Showing posts with label syurga. Show all posts
Showing posts with label syurga. Show all posts

Sunday, July 12, 2009

SYURGA ITU DI MANA?


Malam ini, sementara menunggu mata mengantuk setelah selesai menonton wawancara Syed Munawir dengan YAB Perdana Menteri di TV 1, Tokai membaca kembali sebuah buku yang banyak memberikan kesan pemikiran. Saya membelinya beberapa tahun lalu kerana amat tertarik dengan tajuknya, Membangun Syurga: Bagaimana Hidup Damai di Bumi agar Damai Pula di Akhirat dan rekabentuk kulitnya yang menyejukkan hati dan perasaan.

Biarlah kita sama-sama renungkan apa yang ditulis oleh Achmad Chojim, yang telah menulis beberapa buah buku bestseller termasuk mengenai Syeikh Siti Jenar dan Sunan Kalijaga, yang termasuk dalam senarai walisongo. Saya tidak berhasrat membuat apa-apa ulasan, kerana telah saya lakukannya penghujung tahun 2004, cuma kali ini saya ingin berkongsi mengenai apa yang ditegaskan beliau mengenai syurga.

"Adanya syurga tak perlu ditunggu setelah hancurnya semesta. Bahwa alam semesta itu akan hancur itu keniscayaan. Kerana, semua yang dilahirkan pasti akhiri dengan kematian. Hanya Tuhan yang Mahakekal. Keberadaan syurga dan kehancuran alam semesta merupakan dua hal yang berbeda. Kita hendaknya tidak mencampuradukkan keduanya. Yang satu sebagai janji bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Sedangkan yang lain adalah sifat intrinsik dari alam semesta. Yang satu sudah disediakan Tuhan sejak sekarang, sedangkan yang lain masih akan terjadi. Kapan hancurnya seluruh alam semesta? Hanya Tuhan yang tahu.

"Kalau kita hanya menunggu, maka syurga itu tidak akan terwujud. AlQuran menyerukan agar kita ini berlomba-lomba menuju perlindungan Tuhan yang keadaannya sebagai syurga yang seluas langit dan bumi. Maka untuk mencapai syurga itu kita harus memelihara bumi ini. Untuk dapat memasuki syurga kita tidak boleh melakukan kerusakan. Syurga tidak akan hadir dengan hanya menjalankan ibadah mahdhah, tetapi perbuatan kita merusak bumi. Dalam satu hadis disebutkan :dunia ini merupakan ladang bagi akhirat. Apanya yang akan kita panen jika dunia ini kita rusak?" Halaman 348.

"Syurga yang akan datang itu ternyata harus kita persiapkan dengan membangun syurga di bumi ini. Kerana sesungguhnya bumi ini merupakan rahim bagi kehidupan akan datang...Kita harus membuat nyata untuk terus menerus membuat indah bumi yang dari awalnya diciptakan Tuhan dalam keadaan indah." halaman 351.

Secara jelasnya, kita tidak akan menemui syurga akan datang jika semasa kita hidup di bumi yang indah ini kita tidak mampu menciptakan syurga kehidupan yang damai, tenteram dan bahagia. Syurga dan neraka "disuguhkan sebagai cara untuk menyadarkan manusia agar terdorong untuk beriman dan beramal saleh. Masyarakat yang beriman dan beramal salej merupakan landasan utama untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan makmur. Masyarakat unggul. Masyarakat yang menjadi wahana kendaraan, bagi individu-individu yang kembali kepada-Nya. Ilayhi raaji un." Halaman 27.

Fikir-fikirlah sendiri. Jangan mudah terpengaruh dengan orang yang boleh menentukan anda dijamin masuk syurga dengan hanya menyokongnya. Syurga itu milik semua orang yang beriman dan beramal saleh, tetapi terlebih dahulu tidak merusakkan kehidupan di dunia termasuk dengan dirinya sendiri dan sesama insan.


