Kemenangan tipis PAS di Manek Urai menyebabkan ramai orang berpendapat bahawa Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz perlu bermuhasabah diri sendiri. Beliau perlu melupakan seketika penat meratah kata sepanjang berkempen dan merenung bintang di langit, apakah kepimpinannya masih lagi berkesan?
Kalau benar sayangkan PAS beliau perlu melakukan perenungan tanpa ditemani oleh sesiapa. Beliau boleh sahaja berada di Pantai Cinta Berahi (sudah ditukarkan menjadi Pantai Cahaya Bulan) atau Pantai Bisikan Bayu ataupun Pantai Irama seorang diri. Renunglah keadaan langit ketika awan cerah tidak diselaputi mendung. Lihatlah bintang atau wajah bulan purnama pada bulan penuh keberkatan ini, iaitu bulan Rejab.
Mungkin di sana Tok Guru akan mendapat jawapan. Fikirkanlah masak-masak, dengan sejujurnya tanpa prejudis menyalahkan orang lain. Salahkahlah diri sendiri, hitungkan apakah dosa yang telah ditaburkan sepanjang kempen tersebut sehingga majoriti menurun ke tahap 65 undi. Pengaruh BN semakin meningkat manakala pengundi semakin ramai menolak janji-janji yang Tok Guru berikan.
Janji Tok Guru bukan lagi penawar bagi penduduk Manek Urai yang banyak bergantung hidup kepada hasil getah, kelapa sawit atau pun hasil kebun. Mereka tidak mempunyai elauan dan kemudahan tempat tinggal yang dibayar oleh kerajaan sebagaimana Tok Guru dapat setiap bulan.
Mereka tetap akan membanting tulang empat kerat selepas Tok Guru meninggalkan markas gempur kempen. Mereka akan mencari kembali pisau penoreh getah, sabit, kapak, cangkul dan sebagainya untuk meneruskan hidup agar dapur terus berasap, anak isteri tidak kehabisan beras. Mereka tidak mahu genuk tinggal kosong hanya sekadar ingin masuk syurga seperti yang Tok Guru janjikan.
Mereka sudah sedar, 20 tahun lalu Tok Guru tetap bercakap benda yang sama. Rentak agama Tok Guru tidak berubah, kerana perjuangan Tok Guru ialah untuk menegakkan prinsip Islam dalam semua aspek kehidupan dan lantang mengkritik, hanyalah kepimpinan Tok Guru yang mampu melaksanakannya. Itulah mungkin outcomes kepada pembangunan insan yang Tok Guru dambakan selaras dengan perjuangan "membangun bersama Islam"---agaknyalah.
Orang lain hanya sekadar menumpang tuah ataupun tidak sungguh-sungguh? Di bumi Allah SWT ini hanyalah Tok Guru mampu laksanakan manakala orang lain hanya mementingkan kebendaan, membolot kekayaan dan tidak ikhlas.
Semakin lama Tok Guru bercakap, semakin terserlah kesilapan-kesilapan yang akhirnya menyebabkan keyakinan orang muda terhakis. 20 tahun dahulu, mereka ini mungkin masih berada di sekolah rendah, tetapi hari ini sudah boleh mengundi. Mereka boleh membentangkan dengan jelas kronologi sepanjang Tok Guru mengepalai pentadbiran Kelantan, apa yang telah dilakukan untuk membaiki nasib dan kehidupan mereka?.Jawabnya mungkin juga "tidak tahu".
Tok Guru masih mengibaratkan diri sebagai sangkakala berbisa. Golongan muda yang dulunya bukan pengundi, dan sekarang sedang meniti kehidupan dewasa amat kecewa sebuah jambatan yang membolehkan mereka berulang-alik atau menyeberang dengan selesa pun tak mampu dibangunkan. Hanya tetap menggunakan jambatan usang yang semakin hilang keupayaan menanggung beban barangan dan orang yang lalu-lalang.
Apa yang berubah di Manek Urai? Sekolah? Jalan? ... pengurusan pertanian secara komresial adalah inisiatif kerajaan pusat melalui KESEDAR, agensi pembangunan wilayah di Kelantan Selatan. Jika tanpa KESEDAR atau RISDA, mungkin penduduk Manek Urai lebih jauh tertinggal berbanding dengan kampung-kampung lain di Malaysia, hatta nak dibandingkan dengan Pulau Melaka sendiri pun tentu tak boleh.
Masyarakat sudah muak dengan jawapan Tok Guru apabila menghadapi konflik atau masalah, sering menjawab tidak tahu. Jenaka jawapan Tok Guru "tidak tahu" bukan kali pertama rakyat dengar. Sewaktu ada usaha merayu Tun Dr. Mahathir dahulu pun banyak juga jawapan "tak tahu" yang Tok Guru berikan apabila disoal.
Jawapan "tidak tahu" semacam telah sebati dengan pemikiran Tok Guru sehingga sekumpulan pemuda nakal berseloroh, tak payah nak tanya Tok Guru, jawapannya memang standard "tidak tahu".Saya ketika itu menggunakan perkataan tak tahu yang Tok Guru maksudkan itu sebagai tajuk puisi nakal.
