Thursday, July 16, 2009

PESONA SYURGA TERHAKIS DI MANEK URAI

Keputusan Pilihan Raya Kecil Manik Urai memberikan beberapa kesimpulan menarik untuk direnungi. Lebih menarik lagi apabila meneliti mengenai pola pengundian pengundi muda yang sudah mula tidak mempercayai kepimpinan kerajaan negeri. Pengalaman mereka sejak 20 tahun lalu memberikan kesimpulan bahawa kerajaan negeri telah gagal memperbaiki lanskap sosioekonomi penduduk, malah masih menggunakan agama sebagai pertaruhan mendapatkan kuasa.
Pemerhatian dan tinjauan juga menunjukkan golongan muda yang mempunyai tahap pendidik yang lebih baik dan kesedaran pengetahuan yang lebih baik “tidak lagi termakan pujukan dijanjikan syurga”. Mereka telah sedar bahawa penentuan utama untuk ke sana ialah amal soleh dan berbakti sesama manusia. Dengan melaksanakan kempen mencaci, menuduh dan memburuk-burukkan perilaku seteru politik, akan turut menjerumuskan ke pintu neraka.
Mereka sudah sekian lama dimomokkan dengan “janji syurga” tetapi usaha untuk membina dan membangunkan syurga kehidupan tidak pernah sempurna. Jadi, bagaimana nak meneruskan perjalanan ke syurga di akhirat sedangkan Islam sentiasa mengingatkan bahawa kehidupan di dunia akan menjadi jambatan ke akhirat. Tanpa menyempurnakan kehidupan yang lebih baik dan beramal soleh tidak lagi memadai hanya dengan memberikan undi kepada parti tersebut.
Berdasarkan pengamatan tersebut, ada aktivis dan pemimpin parti tersebut mengakui bahawa kemenangan tipis itu adalah bukti parti lawan semakin diterima. Pengundi mula memberikan penilaian yang saksama dan matang setelah parti tersebut mula mencorakkan semula orientasi perjuangan untuk “mendahulukan rakyat.” Mereka tidak menganggap keluhan dan keresahan rakyat sebagai sesuatu yang remeh dan hanya perlu berserah kepada nasib dan takdir.
Mereka perlu meminta dan berusaha dengan lebih gigih. Tetapi kalau usaha sahaja tanpa pertolongan dan bantuan, ia juga tidak akan membuahkan hasil yang baik. Meminta tolong dengan kerajaan negeri, ternyata tidak akan mendapat apa kecualilah “memperakuinya kepada kerajaan pusat dan menunggu ehsannya.” Adalah lebih baik memberikan keyakinan kepada kerajaan pusat secara terus, tanpa perlu menunggu lampu hijau dan perantaraan kerajaan negeri yang sudah sarat membuat janji.
Mungkin kita boleh menggunakan taruhan janji terhadap cadangan menggantikan jambatan lama yang menghubungkan Manik Urai Baru dan Manik Urai lama. Walaupun tewas, Nampak parti yang menang masih merayu agar dibina segara kerana dijanjikan sepanjang kempen. Namun yang tidak dibincangkan oleh parti yang menang ialah syarat yang ditetapkan: jika menang.
Kalau tidak dibina pun tidak boleh dianggap “tidak menunaikan janji” kerana telah tewas. Kalau dibinanya nanti bukan bermakna parti yang menang mendapat tuah menenggek ehsan kerajaan pusat. Ia mungkin kerana kerajaan pusat mempertimbangkan sumbangan pengundi yang mula mempercayai perubahan orientasi dan tumpuan kepimpinan dalam memenuhi tuntutan “rakyat didahulukan.”
Begitu juga dengan dua buah jambatan uzur di Lata Rek. Kalau pun dimasukkan dalam perancangan kerajaan pusat, ia adalah sebagai memenuhi aspirasi penduduk. Kalau tidak digantikan pun ia bukan pula bererti “menghukum pengundi”. Ia adalah ehsan kerajaan pusat untuk melihat rakyat mempunyai kemudahan asas dan memudahkan perhubungan harian sesama mereka.
Sikap merendah diri dan kesanggupan pemimpin pusat mendekati pengundi dilihat juga membantu meningkatkan sokongan. Apa yang berlaku dan dilihat sebagai benar-benar ikhlas menjadi motivasi terindah yang berupaya menolak jangkaan awal bahawa parti yang mempertahankan kedudukan menang besar. Apabila keputusan diumumkan, calon yang menang tidak lagi dijulang dan disambut dengan gempita sebagaimana lazimnya, hanya mampu tersenyum pendek.
Pemimpin-pemimpin besar mereka seakan sebak dan tidak banyak memberikan komen. Hanya merenung jauh mengenangkan kesilapan dalam melakukan perhitungan dan kekesalan tidak dapat membaca arus perubahan. Pengundi sudah tidak lagi termakan dengan “doa dan munajat”, tetapi lebih realistik dengan masa depan mereka, kerana merekalah yang akan menanggungnya selepas pesta pilihan raya selesai.

Mereka akan meneruskan usaha mereka untuk menentukan kelangsungan hidup. Tidak boleh bergantung secara total doa dan harapan yang dinjanjikan, kerana harapan dan doa itu hanyalah sekadar membujuk. Hanya mampu memberikan keriangan dan ketenangan sesaat, tetapi hari-hari yang lain, mereka perlu membanting keringat. Tanah dan kebun perlu dibaja dan dijaga, jika tidak hasilnya tidak akan ada untuk musim selanjutnya.
Kerajaan pusat mungkin akan mengambil kira, sokongan padu dan pertambahan pengundi berbanding dengan keputusan yang lepas. Pengaruh parti yang berjaya merosot teruk dari majoriti 1, 352 kepada 65 undi. Bagi parti lawan yang turun sebagai “underdog” , mampu menolak jumlah majoriti dan menambah sokongan dari hanya 4,394 undi kepada 5,238 undi. Peningkatannya ialah 844 undi berbanding parti yang menang, jatuh dari 5,746 kepada 5,348 undi. Ia telah merosot sebanyak 398 undi.

Realiti politik masa kini tidak lagi mampu disogokkan dengan janji. Pengundi lebih matang dan praktikal, kerana pengetahuan mereka lebih luas dan pengalaman tidak lagi terbatas. Fikiran mereka lebih terbuka dan sukar dipujuk dengan hanya menabur harapan “dijamin masuk syurga.” Mereka perlukan pedoman, bagaimana untuk berjaya dan membina kekuatan diri agar boleh hidup tenang dan melakukan kebaikan, beramal soleh, hidup harmoni dan sepakat, kerana itulah sebenarnya pertimbangan yang bakal dilakukan bagi menentukan seseorang Islam itu mampu ke pintu syurga di akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment