Penelitian sambil lewa atau hanya berdasarkan retorik kempen akan menyebabkan penduduk Permatang Pasir akan terus terbelenggu dengan pelbagai masalah yang tidak dapat diatasi. Kepimpinan PAS yang dilihat sebagai melukut di tepi gantang tidak akan membawa ke mana, kerana dominasi DAP yang hanya bertopengkan gaya kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz sebenarnya tidak berlaku kerana kepentingan masyarakat Cina yang menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang perlu diberikan perhatian yang lebih.
Dari segi jumlah penduduk, Melayu hanya berada di sekitar 41.2 peratus, Cina 43.0 peratus, India 10.0 peratus dan lain-lain 5.8 peratus. Ini menunjukkan penduduk Cina merupakan majoriti dan kemenangan politik banyak bergantung kepada sensitiviti pengundi Cina. Itulah menyebabkan DAP menang bergaya berbanding parti yang mewakili orang Melayu. Itulah juga mungkin desakan untuk meletakkan orang Melayu sebagai Ketua Menteri mendapat tentangan hebat daripada pengundi Cina menjadikan satu-satunya negeri milik mutlak kaum Cina di Malaysia.
Berdasarkan suasana ini, falsafah dan ideologi perjuangan PAS dianggap bertentangan kepentingan politik Cina. Maka pilihan raya kecil bagi DUN Permatang Pasir sejak tahun 1999 merupakan kawasan tunggal yang dimenangi oleh PAS di Pulau Pinang, kali ini menjadi desakan kuat parti tersebut untuk mempertahankan.
Atas sifat terdesak itulah PAS ternyata terkeluar dari landasan politik sihat sehingga sanggup menjadikan pengundi sebagai taruhan politik sempit dengan menjanjikan syurga. Ini merupakan fatwa songsang yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS yang perlu direnung oleh pengundi kerana hakikat yang menentukan seseorang itu diterima masuk ke syurga ialah keimanan dan ketakwaan. Berdasarkan timbangan tersebutlah Allah SWT akan menentukan peluang memasuki syurga dan bukannya kerana menyokong parti PAS.
Faktor kedua yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi Permatang Pauh ialah bentuk kempen yang dilaksanakan oleh parti-parti yang bertanding. Ini bererti para pengundi perlu memahami apakah yang akan dilaksanakan oleh parti-parti yang bertanding dapat memberikan peluang-peluang meningkatkan kualiti hidup atau di sebaliknya.
Kualiti hidup diukur berdasarkan bentuk kemudahan asas yang disediakan, peluang-peluang pekerjaan, persekitaran yang bersih, layanan perkhidmatan awam, bantuan dan subsidi, kebajikan penduduk dan sebagainya. Jika parti yang bertanding mampu menyediakan keperluan tersebut, ia tentu akan mendapat pilihan yang wajar. Pengundi perlu mengukur atau menilai secara rasional dampak sejarah mengenai kesanggupan parti yang bertanding.
Faktor ketiga, jika menggunakan serangan peribadi sebagai asas memburuk-burukkan seseorang bermakna penyerangnya mempunyai peribadi yang kacau bilau. Akibat peribadinya yang kurang menarik, maka ia cuba mencari salah calon lawan dengan harapan akan menyerah kalah. Keadaan ini sudah berlaku pada peringkat awam di mana pemimpin PAS mendesak agar calon BN menarik diri kerana mempunyai masalah peribadi.
Serangan peribadi yang dilakukan ialah mendiskreditkan peribadi calon berasaskan pergantungan lesen amalan guaman oleh Majlis Peguam Malaysia, mengaitkan dakwaan mengabaikan isteri kedua dan seterusnya menggunakan bekas rakan kongsi bagi menggambarkan keburukan calon.
PAS yang sentiasa menutupi kelemahan calon pilihan mereka turut terperangkap dengan dakwaan tidak jujur menguruskan wang parti, dana projek sekolah agama pintar, tidak melangsaikan sepenuhnya pinjaman bank , mengkhianati rakan-rakan seperniagaan dan terbaru ada kaitan cuba memikat wanita cantik pendandan rambut yang masih mempunyai suami. Setakat ini calon PAS masih belum menafikan tuduhan-tuduhan tersebut secara jelas dan meluas.
Faktor Keempat, calon PAS dianggap sebagai calon yang kurang layak kerana sebanyak 6 kali ditolak oleh pengundi termasuk sebanyak dua kali di DUN Sungai Dua, iaitu kampung halamannya sendiri. Ini bererti sahabat, keluarga dan kenalan tidak merasakan bahawa calon PAS itu sebagai pemimpin yang boleh ditonjol dan diharapkan untuk memimpin.
Calon PAS juga tidak boleh diharapkan untuk memimpin kerana mempunyai masalah dan sering berlaku percanggahan kepentingan semasa menjadi mudir sekolah agama kelolaan PAS. Ada pengundi menyifatkan, jika Naib Presiden PAS memberikan gelaran sinis kepada calon BN sebagai "padi basah", calon PAS seharusnya mendapat gelaran "hampa beras".
Jika padi basah, jualannya masih mendapat harga walaupun murah tetapi "hampa beras" tidak mempunyai nilai sedikit pun. Ia menjadi bahan buangan dan tidak menarik sesiapa pun, kecualilah menjadi tempat bersarangnya aneka haiwan berbisa seperti ular, lipan dan sebagainya. Ia juga boleh merosakkan sistem perparitan jika terus dibiarkan bertaburan diterbang angin dan beburung pun tak sanggup menjengok.
