Monday, July 27, 2009

ANEH BERADU, PEDIH BERTEMU

PETANG MINGGU alangkah baiknya jika Tokai terus menghabiskan masa dengan berkebun. Sekurang-kurangnya dapatlah menggembur-gembur tanah sekangkang kera maklumlah hampir tiga minggu tidak menyentuhnya. Adalah dua tiga pokok cili api, pisang serendah di samping pokok-pokok bunga. Sekurang-kurangnya bersih juga kawasan, kerana di musim kering ini, mungkin tersilap langkah boleh menyebabkan kebakaran.

Tokai terhenti seketika bila teringatkan sebuah berita kecil yang tersiar dalam akhbar yang dibaca awal pagi tadi. Terfikir juga ada benarnya bila Tan Sri Khalid meminta supaya penulis-penulis blog lebih bersifat gentlemen dalam mengupas atau mengulas sesuatu isu.

Tan Sri berkata demikian apabila merujuk kepada kecenderungan penulis-penulis blog tidak begitu gentlemen mendedahkan sumber maklumat dan bukannya "baling batu sembunyi tangan." Kenapa baru sekarang membuat komen itu?

Sebelum ini Tan Sri tidak pernah membuat komen dan menyindir penulis blog yang menghentam apa sahaja dilakukan oleh kerajaan dan BN. Bila diminta untuk mengulas mengenai dakwaan sebuah laman blog yang mendedahkan penyelewengan seorang EXCO Selangor yang mempunyai kaitan dengan bukti-bukti yang tersimpan oleh mendiang Teoh Beng Hock sebagai maklumat palsu.

Semasa penulis blog menghentam BN dengan mengemukakan fakta separuh benar, Tan Sri pernah membuat komen dan mengiyakan apa yang diperkatakan. Tidakkah Tan Sri boleh fikir, kerana TAn Sri pernah diberikan kedudukan yang tertinggi dalam entiti ekonomi kerajaan pada suatu ketika dahulu, maka perlu dibuat satu pembetulan fakta.

Ketiak itu Tan Sri terus menyokong malah menggunakannya sebagai bahan untuk menyerang. Jika benar dakwaan penulis blog itu palsu, Tan Sri perlu mengemukakan bukti bahawa tidak ada penyelewengan yang telah berlaku sepanjang pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor. Baru setahun lebih Tan Sri sudah merasakan penangan penulis blog, kalau sebelum ini banyak memujanya sebagai wadah suara dan wacana pemikiran masyarakat.

Saya menganggap aneh sungguh bicara Tan Sri kerana merantaikan diri dengan perspektif yang relalu jumud. Bila tulisan boleh memberikan keuntungan politik, TAn Sri semacam menjilatnya hingga ke butiran terakhir. Bila berlawanan, walaupun itu merupakan feedback atau maklumat yang boleh dijadikan sebagai peringatan atau tindakan pembersihan, Tan Sri menganggapnya sebagai sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Tan Sri perlu faham, menutup mulut manusia bukanlah perkara yang mudah. Manusia boleh membuat apa sahaja tafsiran, kerana manusia telah diberikan kebebasan berfikir dan berpendapat. Pendapatnya mungkin betul atau mungkin salah. Jika betul, Tan Sri harus terima dan melakukan penyiasatan tetapi begitu juga di sebaliknya. Jika salah, sila perbetulkan cepat-cepat.

Dengan melemparkan tuduhan "baling batu sembunyi tangan" ia bukanlah satu penyelesaian terbaik, apabila pedih bertemu, terimalah jika ia mampu menunjukkan kebenaran. Jangan pula Tan Sri bersikap seperti ayam terlepas, tangan berbau tahi. Yang buruk tetap buruk, kalaulah Tan Sri benar, tidak perlu ditakutkan walaupun orang yang mendedahkan perkara tersebut itu tidak "gentlemen".

Tan Sri kena tahu sifat manusia. Ada yang suka bercakap terang-terangan, ada juga yang bersikap rumah siap pahat berbunyi ataupun depan pandang-pandang, belakang hentam hingga tak keruan. Itu bukanlah sesuatu yang aneh, kerana itulah sebahagian daripada psikologi manusia yang perlu difahami secara jelas oleh Tan Sri.

BN sudah masak dengan gelagat tersebut dan kerana itu cuba menjernihkan segala yang dianggap keruh dan teguran. Melalui perjernihan tersebut, kekusutan dan maklumat yang diterima mampu mememberikan kekuatan.

Jika terus menyembunyikannya, ia akan terus memakan diri dan menghancurkannya bagaikan lenyapnya burung-burung pheonix. Ia hanyalah tinggal namanya. Mungkin pakatan pembangkang tidak sanggup menerima teguran kerana takut kehilangan sokongan dan seterusnya membantutkan impian memenangi hati dan perasaan rakyat.

Apa Tan Sri akan katakan bila bekas Menteri Besar mengatakan kemana yang negeri sebanyak RM 1.4 bilion yang ditinggalkan dalam perbendaharaan negeri? Berapa banyak sudah Tan Sri belanja, walhal baru sahaja mendapat kuasa pada bulan MAc 2008 lalu? Usah nak kumpulkan sebanyak mungkin untuk memakmurkan negeri, duit yang tersimpan pun habis entah ke mana?Mungkin Tan Sri semakin menemui kepedihan, untuk memerintah negeri bukanlah semudah yang dijanjikan sepanjang kempen pilihan raya lalu?

Saya perlu berhenti di sini, waktu maghrib hampir tiba. Sampah-sampah perlu dikumpulkan untuk dilonggokkan dan seterusnya dimusnahkan.

No comments:

Post a Comment