Tokai yang hadir sama memerhatikan kumpulan yang berdemontrasi sejak jam 9.30 pagi menunggu apa yang akan berlaku di hadapan Sogo. Kira-kira jam 12.35 tgh, Tokai bergerak ke Wisma Yakin dan seterusnya berada di sana beberapa ketika. Selepas waktu zohor, kumpulan yang berada di Masjid India mula memekik dan berarak.
Tokai bertanya dalam hati sendiri, apakah yang hendak diperjuangkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan itu? Kenapa sanggup diperkudakan oleh pemimpin-pemimpin yang terlalu inginkan kuasa sehingga sanggup melupakan hari tak bekerja itu bersama keluarga, atau berjalan-jalan mengeratkan silaturrahim dengan saudara mara.
Atas nama kemanusiaan, kita kadangkalanya banyak sekali ingin merungkaikan perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kita membuat perhitungan berdasarkan daerah orang lain, walaupun niat kita adalah baik, tidak semestinya cara kita itu betul.
Kerajaan sudah membuat kajian untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta tersebut dituduh kononnya zalim kerana tidak memberikan ruang kepada mereka yang ditahan untuk dibicarakan. Itulah alasan yang dibuat. Tetapi kenapa tidak pernah bertanya, kenapakah seseorang itu harus ditahan?
Seseorang itu ditahan kerana dia telah melakukan kesalahan. Seperti juga kita memarahi anak kita sendiri. Kita marah kerana dia melakukan kesilapan dan tidak mendengar nasihat yang kita berikan. Anak kita telah melanggar norma kehidupan yang kita tetapkan sendiri sebagai ketua keluarga atau orang yang berkuasa.
Jadi, yang ditahan itu kerana dia telah melanggar norma dan etika yang telah ditetapkan. Untuk apa etika dan norma itu ditetapkan, tentunya untuk menjaga kepentingan ramai. Kita menetapkan norma dan peraturan dalam keluarga kerana tidak inginkan keluarga dan keharmonian hidup kita terganggu, bermasalah dan seterusnya kelam kabut.
No comments:
Post a Comment