Keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya menarik balik kelulusan memajukan tanah seluas 6.5 ekar di Kg. Buah Pala, Pulau Pinang bakal menyebabkan penduduk dan kerajaan terus diserang migraine.
Keputusan menarik balik kelulusan pembangunan kondo mewah yang bernilai hamper RM 200 juta itu hanyalah dianggap sebagai “usaha kerajaan memberikan panadol”, bagi melegakan buat beberapa hari keresahan penduduk.
Ini kerana yang ditarik balik ialah pembangunannya, tetapi “pemaju boleh merobohkan rumah penduduk yang terlibat pada 3 Ogos 2009.” Tanah tersebut tetap menjadi hak milik Kooperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang Berhad yang dibeli secara sah dengan harga RM 3.42 juta.
Guan Eng telah memuktamadkan pembelian tesebut pada 27 Mac 2008, dan menerima baki pembayaran melebih RM 2.47 juta. Jadi, beliaulah sebenarnya patut dipersalahkan kerana tidak "menghalang pertukaran milik tanah tersebut" dan menyempurnakannya.
Dengan penarikan tersebut, Guan Eng seakan ingin melepaskan tanggungjawabnya apabila mengatakan “kerajaan negeri sekarang tidak terlibat dengan sebarang urusan atau kelulusan projek yang dicadangkan dan jika pemaju mahu meneruskan projek itu, mereka perlu mengambil kira aspek sosial penduduk di situ.”
Penyelesaian itu masih dianggap terlalu mudah dan seakan-akan menghampiri bentuk komedi slapstick. Nalar penyelesaiannya menyamai dengan bentuk tindakan awal apabila menyalahkan kerajaan negeri terdahulu menjual tanah tersebut dan kepimpinan terdahulu itulah yang perlu menyelesaikannya.
Kerana nalar pemikiran yang slapstick itulah menyebabkan penduduk mendesak beliau meletakkan jawatan dan kembali ke Melaka, “tidak memahami budaya penduduk Pulau Pinang.” Lantaran itu, penduduk terus mendedahkan sikap sebenar parti-parti pembangkang yang “hanya menangguk diair keruh” ketika berkempen dalam pilihan raya umum lalu.
Dengan membatalkan kelulusan tersebut, apakah Guan Eng telah Berjaya memujuk penduduk agar mempercayainya dan menyokong kepimpinannya? Rasanya masih jauh lagi, kerana masih banyak ujian yang bakal dihadapi oleh Guan Eng berhubung tuntutan penduduk yang masih belum jelas, mengembalikan tanah tersebut kepada mereka.
Untuk membayar balik, Guan Eng sudah tercabar apabila MIC sanggup mengeluarkan sejumlah RM 3.42 juta. Guan Eng sudah malu muka kerana mengatakan “kerajaan negeri tidak ada duit, minta kerajaan pusat membayar.” Tetapi, Perdana Menteri memberikan keputusan, tidak akan melakukannya kerana ia akan menyebabkan banyak lagi tuntutan penduduk dibuat pada masa depan.
Dulu sebelum berkuasa, Guan Eng terlalu sibuk melayani penduduk setinggan yang kawasan mereka diroboh oleh pihak berkuasa tempatan, itupun yang melibatkan penduduk majoritinya ialah Cina. Tapi kali ini kerana majority penduduk adalah India, manakala beberapa keluarga Melayu sudah pun menerima tawaran pemaju dan berpindah, Guan Eng tidak sanggup turun padang berjuang bersama.
Penduduk ikut terpukul apabila dua kali perjumpaan tidak dibenarkan membawa peguam. Dan perjumpaan dilakukan di KOMTAR, dan bukannya di Kg. Buah Pala. Dua hari lepas, rebut kembali melanda KOMTAR apabila pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri II ditumbuk oleh pemuda MIC kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan mencaci.
Prof Ramasamy memberikan komen bahawa tingkah laku tersebut tidak “mengikut budaya Malaysia”, tetapi beliau mungkin terlupa bahawa memaki hamun juga bukanlah “budaya Malaysia.” Maki hamun ialah budaya baru yang diamalkan oleh parti-parti pembangkang sejak sekian lama bagi mendapat sokongan.
Seharusnya pembantu peribadi atau Prof Ramasamy sendiri yang menerima memorandum tersebut, kerana ia merupakan pandangan dan resolusi yang diwakili mereka. Soal untuk melaksanakannya atau bersetuju dengan tuntutan tersebut, ia adalah isu yang lain. Jika memorandum itu diterima secara terhormat, bukan sahaja insiden itu tidak akan berlaku, beliau sendiri akan dilihat turut simpati dengan penduduk Kg. Buah Pala.
Guan Eng seakan tercabar apabila pemuda MIC sanggup “membeli balik tanah tersebut dengan harga RM 3.42 juta” tetapi sebaliknya menganggap ia adalah “permainan politik” kerana tidak menyerahkan wang tersebut kepada kerajaan negeri. Di sini nampaknya, kerajaan negeri terlalu kemaruk wang kerana jika MIC ingin membayar balik tanah tersebut, ia perlu diserahkakan kepada Kooperasi dan bukannya kerajaan negeri.
Lim Guan Eng berusaha dalam apa cara sekalipun ingin membuktikan “ada keuntungan di pihaknya” termasuk “tidak terlibat dengan pembangunan Kg. Buah Pala” selepas pembatalan kelulusan tersebut.
Guan Eng masih perlu melalui lebih banyak lagi jalan berliku. Antaranya kemungkinan menghadapi tindakan undang-undang kerana membatalkan projek tersebut yang mengakibatkan pemilik dan pemaju mengalami kerugian setelah berbelanja untuk merancang porjek tersebut.
Jika pemaju berkeras untuk memajukan tanah tersebut, dan membenarkan penduduk berada di situ, boleh sahaja menyebabkan sekelompok penduduk asal akan mengalami kegundahan rasa apabila memandang di sebelah sana kondo mewah tersergam angkuh. Pemaju mungkin memberikan ruang untuk mereka tinggal, tetapi ruang-ruang yang lain akan dibangunkan sepenuhnya, maka mungkin pemaju akan berbelanja menyediakan jambatan masuk kepada bakal pembeli.
Penduduk dibenarkan tinggal di bawah, kerana ingin terus kekal di sana bagi membolehkan “kandang lembu” yang menjadi ciri khusus High Chaparal terus kekal. Lembu-lembu tersebut mungkin suatu hari nanti akan menghadapi “kemurungan” kerana terkurung di bawah dan terperangkap dengan bangunan batu.Sedangkan tuannya, masih berada di situ sebagai penduduk setinggan, kerana tanah tersebut tetap menjadi milik sah Kooperasi.
Untuk jangka masa panjang, Kg. Buah Pala mungkin hanya berada di bahagian bawah bangunan, manakala bangunan-bangunan di atasnya akan terus menyebabkan panadol tidak lagi mampu mengubati migraine.Lim Guan Eng tidak akan boleh tidur lena, penduduk asal tetap akan berteriak, bilakah tanah itu akan dikembalikan. Ia adalah warisan kami, yang diamanahkan oleh Tuan Brown, yang membina kekayaan dengan membuka estet koko dan kelapa di Pulau Pinang apabila dasar mercantile diluluskan oleh British bagi menampung keperluan revolusi industri.
Janji tetap janji. Tetapi janji itulah yang menyebabkan Guan Eng terus dilanda migraine. DVD khabarnya telah beredar terus dalam masyarakat, dan kerana itu, jangan hanya pandai berjanji kalau tidak mampu menunaikannya. Manusia dipegang pada janjinya, kerbau dipegang pada talinya.
Jerat tidak pernah lupa kepada pelanduk, tetapi pelanduk seringkali lupa akan jerat.
Greenlane, Pulau Pinang 26 Julai 2009
Mohon untuk copy artikel ini? Tq...
ReplyDeleteeXception - Bukan Sekadar Blog Picisan