Tuesday, July 21, 2009

1MALAYSIA IKUT SYARIAT ISLAM


Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my


Gagasan 1Malaysia yang membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini menepati kehendak dalam tuntutan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa, kulit yang berbeza, budaya serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain.

Katanya, manusia tidak mungkin berkenalan jika tiada hubungan perasaan, saling ada kecurigaan dan kurang yakin antara satu sama lain.

''Misalnya, proses perkenalan tidak akan berlaku antara pasangan kekasih sekiranya kedua-duanya tidak suka kerana perasaan suka itu mesti tumbuh dalam diri masing-masing.

''Jadi, 1Malaysia yang berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian adalah satu perkara yang menepati tuntutan Islam malah dalam Islam telah menyebutkan bahawa kita perlu menghargai dan menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Konvokesyen Ketujuh Ikmas di Telaga Air, dekat sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Jamil Khir diminta mengulas mengenai sudut pandangan Islam berhubung gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, Rasulullah menyebut bahawa terdapat tiga jenis jiran dalam Islam dengan yang pertama jiran bukan Islam, jiran sesama Islam dan jiran sekeluarga sesama Islam yang menjadi tanggungjawab seseorang muslim itu.

Maknanya kata beliau, Islam mengungkap seluruh orang tersebut (jiran) termasuk dalam golongan yang sama dan hubung kaitnya dengan 1Malaysia adalah merupakan satu usaha membina rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

''Dengan kata lain, tiada seorang pun merasakan dirinya terpisah atau tertinggal dalam arus perdana kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

''Semua rakyat di negara ini diberi peluang, misalnya yang pandai akan dapat menyambung belajar manakala yang mampu bekerja dengan baik akan mendapat ruang dalam sektor ekonomi, sosial dan sebagainya," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir memberitahu, persiapan serta persediaan berhubung urusan rakyat di negara ini untuk menunaikan ibadah haji berjalan seperti biasa meskipun terdapat kebimbangan terhadap wabak selesema babi yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan jemaah haji dari negara ini tidak akan terlibat dengan wabak pandemik tersebut.

''Sebelum ini memang ada cadangan daripada pelbagai kementerian termasuk kementerian kesihatan (Kerajaan Arab Saudi) untuk membatalkannya ekoran kebimbangan terhadap wabak itu tetapi yang memutuskan sama ada boleh pergi atau tidak mesti datangnya dari Menteri Wakaf dan Haji," katanya.

No comments:

Post a Comment