Tuesday, August 4, 2009

MENGAPA PERLU BERDEMONTRASI



Semakin lama merenung gambar-gambar video dan membincangkan perilaku kumpulan perusuh pada 1 Ogos lalu, semakin banyak maklumat dan pertanyaan akan timbul. Ada pendapat mengatakan, sebahagian yang menyertai demonstrasi tidak tahu apa sebenarnya mereka perlu lakukan. Mereka diupah dan diarah oleh pihak tertentu untuk berhimpun beramai-ramai.
Yang berhimpun itu pula tidak pun tahu apa yang ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibantahnya. Tidak pun pernah merasai dan memahaminya. Cuma pernah mendengar cerita bahawa ISA adalah zalim. Bagaimana bentuk kezaliman itu tidak pasti. Cuma tahu, bila seseorang itu ditahan, tidak mempunyai peluang untuk membela diri dan dibicarakan di mahkamah.
Saya tanya lagi, pernahkah masuk mahkamah? Ada yang berkata tidak pernah dan ada juga mengatakan pernah. Mereka yang tidak pernah ke mahkamah, amat takut sekali apabila mendengar perkataan mahkamah kerana dikaitkan dengan denda dan hukuman, sama ada berat ataupun ringan.
Mari kita bongkarkan untuk apa mahkamah itu diadakan? Mahkamah merupakan tempat untuk menyelesaikan sebarang pertikaian sama ada berbentuk pemilikan menurut undang-undang atau peraturan yang digunapakai secara umum. Dengan mengemukakan masalah itu di mahkamah, atau saman, ianya akan didengar, diteliti berdasarkan hujah dan maklumat fakta, maka akan ditentukan pula keputusan berhubung dengannya.
Selain mengenai pemilikan, mahkamah juga digunakan untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian termasuk memutuskan lafaz sah penceraian, tuduh menuduh dan hal-hal yang melibatkan kebebasan seseorang. Walau bagaimanapun, undang-undang di setiap negara walaupun menetapkan hak asasi, ia tetap mempertahankan bahawa hak dan kebebasan yang diberikan itu tidak seharusnya hak dan kebebasan orang lain.
Maka dengan cara itu diharapkan masyarakat hidup secara harmoni. Dalam kes demontrasi, kita harus faham ISA walaupun pada mulanya digunakan untuk menyekat penyebaran anasir subversif dan komunis, ia masih memberikan kekuatan kepada negara untuk membendung sebarang kegiatan yang boleh mengancam ketenteraman awam.
Demontrasi jelas telah menjejaskan ketenteraman awam, kerana menyebabkan premis-premis perniagaan berada dalam kebimbangan, orang awam terpaksa menangguhkan urusan ketika demontrasi sedang berjalan, lalu lintas ditutup bagi mengelakkan para perusuh menguasai laluan masuk, dan yang lebih penting ialah urusniaga pada hari itu hampir lumpuh. Inilah yang berlaku pada 1 Ogos 2009 lalu.

Bagi menyuraikan perusuh, pihak polis menggunakan gas pemedih mata dan semburan air kimia setelah pujukan untuk bersurai tidak diendahkan. Beberapa hari sebelum demonstrasi, pihak polis telah pun mengeluarkan larangan agar tidak mengadakan perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas. Jadi, dalam hal ini siapakah yang bersalah apabila sesuatu larangan dan ingatan telah diberikan tidak diendahkan.
Saya tidak menyalahkan pihak polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteram awam. Jika pihak polis tidak mengawal keadaan pada hari itu, apa akan terjadi seterusnya apabila 10,000 orang berkumpul dan dua kumpulan bertembung. Biasanya, bila dua kumpulan bertembung dengan pengikut masing-masing, emosi semakin meluap dan tengking menengking akan berlaku.
Apabila tengking menengking, bertelagah pendapat dan cabar mencabar, akan pula menyebabkan terkeluarnya kata-kata kesat. Dari kata-kata kesat itulah yang akan membakar semangat sehingga menimbulkan pergaduhan. Para pemimpin di kedua belah pihak akan mempertahankan pendapat dan tindakan, manakala para pengikut akan terus bertindak setelah perasaan marah membuak-buak, walhal rasionalnya tidak sepatutnya begitu.
JIka benar tidak berpuas hati, demontrasi bukanlah cara yang paling baik. Kita boleh mempelajari bagaimana reformasi 1998 tidak mampu menyelesaikan masalah, Anwar yang dipecat tidak juga diambil kembali dan jawatannya dipulangkan. Anwar terus berkelana dan terpaksa menghadapi dugaan yang mungkin boleh dianggap sama dengan tragedi yang menimpa lagenda Sisypus the corantian.
Sisypus dalam lagenda Greek pada mulanya merupakan seorang pemimpin yang disanjung. Disebabkan oleh ketamakannya, maka Sisypus akhirnya menggolekkan batu dari puncak bukit ke kaki bukit. Apabila ketulan batu besar itu berada di kaki bukit, beliau sekali lagi merasakan adalah perlu untuk menolak ketulan batu itu ke puncak sekali lagi.
Inilah yang Anwar lakukan. Semasa berada hampir di puncak kuasa (Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO), tanpa memikirkan kesilapan-kesilapan diri sendiri beliau ingin menggolekkan diri ke kaki bukit bagi memulakan reformasi bersama rakyat yang simpati dengannya. Seharusnya ketika berada hampir di puncak kuasa, beliau perlu ingat bahawa apa yang akan dilakukan, akan ada tentangannya.
Tetapi beliau terlalu kuta meniupkan arus kebencian sehingga menyebabkan Tun Dr. Mahathir pun percaya dengan apa yang berlaku ke atasnya. Walau pun diminta untuk berundur, Anwar terus mahu mempertahankan perilakunya, maka arus yang mendesak itulah yang menolaknya turun ke kaki bukit. Setelah berada di kaki bukit, beliau terus mengumpulkan kekuatan dengan apa caranya untuk mendaki ke puncak kuasa sekali lagi.
Dalam pendakiannya ke puncak kuasa, Anwar sanggup menggunakan apa sahaja asalkan boleh sampai. Ini termasuk mengorbankan perjuangan "ketuanan Melayu" menjadi "ketuanan rakyat", menggadaikan hak orang Melayu dengan menuduh orang Melayu yang tidak menyokongnya sebagai "pejuang kronisme dan zalim", bahasa-bahasa retorik (hari ini memerintah, esok turun harga minyak), "memaksa isteri menyerahkan kerusi" Permatang Pauh, gigih mencari kaedah mengenepikan tuduhan semburit ke atas Saiful Bakhari Azlan (bekas pegawai peribadinya), mencari sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa, menetapkan tarikh peralihan kuasa 16 September 2008, menuduh pemimpin kerajaan lemah, menyemaikan anasir anarkisme (mempersoalkan keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya, menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi negara yang pernah didokonginya dan menggunakan undang-undang yang sama pernah dikritiknya bagi mendapat pembelaan penghakiman, mencerca negara di peringkat antarabangsa dan menyaring fakta bagi menimbulkan kebencian rakyat), merendahkan martabat dan kemuliaan sumpah, mempertikaikan kedudukan kuasa pemerintah yang masih kekal mendapat sokongan majoriti rakyat dan sebagainya.
Jadi, berdasarkan perilaku dan asal muasal perjalanan politiknya, saya amat bersetuju dengan pendapat Tan Sri Muhyidin bahawa Anwar merupakan "pengkhianat terbesar orang Melayu."Kalau bukan kerana itu, kenapa menggerakkan orang Melayu berdemontrasi, walhal untuk menyampaikan memorandum, demokrasi memangnya tidak perlu. Ada cara lain, dan dia adalah Ketua Pembangkang, boleh gunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat berbahas dan mencadangkan diadakan satu perbincangan khas mengenai cadangan memansuh ISA, sedangkan kerajaan telah membuat penegasan akan mengkajinya.
Anwar adalah Sisypus yang menjelma kembali. Cuma kalau dahulu ianya berkisar dalam masyarakat Greek, tetapi kini telah muncul di Malaysia selepas sekian lama dilupakan oleh masyarakat yang semakin tajam tikungan peradabannya.

No comments:

Post a Comment