Showing posts with label kerajaan perpaduan. Show all posts
Showing posts with label kerajaan perpaduan. Show all posts

Tuesday, July 21, 2009

1MALAYSIA IKUT SYARIAT ISLAM


Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my


Gagasan 1Malaysia yang membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini menepati kehendak dalam tuntutan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa, kulit yang berbeza, budaya serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain.

Katanya, manusia tidak mungkin berkenalan jika tiada hubungan perasaan, saling ada kecurigaan dan kurang yakin antara satu sama lain.

''Misalnya, proses perkenalan tidak akan berlaku antara pasangan kekasih sekiranya kedua-duanya tidak suka kerana perasaan suka itu mesti tumbuh dalam diri masing-masing.

''Jadi, 1Malaysia yang berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian adalah satu perkara yang menepati tuntutan Islam malah dalam Islam telah menyebutkan bahawa kita perlu menghargai dan menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Konvokesyen Ketujuh Ikmas di Telaga Air, dekat sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Jamil Khir diminta mengulas mengenai sudut pandangan Islam berhubung gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, Rasulullah menyebut bahawa terdapat tiga jenis jiran dalam Islam dengan yang pertama jiran bukan Islam, jiran sesama Islam dan jiran sekeluarga sesama Islam yang menjadi tanggungjawab seseorang muslim itu.

Maknanya kata beliau, Islam mengungkap seluruh orang tersebut (jiran) termasuk dalam golongan yang sama dan hubung kaitnya dengan 1Malaysia adalah merupakan satu usaha membina rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

''Dengan kata lain, tiada seorang pun merasakan dirinya terpisah atau tertinggal dalam arus perdana kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

''Semua rakyat di negara ini diberi peluang, misalnya yang pandai akan dapat menyambung belajar manakala yang mampu bekerja dengan baik akan mendapat ruang dalam sektor ekonomi, sosial dan sebagainya," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir memberitahu, persiapan serta persediaan berhubung urusan rakyat di negara ini untuk menunaikan ibadah haji berjalan seperti biasa meskipun terdapat kebimbangan terhadap wabak selesema babi yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan jemaah haji dari negara ini tidak akan terlibat dengan wabak pandemik tersebut.

''Sebelum ini memang ada cadangan daripada pelbagai kementerian termasuk kementerian kesihatan (Kerajaan Arab Saudi) untuk membatalkannya ekoran kebimbangan terhadap wabak itu tetapi yang memutuskan sama ada boleh pergi atau tidak mesti datangnya dari Menteri Wakaf dan Haji," katanya.

Monday, June 22, 2009

MAKA ROBOHLAH RUNDINGAN KERAJAAN PERPADUAN

Tokai tidak terkejut, dua orang penasihat parti pembangkang dan presiden PAS dengan rasminya telah "menutup" sebarang cadangan untuk rundingan kerajaan perpaduan. Penasihat PKR menyifatkan kontroversi tersebut merupakan keadaan terdesak UMNO yang tidak mendapat sokongan rakyat. Presiden PAS pula mempersoalkan mengenai "unity" atau perpaduan bukanlah terarah kepada UMNO atau BN.

Banyak pihak berpendapat bahawa itu memangnya sikap PAS sejak dulu lagi.. Apabila ada kesungguhan dan kesediaan pihak yang disasarkan menyahut cabaran tersebut, maka akan diadudombakan pelbagai muslihat sehingga tidak menampakkan kegagalan itu berpunca daripada sikapnya sendiri.

Tokai pernah teringat dengan beberapa cadangan sebelum ini, yakni ketika PAS masih berjuang bersendirian untuk menegakkan negara Islam. Apabila Tun Dr. Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai "sebuah negara Islam" para pemimpin parti tersebut mencari alasan yang lain bagi menidakkan atau tidak mengesahkannya.

Dalam tahun-tahun 1980-an, ketika semangat kebangkitan semula Islam subur berkembang, PAS menyifatkan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, penubuhan dan pengukuhan insititusi berunsurkan Islam dianggap sebagai "Islam kulit", kerana takutkan UMNO mengambilalih peranan menegakkan syiar Islam.

Bagi menghadapi penyemarakan nilai-nilai Islam, PAS mula menggunakan propaganda "taghut" dan menghidupkan kembali dakwaan UMNO sebagai "kafir", tidak sah makan ternakan sembelihan oleh UMNO, berimamkan selain daripada pemimpin PAS dan sebagainya.

Sewaktu ada cadangan untuk memasukkan sistem pendidikan agama kendalian kerajaan negeri ke dalam sistem pendidikan arus perdana, bagi menjaga kebajikan tenaga pengajar yang kecewa tiada kenaikan pangkat walaupun sudah mengajar lebih 20 tahun, kekurangan kemudahan dan piawaian keputusan peperiksaan yang tidak seragam, Mursyidul Am PAS menyindir kerajaan pusat tidak mempunyai keupayaan menguruskannya.

Bahkan pernah membuat komen, kerajaan pusat atau Kementerian Pendidikan (pelajaran) tidak berhak berbuat demikian. Kerajaan Negeri lebih mampu dan kerana itu tidak berhak bercakap mengenai "Islam. Orang yang tidak berhak bercakap mengenai Islam, bila juga bercakap, boleh dihukum bunuh."

Tindakan itu dianggap sebagai mempersendakan Islam. Orang yang mempersendakan Islam, boleh dikenakan hukuman bunuh. Bila ada usaha untuk menyelesaikan kontroversi tersebut, PAS semakin kuat mencari helah bagi menggagalkannya dengan meletakkan beberapa syarat, misalnya mengenai :debat terbuka UMNO-PAS, muhabalah dan sebagainya.

Kali ini tersangat besar helahnya apabila terpaksa tunduk kepada desakan DAP dan PKR yang terlalu takut bila dua parti Melayu-Islam menjadi semaikin kuat. Nampaknya PAS sudah berjaya dicucuk hidung oleh DAP dan PKR.

Jika Melayu kuat, parti-parti yang berunsurkan "marriage of convinience" itu akan pecah robek. Bila perpaduan uthopia itu robek, maka rebahlah pakatan pembangkang. Rebak pakatan pembangkang, harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kempunan sepanjang hidup dan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri akan kojol sehingga habis usia.

Tokai amat faham mengenai LIM KIT SIANG sejak mula memahami sepak terajang politik yang dibawakan oleh beliau termasuk usul menubuhkan Universiti Merdeka, dan menghentam pembangunan jambatan Pulau Pinang. Jambatan Pulau Pinang menjadi begitu nostalgik buat Tokai kerana pada cadangan itu hendaklah dilaksanakan, setiap petang minggu bersama-sama rakan-rakan akan turun sekitar BAtu Uban dan Gelugor untuk mencari belangkas.

Pemandangan dari sudut pandangan Chanselori Rock USM begitu menarik sekali, tapi apabila projek itu mula dilaksanakan, khabarnya sekitar pinggir laut akan ditebusguna menjadi pusat perniagaan "ala Manhattan" di Amerika Syarikat.

Tokai tidak pernah ke sana, tapi cuba memberikan bayangan apabila teringatkan cerpen Anwar Ridhuan, seribu kunang-kunang di Manhattan, kerana cerpen itu merupakan cerpen yang wajib dibaca dan dianalisis bagi memahami konsep aliran kesedaran yang sedang kuat mempengaruhi teori sastera ketika itu selepas beberapa lama diserang gejala absurdisme.

Waktu itu Kit Sianglah paling lantang mengkritik pembinaan jamabatan tersebut sebagai langkah membazirkan wang rakyat. Rakyat tidak memerlukan jamabatan tersebut kerana feri telah menjadi penghubung yang cukup bersejarah dan berkesan.

Setelah gagal dalam projek Tanjung 1, Tanjung 2 tidak ada lagi tanjung 3. Tapi apabila tanpa diduga menang besar di Pulau Pinang, puteranya yang banya bercakap mengenai integriti dan penyelewengan menggesa agar dipercepatkan pembinaan jambatan kedua, bagi menampung aliran trafik keluar-masuk Pulau Pinang.

Inilah sikap DAP. Sikap yang berbelit-belit. Apabila belum memerintah, setiap tindakan yang dibuat oleh pemimpin BN membantu masyarakat dianggap sebagai percubaan memberikan sogokan. Apabila menguasai Pulau Pinang tekah melakukan perkara yang sama, atas nama kebajikan dan membantu masyarakat.

Itulah wajah-wajah retak yang cuba dicerminkan oleh pemimpin pembangkang. Wajah-wajah retak cuba dicantumkan satu persatu yang mungkin akan menghasilkan sebuah model baru politik Malaysia seakan-akan kiubisme. Kalau kita ingat mengenai Pablo Picasso, mungkin kita tidak akan lupa bagaimana zaman renainsans telah berupaya menggoyahkan aliran seni tampak yang berbentuk realisme dan surrealisme ketika itu.

Pakatan pembangkang cuba memporakperandakan keyakinan kita sebelum ini dengan cara merobohkan nilai-nilai yang telah begitu lama menjadi tunjang kekuatan politik Melayu. Ketuanan Melayu digantikan dengan ketuanan rakyat, yang hanya lebih berbentuk slogan sosialisme. Agama akan menjadi faktor pinggiran manakala faktor yang diberikan keutamaan ialah memperoleh kuasa, walaupun caranya tidak secara undang-undang dan berperaturan.

Friday, June 19, 2009

BAK PE LE TOK GURU JADI GITU?

JUMAAT 19

(Kaki lima Kuala Lumpur Sentral)



TOK GURU, BAK PE TOK GURU KECEK GITU. Ramai kata Tok Guru dah nyanyuk, tapi Tokai tetap pertahankan bahawa oghe mace Tok Guru tak nyanyuk lagi. Tok Guru cuma tak sir nak ngaku kerana takut lapah ni tak leh jadi Menteri Besar lagi. Dah berapa lame ye?

Tak silap Tokai, maklumlah kerana bukan oghe politik, rasanya dah jadi Menteri Besar sejak tahun 1990, waktu bergabung dengan Semangat 46, dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah. Kira-kira dah 19 tahun jadi MB, tentu syok sekali kerana ada drebar, pegawai peribadi dan maha penting kuasa?
Kerana kuasa, yang kadangkala baik pun jadi tak baik. Kuasa hilang, yang tak baik itulah pilihan terbaik. Kerajaan perpaduan adalah baik, jadi tak baik kerana Tok Guru takut, lepas ni tak leh jadi Menteri Besar lagi. Mungkin nak pecahkan rekod, kalau PRU ke-13 pada tahun 2013, maka Tok Guru jadi MB selama 13 tahun, menang lagi tambah 5 tahun, menang PRU 14, tambah lagi 5 tahun. Kira-kira 23 tahun lamanya. Atau selagi boleh menang, masih jadi wakil rakyat agaknya mahukan selama-lamanya.

(Kedai mamak, Kelana Jaya )

Entah macam mana Tokai pun tak tahu, hanyalah secara kebetulan. Sementara menantikan waktu petang dan mentari agak teduh, Tokai teringat mengenai satu berita yang pernah tersiar dalam akhbar, ketika itu Tokai masih berada di tingkatan lima.
Pada tahun 1974, BN baru terbentuk, PAS, Gerakan dan PPP menjadi entititi baru dalam gabungan parti-parti yang menyebelahi kerajaan bagi mengurangkan politicking. Nama gabungan bertukar menjadi Barisan Nasional.

Tokai terkedu dengan telatah Tok Guru Nik Aziz yang menganggap kerajaan perpaduan itu boneka UMNO dan meminta supaya pihak yang berhasrat mengadakan rundingan dengan BN atau UMNO sebagai sampah. Turut mendesak ialah Nasharudin Mat Isa, jejaka tampa kelahiran Negeri Sembilan dan semakin menyerlah kepimpinannya dalam PAS diminta supaya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS (baru menang belum pun sampai dua minggu untuk kali kedua) dan ahli parlimen Bacok.

Ketika berucap di rapat umum BN di Kampong Perupok, Bacok pada 19 Ogos 1974, Tokai masih teringat lagi butir-butirnya. Tok Guru menyifatkan perpaduan yang berlaku antara ahli PAS dan UMNO dalam BN merupakan satu rahmat Tuhan kepada orang Melayu.Waktu itu Tokai masih belum tahu lagi sepak terajang politik, maka amat setujulah dengan pandangan Tok Guru.

Kalau sebelumnya, ahli-ahli PAS dan UMNO yang merupakan orang Melayu dan beragama Islam bergaduh sehingga menyebabkan perpecahan keluarga, sengketa saudara dan cerai-berai disebabkan perbezaan fahaman politik.

Tokai ketika itu tabik spring kepada mereka yang berjuang untuk membentuk BN kerana turut rasa perit sewaktu hidup dalam masyarakat yang bebelah bahagi. Sebahagian sanak saudara Tokai ada yang menjadi penyokong total PAS dan sebahagiannya pula UMNO.

Antara sepupu tidak bertegur sapa, malah bila ada kematian pun tidak diziarahi kerana takut dikatakan kafir. Sebelum keluar rumah, sering diingatkan supaya sentiasa memerhatikan kedudukan bulan kerana ia adalah panduan seluruh kehidupan orang Islam sedangkan simbol kapal layar itu adalah rekaan manusia, tidak kekal dan mampu melawan ombak Laut China Selatan.

Tokai amat berpengalaman dengan ketinggian ombak Laut China Selatan ketika musim tengkujuh, dan para nelayan merintih tiada rezeki kerana tidak dapat turun ke laut. Di atas jeti, bertilamkan pukat (pukat udang, pukat tangkul, pukat tunda, pukat belanak dan jaring) menjadi tempat kami menghabiskan hari-hari sementara menunggu musim tengkujuh reda.

Selepas musim tengkujuh, nelayan kecil seakan mendapat rezeki kerana musim udang kertas bermula. Ramai-ramai nelayan turun ke laut menggunakan pukat udang (dikenali dengan pukat tiga lapis) dan jika hasil boleh dapat 50 atau 70 kilo sehari pun dianggap berbaloi, ketika itu.

Tok Guru yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan turut menjadi calon BN Pengkalan Chepa berkata, kalau dulu ahli PAS dengan UMNO sering bertengkar menjadikan kehidupan di kampung tidak tenteram, dan dengan terbentuknya BN mereka dapat hidup aman dan damai.

Cantik sekali ucapan itu. Itulah yang Tokai tabik dengan Tok Guru. Tapi bila sudah menjadi Menteri Besar sejak kepimpinan Tan Sri Mohd Yaakob tewas dalam PRU 1990, PAS bergabung dengan Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, nada percakapannya bertukar rentak.

Kepimpinan Tok Guru bila menghadapi konflik dengan Semangat 46, seringkali menjawab "tak tahu". Tokai pun terpinga-pinga bagaimana seorang Menteri Besar tak tahu apa yang dipersoalkan oleh rakan-rakan politik daripada Semangat 46. Ketika itu ada dua jawatan timbalan menteri besar, satu untuk PAS dan satu lagi untuk Semangat 46. Datuk Rozali Isohak, ADUN Dabung, anak didik Tengku Razaleigh, bekas wartawan di NSTP dan penolong pegawai daerah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar mewakili Semangat 46.

Bila mengulas mengenai tulisan Shahnon Ahmad, seorang penyokong PAS, sasterawan negara yang menulis novel menyindir kepimpinan politik negara dalam bahasa yang mencarut dan lucah, Tok Guru mengulas "Tuhan pun mencarut." Bila "Tuhan pun mencarut" maka tidaklah menjadi kesalahan jika orang Islam turut mencarut.

