Friday, July 10, 2009

APA DAH JADI, KANG MIN PERLI KE?

Tak tahulah apa lagi tuduhan yang akan dibuat oleh puak-puak yang tak celik akal dan punah minda. Krisis di Perak dikatakan didalangi oleh BN, ancaman DAP keluar Pakatan Pembangkang di Perak agenda BN dan media arus perdana, kerajaan perpaduan kerana nak bangkit daripada keadaan nazak dan sebagainya.

Bila Azmin Ali mempersoalkan pembahagian "rampasan perang" dalam jawatan pihak berkuasa negeri, tidak lagi terdengar adanya strategi BN nak tumbangkan pakatan pembangkang di Selangor. EXCo perlu perlu dirombak kerana tidak memberikan kesan dan benar-benar menjalankan tugas untuk rakyat.

Pengakuan Azmin itu menyebabkan pengerusi DAP Selangor tersintak. Kalaupun tidak terkejut beruk, takkanlah Ean Yong Hian Wah menyifatkan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor sebagai mahkamah. Mungkin kerana itulah peluang yang ada bagi Azmin untuk menilai keseluruhan apa yang telah dilakukan oleh panglima-panglima pakatan pembangkang di Selangor dalam menguruskan "tawanan perang" itu.


Saya mengibaratkan parti-parti pembangkang yang menang dan menguasai negeri-negeri itu sebagai "mereka yang menang perang pilihan raya." Selepas perang, tentunya panglima-panglima itu akan menentukan tanggungjawab untuk menjaga harta rampasan itu agar rakyat tidak mempersoalkan ke mana akan pergi.

Itu dalam suasana perang konvensional. Tetapi, dalam peperangan politik yang paling wahid sekali ialah kuasa. Setelah lima belas bulan mencaturkan strategi pembahagian kuasa, masih merungut bahawa ada masalah kerana tidak adil dan berksan. Maknanya, tidaklah benar-benar bekhidmat untuk rakyat walaupun rakyat sudah memberikan mandat.

Kalau gitu, sekarang berkhidmat untuk siapa? Rakyat pun mula tanya, apa dah jadi. Dah lima belas bulan. Kalau penganin baru pun sekurang-kurangnya sudah menimang cahayamata atau membuat persiapan menyambut kelahiran buah cinta itu. Ini tidak ada.

Kalau dulu lantang berkata-kata, kini semakin lesu dan kata-kata semacam tidak membawa apa-apa erti lagi di kalangan rakyat Selangor. Yang masih yakin hanyalah mereka yang sedang membina kedudukan agar terus memperolehi nikmat kuasa itu.

Tentunya persoalan itu menunjukkan walaupun PKR menerajui politik Selangor, kuasa sebenarnya berada dalam naungan DAP, termasuk Perak sebelum berlakunya krisis Menteri Besar.

Hari ini adalah hari ke seratus Datuk Seri Najib menjadi Perana Menteri. Dan, dua hari sebelum sampai ke hari ini, Merdeka Centre mengumumkan keputusan tinjauan pendapat mengenai populariti Datuk Seri Najib. Keputusannya amat membanggakan kerana masing-masing dua kumpulan kaum terbesar telah memberikan pengakuan menyokong, iaitu 74 peratus manakala orang Cina berada di tahap 48 peratus.

Sokongan dan kayakinan dijangka akan terus meningkat setelah penjelasan demi penjelasan dilakukan. Ini adalah proses penting, kerana proses sentiasa mengingati dan memberikan penerangan akan dilakukan oleh banyak pihak, sekurang-kurangnya untuk menangkis kebebalan pihak yang satu lagi menyamakannya dengan Malaysian Malaysia.

Ini merupakan peningkatan kerana semasa mengambil alihnya banyak sangat percubaan untuk menggagalkan proses peralihan kuasa yang dilakukan oleh orang, badan-badan politik yang tidak sebulu dengannya, termasuk pakatan pembangkang. Datuk Seri Najib telah diseretkan dalam kancah kebencian melalui serangan peribadi termasuk mengaitkan dengan pembunuhan Altantunya.

Idea 1Malaysia yang sengaja ingin disabotajkan melalui dakwaan ada persamaan dengan Malaysian Malaysia semakin diterima oleh masyarakat. Masyarakat yakin 1Malaysia adalah wawasan penyatuan antara kaum yang tidak mengetepikan statusquo walaupun ada perubahan mengenai liberalisasi ekonomi (tentunya pemilikan ekuiti 30 peratus oleh Bumiputera). Ironinya golongan yang menentang dasar an semangat DEB dalam pilihan raya lalu mula menunjukkan langkah terbalik, iaitu apabila liberalisasi ekonomi diperkenalkan.

Bila memperkenalkan Biasiswa Nasional, mula mempersoalkan kembali hiruk pikuk dasar yang pernah diterjahnya sebagai "zalim" dan cauvanistik. Bumiputeraisme, dikatakan penghalang kepada kemajuan tetapi sekarang mahu mempertahankannya. Inilah sarkas politik yang paling hebat sekali dalam nuansa dan etos politik pihak-pihak tertentu.

Kita mungkin jangan muah terjerat apabila pembangkang menuduh media arus perdana tidak bebas dan memberikan ruang untuk digunakan oleh parti-parti tersebut. Kita boleh turut bertanya, apakah penerbitan mereka turut memberikan ruang kepada parti pemerintah. Mereka juga tidak pernah mengamalkan kebebasan akhbar. Mereka mengamalkan propganda melulu dengan mendedahkan keburukan orang lain tanpa segan dan silu.

Bagi melangkah ke seratus hari kedua, kita mungkin boleh mecadangan agar diadakan satu kajian terbaru bagi mengukur sejauhmanakah rakyat percayakan kepada Anwar Ibrahim. Kalau menggunakan kayu ukur yang ditunjukkan pada 8 Julai lalu, Anwar nampaknya semakin kesepian menghadapi jejak ke puncak.

Pada mulanya dikhabarkan 10,000 orang akan hadir memberikan sokongan moral bagi menghadapi perbicaraan setelah banyak kali ditunda, tetapi yang hadir hanyalah sekitar 100 orang. Petanda itu menunjukkan semakin menurunnya sokongan, tapi biarlah ada pihak boleh membuat tinjauan secara ilmiah dan menyeluruh.

Ini penting kerana hari keseratus yang kedua boleh kita sama-sama makan ketupat gergasi, kerana waktu itu masih lagi alam mood hari raya adilifitri. Sebelumnya kita akan meraikan hari Malaysia, iaitu pada 16 September, tarikh yang pernah menjadi target Anwar untuk jadi Perdana Menteri.

Setelah selesai tinjauan pendapat bebas dan menyeluruh itu, jika ada petanda jelas menunjukkan sudah semakin merosot pengaruhnya, bolehlah kita sama-sama membuka tabung bagi membina sebuah tugu peringatan Runtuhnya Sebuah Harapan, atau Akhirnya Sebuah Impian (bunyinya semacam sebuah tajuk filem Indonesia yang terkenal dan box office suatu ketika dahulu).

Kalau nak bina, kita cadangkan didirikan berhampiran KElab Sultan Sulaiman, Kg.Baru. Saya memilihnya kerana saya yakin di situlah tempat yang paling sesuai setelah peristiwa 13 Mei 1969, dikaitkan dengan Kg. Baru, dan memperingati bebasnya Anwar atau peristiwa Black 14 juga diraikan di Kg. Baru.

Kalau disitu bolehlah kita ramai-ramai melepak sementara menunggu ada tempat duduk bagi menikmati nasi lemak terkenal itu. Kita juga boleh jengok-jengok, kalau ada Tan Sri Khalid untuk menepung tawarnya nanti, apabila tugu itu siap.

No comments:

Post a Comment