Tidak mungkin Tok Guru "tak tahu", Timbalan Presiden Pas dirawat di hospital dan sebab itu tidak dapat bersama-sama berkempen. Tidak mungkin penasihat-penasihat Tok Guru tidak menyampaikan berita tersebut, atau sekadar buat "tak tahu." Mungkin juga kerana Tok Guru tidak ingin ambil tahu kerana Nasharudin telah banyak menyinggung perasaan halus?
Kalau "buat tak tahu" besar maksudnya kepada keranjang politik Tok Guru. Tok Guru pernah komen mungkin kerana Nasharudin "malu muka" bila diminta melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan wakil rakyat parlimen Bacok kerana ingin meneruskan hasrat merintis perbincangan "kerajaan perpaduan".
Bila Wan Rahim memberikan keyakinan Nasharudin akan datang jengok pengundi Manek Urai, Tok Guru mungkin rimas dan terlalu "bera muka". Tok Guru rasa terpukul kerana tidak menampakkan keikhlasan terhadap kemunculan Nasharudin yang semakin diterima oleh penyokong-penyokong PAS termasuk Tuan Guru Haji Hadi sendiri.
Antara Tok Guru dan Tuan Guru pun nampaknya semacam ada permainan silat yang sedang berlaku. Tok Guru tetap menganggap diri sebagai nakhoda, maka setiap orang mesti mendengar nasihat, termasuklah Presiden Pas sendiri.Dari situ sudah jelas, Tok Guru semacam tidak mengiktiraf pendapat orang lain.
Bila UMNO menerima cadangan merintis rundingan membentuk kerajaan perpaduan, bulan Mac lalu Tok Guru memberikan reaksi menyokong dengan syarat beberapa jawatan strategik diberikan kepada PAS. Menjelang muktamar, kerana takutkan orang-orang kuat Tok Guru kalah, Tok Guru membuat pusingan pendapat 360 darjah, kalutlah jadinya. Tapi, orang-orang kuat Tok Guru kalah juga.
Banyak orang melihat Tok Guru semacam tunduk dengan desakan PKR dan DAP. Tetapi, langkah silat Tok Guru membuka gelanggang seakan-akan sumbang walaupun Tuan Guru terpaksa melupakan gagasannya sendiri. Tuan Guru membuat perhitungan, "ramai orang tidak faham apa itu unity" semasa memberikan pengakuan bersama menolak rundingan kerajaan perpaduan.
Orang yang bodoh dan tidak waras sahaja yang tidak faham mengenai perpaduan. Selepas itu, Tok Guru membuat cadangan untuk mengajak Perdana Menteri berdebat mengenai landasan perjuangan politik UMNO dan Pas. Kalau Tok Guru boleh menolak keras cadangan "merundingkan kerajaan perpaduan" maka adalah tidak pula menjadi dosa kepada Perdana Menteri untuk menolak permintaan Tok Guru.
Kalau Tok Guru dapat merenung dengan tepat cahaya bulan purnama, tentu Tok Guru boleh mencari jawapan. Dengan berdebat tidak akan dapat menyelesaikan masalah, kerana mengundang banyak gelagat tidak mahu mengakui kekurangan diri. Yang paling jelas ialah untuk cuba menegakkan pendapat sendiri, walaupun natijahnya kurang sempurna dan hakikatnya terlalu tumpul.
Perbincangan adalah kaedah yang paling baik dan harmoni. Ia dilakukan secara tertutup dan tidak disambut oleh penyokong melalui pembuakan emosi. Boleh berfikir dengan tenang dan membangkitkan proses sumbang saran serta garis persetujuan yang lebih jelas.
Sebagai anak Kelantan di perantuan dan pernah membesar dalam kekeruhan politik serta sentimen gedeber, saya sering memperoleh ketenangan apabila mendongak ke langit memerhatikan kedudukan bintang, merenung cahaya bulan kerana di sana banyak memberikan petunjuk.
Sekurang-kurangnya kepada saya yang pernah menjadi nelayan, petanda bintang di langit banyak membantu bahawa menuju ke arah itu kita akan sampai ke muara, atau berpandukan kedudukan bulan memberikan khabar, bahawa malam hari bakal berakhir dan harus pulang ke pengkalan.
Cadangan saya itu bukan bermakna untuk mengajar Tok Guru yang banyak memahami petak pemikiran Deobandi (Tok Guru pernah menuntut di sana), menyelami dengan jelas kehendak Maududi mengenai upaya pemerintahan berdasarkan prinsip khalifah, menghadam masak idealisme Syed Qutb yang berteraskan konsep perjuangan jihad dan penghapusan jahiliyah moden.
Saya hanya sekadar berpendapat agar Tok Guru memperoleh ketenangan dan boleh menilai secara ikhlas sebelum melakukan pembedahan besar kemerosotan undi PAS di Manek Urai. Apakah itu sebagai tanda bahawa Tok Guru sudah mendapat isyarat besar dan perlu membuat satu keputusan terbaik nanti? Mungkin sudah ada jawapannya, saya sentiasa sudi mendengarnya asalkan Tok Guru tidak akan menjawab "tidak tahu."
The King and U
2 days ago
No comments:
Post a Comment