Mendengar kata-kata Tok Guru Nik Aziz sejak akhir-akhir ini mengingatkan saya kembali kepada satu situasi lama yang berlaku setiap hari di stesen bas Kota Bahru. Peristiwa lebih tiga dekad lalu, antara tahun 1975 dan 1976 menyebabkan saya tidak boleh lupa bagaimana Awang Merdeka setiap hari melaungkan kata-kata “Merdeka!Merdeka!Merdeka Kepala Bapak, Nak Makan Nasi Belauk pun kena bayar.”
Kata-kata Awang Merdeka (nama sebenarnya saya tidak tahu) berkumandang setiap kali ia melintasi celahan orang ramai. Bila terlihat ada kerusi menunggu kosong dan anak gadis duduk, Awang Merdeka akan melabuhkan punggungnya di kerusi kayu itu. Mulutnya terkumat-kamit mendefinisikan sesuatu, termasuk erti kemerdekaan menurut pandangannya.
Umur Awang Merdeka ketika itu, menurut tafsiran saya ialah sekitar 50-an. Tarikh sebenar beliau meninggal dan latar belakangnya saya tidak ketahui dengan jelas. Waktu itu saya amat terhibur dengan telatahnya, sekurang-kurangnya dapatlah meriuhkan suasana menunggu bas selain deruan enjin bas dan pekikan kecil pemandu teksi menanyakan orang yang lalu-lalang kalau-kalau ingin menggunakan perkhidmatan kereta sewa (teksi).
Setelah lebih tiga dekad, hari ini kita semacam mendapat pengalaman yang sama melalui seorang pemimpin besar di Kelantan. Cuma yang berbeza ialah pemimpin besar itu tidak bercakap di stesen bas, tetapi dalam banyak majlis sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kadangkala selepas mengadakan kuliah pagi Jumaat, tokoh besar itu mengulas sesuatu perkara sama ada berkait dengan kepimpinannya dan keputusan politik yang dibuatnya.
Jawapan-jawapan yang diberikan itu kadangkala hampir menyamai kaedah lojik yang digunakan oleh Awang Merdeka bila ada pihak yang bertanyakan sesuatu kepadanya. Cuma yang berbeza jauh ialah tokoh besar itu bijak menggunakan pengetahuan agamanya berbanding Awang Merdeka, hanyalah berdasarkan apa yang difikirkan dan dirasainya sesuai.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin memberikan ulasan psikologi yang menarik mengenai Tok Guru Nik Aziz setelah banyak pihak mendesak beliau supaya memohon maaf, menarik balik kenyataan dan tidak kurang juga yang melontarkan deraan meletakkan jawatan kerana kepimpinannya sudah lagi berkesan.
Timbalan Perdana Menteri memberi kaedah penyelesaian terbaik bahawa Nik Aziz tidak perlu meletakkan jawatan dan kepimpinannya masih diperlukan oleh PAS. Ketika itu mungkin Timbalan Perdana Menteri sedar, jika Tok Guru Nik Aziz semakin didesak, maka akan memberikan kekuatan baru kepadanya, kerana beliau seolah-olah kebal dengan kesalahan.
Ketakjuban sebahagian penyokong dan pendokong tokoh politik veteran yang sudah mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1978 dan menjadi wakil rakyat sejak tahun 1960-an itu memanglah besar. Kalangan pengagumnya melihat diri Tok Guru penuh keberkatan, dan apa sahaja yang dikatakan oleh beliau merupakan sesuatu yang mesti dipatuhi atau sekurangnya diterima sebagai nasihat yang amat berguna.
Bila Tok Guru mengatakan hanyalah parti dokonganya boleh membawa ke syurga, maka ramailah percaya bahawa Allah SWT menciptakan tempat itu khusus untuk mereka. Lantaran itu banyaklah yang termakan nasihatnya menampalkan poster Tok Guru setiap halaman rumah, dan tidak kurang juga meletakkannya di bawah bantal. Jika mati semasa dalam tidur, maka mati itu dianggap sebagai jaminan akan masuk syurga.
