Friday, August 14, 2009

MAAF LE TOK GURU, BAK PE LE GINI, NYANYOK KE?

tOKAI menjadi aneh dan takjub sekali apabila Tok Guru kata tak salah bukan Islam mengkritik Islam kerana kurang faham. Orang Islam tidak boleh menyalahkan bukan Islam yang mengasak Islam di atas kesilapannya kurang memahami Islam. Semacam fatwa baru Tok Guru keluarkan apabila mula terperangkap dengan gelagat politik sekutu pakatan pembangkang.

Bagaikan nak tercabut gelegar emosi orang Islam apabila Jeff Ooi, Ronny Liu dan Ketua Pemuda DAP melontarkan pandangan mengenai Islam. Jeff Ooi menyamakan hasrat Jemaah Islah Malaysia (JIM) menegakkan syariat Islam sebagai ekstremis dan mendesak seorang kakitangan MPSP letak jawatan.

Berderau bulu roma apabila Ketua Pemuda DAP menyifatkan pendapat Redhuan Tee Abdullah mengenai anak mendiang Teoh Beng Hock sebagai anak yang sah walaupun anak yang bakal lahir itu tidak sah dari segi undang-undang dan agama. Islam akan tetap menganggap bersekedudukan tanpa nikah sebagai zina makanya tidak mengiktiraf itu adalah anak yang sah. Mengenai perkara ini, Tokai masih menunggu apakah fatwa yang akan dikeluarkan oleh Tok Guru? Mungkinkah Tok Guru akan katakan, itu tidak salah kerana budaya Cina begitu, cuba dulu barulah mengaku dan mengesahkan kedudukan anak itu.

Lojik pemikiran Tan Sri Khalid belum juga kita dengar Tok Guru bercerutu. Cuma yang Tokai masih ingat ialah Tok Guru pertama sekali buat bila masuk daun kerajaan negeri mengehadkan kedai menjual arak di Kelantan. Masih jelas dalam ingatan bagaimana Tok Guru menyindir satu keraian yang berlaku di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu. Tapi, kes di Selangor Tok Guru nampaknya benar-benar menghayati prinsip kebebasan orang bukan Islam walaupun menjual arak kepada orang Islam dan kawasan orang Melayu.

Berbelit-belit jadinya apabila Tok Guru mula meliukkan prinsip perjuangan menegakkan Islam bila berhadapan dengan tikaman tindakan sekutu bukan Islam. Mana keris kata-kata Tok Guru yang kadangkala berbisa itu, sudahkah lama tersarung dan bakal disimpan dalam Muzium Kelantan, wahai Tok Guru. Atau Tok Guru sengaja menyembunyikan segala kata-kata bernas itu bersama lipatan semutar di atas kepala agar ianya tidak terlucut bila menerima terjal kerikil politik oportunis yang amat inginkan kuasa.

Yang menjadi keanehan mengenai sikap Tok Guru ini ialah apabila Tok Guru pernah bercakap "orang yang tak tahu Islam, menghina Islam boleh dikenakan hukum bunuh pada zaman saidina Umar". Kata-kata Tok Guru measih lagi jelas apabila bercakap dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di Timur Tengah sewaktu membantah hasrat Kementerian Pendidikan memperkenalkan Sijil Tinggi Agama dan mengadakan kerjasama dengan pentadbir Al-Azhar Assyarif mengenai standardisasi sijil-sijil sekolah agama.

Ketika itu juga PAS membangkang kuat hasrat kerajaan pusat mengambilalih sekolah-sekolah agama milik kerajaan negeri, walaupun ramai guru-guru telah menghantar memorandum persetujuan. Tujuan kerajaan pusat mengambil alih sekolah-sekolah agama itu kerana pembangunan dan kemudahan yang disediakan tidaklah memuaskan, dan dengan mengambilalih kerajaan boleh membantu sepenuhnya. Guru-guru mempunyai peluang kenaikan pangkat kerana mobilitinya dan kemajuan kerjaya mereka dapat diberikan perhatian, termasuk melatih dengan kemahiran mengajar, psikologi dan kemudahan pencen.

Bayangkan walaupun menjadi guru sekolah agama sehingga mencecah usia pencen, kenaikan pangkat tidak berlaku. Peluang kenaikan gaji juga jarang berlaku kerana ia amat bergantung kepada sumber kewangan negeri yang setiap tahun mengalami perbelanjaan defisit, hasil negeri tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan. Sumber pendapatan baru bagi kerajaan tidak ada kecualilah merayu kerajaan pusat supaya menambahkan peruntukan.

Sesekali kerana ingin memujuk kepimpinan pusat bagi mendapatkan bantuan, Tok Guru mula memuji bahawa Perdana Menteri begitu baik, melayan penuh mesra dan puas hati. Maka kembang kuncuplah hidung orang yang mendengar pujian Tok Guru, selepas beberapa hari keluar lagi kata-kata yang amat menyakitkan hati, mengguris nurani. Maka bertanyalah dalam hati sendiri, kenapa Tok Guru kata begini dan begitu? Adakah Tok Guru dah nyanyok, atau itulah jongkang jongkit gelegar politik baru?

Semasa nak memikat, kata mereka yang pernah mengalami dunia percintaan, kentut pun baunya wangi. Tapi bila dah lama kahwin, maka semakin meluatlah jadinya. Sikap ini pernah dijadikan subjek kajian psikologi, maka itulah ada teruna dan dara berpendapat, buat apa kahwin kerana selepas majlis bagai nak rak (kononnya pilihan terbaik, tepat dan sepadan), bahagia tidak berpanjangan, ego mula menguasai dan mendominasi diri.

Tok Guru tentu faham, dah lama benar jadi Menteri Besar, maka banyaklah silap berlaku. Rakyat Kelantan mula persoalkan apakah akan terus begini hidup yang akan dilalui? Adakah seperti sekarang maknanya "membangun bersama Islam"? Benarkah Kelantan menyediakan tempat untuk orang miskin berriadah dan berehat?

No comments:

Post a Comment