Showing posts with label politik tok guru. Show all posts
Showing posts with label politik tok guru. Show all posts

Sunday, December 27, 2009

2009 tahun bala buat PAS

Banyak yang terjadi pada tahun 2009, namun yang lebih menyesakkan pemikiran kita ialah tingkah politik yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Pembangkang walaupun sudah menerajui negeri-negeri tertentu, masih belum terlepas dari badi diri sebagai pembangkang. Semasa menjadi petntadbir dia lupa membezakan tanggungjawab memerintah dan membangkang.

Kerana jiwanya membangkang, dia lupa bahawa seharusnya kena sokong apa yang diputuskan oleh pemimpin mereka. Kerana lupa dirinya sebagai pemerintah, antara PAS-DAP dan PKR tidak tahu menilai, mana dasar parti dan mana dasar kerajaan. Prinsip keputusan bersama menjadi keputusan rasis dan tidak mempedulikan ahli kumpulan yang lain, kerana yang lebih penting menonjolkan diri sebagai pejuang kaum.

HAri ini ramai ahli PAS memberontak supaya Dr. Hasan Ali dan Khalid Samad keluar menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka melihat PAS semakin tertindas dan terhimpit oleh bayangan rasisme DAP, walaupun Menteri Besar ialah orang Melayu dan beragama Islam.

Menteri Besar juga takutkan dengan nilai dirinya kerana terlalu bergantung kepada telunjuk de facto PKR yang mabukkan kuasa nak jadi Perdana Menteri. Kerana terlalu inginkan jawatan tersebut, dia sanggup melancarkan pelbagai strategi gerak saraf sehigga beberapa hari lalu mengeluarkan resolusi Pakatan Rakyat yang sebenarnya adalah pakatan puak-puak pembangkang yang tiada kreativiti.

Melihatkan kepada dasar perjuangannya, PKR masih tetap menjadikan UMNO sebagai acuan politik, dan kerana itulah apa sahaja yang dibuat oleh UMNO menjadi bahan rujukan. Kalau tidak sebagai pelana bangkangan, sekurang-kurangnya banyak juga percubaan untuk meniru.

Bila Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet 2010, maka Anwar ikut tersintak memangkas bajetnya sendiri. Ramai yang terasa agak pelik dengan sikap kononnya "menteri kewangan terbaik" melakarkan rencana, memulihkan ekonomi dengan falsafah neo marxisme dan anwarismenya.

Apa tidaknya, kononnya perjuangan untuk kepentingan rakyat, tetapi secara terperinci tidak menjejaki hasrat rakyat. Beliau hanya cuba beretorik, kerana itulah bidang kemahirannya sejak sekian lama, sejak memimpin pelajar berdemontrasi di Baling.Demonstaris Baling dia telah menipu ramai orang, kononnya ada yang mati kerana kebuluran. Ada pihak cuba menyiasat dan memeriksa data di Jabatan Pendaftaran, tidak ada kematian dilaporka kerana lapar.

Bila berkata mengenai perjuangan untuk rakyat, dia mendabik dada. Dialah pejuang sebenar, tetapi ramai yang tahu siapa dia pak syeikh yang bijak membaca khutbah dan memetik kata-kata penulis besar itu. RAmai juga yang tahu, dia pernah merencana sesuatu untuk mengkhianati UMNO semasa berada dalam kuasa, kerana dia pernah menodai kepercayaan UMNO terhadapnya.

Dia turut memberikan ruang yang bebas dan luas kepada kroninya setelah membangunkan Abrar Corporation (kini terkubur setelah Anwar disingkirkan) dan salah seorang pemimpinnya tidak ketahuan ke mana menghilang. Tiada berita, sama ada masih berada di Indonesia ataupun sudah pulang ke Malaysia. Nasib sebahagian pengurus utama syarikat tersebut tidak juga diketahui umum.

Semasa mendaki puncak kuasa, beliau banyak meletakkan empayar orang kuat ABIMnya dalam UMNO. Hampir semua kementerian dan jawatan dalam kerajaan dikuasai oleh suku-sakatnya, sehingga orang tahu siapa orang Anwar dan siapa pula bukan orang Anwar. Itulah yang dia lakukan, termasuk membangunkan Seberang Perai sehingga tuan punya sawa sekangkang kera marah.

