Friday, August 21, 2009

KU LI SEMAKIN KEHILANGAN ARAH

Nampaknya komen Ku Li mengenai calon BN di Permatang Pasir bukan sahaja menyebabkan PAS semakin luas lubang hidung kerana orang dalam UMNO sendiri memberikan bola tanggung. Dalam permainan badminton, seseorang yang memberikan bola tanggung bukan sahaja akan menghadapi servis yang tajam malah memungkinkan dirinya tersungkur jatuh.
Dalam hal ini ulasan peribadi Ku Li bukan sahaja dianggap pendapat peribadinya yang tidak cerdik malah boleh menyebabkan ada pihak melihatnya sebagai seorang yang sudah ketandusan idealisme perjuangan. Ku Li kalau cuba menyalak bukit pun, bukit tidak lagi akan runtuh kerana masa garangnya sudah lama berlalu.
Jika menggunakan cara ini untuk kembali menunjukkan pengaruh, Ku Li harus melupakan hajatnya kerana beliau bukan sahaja kurang diterima oleh keseluruhan ahli UMNO, ia turut sedang menuruni selekoh politik yang paling berbahaya. Simpang maut politiknya sedang menghampiri dirinya, kecualilah di Gua Musang masih mendapat tempat, lain-lain ternyata orang sudah melupakan siapakah beliau sebenarnya.
Tokai sendiri pun tidak faham apakah yang mendorongkan beliau bercakap dalam bahasa yang janggal dan kurang enak itu. Apakah beliau tidak sedar bahwa keputusan pemilihan tersebut bukan keputusan yang dibuat secara melulu. Ia sudah menjalani proses tapisan yang panjang dan diselidiki sepenuhnya. Cuma yang menjadi masalah ialah Majlis Peguam Malaysia yang tidak mahu memberikan "keampunan" kepada Rohaizat kerana ramai sudah faham. Golongan yang menguasai Majlis Peguam Malaysia ialah mereka yang semakin menampakkan sokongan terhadap pakatan pembangkang.
Mereka yang berada dalam Majlis Peguam Malaysia paling kuat menentang statusquo yang cuba dipertahankan oleh UMNO. Mereka menggunakan prinsip hak asasi sebagai mauduk lantang mengkritik setiap langkah yang dibuat oleh kerajaan. Mereka yakin dengan cara itulah akhirnya matlamat dan perjuangan untuk meruntuhkan statusquo negara akan menjadi kenyataan dan memberikan keuntungan sebahagian daripada mereka.
Tengku perlu sedar bahawa sekarang banyak pihak mengggunakan kedudukan dan kuasa yang ada, tetapi apabila kekuasaan tidak menyebelahi kita, kita akan dilantum dan disepak seperti permainan futsal. Tak payahlah Tengku mengeluarkan kenyataan seperti bola tanggung begitu, seharusnya Tengku perlu juga turun ke Permatang Pasir membantu calon BN kerana masih dihormati sebagai "putera raja berjiwa rakyat." Jangan nanti imej itu tercalar baru Tengku ingin mengutip kembali puing-puing keyakinan yang hilang itu. Pada masa itu, air mat darah sekalipun tidak mampu lagi mengubati nasib orang Melayu yang sedang dipinggirkan secara halus oleh pakatan pembangkang di Pulau Pinang.
Tokai sudah lama merasakannya, kerana sudah lama merasai kepedihan hidup dalam kepimpinan bukan Melayu di Pulau Pinang. Tengku mungkin tidak merasakan apa-apa kerana berada dalam lingkaran istana dan tidak menghadapi masalah mendapatkan rumah untuk membina kehidupan bekeluarga, membesarkan anak-anak dalam situasi ekonomi yang memcekik poket kerana Tengku memangnya mewarisi kekayaan yang banyak. Ada pihak menganggarkan kekayaan Tengku boleh menyara perbelanjaan selama tujuh keturunan.
Tengku jangan kehilangan arah.Kembalilah melihat kompas politik negara dengan penuh semangat dan nafas perjuangan meletakkan kembali kedudukan "ketuanan Melayu-Islam."

No comments:

Post a Comment