Monday, December 28, 2009

Kegelinciran Tanggungjawab, menyesakkan kepala

Tahun 2010 hanya akan muncul beberapa hari lagi. Namun sebelum bermulanya tahun baru itu, banyak mata mula terbeliak menatap beberapa laporan yang bukan sahaja mengjengkelkan imej kerajaan, malah boleh menukarkan indeks persepsi rasuah antarabangsa kepada yang lebih merudum lagi.

Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa meletakkan Malaysia di kedudukan ke 56 berbanding 47 pada tahun sebelumnya. Dengan kehilangan dua enjin pesawat pejuang F5E dan peralatan avionik kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara berasingan dalam tempoh lima bulan pada tahun 2007 dan 2008, menyebabkan perseoalan kegelinciran tanggungjawab di kalangan penjawat awam akan terus diperdebatkan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi kemungkinan lebih banyak kes penyelewengan lain akan diketahui apabila pihak audit dan siasatan yang lebih serius dilaksanakan bagi mengenalpasti punca masalah dan mereka yang terlibat. Kehilangan dua enjin pesawat itu sebenarnya telah lama disedari apabila Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin ketika itu mengarahkan siasatan audit dilaksanakan.

Hasil siasatan awal adalah didapati bahawa seorang Brigadier Jeneral dan empat anggota TUDM terlibat dan telah dikenakan tindakan disiplin. Cuma belum sampai masanya untuk melanjutkan proses membuat tuduhan di mahkamah, maka banyaklah suara yang mahukan mereka yang menjadi pagar makan padi itu didakwa atas kesalahan menyalahi prinsip tanggungjawab, dan menyifatkannya sebagai pengkhianat negara.

Persoalan sekarang ialah bagaimana aset yang besar itu begitu mudah sekali terlepas dan tersasar dari destinasi sepatutnya, iaitu dihantar untuk dibaikpulih, tetapi telah dijual kepada sebuah syarikat tempatan sebelum dijual kembali kepada pembeli di Eropah, Amerika Selatan dan Asia Barat.

Kerugian melebihi RM 100 juta itu tentunya telah dirancang dengan begitu rapi oleh “pagar makan padi” itu sehingga mampu melepasi beberapa prosedur kawalan, termasuk kawalan stok, jadual penerbangan, penguatkuasaan lapangan terbang, pergerakan juruterbang, laluan udara dan sebagainya.

Gambaran kehilangan itu menjadi plot cerita orang dalam yang mengetahui selok belok penyimpanan dan pengeluarannya. Ini kerana peralatan sebegini bukanlah boleh dilakukan oleh orang biasa, kerana setiap daripada mereka yang terbabit itu mempunyai kemahiran tertentu.

Semua dokumen (termasuklah inventori pembelian atau menyamai dengan surat beranak pesawat tersebut) turut hilang dalam simpanan. Proses penyimpanannya bukanlah seperti mana kita orang kebanyakan menyimpan sijil lahir ataupun geran tanah. Ia tentunya disimpan dalam peti besi ataupun ruangan khas yang dikawal oleh sekumpulan pengawal, kerana ia adalah dokumen penting negara.

Kalau mendengarkan berita kehilangan dua buah Proton Perdana kepunyaan Kerajaan Negeri Terengganu, kita pun menjadi sedikit terkejut, maka kehilangan dua buah enjin pesawat terbang menjadi semakin menakutkan kita. Apakah keadaannya akan menjadi lebih parah lagi apabila ada orang sanggup “menjual negara” bagi memenuhi kepentingan peribadinya?

Prinsip tanggungjawab merupakan prinsip yang terbesar dalam Islam. Islam memberikan manusia dua bentuk tanggungjawab secara jelas, iaitu tanggungjawab terhadap Allah SWT dan tanggungjawab dengan manusia. Tanggungjawab dengan Allah SWT meliputi prinsip-prinsip tauhid, keyakinan terhadap keesaan-Nya, mempercayai adanya hari akhirat dan mengerjakan amal ibadat untuk membolehkan seseorang itu dinilai darjah ketakwaannya semasa hidup.

Tanggungjawab sesama manusia adalah tanggungjawab untuk tidak menzalimi, saling membantu, tolong menolong dan tidak meyakitkan hati. Lalu Allah SWT menggerakkan naluri manusia untuk bermasyarakat, maka melalui kaedah bermasyarakat itulah lahirnya pula kaedah berorganisasi.

Melalui kaedah berorganisasi itulah timbul pula prinsip kebertanggungjawaban, meletakkan amanah organisasi mengatasi keperluan diri sendiri. Dari sinilah lahirnya prinsip kepimpinan, dan seorang pemimpin yang tidak menunaikan tanggungjawabnya adalah seburuk-buruk manusia.

Ketika Abu Dzar al-Ghifari memohon diberikan jawatan sebagai pentadbir sebuah wilayah, Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan.”

Jadi apabila seseorang itu diberikan tanggungjawab untuk menjaga sesuatu yang bernilai, seperti pesawat tempur F5E dan kereta Proton Perdana itu, maka adalah menjadi tanggungjawab yang berat untuk menjaganya dengan cermat agar tidak hilang. Atas kehilangan tersebut, orang berkenaan akan tetap dipersalahkan kerana dianggap cuai dan menyalahi peraturan kawalan aset awam dengan jelas.

Dalam Islam, amanah bagi menunaikan tanggungjawab bukan hanya terhad sekadar menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya, tetapi yang lebih besar ialah menyempurnakannya. Antara melaksanakan dan menyempurnakan tanggungjawab, perbezaannya adalah amat besar.

