Friday, August 14, 2009

PERMATANG PASIR MENGINGATKAN KEMBALI KISAH CHARLIE

Setibanya di Permatang Pasir awal pagi tadi, memori saya terus berputar mengingatkan kisah charlie yang pernah kami alami setahun lalu. Dalam bulan Ogos setahun lalu, kami seramai 10 orang menyewa sebuah apartment di Bandar Perda untuk tempoh sementara. Ketika itu kami ditugaskan untuk membuat laporan mengenai pilihan raya kecil parlimen permatang pauh yang banyak mengundang kontroversi.

Kerana kami mendapat sebuah unit apartment di tingkat 12, kami memangnya amat seronok maklumlah angin berpuput lembut. Nyenyaknya tidur tidak terkata disebabkan keletihan terkinja-kinja ke sana ke mari mencari bahan penyelidikan dan memerhatikan setiap ceramah politik, selalu tidur mati.

Tanpa mengetahui istilah charlie, kami membuka tingkat dan sliding door seluas-luasnya walaupun pemandangan tidaklah begitu mengasyikkan. Sawah hanya tinggal tunggul-tunggul, jerami menunggu masa untuk reput dan dari jauh kelihatan tompokan hitam hangus dibakar. Itu adalah pengalaman biasa setelah selesai musim menuai.

Terfikir juga kenapa berlakunya pembaziran? Tidakkah ada pihak yang sanggup mengkomersialkan jerami padi sama ada sebagai makanan binatang ternakan, atau dijadikan bahan bagi menghasilkan kraftangan sebagaimana dilakukan oleh penduduk utara Thailand mengkomersialkan kraftangan daripada kerecut.

Bila rakan saya memberitahu bahawa penginapan kami kali ini juga di aparment mutiara, hati saya mula terguris kerana musim inilah charlie mengamuk. Kebetulan semasa sedang makan char koey teow terbaik di Bandar Perda, beberapa orang gadis bercerita mengenai charlie. Kawan saya yang suka mengusik terus merujuk bahawa parut dan bentuk kulit yang tercalar itulah penangan charlie.

Saya tersenyum dan gadis tersebut seakan mengiyakan apa yang kami cuba usik. Hasilnya, kawan saya memberikan formula untuk mengkebalkan diri dari serangan charlie. Pertama bila terasa gatal, jangan garu. Kesan dari kerja menggaru itulah menyebabkan wajah yang cantik seolah tercalit dengan dua atau tiga jalur sepanjang kawasan garuan itu.

Kedua, apabila terasa gatal, cepat-cepat membasuh tempat yang terkena gigitan charlie. Kalau ada krim antiseptik, sapukan secara sederhana bagi mengurangkan kesan gatal. Jangan sekali-kali menggaru. Kesan kuku itulah yang menyebabkan parut charlie berpanjangan dan saya yang terkena gigitan setahun lalu masih berbekas.

Agaknya kali ini saya terpaksa berhati-hati. Tidur malam tidak akan buka lagi tingkap atau sliding door. Sebelum tidur kami terpaksa melancarkan jihad dan perang gerilya memburu charlie di celahan dinding, menyelak sarung bantal dan merejam tilam. Serangan hendap akan menggunakan peluru aerosol sama ada dari jenama baygon, ridsect ataupun fumakila.

Keempat, jika terkena serang juga kami akan terus ke farmasi membeli ubat. Tapi, jangan terkejut apabila sampai di farmasi, pekerjanya tersenyum lebar. Belum sempat anda memberitahunya, pekerja tersebut sudah tahu anda sebenarnya terkena serangan hendap charlie.

he, he, charlie mula mengganas lagi. Musim charlie melanda lagi, tapi janganlah khuatir, ia tidak akan mengancam seperti virus selesema babi. Permatang Pasir mungkinkah akan membekaskan lagi kami dengan gigitan charlie?

Tapi kami amat menginginkan kempen kali ini tidaklah seburuk Permatang Pauh kerana mungkin Dr. Badrul Amin tak akan bermunajat lagi sepanjang malam memohon doa agar Allah melaknatkan orang-orang tertentu yang dianggap tanpa asas kukuh menghalang ke puncak kuasa tokoh yang dianggap paling layak dan diangkat menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment