Sunday, July 12, 2009

SYURGA ITU DI MANA?


Malam ini, sementara menunggu mata mengantuk setelah selesai menonton wawancara Syed Munawir dengan YAB Perdana Menteri di TV 1, Tokai membaca kembali sebuah buku yang banyak memberikan kesan pemikiran. Saya membelinya beberapa tahun lalu kerana amat tertarik dengan tajuknya, Membangun Syurga: Bagaimana Hidup Damai di Bumi agar Damai Pula di Akhirat dan rekabentuk kulitnya yang menyejukkan hati dan perasaan.

Biarlah kita sama-sama renungkan apa yang ditulis oleh Achmad Chojim, yang telah menulis beberapa buah buku bestseller termasuk mengenai Syeikh Siti Jenar dan Sunan Kalijaga, yang termasuk dalam senarai walisongo. Saya tidak berhasrat membuat apa-apa ulasan, kerana telah saya lakukannya penghujung tahun 2004, cuma kali ini saya ingin berkongsi mengenai apa yang ditegaskan beliau mengenai syurga.

"Adanya syurga tak perlu ditunggu setelah hancurnya semesta. Bahwa alam semesta itu akan hancur itu keniscayaan. Kerana, semua yang dilahirkan pasti akhiri dengan kematian. Hanya Tuhan yang Mahakekal. Keberadaan syurga dan kehancuran alam semesta merupakan dua hal yang berbeda. Kita hendaknya tidak mencampuradukkan keduanya. Yang satu sebagai janji bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Sedangkan yang lain adalah sifat intrinsik dari alam semesta. Yang satu sudah disediakan Tuhan sejak sekarang, sedangkan yang lain masih akan terjadi. Kapan hancurnya seluruh alam semesta? Hanya Tuhan yang tahu.

"Kalau kita hanya menunggu, maka syurga itu tidak akan terwujud. AlQuran menyerukan agar kita ini berlomba-lomba menuju perlindungan Tuhan yang keadaannya sebagai syurga yang seluas langit dan bumi. Maka untuk mencapai syurga itu kita harus memelihara bumi ini. Untuk dapat memasuki syurga kita tidak boleh melakukan kerusakan. Syurga tidak akan hadir dengan hanya menjalankan ibadah mahdhah, tetapi perbuatan kita merusak bumi. Dalam satu hadis disebutkan :dunia ini merupakan ladang bagi akhirat. Apanya yang akan kita panen jika dunia ini kita rusak?" Halaman 348.

"Syurga yang akan datang itu ternyata harus kita persiapkan dengan membangun syurga di bumi ini. Kerana sesungguhnya bumi ini merupakan rahim bagi kehidupan akan datang...Kita harus membuat nyata untuk terus menerus membuat indah bumi yang dari awalnya diciptakan Tuhan dalam keadaan indah." halaman 351.

Secara jelasnya, kita tidak akan menemui syurga akan datang jika semasa kita hidup di bumi yang indah ini kita tidak mampu menciptakan syurga kehidupan yang damai, tenteram dan bahagia. Syurga dan neraka "disuguhkan sebagai cara untuk menyadarkan manusia agar terdorong untuk beriman dan beramal saleh. Masyarakat yang beriman dan beramal salej merupakan landasan utama untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan makmur. Masyarakat unggul. Masyarakat yang menjadi wahana kendaraan, bagi individu-individu yang kembali kepada-Nya. Ilayhi raaji un." Halaman 27.

Fikir-fikirlah sendiri. Jangan mudah terpengaruh dengan orang yang boleh menentukan anda dijamin masuk syurga dengan hanya menyokongnya. Syurga itu milik semua orang yang beriman dan beramal saleh, tetapi terlebih dahulu tidak merusakkan kehidupan di dunia termasuk dengan dirinya sendiri dan sesama insan.


No comments:

Post a Comment