Pengambilan tanah dibuat secara undang-undang dan dibayar dengan beberapa ringgit sekaki persegi. Bila tanah tersebut ditukar status, maka dijuallah kepada pihak tenrtentu dengan harga yang jauh lebih tinggi. Tuan tanah dapatlah tulang, yang hanya mampu dibuat sup tulang. Konco Anwar dapat daging yang baik, termasuk batang pinang dan daging steak.

Lihatlah apa yang berlaku di bandar Perda. Tanah sawah telah bertukar menjadi kedai dan nampaknya tidaklah membanggakan orang Melayu. Banyak kedai ditutup kerna kekurangan pelanggan, nasib baik ada pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, jika tidak tinggallah kedai tersebut sunyi sesunyinya, seperti berlaku di Bukit Minyak. Bangunan sahaja yang gah, kedai tutup, supermarket sudah tiada. Jadi sarang mat gian.

Kelantan semakin banyak menerima bala akibat sikap sombong dan angkuh Mursyidul Am PAS untuk mengakui kesilapan mentadbir negeri. Setelah mengambilalih kuasa selepas perpecahan UMNO, bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, PAS dan pemimpin yang dilihat sederhana sudah hilang kesederhanaannya.

Dia menghaapkan ada yang akan menaja pemergiannya ke Mekah. Mujurlah tak jadi, kerana ribut telah melanda, dan taufan membawa khabar, perlantikan menantunya banyak mewarnakan onar. Bila ada yang membeikan ulasan, silap mendapat nasihat, beliau terus memusingkan semutar bahawa bukan nasihat yang menjadi faktor pemilihan, tetapi kebolehannya. Dia memilih menantunya kerana ada kebolehan, tetapi, penyata kewangan anak syarikat itu tidak pernah dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri kerana akan pecah tembelangnya.

Lebih malang lagi apabila memberhentikan seorang yang banyak mempertahankan langkah PAS melalui tulisannya, termasuk menulis buku mengenai usaha menurunkan harga minyak bersama taukenya, Husam Musa. Penamatan kontrak kickdelfella rupa-rupaynya menjadi semakin kusut apabila Nik Aziz semakin bercelaru.

Pejabat PMBK sedang diteliti oleh SPRM, Nik Aziz memberikan restu kepada menantunya untuk melepaskan jawatan pada bulan Mac 2010, dua anaknya terus mempertahankan langkah ayahandanya. Nik Abduh menulis mengenai orang yang memainkan peranan melakukan rundingan kerajaan perpadun sehingga melentingkan sikap Tok Guru. Akhirnya, orang-orang Tok Guru yang menentang kerajaan perpaduan tewas dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.

Tok Guru kata dialah nakhodanya, maka PAS mesti ikut apa yang diputuskan. Ini berbeza dengan prinsip demokrasi atau musyawara, kerana Tok Guru tidak membawa berbincang dalam pucuk pemimpin parti, lantas membuat keputusan sendiri.
HAji Hadi tak mahu gaduh-gaduh kerana dia sedar, kedudukannya hanyalah besar pada namanya, tetapi kuasa memerintah tidak ada. Dia perlulan sumber untk bergerak dan membina sokongan, tentunya hanya bergantung kepada Marang dan DUN Ru Rindang sahaja. Itu tidaklah memadai. Sekadar kata-kata bukanlah ukuran yang berkesan, kerana telah gagal mempertahankan kemenangan pada tahun 2000. Menteri Besar hanya sepenggal, tapi legasinya yang paling besar ialah "menemui banyak duit pada hari pertama menjadi Menjadi Menteri. Kini beliau dikenali sebagai Mat Lebong, kerana selepasnya tidak pernah serius mendedahkan penemuan jutaan ringgit itu.

Haji Hadi terus tunduk dan mengeluarkan kenyataan "tertutup sudah kerajaan perpaduan" kerana takutkan PKR dan tidak sanggup bedepan dengan DAP yang tidak mahukan negara Islam. KArpal Singh marah "langkah mayat saya dulu" kalau PAS tegakkan negara Islam, maka hudud pun menjadilah sebuah catatan duka tanpa ada rasa sesal dalam kalangan pemimpin PAS.