Faktor kelima, kepimpinan pakatan pembangkang (dalam perspektif nasional) merupakan gabungan yang lemah dan bercelaru. Gabungan tersebut masih belum mempunyai landasan perkongsian kuasa yang ampuh dan boleh dipertahankan apabila saling bertentangan ideologi dan tindakan merealisasikan manifesto perjuangan. PAS dengan usaha menguruskan negara melalui perspektif syariat Islam, PKR dengan prinsip "sama rata, sama rasa" dan DAP dengan idealisme menghapuskan kontrak sosial.
Lim Guan Eng mempersoalkan mengenai Dasar Ekonomi Baru yang dilihat cuba mendiskrimasikan bukan Melayu. Melihat Islam sebagai nilai yang bercanggah dan bertentangan dengan idealisme negara sekular manakala PAS terpaksa berdolak-dalik apabila penyokongnya mempersoalkan kewajaran bersama dalam pakatan yang dianggap sebagai "duri dalam daging" manakala PKR sanggup menolak "ketuanan Melayu" dan mendeduktifkan kepelbagaian etnik sebagai realisme politik baru bagi mendapatkan kuasa menjadi Perdana Menteri.
Faktor keenam, tindakan politik pemimpin PKR dianggap kurang mempertahankan orang Melayu-Islam manakala PAS sering mempermainkan Islam dan DAP membakar sentimen orang Melayu-Islam. Cabar mencabar mengenai Melayu-Islam mula menampakkan pertelingkahan yang semakin tajam sehingga menyebabkan perjuangan PKR dilihat sebagai "pengkhianat terbesar orang Melayu", PAS semakin mengelirukan umat Islam dan DAP membakar emosi kebencian apabila membenarkan wakil-wakil rakyat mereka mengkritik Islam secara melulu.
Faktor ketujuh, wakil rakyat PKR bagi parlimen Bagan Serai, Gobalakrishnan semakin terdesak apabila membuat kacau semasa penamaan calon bagi PRK Permatang Pasir. Beliau yang dikatakan mendapat arahan daripada Anwar Ibrahim melalui telefon telah tidak mematuhi larangan polis dan menampar penjawat awam yang sedang bertugas. Ekoran kejadian tersebut, ADUN Lunas mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan menjadi calon bebas. PKR bahagian Lunas dan Bagan Serai dibubarkan oleh pendokongnya kerana tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin besar PKR yang terlalu inginkan jawatanPerdana Menteri.
Faktor kelapan, Anwar Ibrahim sepanjang PRU 2008 dianggap sebagai ikon politik baru Malaysia dan faktor ketokohannya membantu mengurangkan kuasa majoriti BN di Dewan Rakyat. Tetapi, beliau yang masih terbelenggu dengan kes semburit kedua dengan Saiful Bakhari Azlan, bekas pegawai peribadinya dilihat cuba mencari helah untuk "mendera" dengan memfailkan pelbagai tuntutan teknikal di mahkamah. Sepatutnya kes tersebut mula disebut pada bulan Julai telah ditunda sebanyak empat kali atas keperluan Anwar sendiri manakala ketua peguamnya menarik diri.
Faktor kesembilan, Lim Guan Eng merupakan seorang pemimpin yang amat kerdil jiwanya apabila gagal menyelesaikan tuntutan penduduk Kg. Buah Pala, berpindah ke rumah sewaan dari rumah yang dikhaskan atas alasan takutkan anai-anai dan gangguan musang, membenarkan penggunaan pelbagai bahasa di papan tanda jalan (bertentangan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), mengambil tanah seluas 140 ekar untuk membangunkan sebuah universiti dengan kerjasama Universiti Nanyang Singapura, bermuka-muka apabila menggunakan penerbangan ekonomi bagi perjalanan dalam negeri manakala kelas pertama atau bisnes hampir setiap minggu ke Singapura menemui Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dan menggesa jambatan kedua Pulau Pinang disegerakan sedangkan sewaktu bapanya berbahas mengenai projek Jambatan Pulau Pinang, ia dianggap sebagai satu pembaziran dan berusaha membangunkan Pulau Betong sebagai destinasi pelancongan antarabangsa bagi memingirkan bumiputera secara halus.
Faktor kesepuluh, pembohongan Yusri Isahak di atas pentas PAS bahawa beliau telah dikambinghitamkan bagi membersih calon BN. Setelah meneliti beberapa surat di antara Koperasi Pekebun Kecil Getak, ternyata Yusri terlibat dengan transaksi pembelian sebidang tanah. Yusri bertindak sebagai saksi bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani pada 30 Mei 2000, `penerima surat Koperasi pada 27 Mac 2001 mengenai Faedah Daripada Wang Pertaruhan Berjumlah RM304,000.00 Yang Dipegang oleh Firma Guaman Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang, surat bertarikh 7 Februari 2001, surat menggunakan nombor rujukan STR/YI/MISC/219/2000 bertarikh 7 Jun 2000 mengenai Hartanah Lot 1481, GM1048, MK 10 Daerah Seberang Perai Utara, surat koperasi bertarikh 24 Mac 200 dan 8 Jun 2000, dan surat mewakili firma guaman bertarikh 1 Mac 2000.
Jika mengambil bukti daripada surat-surat tersebut, Yusri jelas berbohong besar apabila mengatakan beliau tidak terlibat dalam urusan pembelian sebidang tanah oleh Koperasi yang dimaksudkan. Mungkin kerana tidak mempunyai semangat setiakawan sejati, Yusri sanggup "makan kawan sendiri." Hujah Yusri perlu ditolak oleh pengundi Permatang Pasir kerana mungkin beliau mempunyai banyak kesalahan, dan ingin menutup kelemahan tersebut dengan menyerang rakannya sendiri. Inilah natijah yang perlu dipertimbangkan dan menjadi persoalan misteri kenapa Yusri sanggup berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment