Showing posts with label mabuk kuasa. Show all posts
Showing posts with label mabuk kuasa. Show all posts

Friday, August 14, 2009

MAAF LE TOK GURU, BAK PE LE GINI, NYANYOK KE?

tOKAI menjadi aneh dan takjub sekali apabila Tok Guru kata tak salah bukan Islam mengkritik Islam kerana kurang faham. Orang Islam tidak boleh menyalahkan bukan Islam yang mengasak Islam di atas kesilapannya kurang memahami Islam. Semacam fatwa baru Tok Guru keluarkan apabila mula terperangkap dengan gelagat politik sekutu pakatan pembangkang.

Bagaikan nak tercabut gelegar emosi orang Islam apabila Jeff Ooi, Ronny Liu dan Ketua Pemuda DAP melontarkan pandangan mengenai Islam. Jeff Ooi menyamakan hasrat Jemaah Islah Malaysia (JIM) menegakkan syariat Islam sebagai ekstremis dan mendesak seorang kakitangan MPSP letak jawatan.

Berderau bulu roma apabila Ketua Pemuda DAP menyifatkan pendapat Redhuan Tee Abdullah mengenai anak mendiang Teoh Beng Hock sebagai anak yang sah walaupun anak yang bakal lahir itu tidak sah dari segi undang-undang dan agama. Islam akan tetap menganggap bersekedudukan tanpa nikah sebagai zina makanya tidak mengiktiraf itu adalah anak yang sah. Mengenai perkara ini, Tokai masih menunggu apakah fatwa yang akan dikeluarkan oleh Tok Guru? Mungkinkah Tok Guru akan katakan, itu tidak salah kerana budaya Cina begitu, cuba dulu barulah mengaku dan mengesahkan kedudukan anak itu.

Lojik pemikiran Tan Sri Khalid belum juga kita dengar Tok Guru bercerutu. Cuma yang Tokai masih ingat ialah Tok Guru pertama sekali buat bila masuk daun kerajaan negeri mengehadkan kedai menjual arak di Kelantan. Masih jelas dalam ingatan bagaimana Tok Guru menyindir satu keraian yang berlaku di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu. Tapi, kes di Selangor Tok Guru nampaknya benar-benar menghayati prinsip kebebasan orang bukan Islam walaupun menjual arak kepada orang Islam dan kawasan orang Melayu.

Berbelit-belit jadinya apabila Tok Guru mula meliukkan prinsip perjuangan menegakkan Islam bila berhadapan dengan tikaman tindakan sekutu bukan Islam. Mana keris kata-kata Tok Guru yang kadangkala berbisa itu, sudahkah lama tersarung dan bakal disimpan dalam Muzium Kelantan, wahai Tok Guru. Atau Tok Guru sengaja menyembunyikan segala kata-kata bernas itu bersama lipatan semutar di atas kepala agar ianya tidak terlucut bila menerima terjal kerikil politik oportunis yang amat inginkan kuasa.

Yang menjadi keanehan mengenai sikap Tok Guru ini ialah apabila Tok Guru pernah bercakap "orang yang tak tahu Islam, menghina Islam boleh dikenakan hukum bunuh pada zaman saidina Umar". Kata-kata Tok Guru measih lagi jelas apabila bercakap dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di Timur Tengah sewaktu membantah hasrat Kementerian Pendidikan memperkenalkan Sijil Tinggi Agama dan mengadakan kerjasama dengan pentadbir Al-Azhar Assyarif mengenai standardisasi sijil-sijil sekolah agama.

Ketika itu juga PAS membangkang kuat hasrat kerajaan pusat mengambilalih sekolah-sekolah agama milik kerajaan negeri, walaupun ramai guru-guru telah menghantar memorandum persetujuan. Tujuan kerajaan pusat mengambil alih sekolah-sekolah agama itu kerana pembangunan dan kemudahan yang disediakan tidaklah memuaskan, dan dengan mengambilalih kerajaan boleh membantu sepenuhnya. Guru-guru mempunyai peluang kenaikan pangkat kerana mobilitinya dan kemajuan kerjaya mereka dapat diberikan perhatian, termasuk melatih dengan kemahiran mengajar, psikologi dan kemudahan pencen.

Bayangkan walaupun menjadi guru sekolah agama sehingga mencecah usia pencen, kenaikan pangkat tidak berlaku. Peluang kenaikan gaji juga jarang berlaku kerana ia amat bergantung kepada sumber kewangan negeri yang setiap tahun mengalami perbelanjaan defisit, hasil negeri tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan. Sumber pendapatan baru bagi kerajaan tidak ada kecualilah merayu kerajaan pusat supaya menambahkan peruntukan.

Sesekali kerana ingin memujuk kepimpinan pusat bagi mendapatkan bantuan, Tok Guru mula memuji bahawa Perdana Menteri begitu baik, melayan penuh mesra dan puas hati. Maka kembang kuncuplah hidung orang yang mendengar pujian Tok Guru, selepas beberapa hari keluar lagi kata-kata yang amat menyakitkan hati, mengguris nurani. Maka bertanyalah dalam hati sendiri, kenapa Tok Guru kata begini dan begitu? Adakah Tok Guru dah nyanyok, atau itulah jongkang jongkit gelegar politik baru?

Semasa nak memikat, kata mereka yang pernah mengalami dunia percintaan, kentut pun baunya wangi. Tapi bila dah lama kahwin, maka semakin meluatlah jadinya. Sikap ini pernah dijadikan subjek kajian psikologi, maka itulah ada teruna dan dara berpendapat, buat apa kahwin kerana selepas majlis bagai nak rak (kononnya pilihan terbaik, tepat dan sepadan), bahagia tidak berpanjangan, ego mula menguasai dan mendominasi diri.

Tok Guru tentu faham, dah lama benar jadi Menteri Besar, maka banyaklah silap berlaku. Rakyat Kelantan mula persoalkan apakah akan terus begini hidup yang akan dilalui? Adakah seperti sekarang maknanya "membangun bersama Islam"? Benarkah Kelantan menyediakan tempat untuk orang miskin berriadah dan berehat?

Monday, June 22, 2009

MAKA ROBOHLAH RUNDINGAN KERAJAAN PERPADUAN

Tokai tidak terkejut, dua orang penasihat parti pembangkang dan presiden PAS dengan rasminya telah "menutup" sebarang cadangan untuk rundingan kerajaan perpaduan. Penasihat PKR menyifatkan kontroversi tersebut merupakan keadaan terdesak UMNO yang tidak mendapat sokongan rakyat. Presiden PAS pula mempersoalkan mengenai "unity" atau perpaduan bukanlah terarah kepada UMNO atau BN.

Banyak pihak berpendapat bahawa itu memangnya sikap PAS sejak dulu lagi.. Apabila ada kesungguhan dan kesediaan pihak yang disasarkan menyahut cabaran tersebut, maka akan diadudombakan pelbagai muslihat sehingga tidak menampakkan kegagalan itu berpunca daripada sikapnya sendiri.

Tokai pernah teringat dengan beberapa cadangan sebelum ini, yakni ketika PAS masih berjuang bersendirian untuk menegakkan negara Islam. Apabila Tun Dr. Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai "sebuah negara Islam" para pemimpin parti tersebut mencari alasan yang lain bagi menidakkan atau tidak mengesahkannya.

Dalam tahun-tahun 1980-an, ketika semangat kebangkitan semula Islam subur berkembang, PAS menyifatkan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, penubuhan dan pengukuhan insititusi berunsurkan Islam dianggap sebagai "Islam kulit", kerana takutkan UMNO mengambilalih peranan menegakkan syiar Islam.

Bagi menghadapi penyemarakan nilai-nilai Islam, PAS mula menggunakan propaganda "taghut" dan menghidupkan kembali dakwaan UMNO sebagai "kafir", tidak sah makan ternakan sembelihan oleh UMNO, berimamkan selain daripada pemimpin PAS dan sebagainya.

Sewaktu ada cadangan untuk memasukkan sistem pendidikan agama kendalian kerajaan negeri ke dalam sistem pendidikan arus perdana, bagi menjaga kebajikan tenaga pengajar yang kecewa tiada kenaikan pangkat walaupun sudah mengajar lebih 20 tahun, kekurangan kemudahan dan piawaian keputusan peperiksaan yang tidak seragam, Mursyidul Am PAS menyindir kerajaan pusat tidak mempunyai keupayaan menguruskannya.

Bahkan pernah membuat komen, kerajaan pusat atau Kementerian Pendidikan (pelajaran) tidak berhak berbuat demikian. Kerajaan Negeri lebih mampu dan kerana itu tidak berhak bercakap mengenai "Islam. Orang yang tidak berhak bercakap mengenai Islam, bila juga bercakap, boleh dihukum bunuh."

Tindakan itu dianggap sebagai mempersendakan Islam. Orang yang mempersendakan Islam, boleh dikenakan hukuman bunuh. Bila ada usaha untuk menyelesaikan kontroversi tersebut, PAS semakin kuat mencari helah bagi menggagalkannya dengan meletakkan beberapa syarat, misalnya mengenai :debat terbuka UMNO-PAS, muhabalah dan sebagainya.

Kali ini tersangat besar helahnya apabila terpaksa tunduk kepada desakan DAP dan PKR yang terlalu takut bila dua parti Melayu-Islam menjadi semaikin kuat. Nampaknya PAS sudah berjaya dicucuk hidung oleh DAP dan PKR.

Jika Melayu kuat, parti-parti yang berunsurkan "marriage of convinience" itu akan pecah robek. Bila perpaduan uthopia itu robek, maka rebahlah pakatan pembangkang. Rebak pakatan pembangkang, harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kempunan sepanjang hidup dan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri akan kojol sehingga habis usia.

Tokai amat faham mengenai LIM KIT SIANG sejak mula memahami sepak terajang politik yang dibawakan oleh beliau termasuk usul menubuhkan Universiti Merdeka, dan menghentam pembangunan jambatan Pulau Pinang. Jambatan Pulau Pinang menjadi begitu nostalgik buat Tokai kerana pada cadangan itu hendaklah dilaksanakan, setiap petang minggu bersama-sama rakan-rakan akan turun sekitar BAtu Uban dan Gelugor untuk mencari belangkas.

Pemandangan dari sudut pandangan Chanselori Rock USM begitu menarik sekali, tapi apabila projek itu mula dilaksanakan, khabarnya sekitar pinggir laut akan ditebusguna menjadi pusat perniagaan "ala Manhattan" di Amerika Syarikat.

Tokai tidak pernah ke sana, tapi cuba memberikan bayangan apabila teringatkan cerpen Anwar Ridhuan, seribu kunang-kunang di Manhattan, kerana cerpen itu merupakan cerpen yang wajib dibaca dan dianalisis bagi memahami konsep aliran kesedaran yang sedang kuat mempengaruhi teori sastera ketika itu selepas beberapa lama diserang gejala absurdisme.

Waktu itu Kit Sianglah paling lantang mengkritik pembinaan jamabatan tersebut sebagai langkah membazirkan wang rakyat. Rakyat tidak memerlukan jamabatan tersebut kerana feri telah menjadi penghubung yang cukup bersejarah dan berkesan.

Setelah gagal dalam projek Tanjung 1, Tanjung 2 tidak ada lagi tanjung 3. Tapi apabila tanpa diduga menang besar di Pulau Pinang, puteranya yang banya bercakap mengenai integriti dan penyelewengan menggesa agar dipercepatkan pembinaan jambatan kedua, bagi menampung aliran trafik keluar-masuk Pulau Pinang.

Inilah sikap DAP. Sikap yang berbelit-belit. Apabila belum memerintah, setiap tindakan yang dibuat oleh pemimpin BN membantu masyarakat dianggap sebagai percubaan memberikan sogokan. Apabila menguasai Pulau Pinang tekah melakukan perkara yang sama, atas nama kebajikan dan membantu masyarakat.

Itulah wajah-wajah retak yang cuba dicerminkan oleh pemimpin pembangkang. Wajah-wajah retak cuba dicantumkan satu persatu yang mungkin akan menghasilkan sebuah model baru politik Malaysia seakan-akan kiubisme. Kalau kita ingat mengenai Pablo Picasso, mungkin kita tidak akan lupa bagaimana zaman renainsans telah berupaya menggoyahkan aliran seni tampak yang berbentuk realisme dan surrealisme ketika itu.

Pakatan pembangkang cuba memporakperandakan keyakinan kita sebelum ini dengan cara merobohkan nilai-nilai yang telah begitu lama menjadi tunjang kekuatan politik Melayu. Ketuanan Melayu digantikan dengan ketuanan rakyat, yang hanya lebih berbentuk slogan sosialisme. Agama akan menjadi faktor pinggiran manakala faktor yang diberikan keutamaan ialah memperoleh kuasa, walaupun caranya tidak secara undang-undang dan berperaturan.