Ketika itu Tokai mula menurunkan darjah sokongan kepada Tok Guru. Dalam peristiwa yang lain, kerana isu Tun Dr. Mahathir yang dicap dengan pelbagai tanggapan akibat percaturan politik UMNO pada tahun 1987, Tok Guru pernah mengungkapkan "boleh berkawan dengan syaitan."

Tokai yang pernah ikut mendengar kuliah subuh di pondok Tok Kenali tidak pun pernah mendengar ada kuliah atau kata-kata "Tuhan pun mencarut" dan "boleh berkawan dengan syaitan". Tokai pernah diajar dan dididik supaya sopan dalam pergaulan, dan berhemah dalam setiap kata-kata. Apa sahaja unsur yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan syaitan hendaklah dijauhkan dan berdoa agar Allah SWT tidak menduganya kerana "akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam."

Suatu ketika, merayu Tun Dr. Mahathir agar memberikan peruntukan dan projek pembangunan di Kelantan, Tok Guru mengulas bahawa PAS menerima siapa sahaja kerana "ada duit dan oghenya comel."

Beberapa lama kemudian, Tok Guru melalut lagi bila memberikan cadangan "oghe tina comel, tak payah kerja. Boleh jadi bini oghe kaya atau pun pegawai tinggi." Rendahnya falsafah perjuangan sosial Tok Guru, kerana takut perempuan cantik menggoda boss berhidung belang ataupun percintaan di pejabat.

Tokai tak nak panjangkan cerita mengenai lain-lain ucapan yang tidak konsisten Tok Guru. Tapi apa yang dapat Tokai simpulkan, Tok Guru semakin gelojoh berpolitik sehingga sanggup mengelirukan orang Islam sendiri. Sekurang-kurangnya kalau Tok Guru tak melatah dengan cadangan untuk berunding mengenai kerajaan perpaduan, rasanya tidaklah begitu merosot sokongan moral golongan muda dalam PAS ataupun yang tidak menjadi ahli mana-mana parti.

Tentunya Tok Guru kata benda tu dah lepas, tak perlu diulas lagi. Benar Tok Guru, tapi sendiri kena ingat, Tok Guru pernah berkuliah pagi Jumaat, ketika itu Tokai menginap di Hotel Murni, Kota Bahru, berdepan dengan tempat Tok Guru mengajar. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, akhirat akan kekal abadi. Kita akan kembali menemui Allah Azzawajalla ketika nyawa kita dicabut oleh malaikat.

Semasa dialam barzah itu kita akan dipersoalkan apakah yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan kita di dunia. Lidah tidak mampu lagi menyembungi apakah kebohongan yang pernah kita lakukan . Mulut tidak lagi terkunci, untuk menceritakan apa yang kita makan, ucap, minum atau pun geselkan. Begitulah seluruh anggota badan menjadi saksi apabila kita diadili di Padang Masyar nanti.

Tokai ingat Tok Guru akan sentiasa dihormati sekiranya tidak membuat ulasan yang melalut dan menyimpan dendam menjadi daya pemaafan yang dituntut oleh Islam, yang Tok Guru pernah kuliahkan.

(Senja di Serambi Masjid Jamek, Kuala Lumpur)

Sementara menunggu waktu Maghrib, Tokai sempat melayari beberapa weblog, dan terjumpalah satu komen, yang TURUT menyiarkan potongan akhbar tersebut, bunyinya:

Bila Nik Aziz juga lidah bercabang

Pendirian politik boleh berubah pada bila-bila masa. Samada masa yang dekat atau masa yang jauh.Namun kita amat terperanjat apabila Nik Aziz buat u turn kepada pendirian politik yang pernah dia buat dahulu. Seorang yang bergelar Mursyidul Am macam dia pun depan cakap lain belakang cakap lain.Dulu dia pernah cakap lain sekarang dia cerita lain. Senang cakap Nik Aziz ni pun macam keling cakap dia. Itu lah politik. Politik itu adalah ' no permanent friends and enemy'. Dulu mungkin kawan sekarang mungkin lawan dan begitu lah sebaliknya.Cumanya menjadi manusia yang menggunakan topeng ulama dan terjebak dengan arus politik Erdogan adalah amat memalukan dan mengecewakan banyak pihak. Nik Aziz sanggup menjadikan dirinya sebagai bahan ejekan ahli partinya sendiri lantaran mengikut telunjuk golongan Erdogan yang gilakan kepimpinan Anwar Ibrahim.Lapuran akhbar diatas membuktikan Nik Aziz juga mempunyai lidah bercabang !

