Saturday, August 15, 2009

PAS KALAU MENANG PUN HANYA SEKADAR MELUKUT DI TEPI GANTANG

Barangkali banyak sangat yang bermimpi bahawa Permatang Pasir sebagai usaha PAS untuk menguji kekuatannya sehingga Presidennya sendiri menganggap ia sebagai satu pertandingan yang menarik. Ia menjadi menarik apabila BN ikut serta, berbanding dengan pilihan raya kecil DUN Penanti pada bulan Jun lalu yang terasa tawar dan hambar.
Namun demikian, setelah dua hari berada di Permatang Pasir keadaannya tidak lagi menunjukkan kepanasan momentum pilihan raya berbanding dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh mahupun Manek Urai. Kalau di Permatang Pauh setahun lalu, suasana menjadi gegak gempita kerana yang bertanding ialah tokoh besar parti PKR yang cuba kembali ke tampok kuasa politik setelah "memaksa isterinya memberikan laluan, bagi merintis jalan ke Putrajaya.
Bagi Permatang Pasir pertandingan kali ini tidak dianggap akan memberikan kesan besar kepada lanskap politik negara dan negeri Pulau Pinang sendiri. Jika PAS berupaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak tahun 1999 lalu, ia tidak akan mengubah perspektif kuasa kerajaan negeri. Jika menang pun tidak mungkin wakil rakyat tersebut akan diberikan tempat dalam senarai birokrat politik negeri. Ia akan tetap dianggap sebagai parti yang kurang berpengaruh kerana hanya menguasai satu dun berbanding dengan lain-lain parti termasuk BN sendiri.
BN lebih kuat daripada PAS di Pulau Pinang, walaupun tidak mampu menguasai kuasa politik. dap lebih gagah dan kerana itulah tidak kedengaran kelantangan pemimpin PAS mengkritik tingkah laku wakil rakyat DAP yang menghina Islam. Cuma Tok Guru Nik Aziz sahaja yang memberikan reaksi tidak salah menghina Islam kerana orang yang menghina itu kurang faham dan bukan Islam.
Tuan Guru Haji Hadi senyap membisu, hanya mampu memberikan komentar pilihan raya kecil permatang pasir sebagai menarik. Tuan Guru rupanya bukanlah seorang pemimpin yang mempunyai kuasa dalam PAS kerana lebih takutkan Tok Guru Nik Aziz, yang hanya sebagai Mursyidul Am. Tuan Guru dianggap dayus dan bacul bila berhadapan dengan nada keras teguran Tok Guru dalam apa-apa perkara walaupun sesuatu cadangan itu datangnya daripada Presiden PAS.
Tok Guru tetap menganggap dirinya yang betul. Bila Tuan Guru syorkan kerajaan perpaduan, Tok Guru tentang maka bertempiaranlah Tuan Guru mengambil keputusan untuk sesama menolak dan menidakkan bahawa maksud sebenar ialah bukan antara BN dan PAS. Ia merupakan kerajaan perpaduan dalam pakatan pembangkang. Maka, penolakan tersebut memberikan bahana yang besar kepada PAS di Manek Urai, kemenangan tipis dengan hanya 65 undi.
Kalau di Manek Urai, sebaik sahaja berlaku kekosongan PAS telah memulakan aktiviti kempen sedangkan di Permatang Pasir masih belum dilihat keagresifannya. Mungkin kerana secara moralnya PAS kurang mendapat sokongan sekutu politiknya, termasuk DAP dan PKR. Kerusi Permatang Pasir tidak dianggap penting oleh DAP kerana kalau PAS kalahpun tidak akan dapat mengubah struktur kuasa. Oleh itu, adalah lebih baik membiarkan PAS bertindak dengan caranya berbanding dengan sokongan kerajaan negeri semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Sikap DAP itu memang ramai telah duga . DAP kalau dilihat membantu pun hanyalah sekadar ingin menunjukkan dalam pakatan pembangkang wujud kerjasama, tetapi tidak menggambarkan kerjasama yang sepatutnya. Seolah-olah sokongan yang kurang ikhlas. PKR juga tidak akan bekerja habis-habisan sebagaimana berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini kecualilah calon yang bertanding itu adalah daripada PKR sendiri.
PKR Pulau Pinang pun tidaklah segagah yang dijangka. Dalam posisi politik, yang menampakkan banyak menonjol ialah Anwar Ibrahim seorang, manakala yang lain seolah-olah seperti takut untuk bersuara, sepi bagaikan tikus jatuh dalam beras. Ramai pihak melihat setelah Dr. Mansor menang kerusi Penanti dan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1, tidak terdengar suaranya. Agaknya gigi sudah tiada, sedang menunggu gigi palsu siap ditempah.
Pengundi Permatang Pasir semakin bijak menilai. Mereka kini sedang meneliti secara rasional siapakah yang bakal mewakili Dun Permatang Pasir yang masih dilanda masalah banjir kilat, jalan yang tidak sempurna, kekurangan infrastruktur asas kerana wakil rakyat parlimennya dahulu, hanyalah sekadar ingin menebus maruah suami. Bila suaminya kembali mengambil alih, Permatang Pauh masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan.
Yang berubah hanyalah Anwar Ibrahim, dari seorang bekas wakil rakyat kembali menjadi wakil rakyat, namun budaya retoriknya masih sama, asyik menyalahkan orang lain tetapi kesalahan diri sendiri tidak pernah diakuinya, malah sentiasa menyembunyikannya di sebalik tohmahan dan dakwaan.
Secara keseluruhannya, sekiranya PAS menang lagi, kemenangannya tidak akan mengubah apa-apa. Kuasa politik Pulau Pinang masih dalam genggaman DAP, PAS tetap dianggap sebagai melukut di tepigantang. Kalaulah begitu keadaannya, tidak ada sebab pengundi tidak akan menolak penguasaan PAS untuk tempoh selanjutnya.

No comments:

Post a Comment