Thursday, August 20, 2009

SYURGA DAN NERAKA MILIK SIAPA?


Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM

Telah beberapa kali berlaku pertembungan di antara ulama kita dalam bentuk yang tidak sihat pada fikiran saya. Terbaru ialah pertembungan di antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (DNAA) Mursyidul Am PAS dengan Tan Sri Harussani Zakaria (TSHZ) Mufti Negeri Perak tentang siapakah di antara orang Islam yang akan masuk syurga. Kedua-dua tokoh ulama ini mengemukakan pandangan yang berbeza-beza tentang siapakah yang akan masuk syurga.

Kalau betul laporan dua buah akhbar utama berbahasa Melayu dan sebuah akhbar utama berbahasa Inggeris yang terbit pada hari Selasa 18 Ogos 2009, DNAA mengeluarkan pendapatnya berdasarkan keanggotaan parti politik untuk menentukan siapakah di antara orang Islam di negara kita yang akan masuk syurga.

Berita Harian melaporkan DNAA sebagai berkata: “Ada perbezaan antara Islam di bawa PAS, berbanding Islam dibawa UMNO kerana Islam mereka (UMNO) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.” Utusan Malaysia pula melaporkan kenyataan DNAA itu seperti berikut: “Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga…”

Utusan Malaysia pada hari yang sama juga memuatkan kenyataan TSHZ tentang hal yang itu, iaitu yang berbunyi “Syurga itu hak Allah, malah belum tentu lagi mereka yang sembahyang diterima (pahalanya) sebab kena tengok dulu sembahyangnya betul atau tidak. Apatah lagi jika ada dakwaan kata masuk parti ini baru dijanjikan syurga, itu lagi tidak betul, jangan kita mendahului Tuhan.”

Saya rasa kedua-dua pandangan daripada dua orang ulama ini merupakan hukum atau fatwa yang amat bercanggah sama sekali, iaitu kenyataan DNAA mengatakan bahawa Islam UMNO tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga, sedangkan TSHZ membuat kesimpulannya sendiri bahawa DNAA dengan menafikan syurga kepada Islam UMNO, maka seolah-olah Islam PAS sahaja yang membawa orang ke syurga, iaitu dilihat dari sudut logik kenyataan DNAA itu, atau dalam ilmu mantiq dari segi mafhum, dan mafhum mukhalafahnya.

Orang awam akan merasa keliru dengan fatwa atau pandangan dua orang ulama ini, betulkah Islam UMNO tidak membawa seseorang itu ke syurga? Dan Islam PAS sahaja yang membawa orang ke syurga? Apakah agama Islam itu terbahagi kepada dua, iaitu Islam UMNO dan Islam PAS? Malah dari sudut yang lain pula orang awam akan tertanya-tanya: bagaimanakah pula dengan Islam PKR dan Islam DAP serta Islam parti-parti politik yang lain pula, kalau pun hendak dibahagi-bahagikan Islam itu menurut parti politik, ke manakah pula mereka?

Di Malaysia hanya ada dua buah parti terbesar yang boleh dinamakan parti Melayu, iaitu PAS dan UMNO. Kedua-duanya dianggotai oleh orang Melayu, PAS mungkin seratus peratus Islam, dan UMNO majoriti terbesarnya adalah Islam.

Sekali lagi, persoalan akan timbul dalam hal ini, bagaimanakah pula kedudukan orang Islam yang menyertai parti lain seperti PKR atau DAP umpamanya? Adakah mereka ke syurga, atau sebaliknya? Saya percaya bahawa dalam hal ini para ulama akan menjawab bahawa masuk syurga atau tidak bagi orang Islam itu adalah berdasarkan amalan individu itu sendiri, bukan berdasarkan kepada keahliannya di dalam mana-mana parti politik yang tertentu. Di sinilah akan timbul kekeliruan di kalangan masyarakat awam orang Islam, iaitu kenapakah ketika menghukum orang Islam sama ada masuk syurga atau tidak bagi orang Islam lain adalah berdasarkan keanggotaan UMNO atau PAS? Apakah istimewanya PAS dan UMNO dalam konteks ini?

Masyarakat Islam juga tidak faham perbezaan antara kenyataan politik dengan kenyataan agama, apabila kenyataan atau pandangan yang berbentuk fatwa itu dikeluarkan oleh ulama yang terkemuka. Mereka menganggap bahawa semua yang keluar daripada ulama itu adalah fatwa, tidak kiralah sama ada ulama itu ketua parti politik atau mufti dan ulama yang lain. Hal ini membuka ruang untuk perpecahan umat Islam, dan yang mungkin membawa kepada pertentangan kefahaman bagi sesuatu hukum agama, khususnya yang berhubung dengan nasib mereka pada hari akhirat nanti, sama ada ke syurga atau ke neraka.

Oleh itu saya rasa, pertembungan yang melibatkan hukum atau fatwa ini mestilah dihentikan sama sekali, kerana ulama adalah orang berilmu, pewaris Nabi, dan mempunyai kedudukan yang dihormati di dalam masyarakat kita, mereka seharusnya beramanah terhadap pengetahuan dan ilmunya yang betul walau di mana sekalipun mereka berada, dan mereka seharusnya menjadi tumang umat Islam sebagai penyatu, bukan pemecah ummah.

Saya ingin juga melihat polemik dan perbincangan yang sihat dan berhikmah oleh para ulama, Persatuan Ulama, ahli akademik dan NGO Islam umumnya ketika terdapat kenyataan-kenyataan begini, sama ada berbentuk politik, ajaran sesat, dan sebagainya.

Saya faham, ramai ulama yang tidak mahu turut serta di dalam pertembungan ini, kerana “tidak mahu masuk campur urusan politik”, “tidak mahu dituduh ulama politik” atau “ “tidak mahu melawan arus”, dan sebagainya. Tetapi bagi ulama yang ikhlas dan amanah, dia seharusnya berani mengeluarkan pandangan secara jujur tentang apa saja isu, termasuk isu politik, apa lagi yang berbentuk fanatik melulu dan partisan yang memecahbelahkan masyarakat umat Islam.
islamhadhari.net

No comments:

Post a Comment