Setiap apa yang Tok Guru lakukan, ia tidak menjadi kesalahan. Apabila Tok Guru menentang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu-Islam dalam satu landasan pemikiran politik, maka orang yang mengeluarkan idea itu ikut terpaksa melantun bisu. Kalau Tok Guru tidak setuju, kewajarannya sudah menjadi sesuatu yang amat salah dan berdosa sekali.
Bukan setakat menghalangnya, Tok Guru pula mengeluarkan amaran keras. Jika ingin meneruskan hasrat penyatuan politik bagi kekuatan Melayu-Islam, tokoh itu perlu meletakkan jawatan sama ada dalam parti atau sebagai wakil rakyat. Jangan berjuang dalam harakah yang sama, kerana kekuatan harakah yang selama ini telah dibaja, disemai dan dipupuk oleh Tok Guru seolah-olah menjadi miliknya yang abadi. Orang lain tidak boleh memberikan pendapat dan menentukan keputusannya, kerana kedudukannya adalah lebih tinggi (nakhoda) berbanding lain-lain pemimpin yang dipilih berdasarkan demokrasi.
Kekuatan dan kelantangan suara Tok Guru itulah menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi semacam dilanda resah, nak berlari takutkan tidak terdaya (kerana pernah menerima rawatan sakit jantung), nak melompat kaki sakit (kerana sudah diseliuhkan setelah diberi peluang memimpin Terengganu, hanya mampu bertahan sepenggal), nak mengeluarkan fatwa terbaru tidak cukup kemampuan (tiada kuasa memerintah dan menguasai kumpulan wakil rakyat), hanyalah terserah kepada bahtera itu ke mana nak di bawa.
Akhirnya cadangan baik, tawaran bernas yang pernah diutarakan itu ditarik balik. Bagi membuktikan kesepakatan antara sekutu dalam gabungan parti-parti berlainan perjuangan politik, maka diadakan satu pengisytiharan “terus mengukuhkan perpaduan di kalangan pakatan rakyat”, dan bukannya antara Melalyu-Islam. Terlompat-lompat sahabat mereka (pemimpin DAP dan PKR), kerana cadangan tersebut jika diteruskan akan menyebabkan gabungan itu tersungkur lebih awal, matlamat untuk memerintah tidak kesampaian.
Tok Guru menjadi pengagum kuat perjuangan seorang lagi tokoh politik yang bijak menggunakan kata-kata yang semakin galak mempromosikan diri sebagai bakal Perdana Menteri suatu hari nanti. Bila terdengar ada sindiran, bagaimana seorang penasihat boleh menjadi Perdana Menteri, sedangkan yang lebih berhak ialah presiden parti, maka Tok Guru pun membuat fatwa baru, melaungkan cadangan baru kerana parti itu tetap dengan keputusan asal yang dibuat bersama.
Setelah ada pihak menganalisis pencapaian, kerana hampir kantoi dalam pilihan raya kecil Manek Urai dan tertusuk taji ayam jantan di Bagan Pinang, pengaruh parti yang memperjuangkan Islam itu kian merosot, pakatan rakyat semakin kehilangan arah dan sokongan golongan muda, maka Tok Guru melenting lagi. Lagaknya sama dengan Awang Merdeka, bila ada pihak yang mengusiknya maka dikeraskan suara “Merdeka!Merdeka!” agar semua yang berada di stesen bas Kota Bahru dapat mendengarnya.
Tok Guru (walaupun dikatakan tidak ditulis sendiri) membuat cadangan menggemparkan, parti itu perlu mengadakan muktamar khas kerana lain-lain parti dalam Barisan Nasional telah melakukan perkara yang sama bagi memantapkan kepimpinan dan menegaskan kembali azam, maka ia juga perlu bagi “membersihkan dua tiga kerat pemimpin.”
