BN bagi PRK Bagan Pinang, Menteri Besarnya resah gelisah kerana tidak sehaluan dalam kepimpinan UMNO negeri. Ada teori mengatakan, jika Tan Sri Isa menang, maka kedudukan Mohd Hassan sedikit bermasalah. Maka dicanangkanlah pertautan dengan teori itu, Tan Sri Isa bakal mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar kerana sepanjang kepimpinnya UMNO menang besar sedangkan Mohd Hassan tidak mampu memimpin Negeri Sembilan.

Mohd Hasan turut kalah bagi peti undinya sendiri, walaupun peringkat DUN menang. Bagi menjaga kedudukan Mohd Hassan, beliau khabarnya akan di bawa ke peringkat pusat untuk mengisis jawatan tertentu. Itu teori yang sedang rancak diperkatakan bagi menggambarkan antara kedua tokoh tersebut tidak boleh bekerjasama.

Teori itu sengaja diciptakan bagi memeccahkan solidirati UMNO Telok Kemang, Negeri Sembilan bagi memindahkan sokongan sebahagian besar pengundi Bagan Pinang. Teori itu sengaja dicipta apabila PAS turut terperangkap dengan kedudukannya yang semakin terhimpit dalam Pakatan Pembangkang. PAS di Selangor sedang mengalami gangguan cirit birit yang kronik apabila tidak mendesak rakannya menarik balik desakan supaya Dr. Hassan Ali bertaubat. Speker yang bergerak atas sifat politik kiasu marahkan Dr. Hassan Ali sehingga menuduh pemimpin PAS ITU BERBOHONG.

Malam tadi, Hassan Ali menjawab bahawa yang sebenarnya berbohong ialah Teng Cheng Khim. Hassan terus mencabar supaya Teng bertaubat kerana menurut beliau, sebagai orang Islam taubat selalu dilakukan setiap kali selepas sembahyang. Untuk melengkapkan butirannya, Hassan mengatakan Rasullullah SAW telah melakukan taubat sebanyak 70 kali sehati semalam.

Manakala PAS juga terasa malu kerana kedudukan ADUN Permatang Pasirnya belum lagi disahkan akan dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Hingga kini kedudukan Pesuruhjaya PAS itu masih samar-samar kerana menurut Ustaz Shahabudin, pewartaan tokoh akademik dari USM telahpun diberikan lampu hijau oleh Yang Di Pertuan Agong.

Jika Pulau Pinang tidak mewartakan perkenaan Yang Di Pertuan Agong dan kekal untuk melantik Salleh, bererti berlaku penerhakaan besar kepimpinan negeri. Pada pertengahan Ogos lalu, telah diperkenankan perlantikan Ellias Zakaria bagi menggantikan Ustaz Shahabudin yang dijangka akan tamat pada akhir tahun ini. Tapi, kerana berjanji dalam kempen Permatang Pasir bulan Ogos lalu, Salleh akan dilantik, maka Salleh seakan-akan sedang menunggu buah yang tidak bakal gugur. Kalau Kerajaan Negeri engkar perkenan yang telah dilakukan, bererti sengaja menempah maut. Maka Ketua Menteri sekali lagi diserang, atau mungkin orang Melayu mendesak beliau meletakkan jawatan atau kembali ke Melaka sebagaimana penduduk Kg. Buah Pala pernah lakukan.

UMNO tidak boleh diam dengan perkara ini kerana ia merupakan pelanggaran prinsip dan mencabar kedaulatan undang-undang. Perlantikan tersebut sebenarnya telah dipersetujui oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1, tapi Timbalan Ketua Menteri 1 sekarang masih belum mengeluarkan apa-apa komen kerana sedang asyik mengira apakah kemudahan yang dia dapat.

Maklumlah, sekarang sudah ada kereta mercedes SL350, yang dipandu oleh anak bekas wakil rakyat UMNO. Bila orang tuanya meninggal, keluarga tersebut mula menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim walhal sebelum itu tidak pun mahu mendengar nama tersebut. Ini turut mempengaruhi pengundi Bagan Pinang, kerana PAS sebenarnya kena tenggek kepada DAP di Pulau Pinang. Di Selangor pun demikian, bukan sahaja kena tenggek, kalau boleh akan diterajang sekuat-kuatnya. Tapi, PKR tidak cukup kuasa untuk melontarkan PAS, daya tarik lastik Hassan Ali masih kuat.

Kalau teori retak dalam pemimpin UMNO Negeri Sembilan berlaku, maka tidaklah Menteri Besar boleh berkempen sebumbung dengan Tan Sri Isa. Jawabnya mungkin PAS mahu menutup krisis kepimpinan Nik Aziz dengan Nasharudin Mat Isa sewaktu PRK Manek Urai. Bagi memberikan gambaran bahawa Nasharudin tidak disekat, Nik Aziz cuba mengelak bahawa "tidak tahu Timbalan Presiden PAS itu sakit." Budak kecil yang belum akhil balik pun boleh memberika jawapan bodoh itu. Masakan seorang pemimpin besar tidak tahu keadaan kesihatan atau perkembangan barisan kepimpinan mereka.

4. PENYOKONG PAS BARBARIAN

Dalam zaman moden ini masih berlaku politik barbarian. Ia seolah-olah mengembalikan kita ke zaman batu apabila berjumpa dengan lawan, kita akan melakukan kekasaran sehingga menjadikannya sebagai objek kemarahan, cacian dan sebagainya. Inilah watak barbarian yang banyak kita dengar dan saksikan melalui filem. Pantang jumpa, akan dibelasah sesuka hati tanpa mempedulikan nilai-nilai kemanusiaan dan etika kehidupan.

Syukurlah UMNO tidak melakukan perbuatan terkutuk itu. Penyokong UMNO kalau nak marahkan provokasi PAS, marahlah tapi jangan mengambil sikap barbaric seperti mereka. Kalau ada orang UMNO buat, maka akan dijajalah serata pelosok bahawa UMNO ganas, sedangkan keganasan itu dilakukan oleh penyokong PAS. Kita mungkin sudah masak dengan gelagat mereka kerana di Manek Urai pernah pemimpin UMNO dimaki, di Permatang Pasir wakil rakyat PKR membelasah polis dan di Permatang Pauh, bukan sahaja jurukamera dibelasah dan dirampas kameranya, puteri UMNO pun kena koyak baju.

Jadi, dalam soal ini kita sudah tahu siapakah yang mengamalkan politik ganas. Walaupun UMNo pernah dituduh zalim, UMNO setakat ini tidak tunjuk lagak macam samseng dan tidak mempertahankan orang yang bersalah, walaupun ahlinya sendiri. Tidak seperti pemimpin pembangkang, Salahudin Ayb menafikan kejadian yang menimpa Datuk Azeez, malah menyifatkannya sebagai "sengaja diada-adakan."

Begitu juga pernah pemimpin PKR menafikan penyokongnya terbabit dalam insiden merampas kamera dan mengoyak baju puteri UMNO di Permatang Pauh. Tapi, tidak boleh manfikan apa yang dilakukan oleh Gobalakrishnan di Permatang Pasir, malah menghebohkan cerita di sebaliknya, kononnya polis sengaja mengkhianati wakil rakyat PKR itu. Pembangkang terlalu banyak dolak-daliknya, kerana mahu melindungkan perlakuan ganas dan barbarik itu.

Kita lihat sikap PAS sebenar. Apabila mengecat mata Perdana Menteri dan wajah calon BN ketika kempen Permatang Pasir. Ibrahim Ali pun kena apabila penyokong PAS hilang pertimbanan marahkan beliau yang mencabar Nik Aziz supaya meletakkan jawatan. Pemimpin UMNO tidk pernah melakukan perkara sedemikian walaupun suatu ketika dahulu, Dr.Mahathir pernah dikatakan "mahazalim","mahafiraun","diktator" oleh pemimpin pembangkang, termasuk PAS ketika era reformasi.

Tapi itu tidak bermakna pemimpin UMNO atau penyokongnya akan berdiam diri. Tidak pula membawa maksud UMNO kecut perut, kerana UMNO tidak pernah buta perut dengan sikap PAS. UMNO lebih memilih kaedah politik sederhana, bukan menggunakan gaya samseng untuk memperoleh kuasa. UMNO akan terus kekal di hati orang Melayu walaupun sebahagiannya tidak mahu menerima kenyataan dan mabuk air tembakau Anwar Ibrahim.

Datuk Aziz berada di Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami kesakitan setelah dibelasah oleh penyokong PAS. Khabarnya, beliau termuntah-muntah selepas pulang ke Kuala Lumpur kerana kesan tumbukan tersebut. Tak apalah datuk, biarkanlah pihak polis membuat siasatan...jika mendapat petunjuk, mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan ditangkap.

Tuesday, September 29, 2009

DUNIA TANPA SEMPADAN, CALON PAS BAKAL KECUNDANG

Hari minggu lalu, Tokai secara bersendirian mengunjungi beberapa tempat dalam DUN Bagan Pinang sekadar ingin merasai emosi yang bakal bergegar di sana. Sekadar menemui kawan-kawan lama bagi mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, Tokai sempat bertanyakan khabar apakah Ketua Bahagian Telok Kemang masih lagi mempunyai ikatan kukuh dengan pengundi Bagan Pinang.

Ada teman memberi kenyataan balas, jika Tan Sri Isa dicalonkan semula beliau boleh menopang kembali bendera UMNO dan BN kerana keakrabannya dengan masyarakat setempat. Berbanding dengan potensi calon PAS, yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sendiri, iaitu Zulkefly Mohamad Omar, Tan Sri Isa akan berupaya memberikan kemenangan kerana inilah buat pertama kalinya sejak memasuki arena politik, beliau bertanding di kampong halamannya sendiri.

