Friday, August 21, 2009

BN PADI BASAH, CALON PAS PADI HAMPA

PETANG tadi Tokai sempat mengunjungi pekan kecil Sama Gagah. Sesampainya di sana, Tokai teringat arwah pak menakan yang telah meninggal lebih 10 tahun lalu. Sempat juga menziarahi kubur pak long itu sekadar membaca al-Fatihah.

Selepas meninggalkan tanah perkuburan tersebut, Tokai teringat dengan sindiran pak long yang mengatakan bahawa memangnya penduduk Sama Gagah tidaklah sekuat mana kerana mereka banyak sangat termakan pembohongan pemimpin. Kebetulan waktu itu, arwah Pak Long bekas penyokong kuat PAS dan sering berkhutbah bahawa kepimpinan PAS berusaha untuk menjadikan Islam sebagai landasan pengurusan negara.
Tokai setuju dengan khutbahnya pada waktu itu kerana tidak mahu terjadinya konflik. Tokai menghormatinya sebagai pak menakan, walaupun hubungan tersebut hanyalah sekadar hubungan perkahwinan, iaitu berkahwin dengan anak menakannya. Mungkin kerana dia faham bahawa Tokai pernah membesar dan mengalami pengalaman yang luas mengenai cara PAS mengindoktrinasikan pemikiran rakyat, kebetulannya Tokai berasal dari Kelantan.
Tetapi ketika berhadapan dengan pilihan raya, PAS dilihat semakin terdesak. Bagi menghadapi pilihan raya umum pada tahun 1964, PAS yang tidak mempunyai struktur pentadbiran dan pengurusan kempen baik, mula mengubah strategi. Ketika itu, pemimpin-pemimpin PAS Kelantan mula menjajakan bahawa "berbaik dengan bukan Islam, iaitu orang Cina adalah kafir. Orang kafir tidak akan masuk syurga".
Memanglah benar, orang kafir tidak akan masuk syurga kalau diukur dalam agama Islam. Tujuan pemimpin PAS berbuat demikian kerana takut tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dan hal sama mula kedengaran sekali lagi apabila menghadapi pilihan raya seterusnya pada tahun 1969.
Selepas keluar daripada BN pada tahun 1977, Nik Aziz yang tidak menyetujui gaya kepimpinan Asri semakin ghairah memproklmasikan slogan, UMNO bukanlah sebuah parti Islam. Slogan ini kemudiannya diteruskan lebih agresif oleh Haji Hadi Awang pada awal tahun 1980-an dengan menambahkan perjuangan menentang orang kafir (maksudnya bukan Islam) adalah satu perjuangan jihad.
Maka bermulalah era pergaduhan sesama Islam, sembahyang dua imam, perebutan masjid, menghalalkan perceraian pasnagan yang berlainan fahaman politik dan membunuh orang UMNO. Bertindak dengan matlamat membina sebuah negara Islam yang mengamalkan undang-undang Islam, PAS menampakkan sedikit kejayaan apabila berjaya mengekalkan kuasa politik di Kelantan dan seterusnya memerintah Terengganu pada tahun 1999.
Walau bagaimanapun PAS tewas di Terengganu pada tahun 2004 dan berjaya mengekalkan kuasa politik di Kelantan. Pada tahun 1959, kepimpinan PAS pernah menolak gagasan negara Islam dan kemudiannya kerana menyedari arus kebangkitan Islam semakin kuat kesan Revolusi Iran pada tahun 1979, PAS mula memasukkan pembinaan negara Islam sebagai asas perjuangannya. Kerana itulah apabila Tun Dr. Mahathir memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran, Haji Hadi terus menyerang bahawa ia adalah "Islam kulit" dan mengamalkan budaya taghut.
Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi memulakan slogan kepimpinan"bekerja bersama-sama saya", kedudukan PAS turut terancam pada tahun 2004. Kerajaan Kelantan disifatkan sebagai berada di hujung tanduk dengan hanya memiliki kelebihan 3 kerusi: BN 21 kerusi dan PAS 24. Atas kesedaran dan pengalaman ketika bergabung dengan Semangat '46, PAS memang memerlukan regu politiknya jika ingin mendapat kedudukan yang baik.
Maka pada tahun 2008 mula menjalin hubungan melalui Barisan Alternatif dengan beberapa parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12. Hasilnya, PAS bukan sahaja mampu mengekalkan kedudukan kuasa yang lebih kuat di Kelantan, malah mendapat kuasa menerajui Kedah. Kedudukan BN di Kelantan menjadi semakin runcing sehingga menjadikannya sebagai pembangkang yang kecil, iaitu 6 kerusi.
Percubaan mendapatkan kerusi Manek Urai melalui pilihan raya kecil telah menyebabkan PAS semakin tertekan apabila hanya mampu mempertahankannya dengan kemenangan 65 undi. Oleh kerana tekanan tersebut, Menteri Besar Kelantan mula menggunakan pelbagai psikologi songsang dan menakutkan pengundi termasuk menuduh UMNO menyebarkan ajaran sesat seperti Ayah Pin dan komunis Chin Peng.


