Lebih seminggu lalu, akhbar The Star terus memainkan sentimen orang Melayu apabila menyiarkan temubual khas dengan Chin Peng yang sangat berhasrat untuk kembali ke Malaysia dalam usia tuanya setelah semua zaman gagahnya dihabiskan untuk berjuang secara bersenjata di dalam hutan.
Permohonannya secara undang-undang telah ditolak dan Oktober lalu Mahkamah Tinggi tidak dapat menerima alasan kukuh bagi membolehkan beliau kembali walaupun dikatakan masih menjadi warganegara dan dilahirkan di Sitiawan, Perak.
Kemarahan orang Melayu dan masyarakat kaum lain terhadap Chin Peng sememangnya mendalam kerana gerakan bersenjata yang dipimpinnya semasa melancarkan peperangan gerila telah banyak memusnahkan harta benda, menyeksa penduduk, mengorbankan nyawa anggota tentera dan orang awam. Kehidupan mereka menjadi tidak tenteram sepanjang tempoh darurat pada tahun 1948 hingga 1960.
Kesan lain yang lebih besar ialah seluruh anggota keluarga yang kehilangan sanak saudara semasa serangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh Chin Peng, termasuk anggota keluarga bekas Cawangan Khas, Polis Di Raja Malaysia. Walaupun pewartaan darurat ditarik balik, PKM telah menjadikan tahun 1973 sebagai ‘tahun membunuh’ anggota Cawangan Khas.
Antara yang dibunuh ialah TPP Wong Lin Hoon, CIP Chin Kou pada 12 Julai 1973, Sarjan Ching Kek Oh (Oktober 1973), Konstabel Lee See Kaw (3 Januari 1974), Sarjan Lee Yoon Chin (20 April 1974), Konstabel Ong Soon Chua (24 April 1974) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (6 Jun 1974).
Apabila Tun Abdul Razak merintis hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974, PKM meletupkan jentera dan kelengkapan yang digunakan untuk pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat dan tahun 1975 diisytiharkan sebagai tahun pertempuran, year of combat.
Pada 26 Ogos 1975, PKM mengebom Tugu Negara dan dua minggu kemudian, melempar bom tangan Kem Polis Hutan, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur menyebabkan dua anggota terkorban dan 41 cedera. Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Koy ditembak mati bersama pemandunya.
Antara tahun 1975 hingga 20 Disember 1982, sebanyak 609 pertempuran berlaku dan menyebabkan 134 anggota keselamatan dan 123 anggota PKM terkorban. Kekejaman anggota PKM bukan terhad kepada anggota pasukan keselamatan, malah orang awam turut dilibatkan sama dalam menjayakan misinya membentuk sebuah Negara republik komunis di Malaysia. Penduduk Sungai Siput masih lagi trauma dengan insiden penyembelihan pengurus ladang Peng Soon yang berbangsa Inggeris.
Berdasarkan beberapa buah buku, sama ada ditulis oleh pengkaji barat, bekas pentadbir British dan rakyat tempatan, gerakan yang dilancarkan oleh PKM bukan sahaja sukar dilupakan, ia turut menjadikan nyawa rakyat begitu murah.
Tulisan Redhuan Asli misalnya, Pemberontakan Bersenjata di Malaysia (edisi kedua, DBP, Kuala Lumpur 2008) menjelaskan kekejaman gerakan bersenjata yang dilaksanakan oleh PKM dari peringkat awal hinggalah benar-benar meletakkan senjata pada tahun 1989 melalui Rundingan Hatyai.
Noel Barber yang menulis War of The Running Dog turut memaparkan gerakan memburu pengganas komunis yang dijalankan oleh British setelah mengisytiharkan darurat pada tahun 1948. Anthony Short, In The Pursuit of Mountain’s Rat (edisi asalnya ialah Communist Rusergence in Malaya) turut memaparkan usaha membenteras gerakan komunis sehinggalah berlakunya rundingan Baling.
Cheah Boon Keng turut meneliti mengenai perjuangan komunis peringkat awal (1945 hingga 1948) melalui tulisannya, Komrad Bertopeng (terjemahan DBP, 1982) manakala Richard Stubbs, Heart and Mind in Guerrilla Warfare: The Malayan Emergency 1948-1960 memberikan analisis mengenai usaha meyakinkan masyarakat umum mengenai bahaya komunis, begitu juga Gene Z. Hanrahan, The Communist Struggle in Malaysia dan Ho Hui Leng, Darurat 1948-1960 membincangkan secara mendalam mengenai kesan sosial kekejaman komunis.
Walau bagaimanapun setelah runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989, pertembungan ideologi menjadi semakin lemah (disifatkan telah berakhirnya Perang Dingin), keruntuhan negara-negara di bawah Kesatuan Sosialis Republik Rusia (USSR), kematian Mao Tze Dong menyebabkan kapitalisme menjadi satu ideologi tunggal menerusi konsep demokrasi. Ketewasan ideologi komunisme (termasuk sosialisme) telah disifatkan oleh Francis Fukuyama sebagai “penamat sejarah” dan orde baru dunia akan menjurus kepada kemenangan kapitalisme-liberal.