Tan Sri Isa, 60 tahun, pernah bersekolah di Sek. Keb. Bagan Pinang sebelum meneruskan persekolahannya di Sek Alam Shah dan Universiti Malaya, yang turut diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang. Hubungannya dengan penduduk tempatan adalah akrab kerana sepanjang khidmatnya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun (1982-2004) beliau telah berjaya membina legasinya dengan hampir semua penduduk negeri tanah beradat itu.

Bagi calon PAS, 45 tahun, riak wajahnya yang sukar senyum telah membayangkan bahwa peluang untuk menang adalah sukar. Pertama, sentimen anak tempatan akan turut mempengaruhi kepintarannya menolak hujah sama ada pengundi muda atau berkecuali termakan dengan bahan kempen parti itu. Kedua, hubungannya dengan pengundi tempatan tidaklah mesra kecualilah dengan mereka yang tidak begitu sukakan BN dan penyokong PAS tegar yang tetap tidak akan berubah walaupun diberitakan langit tidak akan runtuh dengan menyokong calon BN.

Semua orang faham dan boleh baca sikap penyokong tegar PAS, walaupun Tok Guru memberikan jaminan tidak akan menggunakan kempen menyerang peribadi, dalam keserakahan mencari kemenangan ia tetap akan digunakan. Inilah yang berlaku sepanjang kempen pilihan raya kecil yang melibatkan pertandingan antara BN dan PAS, termasuk yang terbaru di Permatang Pasir.

PAS tidak akan mengingati janji pemimpinnya, kerana pemimpin mereka seolah-olah lebih mulia daripada semua makhluk yang ada, kadangkala mengambil alih peranan malaikat apabila menentukan kriteria masuk syurga. Kita pernah dengar Tok Guru terkinja-kinja memberikan kenyataan bahawa "Islam PAS lah akan membawa ke syurga" walhal, darjah keimanan seseorang bukan hak mutlak Tok Guru. Hanya malaikat yang diberikan tanggungjawab oleh Allah swt untuk mencatatkannya, manakala seluruh anggota tubuh digerakkan sebagai saksi apabila dibuat perhitungan nanti.

Secara peribadinya saya tahu bahawa Tan Sri Isa ialah seorang mudah menghulurkan bantuan, dan dalam satu majlis yang pernah Tokai hadir, walaupun penduduk tempatan tidak meminta apa-apa pun kecuali kehadiran beliau, semasa berucap secara bergurau bertanya, "dah datang ni, tidak ada apa-apa ke nak minta?"

Khalayak terseyum sipu, tapi tidaklah seteruk senyum kambing Husam Musa yang beria-ia nak bukakan ladang ternakan kambing di Pasir Mas sebagai "jihad ekonomi" mengumumkan, "gantikanlah atap masjid. Dah lama, dah naik berkarat." Khalayak yang hadir puas hati dan sebelum pulang, bersalaman dengan Tan Sri Isa mengucapkan "terima kasih."

Pengalaman kedua ialah ketika rakan-rakan ingin mengadakan satu majlis makan malam dan setiap yang hadir dalam mesyuarat itu mengharapkan Menteri Besar akan hadir. Mereka sanggup menunda tarikh walaupun terpaksa mengambil masa yang lama, asalkan Menteri Besar memberikan jaminan akan hadir. Penduduk tidak mahu orang lain menjadi wakil Menteri Besar walaupun ada exco kanan yang boleh menggantikannya, kerana kehadiran orang lain tidak dianggap dapat memeriah majlis tersebut. Itulah aura dan pautan psikologi Tan Sri Isa dengan orang Negeri Sembilan.

Tan Sri Isa juga merupakan seorang pemimpin yang dapat mengingati nama seseorang dengan baik. Menurut cerita seorang rakan, dia pernah membuat kunjungan hormat di pejabat beliau di Wisma Negeri ketika beberapa hari melaporkan diri sebagai ketua jabatan di Negeri Sembilan. Itu adalah pengalaman rakan saya pada tahun 2000 lalu. Sepanjang bertugas di Negeri Sembilan selama lebih setahun, hanya beberapa kali sahaja dia sempat menghadiri majlis yang dianjurkan oleh beberapa pihak dan dihadiri oleh Tan Sri Isa sebagai VVIP.

Selepas itu rakan saya itu terputus hubungan , tetapi semasa Tan Sri Isa mengiringi anaknya melangsungkan perkahwinan di Bandar Manjalara dua tahun lalu, beliau masih kenal dan ingat nama rakan saya itu. Belum pun sempat rakan saya itu menegur, Tan Sri Isa terus bertanyakan khabar dan mereka berbual buat beberapa ketika.

Sikap rendah diri, mesra dan boleh mengingati orang yang pernah bertemu dengannya merupakan sesuatu yang amat diperlukan dalam kehidupan bersosial dan berorganisasi. Amat sukar untuk kita temui seseorang yang boleh mengingati nama orang yang jarang ditemuinya, bukan sahaja dalam tempoh yang mengambil masa lebih setahun terputus, kalau setelah lima minggu selepas pertemuan pertama itu pun banyak orang telah lupa, kecualilah pertemuan itu merupakan sesuatu yang banyak membingkas atau membingkai memori yang mendalam.

Nampaknya calon PAS sudah lupa dengan ingatan lama bahawa tempat memainkan peranan penting dalam menentukan pengaruh seseorang walaupun teknologi berjaya menceroboh psikologi pemikiran kita. Secara realitinya, orang masih tetap bertanya di manakah tempat asal-usul seseorang itu, kerana dengan mengenali asal-usul itulah menyebabkan orang mempunyai gambaran imej tertentu terhadap seseorang.

Orang Port Dickson dalam sesetengah hal adalah berlainan dengan orang Lenggeng, walaupun dalam Negeri Sembilan. Cara pergaulan dan percakapan orang Port Dickson berlainan dengan orang Lenggeng, termasuk dari segi semantik bahasanya. Tokai tidak berminat untuk membuat ulasan perbezaan ketara antara gaya kebahasaan dan latar semantik antara dua daerah tersebut, walaupun sedikit sebanyak mempunyai pengalaman.

Kalau sempadan tidak penting, jawabnya tidaklah perlu lagi pihak-pihak tertentu melakukan kerja-kerja menyukat tanah, dan meletakkan batu sempadan. Jika sempadan kawasan tidak penting, maka tidaklah banyak kita menghadapi masalah "mencerobohi perairan negara" dan "memasuki kawasan orang lain." Inilah kucar-kacir politik yang cuba dibudayakan oleh sesetengah pihak bagi mewajarkan tindakannya mencari pengaruh dalam kandang yang lain. Kerbau tentunya tidak selesa dan merasakan bahagia bila berada dalam kandang kambing.Begitulah kambing, tidak akan merasa tenang bila dimasukkan dalam reban ayam.

Calon mungkin berkata demikian kerana ingin menghapuskan sekatan psikologi berdasarkan primordial politik, dan menghilangkan rasa takut berdepan dengan pengundi tempatan yang amat menghargai sumbangan silam dan hubungan akrab dengan Tan Sri Isa. Namun demikian, mungkin kita perlu berhati-hati kerana PAS akan tetap menggunakan hubungan dan keterkaitan dengan orang tempatan sebagai sesuatu yang lebih berbentuk assabiyah. Inilah yang menjadi jalan perhitungan PAS selama ini sehinggakan rakyat Kelantan boleh menolak orang Kelantan sendiri dan lebih mempercayai tukang badut dari Sungai Dua, Pulau Pinang walhal orang kampongnya sendiri tidak mahu memilihnya.

Kita mungkin tidak lupa bagaimana Mat Sabu boleh menang di Kelantan. Kita mungkin boleh menerima Nasharudin Mat Isa menang di Bacok, tetapi pengundi Port Dickson akan menyesal sepanjang edah jika memilih PAS dalam PRK Bagan Pinang kali ini, walaupun peniaga telefon ini menawarkan janji-janji yang tidak pasti akan ditunaikan nanti.

Tokai hanya menunggu sama ada calon dari PKR yang akan bertanding, kerana sebelum ini telah memukul canang, walau apa pun tindakan yang akan dikenakan, beliau akan mengambil bahagian. Jika parti PKR tidak memberikan laluan, sanggup bertanding atas tiket Bebas, hanya 3 Oktober nanti akan menentukan benar-benar kokokan ayam jantan ini terus bergema di Bagan Pinang.

Thursday, August 20, 2009

SYURGA DAN NERAKA MILIK SIAPA?


Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM

Telah beberapa kali berlaku pertembungan di antara ulama kita dalam bentuk yang tidak sihat pada fikiran saya. Terbaru ialah pertembungan di antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (DNAA) Mursyidul Am PAS dengan Tan Sri Harussani Zakaria (TSHZ) Mufti Negeri Perak tentang siapakah di antara orang Islam yang akan masuk syurga. Kedua-dua tokoh ulama ini mengemukakan pandangan yang berbeza-beza tentang siapakah yang akan masuk syurga.

Kalau betul laporan dua buah akhbar utama berbahasa Melayu dan sebuah akhbar utama berbahasa Inggeris yang terbit pada hari Selasa 18 Ogos 2009, DNAA mengeluarkan pendapatnya berdasarkan keanggotaan parti politik untuk menentukan siapakah di antara orang Islam di negara kita yang akan masuk syurga.

Berita Harian melaporkan DNAA sebagai berkata: “Ada perbezaan antara Islam di bawa PAS, berbanding Islam dibawa UMNO kerana Islam mereka (UMNO) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.” Utusan Malaysia pula melaporkan kenyataan DNAA itu seperti berikut: “Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga…”

Utusan Malaysia pada hari yang sama juga memuatkan kenyataan TSHZ tentang hal yang itu, iaitu yang berbunyi “Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak. Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan.”