Friday, July 10, 2009

DUSTA ADALAH DOSA BESAR DALAM MUAMALAH,


Selepas bersembahyang Jumaat di Masjid Jamek, Tokai singgah sebentar di Wisma Yakin kerana sudah berjanji dengan seorang kawan lama. Beliau telahpun bersara kira-kira tiga tahun lalu, dan tiba di Kuala Lumpur dengan bas awal pagi untuk mendaftarkan kemasukan anak bongsunya di salah sebuah IPTS di Kuala Lumpur.

Beliau memohon saya membantunya untuk mendapat sedikit diskaun untuk membelikan beberapa buah buku agama. Kebetulan saya merupakan pelanggan tetap dan sering mengunjungi beberapa buah kedai buku di Wisma Yakin dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya menunjukkan jalan dan memperkenalkan kepada pemilik kedai yang menjual buku-buku tersebut.

Saya tinggalkan kawan lama itu kerana saya perlu pulang ke pejabat. Sambil duduk di dalam LRT, saya membelek-belekkan sebuah buku terjemahan yang memikat minat saya untuk membacanya berasaskan tajuknya, The Big Ten Of Moslem's Mistakes (Kesalahan-kesalahan Besar Umat Islam), tulisan Dr. Mustapha Murad Shubhi, pensyarah Fakulti Dakwah, Universiti Alazhar, Mesir.

Asal buku tersebut berbahasa Arab, Akhthauna fi al-Ibadat wa al-Mua'amalat, diterbitkan pada tahun 2005 oleh Dar al-Fajr li al-Turats. Diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan dicetak pada tahun lalu. Penerbitnya ialah PT Rajagrafindo Persada.

Tebalnya lebih 900 muka surat. Saya tidak dapat mengagak berapa lama saya akan dapat habiskan. Tetapi, saya amat tertarik dengan himpunan firman Allah SWT dan hadith Rasullullah SAW yang dijadikan petunjuk bahawa berdusta itu termasuk dalam senarai dosa-dosa besar dalam bermuamalah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta", Al-Mukmin:28
"Kemudian, marilah kita bermubahalah pada Allah dan kita minta agar lanknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta." Ali Imran:61.

Sabda Rasulullah SAW,"Sesungguhnya dusta itu menghantarkan kepada kekejian dan kekejian itu menghantarkan ke neraka, tidaklah seseorang terus berdusta sehingga ia ditulis sebagai pendusta di sisi Allah."

Sabda Rasullullah SAW ,"Tanda-tanda orang munafik ada tiga, jika berbcara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari, jika diberi amanah ia berkhianat."
Sabda Rasullullah SAW, "Jauhilah prasangka kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan paling dusta.
"

Firman Allah SWT, " Dan janganlah kamu pada apa yang disebutsebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan ini Haram", untuk mengada-ngaakan kebohongan pada Allah. SEsungguhnya orang-orang yang mengada-ngadakan kebohongan pada Allah tiada beruntung." Al-Nahl:116.

Monday, June 29, 2009

DEBAT,DEBAT DEBEK BETUL TOK GURU



TOKAI semacam nak termuntah apabila dengar TOK Guru sedang menulis surat mempelawa Perdana Menteri untuk berdebat mengenai ketidaktentuan politik Melayu-Islam. Rasa loya itu kerana Tokai memang faham itulah strategi tradisi yang terlalu daif akan digunakan oleh PAS sejak sekian lama bagi melontarkan pandangan mengenai apa sahaja yang ingin ditohmahkan.

Debat dengan UMNO bukan perkara baru. Seingat Tokai sejak akhil baligh umur pun pemimpin pernah ajak pemimpin besar UMNO untuk berdebat. Dalam tahun 1980-an, Haji Hadi pernah mengajak Tun Dr.Mahathir bagi membincangkan mengenai fatwa kafir mengkafir sesama Islam, kerana waktu itu semacam sasau oleh gelagatnya sendiri.

Beberapa tahun lepas timbul pula soal muhabalah, pun UMNO tidak sahut permohonan tersebut. UMNO sedar, konsep yang baik itu akan digunakan juga oleh PAS untuk berbalah, dan bukannya mencari penyelesaian sebenar ke atas perkara pokok.

Kali ini Tok Guru tersasau dengan penolakannya mengenai kerajaan perpaduan. Bagi menutup lubang keaiban dan kedegilannya, akan mengutus undangan bagi berdebat dengan Perdana Menteri. Mujurlah Perdana Menteri lebih memahami niat Tok Guru yang kurang ikhlas itu. Tok Guru nak cuba dapat platform, dan dari situlah Tok Guru akan merepek yang bukan-bukan.

Kalah atau menang, debat itu bukanlah satu pertandingan seperti nak rebutkan jawatan Persiden Amerika Syarikat atau seperti penilaian terhadap debat Anwar dan Sabry Cheek. Memangnya orang PAS akan membuat penilaian sedemikian, tetapi, kalau Tok Guru tersasar memberikan jawapannya, cakap tersebut akan terus dianggap betul. Terlalu banyak contoh seolah-olah cakap pemimpin PAS seperti cakap orang keramat tujuh keturunan, cakap orang agama yang tidak pernah silap dan melakukan apa-apa keburukan.

Tokai memang sejak kecil lagi membesar dalam suasana keghairahan pemimpin-pemimpin PAS membuka gelanggang silat politik. Walaupun tidaklah seranum mempelam siam atau semanis mas hitam, Tokai boleh menyusurgalurkan sebahagian yang pernah didengar sejak sekian lama mengenai cara pemimpin PAS berkempen.

Sejak PAS mula ditubuhkan oleh Ustas Amaludin Darus di Pasir Mas, banyak sangat cara kempen retorik yang tidak menjejaki bumi telah dilakukan. Mungkin juga kerana tidak tahan dengan gelagat politik pemimpin-pemimpin PAS kemudiannya, Ustaz Amaludin Darus keluar daripada PAs dan membiarkannya terkapai-kapai mencari arah sendiri. Nasib baik ketika terkapai-kapai itu Asri yang pernah memimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) memimpin PAS sehingga berjaya memberikan kedudukan terbaik pada hari ini.

Semasa kempen pilihan raya 1964, PAS yang tidak mempunyai organisasi yang tersusun telah menukarkan tektik serangan kempennya. PAS mula menjadikan orang-orang yang tidak menyokong perjuangan mereka sebagai kafir. Itulah permulaannya PAS mengkafirkan sesama Islam kerana kelainan ideologi politiknya. Mula dari tempoh tersebutlah PAS semakin diterima, kerana ramai yang termakan pembohongan "undi PAS masuk syurga", perpecahan keluarga dan putus saudara.

Apabila Tok Guru mulakan perjuangan dalam PAS setelah tidak begitu lama bekerja dengan Yayasan Dakwah Islamiah, Tok Guru pernah tulis buku "Kenapa Saya Tidak Kristian", Tok Guru bertanding. Tok Guru menang dan pernah menganggap perpaduan antara PAS dalam BN "merupakan kedudukan terbaik", rakyat boleh melakukan kerja dengan lebih berkesan kerana tidak ada perbalahan.

Bila keluar BN, walaupun apa pun alasannya dan sebab yang terjadi, lain pula cerita. Tahun 1980-an, ketika kebangkitan Islam menyodorkan semangat baru, kerana terpengaruh dengan aliran pemikiran Qutbism dan Maududi, beberapa pemimpin muda PAS muncul dengan gaya kempen yang lebih agresif dan menyerang.

Antaranya Haji Hadi. Pernah mengeluarkan fatwa "menghalalkan pembunuhan ke atas orang UMNO" dan berjihad melawan UMNO kerana berkawan dengan bukan Islam. Kesannya, pecah belah masyarakat semakin membuak sehingga menyebabkan sembahyang dua iman dalam satu masjid, pemisahan kekeluargaan atas perbezaan fahaman politik, sembelihan orang UMNO haram dimakan, dengan melabelkan sebagai "taghut, kafir, zalim" dan sebagainya.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, kumpulan perayu undi PAS berkunjung ke rumah-rumah pengundi merayu dengan mengatakan: mengundi Pas, bila mati dan berada di dalam kubur, suasananya sejuk. Jenazah dipayungi oleh warna hijau dari atas pusara kita. Seolah-olah menganggap walaupun seseorang itu tidak melaksanakan perintah Allah SWT (sembahyang, berpuasa, menunaikan zakat, mengucap dua kalimah syahadat,bersedekah dan sebagainya) dan melakukan dosa besar, jika mengundi PAS akan dimasukkan ke dalam syurga.

Saya tidak tahu teori mana yang dia pakai. Hadith mana yang dirujukkan. Mungkin pemimpin PAS menciptakan hadith sendiri bagi membuktikan perjuangannya adalah benar-benar Islam. Yang kita tahu oarng dijamin masuk syurga ialah mereka yang seluruh hidupnya bertakwa kepada Allah SWT, dan bukannya mengundi calon PAS.

Itulah bila Tan Sri Muhyuddin turut mengatakan mengundi UMNO/BN "pun masuk syurga." Orang PAS tidak boleh terima, malah menganggap kata-kata itu sebagai sesuatu yang silap. Yang silap ialah pemimpin-pemimpin PAS, kerana terlalu inginkan kemenangan sanggup lakukan apa sahaja walaupun menggunakan "jerat agama" dan memasang lukah dosa kepada pengundi.

Tok Guru pernah tuduh perjuangan UMNO kejam dan menyamakannya dengan Chin Peng. Kalau begitu buat apa nak melakukan debat dengan "orang kejam" Tak Takut ke Tok Guru nanti bukan sahaja diherdik atau dipasung seperti ganasnya komunis?Nampaknya Tok Guru banyak sekali ke sasar, dan saya terus memohon doa kepada Allah SWt agar tidak termasuk dalam golongan orang-orang dipanggil bebal.

Saya seringkali tidak melupakan pesan Imam Abnu AlJauziy (ulama Iraq, lahir 510H dan meninggal 597H), yang menulis di dalam kitabnya yang terkenal,Shaidul Khatir. Namun kerana saya tidak pandai berbahasa Arab, tidak pernah belajar sekolah berpengantarkan bahasa Arab, maka saya memilih terjemahan dalam bahasa Indonesia. Salahkah membaca dan mengingati buah fikiran penulis-penulis Islam besar dari bahasa kedua?

"Esok akan dikatakan bahawa telah meninggal seorang alim yang sanaat luas pengetahuannya dan seorang ulama yang shalih. Jika mereka mengetahui siapa sebenarnya diri saya, seperti saya mengetahui diri saya sendiri, mereka pasti tidak akan menguburkan saya. Demi Allah, saya memanggil diri saya dengan panggilan nyaring laksana seorang yang berhasil menembus kelemahan-kelemahan musuh.
"Saya meratap dengan sekencang-kencangnya laksana orang-orang yang ditinggal mati anaknya. Tak ada orang yang bisa meratapi perbuatan saya yang tersembunyi kecuali diri saya sendiri, serta meratapi kesalahan yang Dia tutup agar orang lain tidak mengetahui apa yang saya lakukan." (halaman 551, edisi terjemahan, Cara Manusia Cerdas Menang Dalam Hidup, Jakarta: Maghfirah Pustaka, cetakan ketiga April, 2007).
Mungkin saya boleh bermuhasabah dengan diri saya sendiri. Apakah saya telah berupaya menjadikan diri saya seorang yang baik dan menuju ke jalan yang lurus bagi mendapat keredhaanNya? Wallahuaklam.