Nik Aziz masih mahu berkuasa kerana dia sedar, selepas menjadi Menteri Besar akan banyaklah terbongkat sikapnya yag tidak cakna dengan kemudahan rakyat. Patutnya pada tahun banjir tiga kali melanda Kelantan, kerana Tok Guru banyak sangat celupar. Mungkin Tuhan sengaja menurunkan denda bagi mengingatkan Tok Guru bahawa sikap sombong, takbur dan tamakkan kuasa memangnya merbahaya dan memalukan.

Jangan minta orang lain meletakkan jawatan kalau diri sendiri takut dicabar. Tok Guru nampaknya semakin tidak menerima bila Dr. Mahathir mendesak Tok Guru letak jawatan. Dulu Tok Guru cadangkan Dr. MAhathir meletakkan jawatan, tapi kini marah bila Dr. Mahathir memulangkan kata-kata itu.

Maka, taun 2010 nanti bakal meletup banyak lagi bala PAS di Kelantan kerana semakin mendekati konsep asabiah yang pernah dipadankan dengan UMNO. Apakah Tok Guru sudah lupa, PAS tidak mengamalkan asabiyah apabila bercadang untuk mengehadkan anak tempatan menjadi calon wakil rakyat PAS di Kelantan. Maka PAS juga adalah asabiyah, dan banyak sangat sifat-sifat primodialnya.

Awat dua beradik anak Tok Guru melanting dan mempertahankan ayahanda yang semakin celaru dan keliru? Sekurang-kurangnya kedua anakanda tersebut perlu menasihatkan ayahanda supaya berehat sahaja, serahkan politik kepada mereka yang lebih bertenaga. Ayahanda semakin tua, kadangkala ingatan pun semakin hilang. Pujuklah ayahanda, jangan nak terus menjadi ketua.

Pusingan, perlu dilaksanakan agar PAS lebih dinamik dan kreatif. Rakyat Kelantan dah lali dengan Tok Guru kerana banyak sangat tak tahu, kerana itulah helah yang paling berbisa, paling baik menonjolkan kebodohan sendiri termasuk mengatakan bahawa "tidak diberitahu timbalan presiden dirawat di Hospital Serdang" kerana tersintak dengan amaran keras meletakkan jawatan wakil rakyat dan pemimpin parti.

Sebelum membersihkan dua tiga kerat pemimpin, bersihkanlah kedudukan Tok Guru. Jika berundur sekarang, Tok Guru akan dikenang sebagai tokoh, tapi jika jatuh dalam perjuangan penuh kehampaan, ia akan dianggap tidak lagi bernilai. Maka, di manakah kehebatan Tok Guru lagi setelah sekian lama bergelumang dengan PAS sebaik sahaja pulang dari Universiti Al-Azhar awal tahun 1970-an.

Semasa balik dulu pun Tok Guru penuh kontroversi, kerana banyak terpengaruh dengan fahaman wahabi setelah menuntut lebih lapan tahun di Universiti Deobandi, India.Ye le, ramai yang tahu, apa yang Tok Guru tulis dalam buku kecil Kenapa Saya Tidak Kristian, Tok Guru tetap mengutuk penganut kristian. Hari ini, Tok Guru kata lain, kerana memang sudah lupa sebenarnya.

Monday, December 21, 2009

TOK GURU DAN TOK AWANG MERDEKA

Mendengar kata-kata Tok Guru Nik Aziz sejak akhir-akhir ini mengingatkan saya kembali kepada satu situasi lama yang berlaku setiap hari di stesen bas Kota Bahru. Peristiwa lebih tiga dekad lalu, antara tahun 1975 dan 1976 menyebabkan saya tidak boleh lupa bagaimana Awang Merdeka setiap hari melaungkan kata-kata “Merdeka!Merdeka!Merdeka Kepala Bapak, Nak Makan Nasi Belauk pun kena bayar.”

Kata-kata Awang Merdeka (nama sebenarnya saya tidak tahu) berkumandang setiap kali ia melintasi celahan orang ramai. Bila terlihat ada kerusi menunggu kosong dan anak gadis duduk, Awang Merdeka akan melabuhkan punggungnya di kerusi kayu itu. Mulutnya terkumat-kamit mendefinisikan sesuatu, termasuk erti kemerdekaan menurut pandangannya.