Saya rasa kedua-dua pandangan daripada dua orang ulama ini merupakan hukum atau fatwa yang amat bercanggah sama sekali, iaitu kenyataan DNAA mengatakan bahawa Islam UMNO tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga, sedangkan TSHZ membuat kesimpulannya sendiri bahawa DNAA dengan menafikan syurga kepada Islam UMNO, maka seolah-olah Islam PAS sahaja yang membawa orang ke syurga, iaitu dilihat dari sudut logik kenyataan DNAA itu, atau dalam ilmu mantiq dari segi mafhum, dan mafhum mukhalafahnya.

Orang awam akan merasa keliru dengan fatwa atau pandangan dua orang ulama ini, betulkah Islam UMNO tidak membawa seseorang itu ke syurga? Dan Islam PAS sahaja yang membawa orang ke syurga? Apakah agama Islam itu terbahagi kepada dua, iaitu Islam UMNO dan Islam PAS? Malah dari sudut yang lain pula orang awam akan tertanya-tanya: bagaimanakah pula dengan Islam PKR dan Islam DAP serta Islam parti-parti politik yang lain pula, kalau pun hendak dibahagi-bahagikan Islam itu menurut parti politik, ke manakah pula mereka?

Di Malaysia hanya ada dua buah parti terbesar yang boleh dinamakan parti Melayu, iaitu PAS dan UMNO. Kedua-duanya dianggotai oleh orang Melayu, PAS mungkin seratus peratus Islam, dan UMNO majoriti terbesarnya adalah Islam.

Sekali lagi, persoalan akan timbul dalam hal ini, bagaimanakah pula kedudukan orang Islam yang menyertai parti lain seperti PKR atau DAP umpamanya? Adakah mereka ke syurga, atau sebaliknya? Saya percaya bahawa dalam hal ini para ulama akan menjawab bahawa masuk syurga atau tidak bagi orang Islam itu adalah berdasarkan amalan individu itu sendiri, bukan berdasarkan kepada keahliannya di dalam mana-mana parti politik yang tertentu. Di sinilah akan timbul kekeliruan di kalangan masyarakat awam orang Islam, iaitu kenapakah ketika menghukum orang Islam sama ada masuk syurga atau tidak bagi orang Islam lain adalah berdasarkan keanggotaan UMNO atau PAS? Apakah istimewanya PAS dan UMNO dalam konteks ini?

Masyarakat Islam juga tidak faham perbezaan antara kenyataan politik dengan kenyataan agama, apabila kenyataan atau pandangan yang berbentuk fatwa itu dikeluarkan oleh ulama yang terkemuka. Mereka menganggap bahawa semua yang keluar daripada ulama itu adalah fatwa, tidak kiralah sama ada ulama itu ketua parti politik atau mufti dan ulama yang lain. Hal ini membuka ruang untuk perpecahan umat Islam, dan yang mungkin membawa kepada pertentangan kefahaman bagi sesuatu hukum agama, khususnya yang berhubung dengan nasib mereka pada hari akhirat nanti, sama ada ke syurga atau ke neraka.

Oleh itu saya rasa, pertembungan yang melibatkan hukum atau fatwa ini mestilah dihentikan sama sekali, kerana ulama adalah orang berilmu, pewaris Nabi, dan mempunyai kedudukan yang dihormati di dalam masyarakat kita, mereka seharusnya beramanah terhadap pengetahuan dan ilmunya yang betul walau di mana sekalipun mereka berada, dan mereka seharusnya menjadi tumang umat Islam sebagai penyatu, bukan pemecah ummah.

Saya ingin juga melihat polemik dan perbincangan yang sihat dan berhikmah oleh para ulama, Persatuan Ulama, ahli akademik dan NGO Islam umumnya ketika terdapat kenyataan-kenyataan begini, sama ada berbentuk politik, ajaran sesat, dan sebagainya.

Saya faham, ramai ulama yang tidak mahu turut serta di dalam pertembungan ini, kerana “tidak mahu masuk campur urusan politik”, “tidak mahu dituduh ulama politik” atau “ “tidak mahu melawan arus”, dan sebagainya. Tetapi bagi ulama yang ikhlas dan amanah, dia seharusnya berani mengeluarkan pandangan secara jujur tentang apa saja isu, termasuk isu politik, apa lagi yang berbentuk fanatik melulu dan partisan yang memecahbelahkan masyarakat umat Islam.
islamhadhari.net

Tuesday, August 18, 2009

NIK AZIZ MELAMPAUI BATAS

Oleh Norfatimah Ahmad, Jami'ah Shukri dan Nazura Ngahmailto:Ngahbhnews@bharian.com.my


Tuduhan ajaran Islam diamalkan Umno tidak membawa ke syurga keterlaluan.
Tokoh agama dan ahli akademik menyifatkan tuduhan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai ulama. Malah, ada yang berpendapat Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam.