Melaksanakan tanggungjawab tidak bermakna menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, dan dalam peribahasa Melayu ada kata-kata “melepaskan batuk di tangga”, “kerja tidak sungguh-sungguh”, “buat jangan tak buat”. Sebaliknya menyempurnakan tanggungjawab ialah melaksanakan tanggungjawab dengan serius, hati-hati, berkesan, adil dan sebagai satu bentuk ibadah.

Dalam menentukan prinsip kepimpinan, Ibnu Taimiyah menekankan bahwa seseorang yang hendak dilantik sebagai pemimpin mestilah mempunyai sifat quwwah (keupayaan mentadbir dan mengurus) dan amanah. Beliau turut mengakui adalah sukar untuk memperoleh pemimpin yang mempunyai kedua-dua kriteria itu, kira-kira lebih 800 tahun lalu.

Rasa tanggungjawab (sense of responsibility) turut menjadikan bahan perbincangan menarik Ibnu Taimiyah. Dengan mengambil petikan al-Qur’an: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum di antara manusia, (Allah menguruh) kami menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi maha Melihat.” (An-Nisaa’: 58)

Amanah dan adil adalah dua sifat yang menjadi pengukur utama kepada kepimpinan. Keduanya mempunyai hubungan yang rapat dengan ketakwaan, dan saling berkait pula dengan keimanan kepada Allah SWT. Keduanya saling melengkapi bagi mencapai matlamat as-saadah, kebahagian sebenar dalam kehidupan.

Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang untuk memikul amanah tetapi mereka tidak sanggup kerana tiada persediaan, lantas amanah tersebut diberikan kepada manusia yang memiliki persediaan yang amat terhad, ingatlah sesungguhnya manusia suka membuat kezaliman dan mengerjakan perkara yang tidak patut dibuat”. (al-Ahzab: 72)

Sikap tamak dan terlalu mementingkan kebendaan telah menjadi bahan kajian menarik seorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak, Oliver James. Sejak tahun 1988, beliau berusaha menjadi seorang penulis, wartawan dan penerbit dokumentari televisyen menyifatkan ketamakan individulah menyebabkan wujudnya selfish capitalism. Selfish capitalism ini semakin sehari menjadi semakin kronik sehingga mencipta wabak penyakit yang merbahaya, iaitu affluenza. Kalau selesema dalam istilah perubatan dikenali sebagai influenza, disebabkan oleh jangkitan virus melalui sentuhan, udara dan pergaulan di tempat-tempat awam, maka affluenza pula membawa makna jangkitan virus yang amat menyakitkan pemikiran masyarakat kapitalis.

Masyarakat kapitalis yang berkiblatkan fahaman materialistik, tidak akan pernah merasa puas dengan apa yang menjadi sumbernya yang memadai. Mereka akan terus mencuba mendapatkan sesuatu yang melebihi keupayaan dan kemampuan, dan bagi Oliver James, ia akan meningkatkan penderitaan emosi (emotional distress) dan boleh membawa kepada kematian (necrophilia).(Olivier James, the Selfish Capitalism: Origins of Affluenza, London: Vermilion, 2008)

Jangkitan desakan emosi terhadap keinginan memenuhi hasrat, menyebabkan manusia terus dilanda “pemaksaan penggunaan”, compulsive consumption. Bagi memenuhi hasrat tersebut maka manusia sanggup melakukan apa sahaja, seperti untaian yang diungkapkan oleh Micheaveli, matlamat menghalalkan cara, termasuk pecah amanah bagi mendapatkan ganjaran kewangan.

Ini bukanlah sesuatu yang senang, ia adalah satu perkara yang amat kompleks, dan kerana itulah, walaupun sudah mempunyai petunjuk pelakunya, Peguam Negara masih memerlukan masa dan melengkapkan siasatan sebelum boleh mendakwa mereka yang terlibat dengan penjualan dua buah enjin pesawat terbang itu.

Walau apa pun keputusannya nanti, masyarakat tetap menjadikan berita kehilangan dua enjin pesawat itu sebagai sesuatu yang jelek menjelang har-hari terakhir tahun 2009, iaitu tahun terakhir dalam dekad pertama alaf ketiga ini. Kalau pada akhir tahun 1999kita dikejutkan dengan ketakutan pepijat alaf, maka tahun 2010 rakyat Malaysia akan terus khuatir, apakah langkah kerajaan selanjutnya untuk menghapuskan rasuah dan kesungguhan mengatasi kelembapan ekonomi, walaupun bajet telah diluluskan, namun prosesnya turut menimbulkan sedikit ketakutan, dengan keputusan undia bersetuju 66 manakala tidak bersetuju 63.

Kehilangan enjin pesawat tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, begitu juga kegetiran mendapatkan persetujuan meluluskan bajet. Telah tercipta sejarah baru dalam politik Malaysia, dan tahun 2009 tentunya memberikan banyak pengajaran moral yang perlu diperbetulkan jika Malaysia benar-benar ingin dilihat bebas rasuah, pecah amanah dan mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban yang tinggi.

Sabda Rasulullah SAW riwayat Ahmad: “Tidak sempurna iman barangsiapa yang tidak amanah dan tidak sempurna agama barangsiapa yang tidak menunaikan janji”. Sebuah hadis yang lain, Rasullullah SAW bersabda (seperti diriwayatkan oleh ad-Dailmi): “ Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran”.

No comments:

Post a Comment