Wednesday, August 19, 2009

MAT SABU MELAWAK DEPAN KUBUR CINA

Tokai sempat mendengar ceramah Mat Sabu dalam kempen PAS bagi PRK Permatang Pasir di Bukit Indera Muda. Ceramahnya penuh dengan lawak jenaka, tetapi bagi Tokai lawak jenaka Mat Sabu kali ini tidaklah menyengat kerana mungkin tidak bersemangat atau naik syeh, maklumlah tidaklah begitu ramai yang hadir. Masih terlalu banyak ruang-ruang kosong di tengah padang dan corong pembesar suara ditalakan ke arah sebuah bukit kekal abadi, tanah perkuburan Cina.

Agaknya penghuni pusara itu mungkin turut benci dengan lawak bodoh Mat Sabu yang hanya membuat dakwaan terhadap hegemoni politik Melayu yang dikuasai oleh UMNO. Bagi Mat Sabu, selagi hagemoni politik yang berasaskan kaum ini tidak dipecahkan, Malaysia tidak akan selamat kerana Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran yang tidak bertamadun.

Disambut dengan jawapan terpaksa bersetuju atau mengiyakan pertanyaan, Mat Sabu terus berseloroh bodoh mengalahkan Mr. Beans. Mujurlah penghuni pusara itu tidak diberikan peluang untuk bangkit, jika tidak tentunya Mat Sabu akan ditempelak dengan teruknya sehingga menanggalkan gigi yang tinggal sebatang.

Mat Sabu mengibaratkan kedudukan Pas di Pulau Pinang sama seperti "mempunyai sebatang gigi. Jika Pas kalah di Permatang Pasir bererti tiadalah lagi gigi untuk mengunyah. Bila ingin memakan makanan tertentu, terpaksalah menelan air liur kerana tidak lagi berupaya, gigi tiada."

Lawak tersebut bagi menggambarkan betapa kedudukan PAS sebagai melukut. Maka dengan kemenangan yang dijangka sebanyak lebih 6,000 undi akan meyakinkan bahawa PAS akan terus menjadi parti yang kuat dan dapat mengambil kedudukan UMNO sekarang. Kedudukan kerusi sekarang ialah DAP 19, PKR 9 manakala UMNO 11. 1 kerusi sedang menunggu keputusan padaa 25 Ogos 2009 dan calon PAS, pernah 6 kali tewas dalam pertandingan di beberapa kawasan.

Menurut Mat Sabu, calon PAS adalah seorang yang tawaduk dan istiqamah, sentiasa tersenyum walaupun banyak kali tewas berbanding denga calon UMNO yang disifatkan "tidak layak menjadi wakil rakyat kerana telah diberikan kad merah oleh Majlis Peguam Malaysia." Tentunya penghuni pusara itu kalau boleh bangkit akan terajang Mat Sabu kerana cuba membuktikan bahawa kubu kuat PAS tidak akan turut dipusarakan di situ.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menang secara khunsa di Penanti bercakap mengenai usaha kerajaan pakatan dalam melaksanakan pentadbiran negeri dan membaiki kedudukan orang Melayu. Mansor yang tergagap-gagap cuba menjual burung terbang dengan menjelaskan bahawa akan dilancarkan sistem mikrokredit bagi membantu peniaga kecil yang dianggapkan 70 peratus mempunyai kaitan dengan ahlong. Ramai telah dibohongi oleh Mansor mengenai peratusan itu kerana tidak didedahkan berapakah jumlah sebenarnya peniaga kecil yang terlibat dengan ahlong.

Mansor juga mengatakan kerajaan pakatan telah berjaya menjimatkan perbelanjaan negeri sebanyak RM 36 juta dalam tempoh 16 bulan menguruskan negeri Pulau Pinang. Penjimatan tersebut akan digunakan untuk membantu peniaga kecil, membina rumah rakyat dan membantu menghapuskan kemiskinan tegar, termasuk warga emas. Warga emas akan diberikan bantuan sebanyak RM 100 mulai September ini sebagai sumbangan kerajaan negeri.

RM 100 tidaklah sepadan dengan janji semasa pilihan raya umum lalu, terlalu kecil dan tidak mencukupi. Tapi mendengarkan ada duit maka masing-masing memasang telinga apabila Mansor mengatakan "kerajaan negeri lebih rela menjadi muflis kerana membantu golongan miskin daripada muflis masuk poket."

Guan Eng dan EXCO berjimat dengan menggunakan tiket penerbangan kelas ekonomi bagi melaksanakan perjalanan dalam negeri. Mat Sabu sebenarnya cuba berbohong, Lim Guan Eng yang hampir setiap minggu ke Singapura telah menggunakan tiket penerbangan kelas pertama. Penjimatan kelas ekonomi untuk perjalanan dalam negeri tidaklah banyak mana pun, tetapi kenapa tidak cerita mengenai berapakah yang dibelanjakan untuk menyewa banglo kediaman Ketua Menteri.

Ceramah terakhir disampaikan oleh Anwar dan turut diuar-uarkan oleh pengerusi sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia nampaknya kurang menyengat malam ini. Isu-isu yang dibawa oleh beliau tidak banyak membantu mengekalkan tempat duduk di atas padang benjol, malah sedikit demi sedikit khalayak meninggalkan majlis kerana petugas-petugas sibuk menadahkan plastik mengutip derma.

Anwar mencabar supaya terus didedahkan dengan pelbagai tuduhan dan beliau sedia menjawabnya. Tetapi, yang tidak ingin dijawabnya ialah "kes semburit dengan Saiful, betulkah berlaku? Kenapa banyak sangat helah dan menekankan Saiful sehingga menyebabkan tertangguh buat beberapa kali? Tidakkah ini satu kaedah untuk shoot the messager?"

Kenapa Mat Sabu tidak tanya Anwar mengenai kes ini? Sepatutnya Mat Sabu tidak akan berbohong kerana ceramahnya di depan pusara. Mungkin Mat Sabu terlupa agaknya, maka dia masih membuat lawak bodoh dengan tidak menyangka roh penghuni di dalam pusara itu turut mendengarnya?

No comments:

Post a Comment