Ahli akademik yang pernah membuat kajian mengenai Pas, Dr Ibrahim Abu Bakar, berkata banyak kenyataan Nik Abdul Aziz sebenarnya dibuat bagi menakut-nakutkan masyarakat sebagai strategi politik bagi meraih sokongan terhadap Pas yang dilihat semakin malap, terutama menjelang pilihan kecil kecil DUN Permatang Pasir.
"Sebagai seorang Islam, kita tidak seharusnya menyatakan kita saja yang betul termasuk mengenai syurga," katanya ketika dihubungi Berita Harian. Ibrahim berkata, berdasarkan kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan itu sudah berada pada tahap ekstrim serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij.

Mengikut sejarah, kaum Khawarij adalah penyokong Saidina Ali yang berjuang menentang puak Muawiyah, tetapi tidak menerima majlis tahkim. Bagaimanapun, golongan itu belot dan membunuh Saidina Ali kerana memprotes kesediaan beliau menerima keputusan majlis tahkim. Kaum Khawarij juga berpendapat pelaku dosa besar adalah kafir dan mengkafir serta menghalalkan darah semua umat Islam yang berbeza kepercayaan.
"Oleh itu, semakin jelas Pas sudah bersikap seperti kaum Khawarij yang menegaskan mereka (anggota Pas) saja yang betul dan orang lain salah atau kafir," katanya. Ibrahim berkata, dari segi analisis psikologi pula, kelantangan Nik Abdul Aziz mencerca Umno mungkin mempunyai kaitan dengan kemarahannya yang terus membara sejak bekas Yang Dipertua Pas, Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda, membawa masuk Pas ke dalam Barisan Nasional (BN).

"Justeru, tidak mustahil Nik Abdul Aziz kerap dilihat memberi kenyataan yang berbaur hasutan untuk membolehkan beliau terus mengukuhkan tempatnya di dalam politik, selain untuk meruntuhkan sokongan dan kesepaduan di dalam Umno," katanya. Ibrahim juga berkata, Pas sudah menyimpang daripada perjuangannya apabila berebut-rebut untuk mendapatkan tempat serta kuasa menerusi platform politik.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, pula berkata Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan agama dalam perspektif politiknya kerana ia boleh mengelirukan orang lain, terutama umat Islam.
"Pandangan Tok Guru (Nik Aziz) mengenai politik yang berkaitan dengan agama ada kalanya menyebabkan sesetengah pihak salah faham kerana beliau mempunyai perspektif tersendiri. Oleh itu, tidak sesuai untuk beliau terus biarkan dirinya berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin agama daripada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.
"Islam adalah untuk semua umatnya, tiada batasan mana-mana puak atau kaum, parti atau organisasi. Kenyataan Nik Abdul Aziz seolah-olah terlalu membahagi-bahagikan dan mengkelaskan Islam, semacam memberi laluan mudah kepada pengikut dan ahli Pas," katanya.
Utusan Malaysia, 19 Ogos 2009 melaporkan ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan penyokong UMNO tidak layak masuk syurga, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib pula mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berpendirian, peluang masuk syurga adalah urusan dan keizinan Allah dan ia tidak semestinya bergantung kepada mana-mana parti yang disertai.

Jelasnya, setahu beliau, umat Islam yang sentiasa mengamalkan kebaikan, bertakwa selain ikhlas dalam mematuhi segala ajaran Islam, mereka akan masuk syurga dengan izin Allah.

Sesiapa saja (umat Islam) yang mengamalkan ajaran Islam dan yakin dengan ajaran itu selain mengamalkannya dengan jujur, ikhlas, maka dengan izin Allah mereka akan masuk syurga.
CATATAN TOKAI
Maka, jelaslah Tok Guru Nik Aziz semakin mabuk kuasa dan terlalu ingin mengekalkan kuasa sanggup buat apa sahaja termasuk memutarbelitkan prinsip agama. Keulamakannya sudah hilang taring dan terjejas oleh ideologi politik yang sempit, terlalu terdesak dan dicadangkan merenunglah kumpulan bintang-bintang di langir, agar dapat mencari jawapan ke atas kebesaran dan kebenaran Allah SWT.

Monday, August 17, 2009

TOK GURU TAK SAYANGKAN MULUT

Bila PAS berhadapan dengan BN, TokGuru mula meletakkan batu asas kempen dengan menyerang bahawa UMNO tidak akan membawa orang Melayu-Islam masuk syurga. Semasa di Manek Urai bulan lepas, Tok Guru juga kata bahawa UMNO itu jahat, zalim dan mengamalkan ajaran sesat seperti Ayah Pin.
Tapi kali ini Tok Guru masukkan kembali fatwa syurga untuk orang PAS tetapi nadanya menuduh corak Islam UMNO seperti Palestin. Nampaknya Tok Guru masih tidak sayangkan mulut dan tidak faham kerana mulutlah badan binasa sebagaimana dituturkan oleh orang yang lebih tua daripada Nik Aziz sendiri.
Tok Guru nampaknya tidak menghormati norma yang telah ditetapkan, tetapi bagaimana pula nak meminta orang lain menghormati dirinya. Inilah paradok dalam diri Tok Guru sendiri yang mungkin sedang menuju ke kancah psikik baru rakyat Malaysia yang termakan dengan wacana sesat itu.
Tok Guru tentunya menganggap bahawa syurga itu hak mutlak PAS. Tak apa le, biarlah Tokai yang tak pernah kenal ideologi deobandi yang pernah menjadi sumber pendidikan lebih 8 tahun itu bertanya dengan cara sendiri. Benarkah sewaktu Tok Guru mula-mula kembali ke Malaysia dulu Tok Guru juga mengharamkan sembahyang hajat, bermunajat, mengingati hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhamad SAW . Tetapi kerana fahaman wahabi (satu aliran pemikiran yang tidak diterima di Malaysia) yang diikuti itu bertentangan dengan ahli sunnah wal jamaah, maka Tok Guru telah membuat penyesuaian. Langkah penyesuaian Tok Guru tidak sepenuhnya, maka inilah yang berlaku dan menjadi candu politik sekarang.
Tok Guru tidak boleh memadamkan sejarah walaupun cuba mencipta sejarah baru. Lepas tu Tok Guru begitu terpengaruh dengan pendekatan politik yang dipelopori oleh Syed Abul 'Ala al Maududi dan Syed Qutb. Cuma yang berbeza ialah Tok Guru tidak membuat fatwa sebagaimana dilakukan oleh Tuan Guru Haji Hadi mengenai kafir mengkafir sesama Islam, larangan memakan sembelihan ternakan oleh orang UMNO, bersahabat dengan bukan Islam adalah haram dan perlu di tentang melalui penegakan falsafah jihad dan sebagainya.
Tok Guru mengatakan UMNO mengamalkan Islam dari Palestin. Kalau begitu, Islam PAS lebih teruk lagi daripada negara-negara lain termasuk Pakistan ataupun India. Mungkin Tok Guru menampakkan Islam seperti Shah Rukh Khan itulah yang terbaik, kerana boleh melakukan apa sahaja walaupun menghasut, mengelirukan prinsip agama sendiri dan mempersendakan Islam asalkan mendapat sokongan pengundi.
Shah Rukh Khan sanggup hidup dengan bukan Islam dan mimpi bersama-sama demi melangsungkan kariernya. Tok Guru juga sama kerana sanggup menodai prinsip asal perjuangan demi mendapatkan kuasa politik malah membenarkan bukan Islam menghina Islam. Apakah orang bukan Islam yang menyokong PAS turut dijamin secara mutlaknya akan masuk syurga oleh Tok Guru?
Kalau begitulah sikap Tok Guru, nampaknya ideologi pemilikiran Islam liberal sedang dikembangkan melalui sikap politik PAS. Cuba Tok Guru tanya diri sendiri, dengan mengatakan orang UMNO tidak akan masuk syurga walaupun sesama Islam, bererti bukan Islam yang menyokong terus secara otomatik diberikan syurga kerana menyokong Islam. Itulah lojik dan syllogism Tok Guru yang nampaknya semakin tersasul dan merugikan diri sendiri. Ia bukan sahaja membinasakan Islam malah menyebabkan Islam semakin dipandang hina kerana Tok Guru sendiri memperkotak-katikkannya.
Nampaknya Tok Guru lupa dan perlu diingatkan kembali bahawa jaminan syurga itu diberikan kepada orang Islam berdasarkan ketakwaannya kepada Allah SWT. Allah SWT tidak menyenaraikan bahawa dengan menjadi penyokong PAS yang paling setia itu adalah syarat mutlak masuk syurga walaupun percakapannya sentiasa berbohong, penuh tipu daya.
Kalau begitulah kata Tok Guru bermakna orang-orang yang dijamin masuk syurga seperti mana diberitahu oleh ulamak besar bukan PAS sudah ditarik balik oleh Allah SWT sebab tidak menyokong PAS. Pun begitu, saya masih belum mencampakkan lagi kitab-kitab tulisan Al-Ghazali mengenai Bimbingan Mukmin masih samar-samar, betulkah Tok Guru ni?
Apakah ketinggian ilmu Tok Guru melebih Al-Ghazali, Hamka mahupun rujukan utama Wahabi berdasarkan fakulti berfikir Ibnu Taimiyah, ataupun Tok Guru hanyalah sama dengan pendekar ilmu yang bersilat politik seperti Gus Dur ataupun lebih teruk daripada Salman Rushdie. Nampak gaya cara Tok Guru berfikir samalah seperti Taqhi Nabhani yang menjadi rujukan perjuangan Hizbut-tahir, atau sama dengan nalar hujah orientalis yang mengkaji Islam untuk menguasai dan mengubah perspektif pemikiran Islam sebenar.
Tak payahlah Tok Guru berkata bahawa al-Qur'an menjadi panduan dan perjuangan PAS, tetapi hakikatnya mentafsirkan kesucian makna al-Qur'an berdasarkan perspektif politik kepartian yang sama sekali bertentangan. Tidakkah Tok Guru terfikir dosa yang akan diterima nanti apabila turut mempersendakan makna sebenar al-Quran itu.
Ingat Tok Guru, kerana mulut badan binasa. Kerana politik Tok Gurulah maka Islam semakin hebat dipersendakan kerana Tok Guru sendiri tidak berusaha membangunkan syiar Islam, hanya bertopengkan di sebalik jubah dan retorik penuh erotis itu?