Hebohlah seantero Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak yang khabarnya sudah menunjukkan sokongan positif mengikut reaksi Tok Guru, sehingga beberapa pengagumnya mula tidak tidur malam kerana tidak faham dengan perangai Mursyidul Am PAS itu. Pening-pening lalat pada mula telah merebak hingga hampir ke tahap migrant. Jalan seterusnya dirintis dengan mengadakan Seminar Memperkasakan Politik, yang akhirnya menjadi pencetus resolusi yang tidak memberikan apa-apa erti kepada matlamat asal, sebaliknya mereka yang memberikan pandangan diterjah dengan kata-kata kesat dan tidak menampakkan ketajaman akal.
Beberapa hari lalu Tok Guru menjadi semakin melenting apabila hajatnya nak menunaikan haji sekeluarga atas tajaan seseorang terpaksa dibatalkan kerana dipersoalkan kewajarannya. Tok Guru dipersoalkan kewajarannya menerima tajaan hampir RM 65,000 oleh seorang kontraktor, dan ini sebenarnya memang salah dari segi peraturan. Oleh kerana berada di puncak kuasa dan mempunyai kuasa meluluskan sesuatu, maka banyaklah yang suka menaja kerana selepas itu boleh mendapat projek.
Dalam ulasan itu Tok Guru seolah-olah menyalahkan orang lain, kerana bagi beliau “tajaan sedemikian tidak salah. Orang nak bagi, kita terima. Selipar saya pun orang ambil kerana nakkan berkat.” Nampaknya Tok Guru begitu keramat sekali, malah dalam sesetengah keadaan melampaui cerita kehebatan walisongo yang terkenal di Indonesia.
Tapi, Tok Guru yang belajar agama sepatutnya lebih memikirkan kesejahteraan rakyat daripada menghabiskan wang sebanyak itu untuk menunaikan haji untuk kesekian kali. Tok Guru pun tahu, kewajipan menunaikan haji hanyalah sekali bagi setiap orang yang mampu, tapi kalau setiap tahun pergi, ramailah pula akan mensyakki sesuatu. Bukankah ia turut memberikan tafsiran kekerapannya mempunyai hubungan dengan kedudukan dan sifat-sifat sombong? Lebih baik perbelanjaan itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, tak payah le Tok Guru lakukan yang lebih-lebih.
Dalam keadaan seperti ini saya lebih menghormati Awang Merdeka. Saya pernah memberikan wang beberapa ringgit kepada beliau kerana saya khuatir dia tidak makan tengah hari pada hari itu. Awang Merdeka tidak menerima pemberian saya itu kerana sudah makan nasi, “Kenyang.” Maknanya, Awang Merdeka tahu mengamalkan sikap kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan, makan sekadar yang diperlukan. Tok Guru nak melebih-lebihkan, walhal yang terlebih itu hanyalah sebagai sunat, jika tidak dilaksanakan tidak dlihat berdosa.
Tok Guru juga marah apabila menantu disiasat setelah menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan, sejak ditubuhkan tidak pernah membentangkan penyata kewangan, dan menafikan perlantikan itu mempunyai unsur-unsur kronisme atau nepotisme. Sebelum isu meletup besar, selepas pemecatan Kickdelfella, Tok Guru pernah mewajarkan bahawa “dalam Islam tidak salah melantik saudara mara, kerana Nabi Muhamad SAW pun berbuat demikian.” Itulah kewajaran yang seringkali diperkatakan, sehingga ramai rakyat Kelantan memikirkan memangnya Arifahmi memang layak.
Setelah semakin hangat, Tok Guru semacam tidak lagi boleh sekat. Maka Tok Guru pun merestui perletakan jawatan menantu harapannya itu, tetapi kenapa bulan Mac 2010. Kenapa bukan sekarang? Mungkinkah tempoh yang panjang itu diberikan bagi menyelamatkan beberapa rahsia yang masih terbongkar termasuk pendedahan penulis blog terhadap sikap Tok Guru sendiri yang semakin menjauhi budaya kesederhanaan.
Memanglah pada awal kemunculan Tok Guru sebagai Menteri Besar ramai yang kagum kerana menyisihkan protokol, lemah lembut percakapan, tetapi setelah lama berada di puncak kuasa, semakin menghampiri realiti politik mementingkan diri dan ingin terus berkuasa.
Contoh terbaru ialah mengamalkan doa secara beramai-ramai untuk “melaknatkan Perdana Menteri” kerana tidak bersetuju dengan pembayaran royalty. Perdana Menteri berhasrat menyalurkan wang ehsan terus kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan kelolaan Kerajaan Pusat, maka angan-angan besar Tok Guru musnah lagi. Setelah membuat beberapa perkiraan bersama “orang kuat”, Tok Guru semacam tumpul akal, bermunajat laknat. Hal itu bukanlah perkara baru dalam politik pemimpin yang berhaluan Islam itu kerana doa laknat telah lama mereka praktikkan. Ketika heboh sembahyang dua imam, haram memakan sembelihan ternakan oleh orang UMNO, haram menziarahi jenazah kenalan yang tidak sealiran politik, perkara yang sama mereka lakukan.
Pemimpin mereka mendoakan agar mereka yang menentang apa yang mereka perjuangkan supaya dibalas dengan balasan yang dahsyat. Seharusnya, Tok Guru mengingatkan setiap orang Islam, kekuatan dan kejayaan dakwah Rasullullah SAW adalah kerana keramahan, lemah-lembut, bahasa yang berkesan dan memohon pertolongan Allah SWT supaya dilembutkan hati mereka itu.
Walau pun ada kisah dalam sejarah Islam mengenai doa Nabi Musa AS yang menghadapi ancaman fir’aun, memohon Allah SWT mengenakan malapetaka, tetapi doa tersebut masih bersifat umum. Doa itu tidak dikhususkan kepada fir’aun semata-mata, ia turut kepada pengikutnya. Yang jelas doa Tok Guru lebih khusus kepada Perdana Menteri kerana geram dan tumpulnya akal, atas keengganan memberikan wang royalti.
Kisah Awang Merdeka, walaupun sudah berlalu lebih tiga dekad lalu terus memberikan saya gambaran selintas pandangan, sekurang-kurangnya Awang Merdeka lebih ikhlas daripada Tok Guru. Walaupun Awang Merdeka bukanlah tokoh besar, mempunyai pengikut ramai, dikelilingi penasihat yang bijaksana dan terhandal, tokoh kecil itu tetap tahu malu dan martabat diri. Dia tidak akan meminta atau menerima pemberian orang kalaulah keadaannya tidak memerlukan, tapi antara keduanya masih ada persamaan, iaitu mudah melenting apabila tersinggung.
Peristiwa lebih tiga dekad lalu seakan-akan berulang kembali di Kelantan, tetapi konteks dan suasananya amatlah jauh berbeza. Maka, tidaklah perlu kita ramai-ramai berkumpuln mendesak Tok Guru supaya meletakkan jawatan, biarlah Tok Guru lakukan apa yang difikirkannya sendiri kerana sifatnya sudah melebihi sifat manusia biasa, keramat dan terlalu kultus sekali.
Awang Merdeka terus hidup dalam ingatan saya, pemangkinnya ialah Tok Guru, mengembalikan kenangan silam saya ketika setiap hari menunggu bas pergi dan balik ke sekolah, lebih tiga dekad lalu di Kota Bahru. Biarlah Tok Guru terus mengira biji-biji tasbihnya, kerana kadangkala apa yang diucapkannya menyimpang dari sifat keguruannya sendiri.
The King and U
1 day ago
No comments:
Post a Comment