Dengan kedudukan yang semakin kerdil, sikap negara-negara komunis mula membuka pasaran bebas, menyebabkan golongan yang masih berpegang kepada fahaman komunisme mula menghidu jejak untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka. Ideologi komunis, walaupun secara mekanismenya telah berkurangan, kurang berpengaruh ia tetap berusaha mencabar keyakinan baru masyarakat antarabangsa.
Berikutan dengan kegagalan beberapa pola ekonomi kapitalis, usaha mengenangkan kembali perjuangan komunisme dilakukan secara ideologi, termasuk di Malaysia. Beberapa pihak bukan sahaja menggalakkan penerbitan buku yang ditulis oleh aktivis PKM, termasuk anggota Rejimen Ke-10 bahkan cuba melonjakkan semangat membina sebuah tugu peringatan mereka di Nilai Memorial Park, Negeri Sembilan. Tanpa mempedulikan sentimen masyarakat, mereka tetap meneruskan kerana menganggap perjuangan PKM adalah sebahagian dari sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.
Chin Peng turut menulis dalam autobiografinya, My Side of History bagi membangkitkan minat awam mengenai perjuangan PKM dan mewajarkan setiap tindakan melawan kerajaan. Chin Peng mempersoalkan mengenai tawaran yang diberikan oleh Tunku Abdul Rahman semasa Rundingan Baling pada tahun 1955. Kegagalan Rundingan Baling adalah disebabkan oleh British yang meletakkan syarat supaya PKM menyerah diri.
Perjanjian damai yang dimaksudkan itu tidak tercapai, dan kerana itulah PKM terus melakukan perjuangan bersenjata bagi menentang pemerintah walaupun Tanah Melayu telah merdeka. Menurut Chin Peng, “Jika kamu menuntut kami serah diri, kami rela melawan hingga orang terakhir!” dan “…dulu Tunku pernah sebut jika perjuangan bersenjata kami dihentikan, parti kami akan diberi kedudukan setaraf agar kami dapat memperjuangkan kemerdekaan melalui cara perlembagaan. Namun syarat-syarat pengampunan sekarang tidak mengandungi perkara tersebut.” (halaman 379)
SM Mohamad Idris, Pengerusi Citizens International pada 21 Mei 2009 merayu kepada kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang berdasarkan alasan:
(a) Perjuangan menentang imperialisme, penjajahan dan penindasan oleh PKM dan telah membawa kehormatan dan maruah kepada negara dan rakyat;
(b) Sebagai fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Mydin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya;
(c) Sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh mantan perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba, seorang lagi mantan timbalan perdana menteri;
(d) Perjanjian PKM dengan kerajaan Malaysia pada 1989 membenarkan bekas pemimpin gerakan gerila itu pulang ke tanahair dan menetap, kerajaan digesa menghormati butiran perjanjian tersebut; dan
(e) Beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad telah dibenarkan oleh kerajaan untuk kembali, malah menetap di Malaysia.
Cadangan tersebut kemudiannya mendapat sokongan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr Teng Hock Nan, DAP (Tan Siang Giaw) dan PKR (Anwar Ibrahim). Kerana menyokong cadangan tersebut, masyarakat Malaysia kembali memberikan pandangan balas termasuk dendam seorang bekas tentera yang pernah dicederakan oleh PK semasa darurat. Beliau menawarkan diri sebagai orang yang pertama akan menyambut kepulangan dengan memenggal leher Chin Peng sebaik sahaja menjejakkan kaki di negara ini.
Rasa marah masyarakat Malaysia masih menebal ke atas Chin Peng kerana tindak tanduknya tidak dapat dimaafkan. Walaupun Dr. Tan Siang Giaw seakan menyindir mengenai keputusan muktamad tidak membenarkan kepulangan Chin Peng berbanding “sikap lemah lembut masyarakat dan saling memaafkan”. Dalam hal ini, ia bakal mengundang kemarahan yang berterusan dan dendam yang berkekalan.
Setelah gagal dalam rayuannya pada bulan Oktober lalu, Chin Peng menggunakan simpati para penyokongnya untuk “melobi” kerajaan agar diberikan kebenaran untuk pulang. Apabila akhbar the Star menyiarkan temubual tersebut, masyarakat Malaysia sekali lagi meluat dengan agenda tersebut.
Penyiaran temubual itu jelas membuktikan bahawa ia memangnya dirancang untuk kembali mendapatkan simpati rakyat dengan mendorong Chin Peng meminta maaf. Namun sepanjang meneliti tulisan tersebut, tidak terbukti kejujuran pengurusan akhbar itu, kerana permintaan maaf hanyalah atas alasan tertentu, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan keizinan pulang.
Seakan mahu menyembunyikan fakta penolakan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelumnya, The Star cuba menghidupkan emosi simpati terhadap Chin Peng. Chin Peng mungkin boleh dimaafkan jika segera memohon maaf selepas Perjanjian Hadyai pada tahun 1989, tetapi setelah membiarkan ia berlalu 20 tahun lamanya, ia sudah tertutup pintu kemaafan rakyat.
Chin Peng bukan sahaja menentang dan membunuh pasukan keselamatan semasa menuntut kemerdekaan, malah turut menyemarakkan tragedi perkauman pada 13 Mei 1969. Melalui peristiwa tersebut, Chin Peng dan PKM kembali mengaktifkan perjuangannya sehingga mengisytiharkan tahun peperangan pada tahun 1975. Persoalan yang timbul ialah bagaimana segelintir ahli akademik boleh menerima PKM sebagai sebahagian daripada sejarah kemerdekaan negara.
Jika benar Chin Peng mempunyai sumbangan dan berkongsi dalam kemerdekaan negara, di atas kemakmuran dan kedamaian yang terhasil selepas tragedi hitam 13 Mei 1969, kenapakah terus mengkhianati institusi negara, termasuk menyerang hendap anggota tentera (tahun 1973 hingga 1975), mengebom Tugu Negara dan mengebom peralatan yang digunakan untuk membina Lebuhraya Timur-Barat.
Eloklah mereka yang masih mahukan Chin Peng pulang meneliti kembali apakah faedah yang bakal diperoleh negara dengan kepulangannya itu? Tidak perlu membandingkan kebenaran Kerajaan memberikan ruang “ kepulangan jenazah Nordin Mat Top” dan “bekas buruh paksa di Korea Selatan.” Antara Chin Peng dan Nordin Mat Top mempunyai asas yang amat berbeza. Nordin masih berstatuskan warganegara, manakala “bekas buruh paksa” itu hanya “melucutkan kerakyatannya pada tahun 2007”.
Chin Peng walaupun dikatakan lahir di Perak, tetapi tidak mempunyai dokumen sah mengenainya. Pernah diminta oleh Mahkamah, tetapi tetap menyatakan bahawa “tidak mungkin dapat menyimpannya kerana terlalu lama berjuang dalam hutan”, maka asas utamanya tidak lagi relevan.
Persoalan kedua ialah setakat ini masih belum ada sanak saudara Chin Peng yang tampil membuat rayuan menyokong kepulangan Chin Peng. Hanya yang bercakap dan lantang bersuara ialah kalangan ahli politik, kerana kepulangan Chin Peng akan menambahkan nilai politiknya, tetapi secara psikologi menambah luka masyarakat.
Cadangan Karpal Singh agar Chin Peng meneruskan rayuannya ke Mahkamah Antarabangsa dan disokong oleh Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub agar diadakan satu referendum (kerana mungkin terlalu marah dengan referendum sayap kanan parti politik Switzerland yang mengadakan pungutan tandatangan larangan membina menara masjid), menjadikan kedua mereka lupa diri.
Salehudin bakal mengundang implikasi marah masyarakat Melayu kerana jika referendum itu diadakan, isu Chin Peng menjadi lebih popular dan bakal mengalihkan pandangan kepada tabiat Nik Aziz yang semakin meluat. Dengan membangkitkan keperluan satu referendum, sekurang-kurangnya penyataan doa Nik Aziz dan masalah dalam parti PAS akan dapat dipesongkan dari perhatian masyarakat. Itulah agenda yang cuba dilaksanakan oleh pemimpin PAS itu manakala Karpal Singh menjadi penampan untuk menolak perbahasan awam mengenai masalah penukaran syarat sebidang tanah di Georgetown, dari pajakan 99 tahun kepada status kekal. Tidak terkecuali mengenai sidang Dewan Undangan Negeri yang kecoh dan telatah yang mengjengkelkan masyarakat.
Sempena dengan momokan pihak-pihak tertentu agar kerajaan membenarkan Chin Peng pulang, kita mungkin boleh bersama-sama menggerakkan kesedaran untuk memerhatikan kembali sejarah perjuangan dan kekejaman Chin Peng dan angkatan bersenjata yang pernah dipimpinnya. Kita mungkin boleh meneruskan pelbagai pameran dan pendedahan gambar-gambar kekejaman itu melalui pelbagai media, termasuk berbincang dan mengupas secara meluas mengenai buku The Malayan Emergency Revisited 1948-1960, tulisan Leftenan Jeneral (B) Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows.
Setelah memahami dan menyelami apa yang telah dilakukan oleh komunis sepanjang tempoh darurat, kita mungkin boleh membuat kesimpulan, Chin Peng sememangnya tidak boleh dimaafkan. Kepulangannya wajib dihalang, kerana ia akan terus membangkitkan kesakitan yang terpaksa ditanggung, luka lama masih berdarah dan terus menjadi trauma masyarakat Malaysia.
The King and U
1 day ago
No comments:
Post a Comment