Umur Awang Merdeka ketika itu, menurut tafsiran saya ialah sekitar 50-an. Tarikh sebenar beliau meninggal dan latar belakangnya saya tidak ketahui dengan jelas. Waktu itu saya amat terhibur dengan telatahnya, sekurang-kurangnya dapatlah meriuhkan suasana menunggu bas selain deruan enjin bas dan pekikan kecil pemandu teksi menanyakan orang yang lalu-lalang kalau-kalau ingin menggunakan perkhidmatan kereta sewa (teksi).

Setelah lebih tiga dekad, hari ini kita semacam mendapat pengalaman yang sama melalui seorang pemimpin besar di Kelantan. Cuma yang berbeza ialah pemimpin besar itu tidak bercakap di stesen bas, tetapi dalam banyak majlis sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kadangkala selepas mengadakan kuliah pagi Jumaat, tokoh besar itu mengulas sesuatu perkara sama ada berkait dengan kepimpinannya dan keputusan politik yang dibuatnya.

Jawapan-jawapan yang diberikan itu kadangkala hampir menyamai kaedah lojik yang digunakan oleh Awang Merdeka bila ada pihak yang bertanyakan sesuatu kepadanya. Cuma yang berbeza jauh ialah tokoh besar itu bijak menggunakan pengetahuan agamanya berbanding Awang Merdeka, hanyalah berdasarkan apa yang difikirkan dan dirasainya sesuai.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin memberikan ulasan psikologi yang menarik mengenai Tok Guru Nik Aziz setelah banyak pihak mendesak beliau supaya memohon maaf, menarik balik kenyataan dan tidak kurang juga yang melontarkan deraan meletakkan jawatan kerana kepimpinannya sudah lagi berkesan.

Timbalan Perdana Menteri memberi kaedah penyelesaian terbaik bahawa Nik Aziz tidak perlu meletakkan jawatan dan kepimpinannya masih diperlukan oleh PAS. Ketika itu mungkin Timbalan Perdana Menteri sedar, jika Tok Guru Nik Aziz semakin didesak, maka akan memberikan kekuatan baru kepadanya, kerana beliau seolah-olah kebal dengan kesalahan.

Ketakjuban sebahagian penyokong dan pendokong tokoh politik veteran yang sudah mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1978 dan menjadi wakil rakyat sejak tahun 1960-an itu memanglah besar. Kalangan pengagumnya melihat diri Tok Guru penuh keberkatan, dan apa sahaja yang dikatakan oleh beliau merupakan sesuatu yang mesti dipatuhi atau sekurangnya diterima sebagai nasihat yang amat berguna.

Bila Tok Guru mengatakan hanyalah parti dokonganya boleh membawa ke syurga, maka ramailah percaya bahawa Allah SWT menciptakan tempat itu khusus untuk mereka. Lantaran itu banyaklah yang termakan nasihatnya menampalkan poster Tok Guru setiap halaman rumah, dan tidak kurang juga meletakkannya di bawah bantal. Jika mati semasa dalam tidur, maka mati itu dianggap sebagai jaminan akan masuk syurga.

Setiap apa yang Tok Guru lakukan, ia tidak menjadi kesalahan. Apabila Tok Guru menentang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu-Islam dalam satu landasan pemikiran politik, maka orang yang mengeluarkan idea itu ikut terpaksa melantun bisu. Kalau Tok Guru tidak setuju, kewajarannya sudah menjadi sesuatu yang amat salah dan berdosa sekali.

Bukan setakat menghalangnya, Tok Guru pula mengeluarkan amaran keras. Jika ingin meneruskan hasrat penyatuan politik bagi kekuatan Melayu-Islam, tokoh itu perlu meletakkan jawatan sama ada dalam parti atau sebagai wakil rakyat. Jangan berjuang dalam harakah yang sama, kerana kekuatan harakah yang selama ini telah dibaja, disemai dan dipupuk oleh Tok Guru seolah-olah menjadi miliknya yang abadi. Orang lain tidak boleh memberikan pendapat dan menentukan keputusannya, kerana kedudukannya adalah lebih tinggi (nakhoda) berbanding lain-lain pemimpin yang dipilih berdasarkan demokrasi.

Kekuatan dan kelantangan suara Tok Guru itulah menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi semacam dilanda resah, nak berlari takutkan tidak terdaya (kerana pernah menerima rawatan sakit jantung), nak melompat kaki sakit (kerana sudah diseliuhkan setelah diberi peluang memimpin Terengganu, hanya mampu bertahan sepenggal), nak mengeluarkan fatwa terbaru tidak cukup kemampuan (tiada kuasa memerintah dan menguasai kumpulan wakil rakyat), hanyalah terserah kepada bahtera itu ke mana nak di bawa.

Akhirnya cadangan baik, tawaran bernas yang pernah diutarakan itu ditarik balik. Bagi membuktikan kesepakatan antara sekutu dalam gabungan parti-parti berlainan perjuangan politik, maka diadakan satu pengisytiharan “terus mengukuhkan perpaduan di kalangan pakatan rakyat”, dan bukannya antara Melalyu-Islam. Terlompat-lompat sahabat mereka (pemimpin DAP dan PKR), kerana cadangan tersebut jika diteruskan akan menyebabkan gabungan itu tersungkur lebih awal, matlamat untuk memerintah tidak kesampaian.

Tok Guru menjadi pengagum kuat perjuangan seorang lagi tokoh politik yang bijak menggunakan kata-kata yang semakin galak mempromosikan diri sebagai bakal Perdana Menteri suatu hari nanti. Bila terdengar ada sindiran, bagaimana seorang penasihat boleh menjadi Perdana Menteri, sedangkan yang lebih berhak ialah presiden parti, maka Tok Guru pun membuat fatwa baru, melaungkan cadangan baru kerana parti itu tetap dengan keputusan asal yang dibuat bersama.

Setelah ada pihak menganalisis pencapaian, kerana hampir kantoi dalam pilihan raya kecil Manek Urai dan tertusuk taji ayam jantan di Bagan Pinang, pengaruh parti yang memperjuangkan Islam itu kian merosot, pakatan rakyat semakin kehilangan arah dan sokongan golongan muda, maka Tok Guru melenting lagi. Lagaknya sama dengan Awang Merdeka, bila ada pihak yang mengusiknya maka dikeraskan suara “Merdeka!Merdeka!” agar semua yang berada di stesen bas Kota Bahru dapat mendengarnya.

Tok Guru (walaupun dikatakan tidak ditulis sendiri) membuat cadangan menggemparkan, parti itu perlu mengadakan muktamar khas kerana lain-lain parti dalam Barisan Nasional telah melakukan perkara yang sama bagi memantapkan kepimpinan dan menegaskan kembali azam, maka ia juga perlu bagi “membersihkan dua tiga kerat pemimpin.”

Hebohlah seantero Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak yang khabarnya sudah menunjukkan sokongan positif mengikut reaksi Tok Guru, sehingga beberapa pengagumnya mula tidak tidur malam kerana tidak faham dengan perangai Mursyidul Am PAS itu. Pening-pening lalat pada mula telah merebak hingga hampir ke tahap migrant. Jalan seterusnya dirintis dengan mengadakan Seminar Memperkasakan Politik, yang akhirnya menjadi pencetus resolusi yang tidak memberikan apa-apa erti kepada matlamat asal, sebaliknya mereka yang memberikan pandangan diterjah dengan kata-kata kesat dan tidak menampakkan ketajaman akal.

Beberapa hari lalu Tok Guru menjadi semakin melenting apabila hajatnya nak menunaikan haji sekeluarga atas tajaan seseorang terpaksa dibatalkan kerana dipersoalkan kewajarannya. Tok Guru dipersoalkan kewajarannya menerima tajaan hampir RM 65,000 oleh seorang kontraktor, dan ini sebenarnya memang salah dari segi peraturan. Oleh kerana berada di puncak kuasa dan mempunyai kuasa meluluskan sesuatu, maka banyaklah yang suka menaja kerana selepas itu boleh mendapat projek.

Dalam ulasan itu Tok Guru seolah-olah menyalahkan orang lain, kerana bagi beliau “tajaan sedemikian tidak salah. Orang nak bagi, kita terima. Selipar saya pun orang ambil kerana nakkan berkat.” Nampaknya Tok Guru begitu keramat sekali, malah dalam sesetengah keadaan melampaui cerita kehebatan walisongo yang terkenal di Indonesia.

Tapi, Tok Guru yang belajar agama sepatutnya lebih memikirkan kesejahteraan rakyat daripada menghabiskan wang sebanyak itu untuk menunaikan haji untuk kesekian kali. Tok Guru pun tahu, kewajipan menunaikan haji hanyalah sekali bagi setiap orang yang mampu, tapi kalau setiap tahun pergi, ramailah pula akan mensyakki sesuatu. Bukankah ia turut memberikan tafsiran kekerapannya mempunyai hubungan dengan kedudukan dan sifat-sifat sombong? Lebih baik perbelanjaan itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, tak payah le Tok Guru lakukan yang lebih-lebih.

Dalam keadaan seperti ini saya lebih menghormati Awang Merdeka. Saya pernah memberikan wang beberapa ringgit kepada beliau kerana saya khuatir dia tidak makan tengah hari pada hari itu. Awang Merdeka tidak menerima pemberian saya itu kerana sudah makan nasi, “Kenyang.” Maknanya, Awang Merdeka tahu mengamalkan sikap kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan, makan sekadar yang diperlukan. Tok Guru nak melebih-lebihkan, walhal yang terlebih itu hanyalah sebagai sunat, jika tidak dilaksanakan tidak dlihat berdosa.

Tok Guru juga marah apabila menantu disiasat setelah menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan, sejak ditubuhkan tidak pernah membentangkan penyata kewangan, dan menafikan perlantikan itu mempunyai unsur-unsur kronisme atau nepotisme. Sebelum isu meletup besar, selepas pemecatan Kickdelfella, Tok Guru pernah mewajarkan bahawa “dalam Islam tidak salah melantik saudara mara, kerana Nabi Muhamad SAW pun berbuat demikian.” Itulah kewajaran yang seringkali diperkatakan, sehingga ramai rakyat Kelantan memikirkan memangnya Arifahmi memang layak.

Setelah semakin hangat, Tok Guru semacam tidak lagi boleh sekat. Maka Tok Guru pun merestui perletakan jawatan menantu harapannya itu, tetapi kenapa bulan Mac 2010. Kenapa bukan sekarang? Mungkinkah tempoh yang panjang itu diberikan bagi menyelamatkan beberapa rahsia yang masih terbongkar termasuk pendedahan penulis blog terhadap sikap Tok Guru sendiri yang semakin menjauhi budaya kesederhanaan.

Memanglah pada awal kemunculan Tok Guru sebagai Menteri Besar ramai yang kagum kerana menyisihkan protokol, lemah lembut percakapan, tetapi setelah lama berada di puncak kuasa, semakin menghampiri realiti politik mementingkan diri dan ingin terus berkuasa.

Contoh terbaru ialah mengamalkan doa secara beramai-ramai untuk “melaknatkan Perdana Menteri” kerana tidak bersetuju dengan pembayaran royalty. Perdana Menteri berhasrat menyalurkan wang ehsan terus kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan kelolaan Kerajaan Pusat, maka angan-angan besar Tok Guru musnah lagi. Setelah membuat beberapa perkiraan bersama “orang kuat”, Tok Guru semacam tumpul akal, bermunajat laknat. Hal itu bukanlah perkara baru dalam politik pemimpin yang berhaluan Islam itu kerana doa laknat telah lama mereka praktikkan. Ketika heboh sembahyang dua imam, haram memakan sembelihan ternakan oleh orang UMNO, haram menziarahi jenazah kenalan yang tidak sealiran politik, perkara yang sama mereka lakukan.

Pemimpin mereka mendoakan agar mereka yang menentang apa yang mereka perjuangkan supaya dibalas dengan balasan yang dahsyat. Seharusnya, Tok Guru mengingatkan setiap orang Islam, kekuatan dan kejayaan dakwah Rasullullah SAW adalah kerana keramahan, lemah-lembut, bahasa yang berkesan dan memohon pertolongan Allah SWT supaya dilembutkan hati mereka itu.

Walau pun ada kisah dalam sejarah Islam mengenai doa Nabi Musa AS yang menghadapi ancaman fir’aun, memohon Allah SWT mengenakan malapetaka, tetapi doa tersebut masih bersifat umum. Doa itu tidak dikhususkan kepada fir’aun semata-mata, ia turut kepada pengikutnya. Yang jelas doa Tok Guru lebih khusus kepada Perdana Menteri kerana geram dan tumpulnya akal, atas keengganan memberikan wang royalti.