Nik Aziz turut menuduh menggunakan penentuan syurga hanya untuk penyokong PAS. Pendekatan tersebut telah digunakan secara meluas dan meluatnya di Permatang Pasir sehingga menganggap "Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam palsu, Islam plastik. Islam palsu tidak membawa ke syurga." Maka ramailah cerdik pandai dan masyarakat mula bosan dengan gagasan tersebut kerana menganggap bahawa Nik Azizlah yang boleh menentukan kedudukan seseorang itu sama ada ke syurga atau neraka.
Setelah menerima kutukan hebat, Nik Aziz turut mencabar ulasan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan tidak sepatutnya beliau berbuat demikian. Persoalan syurga dan neraka adalah hah mutlak Allah SWT dan bukannya hak manusia. Oleh itu, Nik Aziz perlu bertaubat kerana telah mengelirukan orang Islam dengan menghukum mereka yang menyokong UMNO sebagai "tidak akan masuk ke syurga."
Setelah isu itu memakan strategi kempen PAS di Permatang Pasir, PAS mengubah haluan dengan menyerang peribadi calon walaupun pada awalnya Nik Aziz memberikan jaminan bahawa tidak akan menggunakannya. Calon BN telah dituduh sebagai pecah amanah berhubung pembelian sebidang tanah dan memperbesar-besarkan isu pergantungan lesen guamannya.
Walau bagaimanapun, isu tersebut nampaknya memakan penembaknya apabila pembeli telah menunjukkan bukti bahawa ianya telah selesai dan menarik balik kes tersebut setelah calon BN membayar keseluruhan baki wang tersebut. Calon PAS semakin terhimpit apabila ada pihak mula menunjukkan salah laku yang melibatkan pecah amanah terhadap dana kempen bagi Permatang Pauh, dana projek sekolah agama pintar PAS dan tindakan undang-undang apabila gagal membayar baki pinjaman dari Standard Chartered Bank.
Apa yang lebih menarik ialah apabila Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub menyifatkan calon BN sebagai "padi basah", tetapi pengundi muda di Permatang Pasir yang kurang senang dengan calon PAS menyifatkan Salleh Man sebagai "padi hampa." Bagi sesetengah mereka jika padi basah dijual, ia masih tetap mempunyai harga walaupun lebih murah.
"Tetapi padi hampa, tidak mempunyai nilai sesen pun. Tidak ada pihak yang ingin membelinya", dengan membandingkan bahawa calon PAS itu telah 6 kali ditolak oleh pengundi. Kemasukannya sebagai calon di Permatang Pasir merupakan percubaan kali ketujuh. Setelah enam kali ditolak, termasuk dua kali tidak diterima oleh pengundi kawasan kelahirannya sendiri, bermakna PAS telah memilih hampa untuk mempertahankan legasinya.
Pengundi turut membangkitkan bahawa calon PAS juga tidak mesra dan mempunyai masalah dengan rakan-rakan perniagaannya. Masyarakat kampongnya sendiri tidak dapat menerima beliau, "mana mungkin akan diterima oleh pengundi Permatang Pasir" yang bukan muasalnya. PAS sebenarnya telah membuat kesilapan besar memilih Salleh Man, kerana dia bukanlah pemimpin terbaik untuk dipilih sebagai wakil rakyat Permatang Pasir.
Tidak kurang juga yang menyifatkan pemilihan calon PAS saperti daun karipole (daun kari). Memang perlu untuk masakkan kari, tetapi apabila kari siap sedia untuk dimakan, daunnya dibuang ketepi. Tidak dikunyah sepertimana bendi atau terung yang dimasukkan bersama.
Daun kari akan dibuang, tetapi bendi dan terung menjadi penyedap yang boleh di makan. Daun kari hanya sekadar mengambil bau. Buat apa hanya memilih bau, sedangkan yang amat diperlukan ialah seorang wakil rakyat yang mampu memberikan perhatian kepada rakyat dan bukannya hanya pandai berjanji seperti menjanjikan syurga walhal dia sendiripun belum tentu dapat masuk syurga.

No comments:

Post a Comment