Sunday, August 16, 2009

PAS MULAKAN SERANGAN PERIBADI

Belum pun bermula masa permulaan kempen secara rasmi, PAS telah memulakan siri kempen menyerang peribadi calon apabila menggunakan isu pergantungan lesen guaman sebagai pengamal undang-undang syarie terhadap calon BN, Rohaizat Othman. Kempen peribadi itu kononnya untuk menunjukkan bahawa calon PAS tidak mempunyai kesalahan dan bersih daripada segala pertuduhan salah laku sama ada secara profesional ataupun peribadi.
Tektik tersebut bertujuan untuk menggelapkan peluang BN memenangi kerusi DUN Permatang Pasir apabila PAS mula kecut perut kerana calon yang ditonjolkannya merupakan "calon terbaik dan memenuhi kriteria sebagai seorang wakil rakyat" tidak menampakkan imej mesra pengundi dan kurang senyum.
Ia turut dinegatifkan dengan faktor usia apabila pengundi muda yang merupakan 42 peratus pengundi Permatang Pasir mula memikirkan keperluan kepada seorang wakil rakyat yang dapat memahami hasrat dan aspirasi mereka berbanding sikap kebanyakan ulamak ataupun golongan beragama yang lebih banyak melontarkan pandangan untuk diikuti oleh orang lain tetapi dia sendiri kurang mengerti apa sebenarnya maksud mendengar.
Calon BN sebenarnya bukan digantung oleh Majlis Peguam lesen amalan guamannya, tetapi digantung oleh mahkamah disebabkan sikap rakan kongsinya yang menghadapi masalah. Walau bagaimanapun, kesalahan tersebut telah terhapus sepenuhnya apabila Rohaizat telah menggunakan wang syarikat membayar denda yang telah dikenakan. Rohaizat juga tidak mengamalkan profesyen guamannya sejak dua tahun lepas. Dengan ini tidak ada sebab kenapa beliau perlu ditolak oleh pengundi Permatang Pasir.
Memangnya pihak PAS akan terus menggunakan apa sahaja peluang bagi membolehkan calonnya menang termasuk menyerang peribadi calon. Ini merupakan pertentangan yang paling besar dan dosa yang dilakukan oleh propagandis PAS setelah Mursyidul Am Pas sendiri memberikan jaminan tidak akan menggunakan strategi tersebut. Persoalannya sejauhmanakah pekerja parti PAS dan propagandisnya mematuhi syarat dan larangan yang telah dikeluarkan oleh nakhodanya.
Jika ini diteruskan, ramai lagi yang boleh turut menggunakan kelemahan peribadi calon PAS sendiri untuk menyerang. Sebagai pertandingan yang bersifat gentelmen, kita tidak mengharapkan strategi itu akan menjadi kerana yang lebih penting ialah bagaimana untuk menentukan masa depan pengundi Permatang Pasir. Adakah dengan kemenangan PAS, penduduk Permatang Pasir akan mendapat lampu ajaib untuk mengatasi masalah banjir kilat dan keperluan infrastruktur asas.
Sejak tiga penggal menjadi wakil rakyat, PAS tidak melakukan apa pun untuk kemudahan penduduk Permatang Pasir. Yang ada ialah hasil kebijaksanaan pemimpin BN membangunkan kemudahan infrastruktur asas, dan PAS hanya mendabik dada bahawa yang lebih penting ialah retorik menegakkan syariat Islam, tetapi setelah menang, retorik itu tidak dilaksanakan atas alasan menghadapi pelbagai halangan dan masalah.
Ia akan menjadi seperti lagu bangau oh bangau. Kerana gagal melaksankan peluang, ia akan menyalahkan orang lain sebagai strategi kambing hitam yang mudah mencandui pemikiran pengundi apabila mempersoalkannya. Oleh itu, pengundi Permatang Pasir haruslah menggunakan akal yang rasional membuat penilaian, mana kaca dan mana pun intan kerana tersalah pilih, jadilah seperti pi mai pi mai tang tu: sini terpelau, sana terlepas.