Kisah Awang Merdeka, walaupun sudah berlalu lebih tiga dekad lalu terus memberikan saya gambaran selintas pandangan, sekurang-kurangnya Awang Merdeka lebih ikhlas daripada Tok Guru. Walaupun Awang Merdeka bukanlah tokoh besar, mempunyai pengikut ramai, dikelilingi penasihat yang bijaksana dan terhandal, tokoh kecil itu tetap tahu malu dan martabat diri. Dia tidak akan meminta atau menerima pemberian orang kalaulah keadaannya tidak memerlukan, tapi antara keduanya masih ada persamaan, iaitu mudah melenting apabila tersinggung.

Peristiwa lebih tiga dekad lalu seakan-akan berulang kembali di Kelantan, tetapi konteks dan suasananya amatlah jauh berbeza. Maka, tidaklah perlu kita ramai-ramai berkumpuln mendesak Tok Guru supaya meletakkan jawatan, biarlah Tok Guru lakukan apa yang difikirkannya sendiri kerana sifatnya sudah melebihi sifat manusia biasa, keramat dan terlalu kultus sekali.

Awang Merdeka terus hidup dalam ingatan saya, pemangkinnya ialah Tok Guru, mengembalikan kenangan silam saya ketika setiap hari menunggu bas pergi dan balik ke sekolah, lebih tiga dekad lalu di Kota Bahru. Biarlah Tok Guru terus mengira biji-biji tasbihnya, kerana kadangkala apa yang diucapkannya menyimpang dari sifat keguruannya sendiri.

Tuesday, December 8, 2009

bo le, biar Tok Guru soghe main politik

Seruan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein agar rakyat Kelantan tidak “serabut otak” memikirkan mengenai politik. Ini kerana rakyat Kelantan memang terkenal dengan politik, dari mula terbit matahari hinggalah bulan pun tak sanggup lagi membantu, masih bercakap soal politik.

Ada banyak bentuk politik di Kelantan. Dari politik kedai kopi hinggalah politik laga ayam atau laga lembu. Selepas banjir ini ada pula politik “bantuan banjir” yang akan dijaja sekeliling kampong hingga yang tidak sepatutnya mendapatkan bantuan ikut serta, sekurang-kurangnya dapatlah sekampit beras cap Arnab Mas.

Hakikatnya bukan sahaja rakyat Kelanyan bijak bermain politik, pemimpinnya juga pintar memintas situasi agar kelihatan semua yang dilaksanakan mempunyai kepentingan rakyat.

Yang tidak puas hati dengan wang ehsan ialah Kerajaan Kelantan dan bukannya rakyat. Rakyat tetap setuju, kerana lebih penting bagi mereka ialah lebih banyak kemudahan dilaksanakan di kawasan mereka, termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang telah lama merindukan jambatan, jalan bertar, kemudahan air bersih, surau dan klinik desa.

Rakyat Manek Urai memang tidak perlukan bangunan seperti KB Mall kerana mereka bukanlah mampu untuk berbelanja cara itu. Mereka hanyalah memperoleh pendapatan dari beberapa ringgit hasil jualan getah, buah-buahan, dan sebagainya tentu kekok nak makan pizza ataupun Kentucky Fried Chicken.

Ayam kampong goreng garing dengan bawang merah dan lada kering tetap sedap berbanding KFC. Lempeng dari kelapa muda lebih enak berbanding pizza. Tapi mereka perlukan jambatan kerana mampu memudahkan hasil mahsul mereka dibawa keluar dan jika berlaku kecemasan, mereka senang mengambil tindakan susulan. Tidak lagi mengharapkan petunjuk paras air, jika air surut perjalanan mereka terhalang.

Rakyat Kelantan kebanyakan tidaklah hiraukan sangat seruan Tok Guru Nik Aziz agar ikut serta masing-masing berdoa agar “pemimpin pecah perut.” Mereka udah pun sedar, tak baik mendoakan laknat kepada orang lain, apatah lagi sesama Islam.

Tapi mereka tetap nak minta Tok Guru teruslah meneraju Kelantan. Mereka faham kalau nak suruh Tok Guru berhenti, Tok Guru akan komen “siapa budak-budak tu?”. Tak apa lah, kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan seumur hidup pun jadilah walaupun makin ramai rakyat Kelantan dah tak berkenan dengan Tok Guru.

Tok Guru boleh duduk diam dekat Pulau Melaka. Selepas selesai sembahyang subuh, Tok Guru jalanlah keliling kampong, lagi sihat. Tidaklah serabut sangat, kalau ada tak panggil Tok Guru sebagai “YAB Menteri Besar” pun taka pa, orang akan kenal Tok Guru adalah “bekas Menteri Besar Kelantan yang paling banyak melakukan kesilapan.”