PEMUAFAKATAN FITRAH KEHIDUPAN MASYARAKAT MADANI (II)

Memberikan makna kepada konsep meritokrasi bukan bersandarkan kepada prinsip yang terlalu bebas. Berdasarkan pemahaman dan falsafah politik, tidak ada satu pun negara dalam dunia ini tidak meletakkan asas yang kukuh kepada struktur primordial sebagai salah satu kriteria meritokrasi secara wajib. Ia menjadi angkubah yang tidak mudah diubah, walaupun lain-lain kriteria boleh dilenyapkan. Cuma yang berlaku ialah pelenturan angkubah tersebut, jika rasional asalnya mencapai tahap yang ditetapkan.
Berdasarkan perspektif Singapura, meritokrasi dijadikan angkubah yang bebas menyebabkan berlakunya peminggiran terhadap orang-orang Melayu. Dalam sektor pendidikan dan politik misalnya, kajian Lily Zubaidah Rahim, Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu (K.Lumpur: ITNM, 2004 -terjemahan Yunus Ali) mendapati :
"...penghapusan sekolah aliran Melayu dan Tamil, setelah pendaftaran ke sekolah itu merosot pada tahun 1970-an manakala sekolah aliran Cina dihidupkan dan dipelihara, menggambarkan tanggapan pemimpin PAP bahawa nilai budaya orang Melayu (peribumi Asia Tenggara) dan orang India (Asia Selatan) tidak sepenting nilai budaya Konfusius Asia Timur untuk imbangan ekonomi dan budaya Singapura."(ms.213).
Berasaskan kepada sindiran kedaifan Melayu dan India dalam struktur budaya telah menyebabkan pemimpin-pemimpin PAP terus bertegas untuk memperluaskan konsep sekolah monoetnik. Bangkangan dan kritikan tidak diendahkan, dan hasilnya:
"... Kedudukan politik politik masyarakat Melayu yang lemah menjadikan kerajaan PAP kurang sensitif dengan keresahan Melayu tanpa risau akan kemerosotan undi dalam pilihan raya. Sebaliknya, dominasi bilangan dan undi masyarakat Cina serta semakin pentingnya ekonomi negara China telah membolehkan kerajaan PAP lebih sensitif terhadap keresahan masyarakat Cina." (m.s.319).

Itulah amalan meritokrasi yang dilaksanakan oleh kerajaan PAP di Singapura dan itu juga yang pernah diminta oleh Lee Kuan Yew melalui slogan Malaysian Malaysia dalam tahun-tahun 1960-an dahulu. JIka idealisme perjuangan Lee Kuan Yew itu diterima pakai dan tidak ditentang oleh orang Melayu, kedudukan Bumiputera tidak akan berada di tahap sekarang.Berdasarkan slogan MalaysiaFirst yang dianjurkan oleh DAP selepas PAP gagal dengan Malaysian Malaysia, tidak banyak berbeza.

Dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan tohmahan kononnya masyarakat bukan Bumiputera sebagai warganegara kelas kedua, mereka berjaya melonjakkan sokongan bukan Melayu. Kemuncaknya pada tahun 1969, DAP berjaya menguasai politik kawasan bandar yang majoriti pengundinya adalah Cina, terutamanya di Lembah Kinta, Lembah Kelang dan Pulau Pinang.Pulau Pinang dikuasai oleh pembangkang, iaitu Gerakan yang sebahagian besarnya merupakan tokoh-tokoh politik MCA yang tidak berpuas hati dengan perjuangan dalam Perikatan.
Lim Chong Eu kemudiannya sedar, jika meneruskan idealisme perjuangannya bersendirian Pulau Pinang tidak akan membangun kerana kekurangan sumber kewangan, apatah lagi setelah taraf pelabuhan bebas ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 1970-an. Dr. Lim Chong Eu yang tidak bersetuju dengan dominan UMNO dalam Perikatan telah mencabar kepimpinan MCA dan bertanding sebagai jawatan Presiden pada bulan Mac 1958.
Beliau telah berjaya menewaskan Tun Tan Cheng Lock (salah seorang pemimpin MCA yang terlibat dengan penggubalan manifesto Perikatan dan rundingan kemerdekaan bersama Tunku) dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 20 (87, Tun Tan Cheng Lock mendapat 67 undi).Dr. Lim yang dianggap sebagai radikal dalam memperjuangkan kepentingan Cina telah mendesak supaya:
"mengkaji semula apa yang telah dipersetujui oleh parti sewaktu menuntut kemerdekaan. Secara terselindung, mereka menuntut supaya dasar yang memberi hak istimewa kepada orang Melayu dikaji semula. Semua tuntutan ini sebenarnya mencabar supremasi UMNO ...Dalam surat yang dihantar pada Jun 1959 itu, selain meminta dasar-dasar bahasa dan pendidikan dikaji, MCA juga menuntut supaya parti itu diberi 40 kerusi pada pilihan raya....sewaktu rundingan diadakan, surat Dr. Lim itu dibocorkan kepada akhbar." (Lihat Chamil Wariya, Malaysia:50 Fakta Asas Kenegaraan, K.Lumpur: Matrix Media Global, 2007, m.s. 86 - 97).
Pada April 1962, Dr. Lim Chong Eu menubuhkan United Democratic Party (UDP) setelah meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA ekoran krisis pada tahun 1959. UDP yang dipimpin oleh Lim Chong Eu, Too Joon Hing berusaha memprojekkan perjuangan pelbagai kaum, namun menghadapi masalah kerana:
"its leaders found it difficult to carry through an inter-communal platform inasmuch as they knew their main supporters were Chinese" (Lihat James P. Ongkili, Nation-building in Malaysia 1946-1974, K. Lumpur, Oxford University Press, 1985, ms196).Pilihan raya 1964, tidak banyak menjejaskan kedudukan apabila Perikatan menang 89, Pan-Malaysian Islamic Party (9), Parti Sosialis (2), People Progresive Party (2), UDP(1) dan PAP (1).
Perjuangan PAP dari Singapura telah diteruskan oleh Devan Nair apabila memenangi kerusi Bangsar. Selain UDP, parti baru yang bertanding dalam pilihan raya tersebut ialah PAP bagi "to test it appeal among the Malayan electorate and to begin realizing its wish to replace MCA in the ruling Malayan Alliance."(James P. Ongkili, ms. 196) Namun demikian, keputusan pilihan raya pada tahun 1964 dianggap lebih bersifatkan sebagai ujian untuk menentukan reaksi rakyat mengenai Konfrontasi Malaysia-Indonesia.
Perikatan dilihat sebagai sebuah parti "which could safeguard national integrity and that the difference between voting for it and voting for the other parties was in essence the difference between being loyal and being sypathetic to Indonesian aggression."(Lihat K.J.Ratnam dan R.S.Milne, Malaysian Parliamentary Election of 1964, Singapore, University Malaya Press, 1967, ms. 110-111).
Pada bulan Mac 1968, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ditubuhkan, antaranya oleh pemimpin buruh Dr. Tan Chee Koon dan V. Veerapan; Dr. Lim Chong Eu dari UDP; Prof Syed Hussein al-Attas, University of Singapore; dan Prof Wang Gungwu, Universiti Malaya.Dalam pilihan raya umum 1969, Gerakan gigih berkempen dengan memperlihatkan imejnya sebagai parti yang tidak bersifat perkauman.
Manakala PAP, kemudiannya diwariskan kepada DAP (didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada Mac 1966), setelah Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, dipimpin oleh Devan Nair terus memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia.
Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP telah menentang pembahagian warganegara kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera, dengan memproklamasikan "political democracy, social and economic democracy, and culture democracy" dengan menetapkan bahawa "All Malaysians must have an equal place under the Malaysian sun. Hence our plea for "a Malaysian Malaysia."
Hasil kempen agresif DAP pada tahun 1969 menyebabkan Perikatan memperolehi 66 kerusi (merosot sebanyak 23 berbanding PRU 1964) manakala DAP (PAP) meningkat kepada 13, PMIP 12 (1964 memenangi 9 kerusi parlimen), PPP menang 4 (1964 menang 2 kerusi) dan Gerakan menang 8 kerusi.
Di peringkat negeri, Perikatan mampu memperoleh 162 kerusi (1964 sebanyak 241 kerusi), PMIP menguasai 40 kerusi (berbanding 25 pada tahun 1964), DAP 34 (1964 tidak bertanding peringkat DUN), PPP 12 (1964 menang 5), Gerakan 25 kerusi, Parti Rakyat 3 (1964 berada dalam Barisan Sosialis) dan bebas 3.Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 telah dilihat menghampiri keputusan pilihan raya 1969.
Berdasarkan peningkatan pengaruh parti-parti pembangkang, pilihan raya umum 1969 telah mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun, keputusan PRU ke-12 tidak berupaya mencetuskan perbalahan kaum tetapi sebaliknya meninggalkan kesan mendalam mengenai percubaan mengambil alih kerajaan daripada tampok kepimpinan BN.
"But then came March 8, 2008. In many ways, the results of the general election that gave five states to the opposition and pushed the ruling coalition into existential crisis, were a cry of desperation, and a last-ditch attemp by common Malaysians at stopping the divisive trend that the extended postponement of closure to May 13 had wrouht upon the body politic. ....A post-March 8 episode that has given due atttention by analysts occured on the night of April 14, when Anwar Ibrahim used the end of the suspension of his right to run for public office to give a fiery speech in Kampong Baru before a 20,000-crowd consisting largely of the Malays.
"He declared: "All of you will witness this tonight. We will not talk about Malay supremacy but the supremacy of all Malaysians. For non-Malays, for whom the mere mention of crowds in Kampung Baru immediately conjured images of the beginning of the May 13 riots of 1969, a message coming from the same place from a Malay leader talking to a Malay crowd, and calling for a more inclusive model of nation building, was greatly welcomed indeed. ..March 8 holds great potention for eclipsing May 13 and erasing the fears linked for so long to that spectral night in the sort but eventful history of Malaysia." (lihat, Ooi Kee Beng, Johan Saravanamuttu and Lee Hock Guan, March 8: Eclipsing May 13, Singapore: ISEAS, 2008, ms 3-4).
Saya tidak beranggapan seperti itu kerana secara keseluruhannya pada tahun 1969, Perikatan memperolehi 48.41 peratus sokongan pengundi peringkat Dewan Rakyat manakala Dewan Negeri ialah 47.95 berbanding tahun 2008, peringkat parlimen ialah 50.14 peratus dan negeri ialah 61 peratus.
Cuma yang menyaksikan perubahan ketara ialah beralihnya kuasa politik di Selangor, P.Pinang, Perak (kemudiannya kembali kepada BN apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang sah April, 2009) dan Kedah. Kelantan PAS semakin kuat apabila dan berjaya mengekalkan penguasaannya. Wilayah Persekutuan, dikuasai oleh pembangkang di peringkat parlimen (BN hanya menang di Wangsa Maju, Putrajaya dan Labuan).

Sunday, June 14, 2009

RETORIK PAS DAN HELAH HAJI HADI

Tokai kadang-kadang kurang yakin dengan tok-tok guru yang banyak sangat silat politiknya. Cadang nak adakan kerajaan perpaduan, bila Tok Guru Nik Aziz serang penyokongnya sebagai "boneka UMNO", Haji Hadi mula mencecer dengan meletakkan syarat. Tapi bila ditanya, jika syarat tersebut dilaksanakan, apakah bersedia untuk berbincang mengenai kerajaan perpaduan.Dia tidak memberikan komitmen, malah bercakap lain lagi.
Inilah perangai Tuan Guru dan Tok Guru yang banyak orang tahu. Tokai pun tak lagi respek kerana cakapnya boleh jadi macam "musang berbulu ayam". Mana ada musang berbulu ayam. Ada bila musang dapat terkem ayam, maka badannya pun berbulu ayam. Bulu-bulu ayam melekat kat badannya, yang dimakan ialah isi bukan bulunya.
Haji Hadi pernah suatu ketika dahulu bersuara untuk mengadakan debat terbuka dengan UMNO. Semasa semua orang tertumpu kepada projek itu, Haji Hadi meletakkan pelbagai syarat. Syarat itu akhirnya difikirkan sebagai perangkap kepada UMNO dan akhirnya debat tersebut dibatalkan.
Mungkin idea konsep kerajaan campuran ini akan mengulangi peristiwa untuk mengadakan debat terbuka. Beliau meminta, antaranya kebebasan akhbar. Tokai nak tanya, apa dia kebebasan akhbar apabila akhbar rasmi PAS sendiri tidak pernah memberikan gambaran atau laporan mengenai aspek positif UMNO dan BN. Akhbar tersebut terus menghentam apa sahaja yang UMNO dan BN laksanakan, seolah-olah tidak ada sebiji zarah pun kebaikan telah dilaksanakan.
Dengan hanya meminta supaya akhbar perdana bersimpati dengan PAS, memberikan laporan sepenuhnya mengenai kegiatan parti dan pemimpin PAS, adakah itu ertinya kebebasan akhbar?Bila melaporakan kisah pemimpin PAS menghadapi masalah tuntutan cerai dengan bekas isterinya, adakah itu bukan bernama kebebasan?
Bila lidah rasmi PAS memutarbelitkan perobohan cadangan membina markas PAS di Beris Meraga suatu ketika dahulu secara tidak sah bukankah kebebasan akhbar? Mengapa PAS yang terdesak apabila masyarakat bertanyakan di mana wang tabung pembinaan masjid disalurkan, mengatakan markas tersebut sebagai masjid yang dirobohkan? Tidakkah itu satu penipuan besar atas nama kebebasan akhbar?
Bila ada tulisan mempersoalkan apakah rumah tumpangan yang dibina di sekitar Masjid Rusila itu mempunyai sijil menduduki atau tidak, maka akhbar tersebut dituduh mempunyai agenda politik pihak tertentu? Memangnya laporan itu mempunyai agenda, agendanya ialah perihatin ke atas keselamatan penghuni apabila sedang menumpukan kuliah pagi Jumaat, tiba-tiba runtuh, apakah yang akan terjadi?
Bila berlaku keadaan tersebut banyak pihak akan memberikan tafsiran: Bagaimana kerajaan boleh meluluskan pembinaannya? Apakah bahan binaannya berkualiti? Ikut Spesikasi dan sebagainya. Tapi yang jelas, sepanjang empat tahun berkuasa di Terengganu, tidak ada pun masjid yang siap dibina. Semuanya dibina kerangkanya sahaja, yang menyiapkan ialah BN selepas kembali berkuasa pada tahun 2004.
Tak payah nak buat sebarang cadangan jika ianya tidak ikhlas. Haji Hadi yang pernah berkuliah, ikhlas adalah sifat terpuji dalam Islam. Tapi beliau sendiri yang tidak pernah ikhlas dalam melahirkan sesuatu idea, apa namanya? Tak Payah le, kalau hanya sekadar bercakap tetapi tidak melaksanakan, nanti buruk akibatnya. Tuan Guru mestilah lebih arif, manusia dipegang kerana janjinya. Haji Hadi diperhati dan akan diadili oleh orang ramai, sudahkah menunaikan janji untuk meneruskan hajatnya membentuk kerajaan perpaduan?

Tuesday, June 9, 2009

KENAPA MARAHKAN KERAJAAN PERPADUAN?

Lim Guan Eng begitu tertekan apabila Presiden Pas terus menganjurkan kerajaan perpaduan. Dalam muktamar tahun lalu, idea itu telah timbul dan dihangatkan kembali dalam ucapan dasarnya pada tahun ini.
Banyak pihak sedar, jika kerajaan perpaduan yang hendak direalisasikan, pasti akan memberikan kekuatan kepada kedudukan Islam, dan tentunya orang Melayu. Mungkin Haji Hadi faham, jika orang Melayu tidak bersatu dan terus bercakaran sesama sendiri, kedudukan Islam akan turut dipertikai dan dipersendakan.
Banyak perkara yang menyentuh perasaan orang Islam telah tersilap langkah oleh bukan Islam. Bukan hanya berkisar kepada sikap Barat terhadap Islam yang dianggap sebagai "hantu hijau" atau "musuh ketat" walaupun Barrack Obama cuba mengendurkan ketegangan tersebut dengan melakukan kunjungan ke negara-negara Arab. Barrack Obama dilihat tidak akan mampu melakukan tindakan untuk menghapuskan salah faham terhadap Islam selagi Yahudi menguasai lobi antarabangsa. Kenyataan Obama masih dilihat berbentuk retorik kerana belum ada tindakan untuk mendesak Israel tidak mengganyang Palestin, membedil penduduk Semenanjung Gaza dan membunuh orang Islam.
Walaupun Lim Guan Eng tidaklah setegas Karpal Singh mengenai Islam, beliau sebenarnya akan rasa bersalah apabila melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam. Bila orang Melayu yang beragama Islam bersatu bersama lain-lain kaum atas landasan Islam, kekuatan DAP akan tercabar.
DAP yang masih dilihat chinese based akan merosot kedudukannya apabila pengundi-pengundi yang beragama Islam tidak lagi menyokongnya. Begitu juga dengan PKR, walaupun terdapat orang Melayu di dalamnya, atas dasar Islam mereka mungkin akan keluar daripada gagasan tersebut kecualilah mereka yang begitu tegar dengan idealisme "kesamarataan" ciptaan parti itu, yang bakal memberi keuntungan kepada bukan Melayu. Penasihat PKR hanyalah perlukan kuasa kerana terlalu kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.
PAS pun bukan padu menyokong gagasan kerajaan perpaduan. Tapi, mereka yang ingin memperkuatkan kedudukan Islam dan mempunyai semangat perjuangan tersebut akan turut ikut jika kerajaan perpaduan benar-benar menjadi kenyataan. Umno sudah membuka ruang, dan bersedia berbincang jika PAS benar-benar inginkan. Mungkin PAS mula belajar daripada krisis politik di Thailand yang berpanjangan, menyebabkan lebih banyak nyawa menjadi sandaran dan pertemporan dengan masyarakat Islam masih belum ada penghujungnya waalupun sudah memasuki empat tahun.
Mungkin kerajaan perpaduan bukanlah dalam bentuk masing-masing parti dimansuhkan. Mungkin boleh mencontohi bagaimana kerajaan perpaduan yang sedang dilaksanakan di Zimbabwe boleh merungkaikan krisis politik yang berpanjangan. Sebelum kerajaan perpaduan dilaksanakan, Zimbabwe dilanda permusuhan dan sengketa politik sehingga menyebabkan ketidaktentuan politik dan peperangan sesama sendiri.
Pemimpin-pemimpin politik Zimbabwe akhirnya mempunyai resolusi. Dalam permusuhan, yang menjadi mangsa ialah rakyat Zimbabwe sendiri. Apa kesudahannya, akhir bersepakat untuk melaksanakan bentuk kerajaan perpaduan atas idealisme politik yang sama.
Mungkin Presiden PAS sedar, melalui toleransi dan kerjasama akan memudahkan segala cita-cita menjadikan Islam sebagai tata kehidupan terbaik di Malaysia mampu dilaksanakan. Untuk PAS melaksanakan bersendirian, ia dijangka tidak akan sampai ke mana, kerana telah terbukti sejak memerintah Kelantan masih mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat dikuasai oleh BN.
Realiti kehidupan masyarakat Kelantan walaupun tidak kebulur, rata-ratanya amat sederhana sekali. Walaupun kesederhanaan itu dituntut oleh Islam, tidak bermakna peluang mendapat kekayaan dilepaskan kepada bukan Melayu. Untuk orang Melayu meningkatkan kedudukan ekonomi, kerajaan melakukan sesuatu. Untuk melakukannya, perlukan dana yang besar. Di mana PAS mampu. Nak korek emas di Gua Musang pun belum tentu mempunyai simpanan yang ekonomik.
Kalau terus menebang hutan dan membebaskan penerokaan tanah, pastinya menimbulkan masalah ekologi. Pemberian tanah untuk pembukaan ladang kelapa sawit sekitar kawasan rekreasi Stong akan mengorbankan kelestarian alam semula jadi. Air terjun Stong, indah dan perlu dipulihara sebaik mungkin kerana ia lebih alami.
Mungkin kedudukan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang akan mendapat kekuatan baru apabila kerajaan perpaduan menjadi kenyataan dalam Pilihan Raya Ke-13 nanti. Orang Melayu dan Islam kembali menyokong perjuangan itu, dan DAP mungkin tidak mampu memerintah Pulau Pinang. Hanya mungkin boleh menang di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti Cina, tapi kawasan majoriti Melayu atau marginal, akan menghadapi kemungkinan kalah.
Itulah yang mungkin menjadi igauan Lim Guan Eng, ketakutannya sehingga meminta supaya PAS membincangkannya dalam mesyuarat parti-parti pakatan pembangkang. Mungkin PAS sedar kedudukan wakil rakyat parti itu bak melukut di tepi gantang bila dominasi kuasa adalah di tangan DAP atau PKR seperti berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Kedah tidak banyak menjadi masalah, PAS menerajuinya berbanding PKR dan DAP.