Tok Guru kena ingat, walaupun masih terasa diri kuat, sebenarnya turut mencerminkan tenaga semakin lemah. Jika tetap memikirkan kecerdasan otak, sebenarnya minda sudah lama terkurung dengan “sangkar politik” yang telah lama dibaja dan disemai itu. Dah banyak tahun berbuah, kalau rambutan sekalipun dah sampai masa ditanam baru. Buahnya semakin kecil. Ibarat buah betik, semakin lama, buahnya tidaklah selazat buah pertama atau zaman mudanya.

Begitu juga dengan hakikat pengaruh. Semakin lama, semakin ramai orang mula membuat perbandingan. Apa yang Tok Guru lakukan pada awalan kemunculan, orang menganggapnya sebagai sesuatu yang baik, sederhana dan sebagainya. Lama kelamaan kesederhanaan itu dilihat jelek, tidak sewajarnya, Tok Guru perlu memperbaiki kedudukan dan mempamerkan imej baru.

Kalau hanya bertahan dengan gaya lama, termasuk retorik syurga, tentunya makin ramai orang tak percaya. Mereka sekarang, golongan muda sudah ramai tahu membaca dan boleh membaca pelbagai bahan bacaan, sama ada bahasa asal atau terjemahannya, akan mengetahui “syurga itu hak Tuhan dan bukan ditentukan oleh PAS.”

Tok Guru seharusnya dapat merenung dengan apa yang terjadi semalam di KB Mall. Bagaimana sebuah kereta boleh melompat seperti mengejar Jacky Chan dalam drama kejar-mengejar menghempap dua pelajar dan meninggal di tempat kejadian. Bagaimana pihak berkuasa tempatan, tentunya Majlis Bandaraya (Islam) Kota Bahru boleh memberikan sijil menduduki kepada KB Mall itu.

Bagaimana mungkin laluan kenderaan dan laluan orang awam boleh setentang. Bagaimana lorong escalator itu boleh ditimbusi oleh kereta setelah dinding terbongkah batu-batanya? Inilah yang sepatutnya Tok Guru fikirkan, dan mengkaji semula rekabentuk bangunan yang terdapat dalam MPKB.

Kita seringkali diingatkan apabila meminta bala menimpa orang lain, akhirnya bala tersebut akan turut menimpa kita. Apabila kita berdoa untuk kesejahteraan orang, kita juga akan mendapat pahala. Itu adalah hubungan interaktif kita dengan Allah SWT. Oleh itu, walaupun nak mengatakan dengan tepat kebenaran kejadian itu dengan apa yang Tok Guru doakan, adalah sesuatu yang agak keterlaluan.

Sekurang-kurangnya saya dapat sedikit renungan. Mungkin ada jawapannya. Tetapi biarlah saya menyimpannya buat sementara waktu kerana saya tidak mampu membenarkan pendapat saya berdasarkan firman dan hadis, saya tidak banyak mengetahui tafsirannya, hanya sekadar boleh membacanya, kerana itulah yang tok guru al-Qur’an ajar kepada saya suatu ketika dahulu.

Saya tertunggu-tunggu apa yang nak Tok Guru ulas mengenai kejadian itu. Apakah Tok Guru akan tetap menafikan ia adalah petunjuk dari Allah SWT memberikan amaran di atas kesombongan yang pernah kita lakukan?

Saya tetap tidak akan menghiraukan walaupun sepanjang jalan antara sempadan Gua Musang ke Kota Bahru akan penuh dengan sepanduk mengutuk pemberian wang ehsan, dari Teluk Budu ke Hutan Melintang atau dari Pengkalan Kubur ke Bukit Batu Hitam terpampang gambar Tok Guru berdoa, ia hanyalah lambang kesombongan manusia yang cuba mengusulkan perjuangan politik dan mengekalkan kuasa.

Kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan sampai bila-bila pun ambillah. Saya tidak peduli, kerana saya yakin, suatu hari nanti Tok Guru akan bercakap seorang diri. Pengampu Tok Guru semakin menghilang diri, kerana mereka juga kepingin nak duduk tempat Tok Guru, tapi Tok Guru tidak memberikan mereka laluan, mereka juga akan pergi meninggalkan Tok Guru nanti.